Adwa menghampiri deretan pasu bunga Maria. Dia mencapai hos lalu mula menyiram.
“Morning,” tegur Tengku Hadwan yang sedang berjalan ke arahnya. Adwa hanya tersenyum nipis membalas pandangan lelaki itu.
“Awak bersenam kat mana?” soal Adwa ingin tahu. Lelaki itu baru sampai di kampungnya. Mustahil Tengku Hadwan tahu akan selok belok kampugnya.
“Iz dan Razi ajak joging tadi kat pantai. Cantik pantai kat sini,” jawab Tengku Hadwan sambil memandang wajah gadis itu. Adwa hanya mengangguk tanpa berkata apa-apa lagi. Mendengar saja nama Izdan sudah membuat emosinya terganggu.
“Petang ni Razi ajak lepak kat pantai,” beritahu Tengku Hadwan lagi. Adwa membalas pandangan lelaki itu. Riak wajahnya kelihatan jelas kurang senang. Tengku Hadwan tersenyum.
“Tak apa lah kalau Adwa tak nak pergi. Wan boleh pergi dengan mereka,” katanya. Adwa diam tidak menjawab. Dia menyambung semula kerjanya.
“Boleh Wan tanya?” soal Tengku Hadwan setelah sepi seketika antara mereka. Adwa tersenyum.
“Nak tanya apa? Saya boleh aje bawa awak jalan-jalan petang ni keliling kampung. Sebab tu saya tak nak awak pergi dengan mereka,” balasnya sambil memandang lelaki itu. Tengku Hadwan tersenyun. Walaupun lega mendengar kata-kata gadis itu namun jujur dia tetap rasa takut.
“Siapa Iz tu di hati awak?” soalnya dengan perasaan serba salah. Adwa terkedu. Tangannya turut terhenti bergerak. Dia memang tidak menyangka soalan itu akan keluar dari mulut Tengku Hadwan.
“Morning,” sapa Diana sambil berjalan menghampiri dengan kameranya. Rania yang berjalan di belakang gadis itu ikut tersenyum.
“So, apa aktiviti pertama hari ni?” soal Diana yang kelihatan teruja.
“Tak apa, next time. Wan masuk dulu. Nak mandi,” kata Tengku Hadwan sebelum berdiri lantas berlalu. Adwa hanya tersenyum hambar melihat lelaki itu berlalu. Rania menepuk bahu Adwa.
“Kami ganggu ke?” soalnya. Adwa menggeleng sambil menutup pili paip. Diana menggigit bibir.
“Petang ni kita keliling kampung,” kata Adwa dengan senyuman. Rania dan Diana serentak mengangguk.
“Sorry Ad,” ucap Diana dengan perasan bersalah. Dia yakin sebentar tadi Adwa dan Tengku Hadwan sedang bercakap mengenai sesuatu yang serius. Adwa menggeleng sambil tergelak.
“Jom sarapan,” ajaknya sambil mula melangkah. Rania menyiku tangan Diana.
“Jom,” katanya sambil membesarkan matanya. Diana hanya tergelak melihat telatah gadis itu.
*****
Lufia memandang sekilas ke arah Adwa. Dia tahu gadis itu tidak selesa dengan kehadiran Izdan namun dia juga tidak tahu bagaimana mahu menghalang apabila Razi menawarkan diri untuk menjadi pemandu mereka. Alasan Razi cukup senang. Dia juga ingin melihat sekeliling kerana sudah lama tidak balik ke kampung.
“Kereta Iz tak muat. Saya dan Adwa akan jalan bersama,” kata Tengku Hadwan apabila mendemgar tawaran Razi. Dia dapat melihat dengan jelas riak wajah Adwa yang tidak suka dengan cadangan Razi sebentar tadi.
“Saya ikut Wan. Nia ikut Luf ya,” kata Diana. Tengku Hadwan mengangguk sambil menarik lembut lengan Adwa melangkah ke arah keretanya. Izdan yang sedang bersandar pada keretanya hanya memandang langkah Adwa dan Tengku Hadwan berlalu.
“Jom,” ajak Razi pada Lufia dengan senyuman lebar. Lufia hanya menjeling geram lelaki itu. Dia bukan tidak tahu niat sebenar Razi.
“Luf, tak apa ke aku ikut korang?” soal Rania dengan kening berkerut. Razi tergelak kecil mendengar soalan gadis itu.
“Awak sangat dialu-alukan. Kalau awak tak ikut, teman wanita saya ni mesti bosan tak ada kawan nak borak,” balasnya separuh bergurau.
“Jom Nia. Maaf, Razi ni memang suka bergurau. Aku hairan juga kenapa dia tak jadi pelawak,” celah Lufia separuh menyindir. Dia mula melangkah masuk dalam kereta Izdan diikuti oleh Rania. Razi hanya tersenyum mendengar sindiran gadis itu. Dia menoleh ke arah Izdan yang sudah duduk di sebelahnya.
“Kau okay ke?” soalnya. Izdan diam tidak menjawab. Lufia yang mendengar soalan Razi turut memandang ke arah Izdan.
“Jalan aje lah,” balas Izdan dengan nada perlahan. Razi mengangguk tanpa bertanya lagi.
*****
Adwa melangkah perlahan menghampiri padang sekolah.
“Nasib baik pengawal tu benarkan kita masuk,” kata Diana sambil tergelak kecil.
“Kalau Wan nak tahu, dulu masa belajar Adwa selalu kena denda dengan cikgu bahasa Inggeris kutip sampah kat sini,” beritahu Lufia yang sudah berdiri di sisi Tengku Hadwan sambil memandang Adwa yang berdiri tidak jauh di hadapan mereka.
“Kenapa?” soal Tengku Hadwan dengan senyuman.
“Sebab selalu tak siap kerja yang cikgu tu beri. Adwa akan kutip sampah seorang diri kat sini. Tapi biasa Iz akan temankan Adwa. Saya terpaksa back up Iz sebab dia akan ponteng kelas demi nak temankan Adwa kat sini,” celah Razi yang berdiri di sisi Lufia. Tengku Hadwan dan Lufia serentak memandang lelaki itu. Rania menyiku lengan Diana. Diana memandang sekeliling. Kelibat Izdan tidak kelihatan.
“Iz temankan Adwa?” soal Tengku Hadwan dengan perasaan berdebar.
“Wan,” panggil Adwa sambil melambai ke arah lelaki itu supaya datang menghampirinya. Tengku Hadwan tersenyum mengangguk sambil mula melangkah. Lufia memandang Razi semula.
“Zi, tak payah lah nak ungkit pasal mereka lagi. Please,” pintanya. Razi hanya tersenyum hambar.
“Sorry,” ucapnya. Lufia mengeluh perlahan.
*****
Izdan hanya memandang dari jauh kelibat Adwa dan Tengku Hadwan. Dia dapat melihat senyuman lebar Adwa saat bersama lelaki itu. Izdan mengeluh.
“Iz, sibuk ke? Saya nak ambil gambar tempat-tempat kegemaran Adwa sekitar sekolah ni. Awak boleh tolong saya?” tegur Diana separuh meminta. Izdan tersenyum mengangguk. Dia mula melangkah. Diana tersenyum lebar mengikut dari belakang.
*****
“Mana Ana?” soal Lufia apabila tidak melihat kelibat gadis itu.
“Katanya nak ambil gambar dengan Iz. Tak tahu pula mereka hilang kat mana,” jawab Rania. Adwa yang mendengar kata-kata Rania turut memandang sekeliling.
“Tak apa. Jom lah. Banyak tempat lagi kita nak lawat ni,” kata Lufia sambil mula melangkah. Mereka yang lain mengikut tanpa berkata apa-apa.
****
“Awak duduk kat sini ke?” soal Diana apabila melihat Izdan merenung kerusi yang berhampiran dengan tingkap. Izdan menggeleng dengan senyuman.
“Ni tempat Adwa. Dia memang suka duduk tepi tingkap,” jawabnya masih memandang kerusi tersebut. Diana mengangguk sambil mula mengambil gambar.
“Apa perasaan awak bila datang semula melawat tempat ni?” tanyanya ingin tahu. Izdan membalas pandangan gadis itu.
“Rindu. Rindu yang tak ada kesudahan,” balasnya dengan perasaan sebak. Diana serba salah mendengar kata-kata lelaki itu. Menyesal pun ada kerana bertanya soalan tersebut.
“Sejak awal saya dah buat kesilapan. Saya menyesal. Sekarang ni saya cuma perlukan peluang daripada orang tu,” sambung Izdan dengan nada perlahan.
“Kat sini pun korang,” tegur Rania yang sedang melangkah masuk diikuti oleh yang lain. Pandangan Adwa bertembung dengan Izdan. Suasana sepi seketika. Semua mata tertumpu ke ke arah Adwa dan Izdan yang saling berpandangan tanpa sepatah kata.
“Adwa,” tegur Tengku Hadwan sambil menyentuh lengan gadis itu. Adwa membalas pandangan lelaki itu dengan senyuman hambar.
“Wan, ni lah kelas kami,” beritahu Lufia apabila merasa suasana yang agak panas. Rania memandang Diana. Diana hanya tersenyum nipis.
“Jom balik,” ajak Adwa sambil mula melangkah keluar semula. Razi yang baru ingin melangkah masuk agak hairan melihat semuanya keluar tanpa sepatah kata. Dia menghampiri Izdan yang masih berdiri di tempatnya.
“Apa yang berlaku?” soalnya.
“Jom balik,” balas Izdan tanpa menjawab soalan rakannya itu. Razi mengikut dengan kening berkerut.