Home Novel Komedi/Romantik Komedi Beb, I Love You!
Bab 35


“Saya akan ke Itali,” beritahu Fuadzi sambil memegang erat telefon bimbitnya. Adwa bersandar pada kerusinya. Rasa mengantuknya hilang saat menerima panggilan daripada lelaki itu. Sebentar tadi dia sebenarnya berdolak-dalik mahu mengangkat panggilan Fuadzi.

“So?” soal Adwa tanpa perasaan. Dalam masa yang sama dia lega mendengar perkhabaran lelaki itu. Kedengaran keluhan Fuadzi di talian sebelah.

“Saya sayangkan awak. Saya boleh aje menolak untuk ke Itali sekali lagi. Tapi, saya tak nak buang masa kat sini. Saya sedar, hati awak tak mungkin untuk saya,” kata Fuadzi dengan nada perlahan. Adwa terdiam mendengar kata-kata lelaki itu. Baginya Fuadzi lelaki yang baik. Selepas tahu perasaan Fuadzi terhadapnya, Adwa memang terkejut. Dia tidak menyangka lelaki itu akan menyimpan perasaan terhadapnya. Namun untuk menerima Fuadzi, itu mungkin tidak akan berlaku. Hatinya cuma satu.

“I’m sorry. Saya doakan yang terbaik untuk awak,” balas Adwa dengan perasaan bersalah. Lelaki itu termasuk dalam kalangan orang yang menyayangi dirinya dengan ikhlas. Dia sangat bersyukur untuk itu. Fuadzi tersenyum hambar. Ini kali pertama dia mendengar suara gadis itu dalam nada yang rendah.

“Kita masih boleh jadi kawan?” soalnya dengan harapan.

“Sejak dulu awak dah jadi kawan, Fuad. Cuma saya tak boleh terima awak jika lebih daripada tu,” balas Adwa dengan nada tegas. Fuadzi mengangguk faham. Perit namun dia kena terima hakikat itu.

“Kenapa nak ke Itali? Ada projek baru ke?” soal Adwa cuba mengubah topik.

“Ya. Tapi saya tak lama kat sana. Saya harap bila dah kembali, ada berita gembira daripada awak. Ad, saya nak beritahu awak satu rahsia. Selama empat tahun awak dan Iz berpisah, saya tak pernah tinggalkan Iz. Sepanjang masa tu saya boleh lihat betapa berusahanya dia nak hubungi awak semula. Dia menderita dalam diam sebab rindukan awak. Dia tak pernah kongsi apa-apa dengan saya. But I can see it. Dia sayangkan awak. Lebih daripada orang lain sayangkan awak,” beritahu Fuadzi. Adwa terkedu. Lidahnya kelu untuk membalas.

“Saya beritahu awak ni sebab saya lihat sendiri apa yang dilalui ole Iz. Awak jangan salah faham. Saya bukan nak tuduh awak adalah penyebab Iz jadi macam tu. Saya cuma nak awak tahu, sepanjang empat tahun yang lalu Iz tak pernah pun walau sehari lupakan awak,” sambung Fuadzi.

“Why? Kenapa nak beritahu saya semua tu?” soal Adwa dengan nada perlahan. Fuadzi tersenyum hambar.

“Saya tak nak awak terus salahkan Iz. Saya juga berharap awak dapat beri Iz peluang sekali lagi,” balasnya. Adwa tersenyum sinis.

“Dah lah Fuad. Take care,” ucap Adwa sebelum menekan punat merah. Dia.mendegus perlahan.

Peluang? Kenapa semua orang tak sudah nak aku beri peluang pada kau, Iz!

                                  *****

“Kau serius?” soal Razi yang terkejut mendengar kata-kata lelaki itu. Izdan mengangguk tenang.

“Bila? Fuad dah tahu? Adwa? Family kau?” soal Razi bertalu. Dia masih tidak percaya dengan apa yang dikatakan oleh lelaki itu sebentar tadi. Izdan tergelak kecil melihat reaksi rakannya itu.

“Aku belum beritahu sesiapa lagi. Kau orang pertama,” jawabnya. Razi tergelak.

“Kau nak minta pendapat aku ke apa? Sejak dulu aku memang sokong kau. Niat kau baik. Kau nak jadikan Adwa milik kau yang sah. So, bila kau nak beritahu Adwa?” soalnya ingin tahu. Izdan menarik nafas panjang.

“Aku tak akan beritahu dia. Minggu depan aku datang ke rumahnya dengan keluarga aku,” balasnya tenang. Terangkat kening Razi memandang lelaki itu.

“Biar betul? Kau nak Adwa marah ke?” soalnya tidak percaya dengan rancangan rakannya itu. Izdan tersenyum.

“Aku kenal Adwa. Hanya dengan cara tu aku boleh milikinya. Memang dia akan marah. Tapi aku pasti tak lama,” katanya yakin.

“Kau yakin ke?” soal Razi ragu-ragu. Izdan mengangguk yakin.

“Kalau kau yakin sangat, aku sokong. So, apa persediaan kau?” balas Razi separuh menyoal. Izdan tersenyum.

“Aku nak jumpa Fuad dulu. Dia nak ke Itali dalam masa terdekat ni,” katanya. Razi mengangguk. Dia juga tahu akan hal tersebut. Semalam mereka memang mengadakan mesyuarat terakhir untuk membincangkan persiapan Fuadzi ke Itali.

                                  *****

“Nak ke mana tu Ad?” soal Tania apabila melihat Adwa yang baru melangkah turun dari tingkat atas. Maria yang sedang duduk di ruang tamu turut memandang gadis itu. Adwa tersenyum.

“Nak jumpa kawan. Bye ma, nek,” ucap Adwa sebelum berjalan keluar dari rumah. Tania dan Maria saling berpandangan.

“Kawan mana pula ni ibu?” soal Tania dengan kening berkerut.

“Wan lah tu,” jawab Maria separuh meneka. Dia memandang semula buku di tangannya. Tania tersenyum memandang orang tua itu

“Alhamdullillah,” ucapnya sebelum tergelak. Maria ikut tergelak.

                                 *****

“Awak tak ada shooting ke hari ni?” soal Adwa sambil memandang sekeliling cafe yang dihiasi dengan bunga-bunga yang berwarna-warni. Dia merasa seperti dalam sebuah taman cerita fantasi. Ini kali pertama dia datang ke cafe tersebut.

“Tak ada. Sibuk mana pun. Saya kena ada masa untuk awak,” balas Tengku Hadwan sambil memandang wajah yang dirinduinya itu. Adwa membalas pandangan lelaki itu dengan senyuman.

“Cantik tempat ni,” kata Adwa yang sedikit gelabah dengan pandangan lelaki itu. Tengku Hadwan tergelak kecil.

“Sama seperti awak,” pujinya.

“Tapi awak lagi cantik,” tambahnya dengan senyuman. Adwa menggigit bibir.

Stop it. Kenapa ajak saya keluar hari ni?” soalnya cuba mengubah topik. Pipinya sudah terasa panas. Tengku Hadwan menarik nafas.

“Tak boleh ke? Saya nak habiskam masa dengan awak. Saya nak kenal awak lebih dekat lagi,” balas Tengku Hadwan.

“Nak tahu apa lagi. Awak dah kenal saya,” kata Adwa dengan senyuman.

“Tapi tidak seperti Iz kenal awak,” balas Tengku Hadwan. Menyebut sahaja nama Izdan sudah cukup membuatnya rasa tergugat. Dia sendiri tidak tahu adakah tempatnya di hati gadis itu. Adwa terdiam mendengar kata-kata lelaki itu. Emosinya mula terganggu.

“Sebenarnya apa yang awak nak cuba sampaikan?” soalnya kini dengan riak wajah serius.

“Awak sudi jadi isteri saya?” tanya Tengku Hadwan sambil meletakkan bekas cincin berwarna putih di depan gadis itu. Adwa terkedu. Tengku Hadwan tersenyum. Selepas mendengar cerita daripada Diana, dia mengambil keputusan untuk melamar gadis itu. Dia tidak akan senang selagi Adwa tidak memberikan sebarang jawapan. Mungkin dia terlalu memaksa. Tapi dia tidak ada pilihan lain apabila mengingatkan Izdan. Dia tahu lelaki itu tidak akan berdiam diri. Masih jelas di ingatannya bagaimana cara Izdan memandang Adwa semasa mereka berada di kampung. Sebagai lelaki, dia sedar Izdan juga sama sepertinya. Menyayangi gadis itu dan mahu memilikinya.

“Wan, saya...,”

I know. Awak tak ready lagi. Simpan lah bekas cincin ni dulu. Selagi awak tak beri jawapan, selagi tu jangan kembalikan pada saya,” pintas Tengku Hadwan.

“Tolong jangan buat macam ni Wan. Saya tak nak sesiapa pun yang terluka,” kata Adwa dengan kening berkerut. Tengku Hadwan tersenyum hambar.

“Maksud awak, saya langsung tak ada peluang?” soalnya dengan perasaan kecewa. Daripada kata-kata gadis itu saja sudah jelas menunjukkan yang dia masih belum ada tempat di hatinya. Adwa menarik nafas panjang cuba menenangkan dirinya.

“Saya jujur tak nak awak berharap Wan. Saya masih perlukan masa. Menerima seseorang dalam hidup ni, bukan sesuatu yang mudah bagi saya. Setelah apa yang berlaku, saya lebih berhati-hati,” balas Adwa.

“Memang tak mudah. Saya juga pernah terluka sebelum ni. Saya tahu peritnya. Tapi bila awak muncul, saya tak ambil masa yang lama untuk buka hati ni semula. Awak kena beri peluang pada diri awak sama seperti apa yang saya dah buat. Kita ada hak untuk bahagia Ad,” kata Tengku Hadwan. Adwa tunduk memandang bekas cincin tersebut. Selama ini hanya Izdan yang berjaya mengetuk pintu hatinya. Malah lelaki itu juga berjaya bertahan di hatinya sampai saat ini. Namun kemunculan Tengku Hadwan sedikit sebanyak mengubah segalanya. Dia mula rasa dihargai semula.

“Ad,” panggil Tengku Hadwan apabila melihat gadis itu mengambil bekas cincin tersebut lalu membukanya. Tanpa disuruh Adwa memakai cincin tersbut. Tengku Hadwan terkedu. Lidahnya kelu. Dia sebenarnya tidak menjangka akan reaksi Adwa tersebut.

“Saya akan simpan cincin ni. Tapi hari ni saya tak nak beri apa-apa jawapan. Beri saya masa,” kata Adwa dengan senyuman. Tengku Hadwan ikut tersenyum.

“Saya akan tunggu. Tapi jangan lama sangat,” balasnya separuh bergurau. Matanya tidak lepas memandang jari manis gadis itu. Adwa hanya tersenyum melihat telatah lelaki itu.

“Rasa macam dah kahwin. Cuma tak ada inai aje,” kata Tengku Hadwan dengan senyuman nakal. Bulat mata Adwa memandang lelaki itu. Pipinya sudah merona merah.

Previous: Bab 34
Next: Bab 36

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.