Home Novel Komedi/Romantik Komedi Beb, I Love You!
Bab 9


Tania memandang Maria. Dia memberi isyarat supaya ibunya itu memandang ke arah Adwa yang sedang duduk di bahagian penumpang. Maria berpaling memandang gadis itu yang sedari tadi hanya diam membisu.

“Menyesal lah tu tak jumpa Iz tadi sebelum jalan. Nenek nak panggil Iz tapi Adwa kata tak payah. Nenek tak salah,” kata Maria separuh bergurau. Adwa mengalihkan pandangannya ke hadapan. Dia hanya tersenyum hambar.

“Memang Ad tak nak jumpa dia pun. Ad takut nanti tak jadi ikut mama dan nenek pula,” balasnya turut bergurau. Maria tersenyum memandang Tania.

“Mama minta maaf sayang. Mama dah pisahkan sayang dengan Iz,” ucap Tania dengan perasaan bersalah. Walaupun dia hanya bergurau namun jauh di sudut hatinya memang dia rasa bersalah kerana terpaksa membawa Adwa. Adwa tergelak kecil.

“Mama dan nenek sengaja nak usik Adwa,” katanya.

“Iz tu cuma kawan. Tak lebih dari tu,” sambungnya dalam nada perlahan.

“Nenek tak tanya pun,” celah Maria separuh mengusik.

“Mama pun,” balas Tania. Berkerut kening Adwa memandang kedua-duanya. Maria dan Tania sudah tergelak besar. Adwa mendengus perlahan.

“Tak nak cakap dengan mama dan nenek lagi,” katanya separuh merajuk.

“Masa Adwa dah masuk kereta tadi, mama sempat jumpa Iz. Dia kata nanti akan call Adwa bila dah sampai nanti,” beritahu Tania dengan senyuman apabila melihat Adwa hanya membisu. Adwa mengeluh.

Tak ada maknanya ma. Iz tu dah ada orang yang punya.

Bisik hati kecilnya dengan perasaan kecewa. Kata-kata Lufia mula terngiang-ngiang di telinganya.

Padan dengan muka aku!

                                *****

Lama menunggu akhirnya panggilannya bersambut. Izdan tersenyum saat mendengar suara milik gadis itu.

“Buat apa?” soalnya.

“Kau tak tengok jam? Ni dah masuk waktu tidur aku. Kau nak apa?’ soal Adwa sambil menguap perlahan. Izdan tergelak kecil.

Sorry. Aku nak call kau tadi tapi tak sempat sebab aku jumpa Qish,” beritahunya.

“Kau nak apa?” soal Adwa lagi dengan nada agak kasar. Dia tiba-tiba geram apabila mendengar nama gadis itu disebut. Hilang rasa mengantuknya.

“Aku nak kau,” balas Izdan dengan nada lembut.

“Kau nak aku tekan butang merah?” soal Adwa pula dengan kening berkerut. Izdan tergelak lagi.

“Kau okay ke kat sana? Macam mana dengan tempat baru?” soalnya mula serius.

“Semua okay. Tak ada apa yang menarik,” balas Adwa dengan nada mendatar.

“Macam mana dengan Lufia?” soal Adwa pula apabila teringat dengan gadis itu.

“Dia okay. Qish ada temankan dia,” jawab Izdan dengan senyuman.

“Aku, kau tak tanya?” soalnya separuh mengusik.

“Jangan nak buat lawak. Aku nak tidur,” balas Adwa dengan perasaan berdebar.

“Kau asyik nak larikan diri daripada aku,” kata Izdan yang agak kecewa apabila gadis itu seperti mahu mengelak daripadanya.

“Apa kau merepek ni? Aku baru aje sehari tak jumpa kau. Kau dah buat perangai pelik,” balas Adwa. Kedengaran Izdan tergelak kecil. Adwa mendengus perlahan.

“Malas aku nak layan. Selamat malam,” ucap Adwa sebelum menekan punat merah. Izdan masih memandang telefonnya. Dia menggeleng sebelum tersenyum sendiri.

                               *****

“Baru ingat aku?” soal Lufia dengan kening terangkat. Adwa tergelak kecil. Selepas memutuskan panggilan Izdan, dia terus menghubungi gadis itu.

“Hari ni cikgu Salim lupa yang kau dah pindah. Dia tanya kau kat mana,” beritahu Lufia sambil tergelak.

“Dia tak sabar agaknya suruh aku pungut sampah kat padang tu,” teka Adwa sebelum ikut tergelak.

“Iz ada call kau?” tanya Lufia.

“Baru aje tadi,” jawab Adwa.

“Hari ni Iz langsung tak ada mood. Sampai Qish pun ikut tak ada mood. Nasib baik aku ada. Aku aje yang bising ceriakan suasana,” beritahu Lufia. Adwa terdiam mendengar kata-kata gadis itu.

“Kau dah jauh kat sana Ad. Aku harap kau tak seksa diri sendiri. Mulakan hidup baru tanpa bayang-bayang Iz,” sambung Lufia lagi separuh menasihati.

“Kau dan Iz sama aje. Suka merepek. Dah lah esok aku call lagi. Aku dah mengantuk ni. Jaga diri kat sana. Selamat malam,” ucapnya sambil menekan punat merah tanpa menunggu jawapan daripada gadis itu. Lufia tersenyum menggeleng.

Perangai tak pernah nak berubah.

                                 *****

Balqish memandang Izdan yang sedang leka dengan buku di tangannya.

“Saya nak tanya boleh?” soalnya perlahan. Izdan membalas pandangan gadis itu.

“Tanya lah,” balasnya dengan senyuman.

“Awak nak pilih kos apa nanti?” soal Balqish ingin tahu.

“Psikologi. Awak?” soal Izdan pula.

“Tak tahu lagi. Awak tak nak cadangkan untuk saya?” balas Balqish separuh menyoal. Izdan menutup buku di tangannya.

“Saya tak boleh cadangkan untuk awak. Pilihan tu ada kat tangan awak. Awak pilih lah kos yang awak rasa sesuai untuk awak. Jangan risau, awak ada masa lagi nak fikir,” balasnya separuh menasihati. Balqish mengangguk dengan senyuman.

“Awak nak masuk universiti mana?” soalnya lagi.

“Mungkin UM. Tu pun kalau dapat,” balas Izdan.

“Tahun depan awak dah tak ada kat sini,” rungut Balqish perlahan. Izdan tersenyum.

“Jangan risau, saya akan tunggu awak kat sana,” balasnya separuh berjanji. Balqish akhirnya mengangguk tersenyum. Dia agak lega mendengar janji lelaki itu.

Sorry ganggu. Iz, kau dapat hubungi Adwa tak? Aku call sejak pagi tapi langsung tak bersambut,” tanya Lufia yang sudah berdiri di hadapan mereka. Berkerut kening Izdan membalas pandangan gadis itu. Dia mencapai telefon bimbitnya. Beberapa kali mencuba panggilannya juga tidak bersambut.

“Tak dapat,” katanya dengan riak wajah yang cemas. Dia menyusun bukunya.

“Qish, saya balik dulu. Jumpa esok,” katanya sebelum bangun lantas berlalu. Balqish yang tidak sempat berkata apa-apa hanya memandang langkah lelaki itu.

“Jumpa esok juga Qish,” celah Lufia sebelum mengejar langkah Izdan. Balqish hanya mengeluh perlahan memandang langkah kedua-duanya.

                                *****

Berkerut kening Adwa memandang telefon bimbitnya. Dia menekan nombor Izdan.

“Kenapa tak jawab? Aku call kau banyak kali,” soal Izdan dengan nada risau tanpa sempat Adwa berkata apa-apa.

“Telefon aku tak ada cas. Kenapa? Lufia okay?” soalnya pula. Izdan menarik nafas dalam.

“Boleh tak jangan buat aku risau?” soal Izdan dengan nada perlahan tanpa menjawab soalan gadis itu. Adwa terkedu.

“Aku hampir nak pergi sana cari kau. Aku dah lah tak tahu nombor nenek dan aunty. Macam nak gila tak tahu nak hubung siapa bila kau tiba-tiba tak dapat dihubungi,” sambung Izdan dengan kening berkerut. Adwa menyentuh dahinya.

“Lufia okay. Cuma dia risau kau tak dapat dihubungi,” sambung Izdan apabila tidak mendengar apa-apa balasan daripada gadis itu.

Sorry. Kau beritahu dia yang aku okay,” balas Adwa dalam nada perlahan.

“Aku tak marah kau. Aku cuma risaukan kau,” kata Izdan yang mula rasa bersalah.

“Iz, boleh tak jangan buat aku salah faham?” soal Adwa pula.

“Apa? Aku tak faham,” balas Izdan yang keliru dengan kata-kata gadis itu. Adwa mendengus perlahan.

“Aku nak makan dulu,” kata Adwa sebelum menekan punat merah. Dia duduk di birai katil. Adwa akui seringkali terbuai dengan sikap ambil berat lelaki itu. Sampai satu saat dia dapat rasakan yang Izdan juga ada rasa yang sama dengannya. Namun apabila memikirkan Balqish, dia kecewa semula.

                                *****

So, kau tak keluar?” soal Lufia sambil bersandar pada kerusinya.

“Nak pergi mana?” soal Adwa semula.

“Mana lah tahu kau nak keluar dengan kawan-kawan baru kat sana,” kata Lufia. Adwa tergelak kecil.

“Malas lah nak keluar. Kau buat apa? Kau dengan Iz?” soalnya bertalu.

“Aku kat rumah ni. Iz aku tak tahu kat mana. Kau ingat aku tinggal serumah dengan dia?” soal Lufia separuh memerli. Adwa tergelak lagi.

“Iz tak call kau ke?” soal Lufia dengan kening berkerut.

“Dua hari dah dia tak call aku,” balas Adwa dalam nada perlahan.

“Kau pula kenapa tak call dia?” tanya Lufia lagi.

“Tak nak lah aku. Pandai lah Iz cari aku,” balas Adwa dengan perasaan kecewa. Lufia tergelak kecil.

“Kau rindu kat dia ke? Padan muka. Aku dah kata dah dari awal. Jangan menyesal. Sekarang ni siapa yang menyesal?” balasnya sengaja menyakitkan hati gadis itu.

“Menyesal? Buang masa nak menyesal,” nafi Adwa masih dengan egonya.

“Kau memang degil,” kata Lufia dengan kening berkerut. Adwa hanya tersenyum hambar.

“Kalau kau nak pendam sangat perasaan tu, kau kena move on. Peluang kau dah tipis sangat Ad. Nanti kau sendiri yang akan sakit,” balas Lufia setelah mereka terdiam seketika.

“Sudah lah Luf. Aku nak sambung study. Nanti aku call semula,” balas Adwa dengan nada perlahan. Lufia menggelengkan kepalanya.

“Asyik nak larikan diri kalau aku timbulkan isu ni. Tak apa lah, jaga diri kat sana. Jangan lupa aku. Paling penting sekali, jangan lupa Iz kat sini,” balas Lufia separuh bergurau. Adwa hanya tersenyum sebelum menutup telefon. Dia melepaskan keluhan berat.

                                 *****

“Buat apa?” soal Izdan sambil memandang langit malam.

“Tengah buat latihan. Kenapa?” soal Adwa sambil membuka cermin matanya. Dia bangun dari kerusi lantas melangkah ke luar beranda biliknya. Baru beberapa hari yang lalu dia dan Lufia membicarakan hal tentang lelaki itu. Tiba-tiba hari ini Izdan menghubunginya.

“Aku rindukan kau. Sampai hati tak call aku. Asyik aku aje yang call dulu,” rungut Izdan. Berkerut kening Adwa.

“Yang kau rajin sangat nak call aku apa kes? Iz, aku ni cuma kawan kau bukannya teman wanita kau. Kau jangan silap pula,” balasnya dengan nada tegas. Izdan tergelak kecil.

“Nak buat macam mana. Aku pun selalu keliru. Aku dah tak tahu nak beza kawan atau teman wanita,” balasnya perlahan. Adwa terdiam mendengar kata-kata lelaki itu.

Sorry, aku gurau aje. Kau sihat?” soal Izdan apabila gadis itu hanya membisu.

“Aku sihat walafiat kat sini. Kau dan Lufia aje yang risau tak tentu pasal,” balas Adwa. Izdan tersenyum sambil menarik nafas dalam.

“Memang aku risau bila kau tak ada depan mata aku. Aku risau kau tak pandai jaga diri bila aku tak ada,” katanya jujur.

“Amboi, sedapnya mulut,” balas Adwa yang mula geram. Izdan tergelak kecil.

“Kau ni sengaja nak cari pasal dengan aku. Tak ada kerja?” soal Adwa dengan kening berkerut.

“Aku bosan lah bila kau tak ada kat sini. Selalu bila balik dari sekolah, kau teman aku lepak kat halaman. Sekarang ni aku rasa kosong. Macam lagu tu. Kosong…,”

“Ehh! Aku malas nak layan. Aku nak buat kerja,” pintas Adwa sebelum menutup telefonnya. Izdan menarik nafas berat.

Rindunya aku dengan kau.

                               *****

Maria menolak pintu bilik Adwa. Kelihatan gadis itu sedang leka membaca buku di tangannya.

“Tak tidur lagi?” soalnya sambil menyentuh bahu Adwa. Adwa tersenyum membalas pandangan Maria.

“Tak mengantuk lagi,” balasnya. Dia memang sengaja menggunakan alasan hendak tidur kepada Izdan sebentar tadi kerana mahu mengelak daripada lelaki itu.

“Mama dah balik?” soal Adwa apabila teringatkan wanita itu.

“Mama kata dia balik lewat sikit,” beritahu Maria. Adwa mengangguk.

“Nenek nak tanya ni, Adwa tak nak jumpa papa?” soal Maria dengan penuh hati-hati. Dia agak berdebar menunggu jawapan gadis itu.

“Nak ke papa jumpa Adwa?” soal Adwa semula. Maria terkedu.

“Adwa hampir lupa pasal papa. Papa dah lama tak datang jumpa Adwa. Mungkin papa juga dah lupa Adwa,” sambung Adwa. Maria mengeluh perlahan.

“Biar lah nek. Adwa tak kisah pun. Papa ada atau tak ada, bagi Adwa keadaan tetap sama. Cukup ada mama dan nenek. Adwa dah rasa bahagia,” kata Adwa kini dengan senyuman. Maria menarik jemari gadis itu.

“Nenek cuma risau. Mungkin sekarang Adwa tak kisah pasal papa. Tapi suatu hari nanti, Adwa pasti akan perlukan papa. Adwa, kita ni manusia pasti akan buat silap. Adwa tak boleh benci papa dengan apa yang berlaku,” katanya separuh menasihati.

“Nenek jangan risau. Adwa tak pernah benci papa. Cuma marah sikit kot,” balasnya separuh bergurau. Maria tersenyum sambil menggenggam erat jemari gadis itu.

“Nenek nak Adwa jumpa papa,” katanya dalam nada lembut separuh mengarah. Adwa terdiam mendengar kata-kata orang tua itu.

Jumpa papa?

Adwa hanya tersenyum hambar membalas pandangan Maria. Bibirnya terkunci untuk membalas.

                                 *****

“Jumpa Uqash?” soal Tania dengan kening berkerut memandang ibunya. Maria yang sedang menjamah sarapannya hanya mengangguk. Tania mengeluh perlahan.

“Ibu, Nia tak pernah larang Adwa jumpa papanya. Tapi kalau ibu nak Nia sendiri jumpa Uqash, Nia tak nak,” balasnya dengan nada tegas. Dia memang tidak mahu bertemu dengan bekas suaminya itu lagi. Jika tidak terserempak dengan Uqash beberapa bulan yang lalu, memang dia tidak akan tahu yang lelaki itu sudah menukar nombornya.

“Ibu bukannya suruh Nia kahwin dengan Uqash semula. Cuma bawa Adwa jumpa papanya. Nia jangan terlalu ikutkan kata hati,” kata Maria separuh menasihati.

“Ikutkan hati? Ibu, please jangan paksa Nia. Nia izinkan Adwa jumpa papanya tapi bukan Nia,” balas Tania sambil menggelengkan kepalanya.

“Nia masih tak dapatkan maafkan Uqash?” soal Maria kini memandang tepat wajah anak perempuannya itu. Tania menarik nafas berat. Dia berkahwin dengan Uqash atas dasar suka sama suka. Ibunya tidak pernah tahu sebab utama dia berpisah dengan lelaki itu. Dia cuma beritahu Maria yang dia dan Uqash sudah tidak sehaluan lagi. Jika ibunya tahu yang Uqash ada perempuan lain selain dirinya sudah pasti wanita itu datang menyerang Uqash. Apabila memikirkan Adwa yang masih kecil ketika itu, dia mengambil keputusan untuk menyembunyikan hal yang sebenar. Beberapa tahun yang lalu dia berusaha mengubati hati sendiri. Dia berjaya dengan adanya Adwa. Dia mungkin sudah memaafkan Uqash. Namun untuk bertemu semula dengan lelaki itu bukan pilihannya. Cukuplah dia terserempak dengan lelaki itu beberapa bulan yang lalu.

“Nia minta maaf. Ibu saja yang bawa Adwa jumpa Uqash. Nia memang tak boleh jumpa dengan lelaki tu lagi,” balas Tania sebelum bangun dari kerusi lantas berlalu naik ke tingkat atas. Maria melepaskan keluhan berat.


Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.