Home Novel Komedi/Romantik Komedi Beb, I Love You!
Bab 36


Fuadzi tersenyum menerima kedatangan Izdan.

“Sibuk ke?” tanya Izdan sambil menarik kerusi di hadapan abangnya itu.

“Tak juga,” balas Fuadzi sambil mula bersandar pada kerusinya.

“So, macam mana dengan persediaan?” soal Izdan semula.

“Tak ada apa yang nak bawa sangat,” jawab Fuadzi. Izdan mengangguk. Tiba-tiba lidahnya kelu untuk berkata-kata. Ayat yang sudah disusun sebelum ini langsung hilang. Fuadzi menarik nafas panjang.

“Iz, aku minta maaf,” ucapnya. Izdan agak terkejut mendengar ucapan lelaki itu.

“Teruskan pujuk Adwa. Kau jangan risau pasal aku,” sambungnya dengan senyuman. Izdan terkedu. Adakah ini berita gembira buat dirinya? Tapi mengapa dia rasa bersalah pula pada Fuadzi?

“Aku tak nak bergaduh dengan kau lagi. Cukuplah apa yang berlaku antara kita,” katanya lagi apabila melihat Izdan yang hanya membisu. Izdan tersenyum hambar.

“Thanks. Jumpa malam esok. Papa dan mama dah tak sabar nak jumpa kita. Lagipun ada hal yang aku nak beritahu,” balas Izdan sebelum bangun semula.

“Sorry ganggu kau,” katanya lagi sebelum berlalu. Dia sudah tidak mahu bersuara lagi mengenai Adwa kerana Fuadzi sudah membantunya. Dia rasa bersalah namun dalam masa yang sama turut rasa lega. Sekurang-kurangnya dia tidak perlu bersaing dengan abangnya itu. Betul kata Fuadzi, cukup apa yang sudah mereka lalui semasa kecil. Fuadzi hanya memandang langkah Izdan berlalu. Tanpa sedar dia mengeluh perlahan. Nampaknya ada hikmah dia pergi ke Itali. Mungkin bukan bagi dirinya tapi untuk orang yang disayanginya.

                                   *****

Bulat mata Lufia memandang Adwa. Apatah lagi bila melihat cincin yang tersarung di jari gadis itu

“Kau dah terima Wan?” soalnya dengan riak wajah yang tidak percaya. Adwa tergelak kecil.

“Biar betul?” celah Rania yang turut terkejut. Diana tergelak kecil.

“Apa yang nak dihairankan sangat. Kalau dah pakai tu, maksudnya dah terima lah tu,” katanya separuh mengusik. Lufia menggigit bibir.

“Tak lah. Aku just pakai aje. Jangan risau,” balas Adwa dengan senyuman.

“Kenapa nak pakai kalau tak yakin?” soal Lufia dengan kening berkerut. Rania dan Diana serentak memandang Lufia. Senyuman Adwa menghilang saat melihat wajah serius gadis itu.

“Luf, aku cuma...,”

“Nak beri harapan?” pintas Lufia kini dengan nada agak keras. Adwa terkedu. Sepanjang berkawan dengan gadis itu, ini merupakan kali pertama dia mendengar Lufia meninggikan suaranya.

“Luf,” Diana menyentuh bahu Lufia cuba untuk menenangkan gadis itu.

“Makanan dah nak sejuk. Jomlah makan dulu,”  kata Rania cuba mengubah topik. Dia mencapai sudu.

“Aku pun dah lapar,” balas Diana sambil mengikut retak Rania. Lufia mendegus perlahan sebelum mencapai beg tangannya.

“Aku balik dulu,” katanya sebelum berlalu.

“Luf,” Rania cuba memanggil namun Adwa menahan gadis itu.

“Biarkan. Dia sedang marah,” katanya. Rania mengangguk setuju.

“Ad, makanlah dulu. Nanti kita pujuk Luf lepas ni,” celah Diana cuba untuk memujuk. Adwa hanya tersenyum hambar. Lidahnya kelu untuk berkata-kata

                                *****

Adwa berbaring di atas katilnya. Rekasi Lufia benar-benar menunjukkan yang gadis itu tidak menyukai tindakannya.

Kenapa? Sebab Iz ke?

Adwa mendengus perlahan.

Aku langsung tak faham!

“Ad, dah tidur?” soal Tania sambil menolak pintu biliknya. Adwa bangun lantas duduk. Dia tersenyum memandang wanita itu.

“Mama ganggu ke?” soal Tania sambil duduk di sisinya.

“Tak. Mama tak tidur lagi?” tanya Adwa pula.

“Tak dapat tidur. So, macam mana dengan Wan?” soal Tania dengan senyuman lebar. Adwa terdiam mendengar soalan wanita itu. Tania membelek jari Adwa.

“Cantik. Sesuai sangat,” pujinya.

“Mama, sebenarnya Ad masih tak pasti,” kata Adwa jujur.

“Maksud Ad?” tanya Tania dengan kening berkerut. Apa lagi yang tidak pasti jika gadis itu sedang memakai cincin pemberian Tengku Hadwan?

“Entahlah, Ad sendiri tak pasti perasaan sebenar Ad pada Wan,” jawab Adwa sambil tunduk memandang jemarinya.

“Ad, tak baik tau. Ad dah pakai cincin yang Wan beri. Kalau dah pakai maksudnya Ad memang dah boleh terima Wan,” kata Tania. Adwa terdiam. Benar kata wanita itu. Tapi dia masih was-was dengan perasaannya sendiri.

“Macam ni lah. Ad cuba ingat semula dari awal. Tanya hati tu. Adakah Wan yang jadi pilihan atau hati tu masih dengan orang lain,” sambung Tania separuh menasihati.

“Orang lain?” soal Adwa kini dengan kening berkerut.

“Yes. Jangan sampai Ad silap buat keputusan,” balas Tania. Adwa terdiam semula. Tania menepuk lembut bahu gadis itu.

“Mama masuk tidur dulu. Ingat pesan mama,” katanya sebelum bangun untuk berlalu. Adwa hanya tersenyum. Tanpa sedar dia mengeluh perlahan.

                                   *****

“Nak pinang siapa?” soal Tengku Fariz. Izdan menarik nafas panjang. Fuadzi yang duduk di hadapannya hanya tersenyum.

“Teman wanita Iz ke?” soal Tengku Mariam pula yang jelas teruja. Izdan mengangguk tersenyum.

“Saya nak pinang dia minggu depan. Mama dan papa ada masalah tak?” soalnya. Tengku Fariz memandang Tengku Mariam. Wanita itu menggeleng sambil tersenyum.

“Papa dan mama tak ada masalah. Tapi Fuad akan ke Itali lusa,” balas Tengku Fariz

“Tak apa pa. Teruskan aje. Nanti masa Iz nikah, Fuad tentu dah kembali,” celah Fuadzi.

“Tapi lagi baik kalau kamu ada sekali Fuad,” kata Tengku Mariam pula.

“Kau tak boleh tangguh?” tanya Izdan. Fuadzi menggeleng. Sebenarnya boleh saja dia menangguhkan pemergiannya. Namun hatinya masih belum kuat untuk melihat Adwa dipinang oleh adiknya sendiri.

“Tak apa. Sebelum kau nikah, aku akan balik sekejap,” balasnya.

“Kalau macam tu, kita teruskan minggu depan,” putus Tengku Fariz.

“Fuad tu bila? Hari tu kata nak bawa seseorang jumpa mama dan papa. Jadi ke tak?’ soal Tengku Mariam. Fuadzi agak terkedu mendengar soalan itu. Izdan terdiam.

Ada yang aku tak tahu ke?

Bisik hati kecil Izdan. Fuadzi sendiri tidak pernah memberitahunya mengenai hal tersebut.

“Tak jadi mama. Next time,” balas Fuadzi dengan senyuman hambar.

“Lah, tak apalah. Anak papa ni ada segalanya. Sekejap aje boleh dapat yang baru,” gurau Tengku Fariz.

“Abang ingat barang ke? Masuk kedai dah tersedia,” celah Tengku Mariam separuh memerli. Tengku Fariz tergelak kecil.

“Fuad jangan ambil hati. Papa bergurau aje,” katanya. Fuadzi hanya tersenyum. Izdan memilih untuk mendiamkan diri.

                                   *****

“Iz nak pinang Adwa,” beritahu Fuadzi. Balqish terkedu.

“Aku redha,” sambung Fuadzi. Balqish tersenyum hambar

“Aku juga. Tak ada jodoh. Nak buat macam mana,” balasnya dengan senyuman pahit. Fuadzi mengangguk dengan senyuman hambar.

“So, jadi ke nak jalan esok?” soal Balqish cuba mengubah topik. Dia seperti orang yang kuat saat menasihati Fuadzi. Namun siapa tahu hatinya remuk semula saat mendengar perkhabaran daripada lelaki itu.

Nampaknya dah memang tak ada jodoh antara kita, Iz.

Mata Balqish terasa pedih namun dia cuba sedaya upaya bertenang.

“Ya. Saya tak mungkin akan pinang Ad untuk Iz,” balas Fuadzi. Balqish mengangguk faham.

“Jaga diri,” katanya. Fuadzi tersenyum.

“Awak okay?” soalnya apabila melihat gadis itu menyapu air matanya. Dia tidak akan bertanya mengapa. Mereka berdua bukan manusia yang kuat. Apatah lagi bila melibatkan orang yang disayangi. Balqish hanya tersenyum hambar. Dia membuang pandang ke luar cafe.

                                  *****

“Kau masih marahkan aku?” tanya Adwa apabila Lufia menjawab panggilannya. Lufia terdiam mendengar soalan gadis itu.

“Luf,” panggil Adwa.

“Kau sayangkan Wan?” soal Lufia tanpa menjawab pertanyaan Adwa sebentar tadi. Giliran Adwa pula yang terdiam.

“Ad, kalau kau tak pasti, jangan beri harapan,” kata Lufia separuh menasihati. Adwa tersenyum sinis.

“Macam mana kau tahu yang aku tak pasti? Luf, sepatutnya kau kawan aku kena sokong keputusan aku,” balasnya agak kecewa dengan gadis itu.

“Kau tak jawab soalan aku lagi. Kau pasti? Aku tak tanya soalan ni kalau aku tak kenal kau, Ad,” kata Lufia dengan kening berkerut. Dia sentiasa menyokong gadis itu. Namun kali ini dia agak keberatan kerana melihat Adwa belum bersedia untuk menerima Tengku Hadwan lagi. Adwa mendengus perlahan.

“Aku pasti,” balasnya dengan nada tegas.

“Adwa?” panggil Lufia dengan riak tidak puas hati.

“Luf, aku pun ada hak untuk bahagia. Suka atau tak, kau kena sokong aku,” balas Adwa sebelum menutup telefonnya. Dia meraup wajahnya sambil mengeluh perlahan.

Previous: Bab 35
Next: Bab 37

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.