Home Novel Komedi/Romantik Komedi Beb, I Love You!
Bab 34


Izdan memandang jam di tangannya. Sudah hampir setengah jam dia menunggu Adwa namun masih tidak kelihatan kelibat gadis itu. Akhirnya Izdan mendail nombor Adwa. Lama menunggu namun panggilannya tidak bersambut. Izdan menarik nafas panjang sebelum mengambil keputusan untuk menemui sendiri gadis itu.

                            *****

Berkerut kening Adwa melihat Izdan yang sedang tersenyum di muka pintu bilik pejabatnya.

“Maaf Cik Adwa, saya dah cuba halang,” ucap Juju setiausahanya. Adwa menggeleng sambil memberi isyarat agar gadis itu keluar. Selepas pintu tertutup, Izdan melangkah ke arah Adwa yang sedang duduk di mejanya. Mata gadis itu tajam memandangnya.

“Kau nak apa lagi?” soal Adwa dengan nada agak keras. Dia memamg geram dengan lelaki itu. Ikutkan hati, mahu sahaja dia menghalau lelaki itu sebentar tadi. Namun apabila melihat Juju ada sekali, dia batalkan niatnya.

“Tak lapar?” tanya Izdan yang masih kelihatan tenang. Adwa mendengus geram.

“Kau memang tak faham bahasa Iz. Aku dah kata. Aku tak nak tengok muka kau lagi! Susah sangat ke nak faham?” marahnya separuh menyoal. Izdan menarik nafas perlahan.

“Aku tak boleh. Aku tak mampu nak ikut permintaan tu. Selagi kau bukan milik sesiapa, aku tak akan tinggalkan kau lagi. Aku tak nak jadi bodoh lagi Ad,” balasnya dengan riak wajah serius. Adwa tersenyum sinis.

“Kalau macam tu, aku kena kahwin dengan Wan dulu. Kalau dengan cara tu kau tak muncul depan mata aku lagi, aku tak ada masalah,” balasnya sengaja ingin menyakiti hati lelaki itu. Izdan merenung gadis itu dengan perasaan berbaur.

“Sampai macam tu sekali kau nak larikan diri daripada aku,” katanya perlahan namun masih jelas di telinga Adwa.

“Memang. Sejak apa yang berlaku antara kita, aku dah nekad tak nak jumpa kau lagi,” balas Adwa kini dengan nada rendah.

“Kenapa? Takut tak mampu lupakan aku lagi?” soal Izdan. Berkerut kening Adwa memandang lelaki itu.

“Sampai bila kita nak pendam perasaan ni, Ad?” soal Izdan lagi. Adwa kini terkedu. Lidahnya kelu.

“Aku tahu, permulaan kisah kita tak seindah yang disangka. Tapi, kita masih belum terlambat untuk betulkan keadaan. Aku sayang kau. Aku tahu kau pun ada perasaan yang sama. Tak boleh ke kita mulakan semula kisah ni?” pinta Izdan sambil memandang sayu ke arah gadis itu. Adwa bangun dari kerusinya.

“Kau balik lah Iz. Empat tahun dah berlalu. Perasaan aku dah tak sama macam dulu. Manusia boleh berubah. Begitu juga aku,” katanya sebelum melangkah meninggalkan lelaki itu yang masih berdiri di tepi mejanya. Adwa sudah tidak sanggup mendengar apa yang akan dikatakan oleh lelaki itu. Izdan menarik nafas berat.

                                  *****

“Awak sibuk sangat sejak akhir-akhir ni,” tegur Balqish sambil memandang Fuadzi yang termenung sejak mereka masuk ke dalam cafe.

“Ada kemungkinan saya akan kembali ke Itali,” beritahu Fuadzi seiring dengan keluhannya. Balqish agak terkejut mendengar kata-kata lelaki itu.

“Projek baru?” soalnya. Fuadzi mengangguk lambat. Dia sebenarnya berbelah bagi untuk pergi.

“Lama ke?” soal Balqish lagi.

“Enam bulan,” jawab Fuadzi kini dengan senyuman hambar. Balqish mengangguk faham.

“Urusan awak dah selesai ke? Maksud saya urusan antara awak, Adwa dan Iz,” tanyanya ingin tahu. Fuadzi terdiam mendengar pertanyaan gadis itu. Dia sedar Izdan tidak akan sesekali berputus asa untuk memiliki Adwa. Adwa pula begitu tegas menolaknya. Lantas apa yang perlu dia lakukan?

“Sebelum ni saya tak pernah rasa kecewa macam ni. Adwa jelas tak nak beri saya walau sedikit pun peluang,” katanya seperti orang putus asa.

“So, awak nak mengalah?” soal Balqish ingin tahu apa yang bermain di fikiran lelaki itu. Fuadzi mengeluh lagi.

“Awak rasa?” tanyanya kembali. Balqish menarik nafas panjang. Dia bukan tidak simpati pada lelaki itu. Namun jika Fuadzi mengalah, masih belum terlambat untuknya merawat hati.

“Lebih baik awak lepaskan Adwa sekarang. Kalau tak, semakin awak sayangkan dia, semakin susah awak nak lupakan dia. Awak tak boleh jadi macam saya. Saya adalah contoh orang yang tak mampu nak lepaskan sesuatu yang bukan miliknya lagi. Sampai sanggup buat sesuatu yang tak sepatutnya dilakukan. Awak fikirlah baik-baik Fuad,” jawabnya separuh menasihati. Fuadzi tunduk meraup wajahnya. Ada benarnya kata-kata gadis itu. Namun bagaimana dengan dirinya?

“I love her, Qish,” ucapnya dengan perasaan sebak.

“I know,” balas Balqish simpati.

“Adwa baik. Semua orang sayangkan dia. Tak terkecuali awak. Tapi kalau hubungan awak dan dia tak jadi, tak semestinya awak dan Adwa tak boleh jadi kawan. Awak kena terima hakikat tu walaupun sakit. Saya tahu sakitnya macam mana. Saya dah laluinya,” sambungnya dengan senyuman hambar. Fuadzi diam tidak membalas. Cuma pandangannya yang terhala menembus dinding cafe yang diperbuat daripada kaca.

                                     *****

“Wan,” kata Adwa yang agak terkejut dengan kehadiran lelaki itu. Tengahari tadi dia dikunjungi oleh Izdan, sekarang lelaki itu pula.

“Boleh saya masuk?” soal Tengku Hadwan dengan senyuman lebar. Adwa mengangguk apabila melihat beberapa pekerja mula berkumpul memerhatikan lelaki itu.Tengku Hadwan melangkah masuk. Juju tersenyum lebar mengekorinya dari belakang.

“Nak minum apa cik?” soalnya sambil memandang Adwa yang sedang berjalan menghampiri mereka.

“Tak apa. Saya datang sekejap aje,” celah Tengku Hadwan. Adwa turut menganggguk. Juju akur lantas melangkah keluar semula.

“Duduklah,” kata Adwa dengan senyuman. Tengku Hadwan duduk di sofa yang berdepan dengan gadis itu. Adwa hanya memandang wajah lelaki itu tanpa berkata apa-apa. Tengku Hadwan turut membalas pandangan gadis itu dengan senyuman nakal.

“Nak main game pandang mata ke?” soal Adwa yang mula resah dengan pandangan lelaki itu. Tengku Hadwan tergelak kecil.

“Saya boleh main game ni dengan awak sampai esok pagi pun tak apa,” balasnya. Adwa berdehem perlahan.

“Kenapa? Ada perkara penting ke awak nak bincang?” soalnya cuba mengubah topik.

I miss you. Sebab tu lepas shooting saya terus singgah sini,” jawab Tengku Hadwan masih dengan senyumannya. Lidah Adwa kelu untuk membalas.

“Ad, nak keluar dengan saya tak hujung minggu ni?’ soal Tengku Hadwan selepas sepi seketika antara mereka. Adwa terdiam memikirkan ajakan lelaki itu.

“Saya...,”

Please,” pintas Tengku Hadwan separuh merayu.

“Kalau sebab nak ajak saya keluar aje, awak tak payah singgah. Awak boleh call saya terus,” balas Adwa. Sebenarnya dia kurang selesa menerima tetamu apatah lagi lelaki. Dia tidak gemar mendengar gosip di pejabatnya. Cukup empat tahun yang lalu dia dipandang hina.

“Saya datang sebab rindukan awak. Sejak balik dari kampung, saya tak sempat jumpa awak lagi. Maaf kalau awak tak selesa,” ucap Tengku Hadwan. Adwa tersenyum mengangguk.

“Jumpa hujung minggu nanti,” katanya. Tengku Hadwan tersenyum lebar.

“Saya balik dulu. Take care,” balasnya sebelum bangun dari sofa. Adwa ikut berdiri

You too,” katanya. Tengku Hadwan mengangguk sebelum berlalu. Adwa menarik nafas lega apabila kelibat lelaki itu menghilang di sebalik pintu.

                                   *****

“Macam mana hubungan awak dan Adwa?” soal Diana sambil memandang lelaki itu yang sedang disolek oleh jurusolek. Tengku Hadwan terdiam mendengar soalan gadis itu.

“Dah selesai. Saya keluar dulu,” kata jurusolek tersebut sebelum berlalu.

“Saya harap ada berita gembira,” sambung Diana sambil membelek kameranya.

“Pasal Iz dan Adwa. Ada sesuatu yang saya tak tahu. Betul tak?” soal Tengku Hadwan sambil membalas pandangan gadis itu. Diana terkedu.

“Maksud awak?” tanyanya kembali agak serba salah. Tengku Hadwan menarik nafas panjang.

“Saya seorang aje ke yang rasa ada yang tak kena? Saya rasa semua orang sedang sorokkan sesuatu daripada saya. I know Ana. Saya baru aje kenal Adwa. Tak sampai setahun pun. Tapi saya ikhlas nak berkawan dengannya,” katanya dengan nada tegas. Diana menggigit bibir

“Entahlah Wan. Saya tak tahu nak mula dari mana. Saya tahu awak baik. Awak boleh jaga Ad. Tapi saya tak pasti perlu ke saya beritahu perkara ni pada awak atau tak. Rasanya lebih baik awak tanya sendiri kat tuan badan,” balasnya perlahan. Tengku Hadwan tunduk memandang telefon di tangannya.

“Awak rasa Ad akan beritahu?” soalnya. Diana serba salah mendengar soalan lelaki itu.

“Maaf, saya tak patut tanya,” ucap Tengku Hadwan akhirnya.

“Iz dan Adwa kawan baik sejak kecil. Ad tu crush kat Iz sejak bangku sekolah lagi. Tapi Iz pilih orang lain. Masuk universiti, Adwa larikan diri ke Sabah. Selepas Adwa berpindah, Iz putuskan hubungan dengan teman wanitanya. Teman wanitanya fitnah Adwa. Dia kata Adwa pernah...,” Diana berhenti sejenak. Tidak sanggup dia mahu menuturkan ayat yang seterusnya. Masih terbayang wajah suram Adwa saat melalui ujian itu. Tengku Hadwan masih setia menunggu Diana menghabiskan ayatnya. Dia seperti dapat meneka apa yang akan disampaikan oleh gadis itu.

“Dia kata Adwa pernah terlanjur dengan Iz. Adwa trauma. Hampir saja dia gagal menamatkan pengajiannya kerana dipandang serong oleh orang sekelilingnya. Mula saat tu, Ad tak nak lagi ada apa-apa hubungan dengan kedua-duanya, Iz dan teman wanitanya,” sambung Diana.

“Adwa mungkin susah nak didekati sebab masih trauma. Tapi awak jangan putus asa. Saya boleh lihat yang Adwa dah boleh menerima awak sedikit demi sedikit,” katanya lagi. Tengku Hadwan tersenyum mengangguk.

“Thank you, Ana,” ucapnya. Rupanya itu yang disorokkan oleh semua orang. Bagi Tengku Hadwan setiap orang ada cerita sendiri. Dia dan Adwa masing-masing ada kisah yang sukar untuk dilupakan. 

Previous: Bab 33
Next: Bab 35

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.