“Tengah hari tadi, Tengku Jasmine ada datang jumpa Nia,” beritahu Tania sambil mengambil tempat di sebelah Maria. Maria yang sedang mengupas kulit buah oren hanya tersenyum.
“Kenapa ibu senyum?” soal Tania separuh mengusik. Dia dapat meneka apa yang ada dalam fikiran wanita itu.
“Dia tanya pasal Adwa?” soal Maria separuh meneka.
“Pandai ibu teka kalau bab ni,” balas Tania sambil tergelak kecil. Maria ikut tergelak.
“Mata ibu tak rabun lagi. Masa majlis Gina hari tu, anak Jasmine tu asyik berkepit dengan Adwa,” katanya.
“Jasmine berkenan pada Adwa. Dia nak datang dengan rombongan,” beritahu Tania.
“Kita kena tanya Adwa dulu. Nia bukan tak tahu anak kesayangan Nia tu macam mana,” balas Maria. Tania mengangguk setuju. Dia juga mahu bertanya terlebih dahulu pada gadis itu.
“Adwa masih marah Iz. Ibu perasan tak masa majlis Gina hari tu. Adwa endah tak endah aje layan Iz,” katanya cuba mengingatkan Maria.
“Beri Adwa masa. Dia masih trauma dengan apa yang berlaku,” jawab Maria tenang walhal dalam diam dia juga risaukan cucunya itu.
“Nia kasihan pada Iz tu. Dia tu tak bersalah. Adwa tu agak keterlaluan layan Iz,” rungut Tania yang jelas tidak berpuas hati. Maria hanya diam mendengar rungutan wanita itu. Dia memang simpati pada Izdan. Namun dia juga buntu untuk membantu lelaki itu. Adwa sekarang bukan lagi Adwa yang dulu. Hati gadis itu sukar untuk dijangka.
*****
Adwa memandang lama nombor yang tertera ada skrin telefonnya. Punat hijau ditekan.
“Hai,” sapa Tengku Hadwan dengan senyuman.
“Siapa?” soal Adwa. Dia agak ragu-ragu dengan tekaannya.
“Sorry, saya minta dengan Diana nombor awak ni,” balas Tengku Hadwan tanpa menjawab soalan gadis itu. Adwa menggigit bibir.
“Nak apa?” soalnya dengan nada mendatar.
“Awak sihat?” soal Tengku Hadwan sambil menggaru kepalanya.
“Yes,” jawab Adwa ringkas.
“Buat apa?” tanya Tengku Hadwan lagi.
“Seriously?” soal Adwa semula. Tengku Hadwan tergelak kecil.
“Sorry, I just…, miss you,” ucapnya perlahan hampir tidak kedengaran. Adwa mengeluh perlahan.
“Wan, saya penat lah,” katanya sambil menyentuh dahi.
“Saya suka awak panggil nama tu. Lagi mesra,” balas Tengku Hadwan dengan senyuman.
“Good night,” ucap Adwa sebelum menekan punat merah. Tengku Hadwan hanya tersenyum memandang telefonnya.
*****
Fuadzi menunggu Adwa sambil bersandar pada keretanya. Dari jauh kelihatan Adwa yang sedang berjalan menuju ke arahnya. Langkah gadis itu laju walaupun sedang memakai kasut bertumit tinggi.
“Kenapa? Apa yang urgent sangat sampai nak jumpa?” soal Adwa dengan kening berkerut. Ikutkan hati memang dia tidak mahu menemui lelaki itu. Namun apabila Fuadzi memberitahu ada hal penting yang perlu dia tahu, Adwa akhirnya akur. Fuadzi tersenyum. Dia tidak menyangka yang gadis itu akhirnya mahu bertemu dengannya.
“Jom sarapan dengan saya,” ajak Fuadzi sambil membuka pintu kereta bahagian penumpang. Bulat mata Adwa memandang lelaki itu.
“Saya ni sibuk tapi masih turun sini jumpa awak. Awak nak beritahu apa sebenarnya?” soalnya geram.
“Saya akan beritahu kalau awak setuju nak sarapan dengan saya,” balas Fuadzi dengan senyuman. Adwa mendengus. Dia tetap melangkah masuk walaupun berat hati. Fuadzi tersenyum lebar. Dia menutup pintu kereta sebelum melangkah ke bahagian pemandu.
***
“So?” soal Adwa yang tidak sabar. Dia tidak mahu duduk lama dengan lelaki itu.
“Awak sihat? Hari tu masa majlis Gina, saya tak ada peluang nak berbual lama dengan awak. Lagipun masa tu awak pula langsung tak sudi nak pandang saya,” kata Fuadzi yang terkilan dengan sikap gadis itu.
“Maaf,” balas Adwa tanpa perasaan. Fuadzi menarik nafas dalam.
“Saya nak jujur dengan awak. Saya sayangkan awak,” ucapnya tenang. Adwa terdiam sejenak. Dia memandang lama wajah lelaki itu dengan perasaan berbaur.
“Ni ke kerja yang awak nak bincang? Fuad, saya sangat sibuk sekarang ni. Kalau setakat nak cakap benda ni, saya tak ada masa,” balasnya dengan nada tegas.
“Saya minta maaf. Tapi awak langsung tak sudi nak jumpa saya. Sebab tu saya terpaksa guna alasan ni. Look Adwa, saya serius dengan awak. Saya nak dengar jawapan awak,” balas Fuadzi dengan riak wajah yang serius. Dia sebenarnya tidak mahu gadis itu tertekan dengan pengakuan jujurnya. Namun dia sudah tidak mampu untuk menyimpannya lagi. Fuadzi tahu dia akan berdepan dengan Izdan yang mungkin akan membuangnya sekali lagi. Tapi dia sudah nekad akan menempuh walauapapun yang akan terjadi. Kata-kata Balqish masih terngiang di telinganya. Dia bukan menafikan kebenaran kata-kata gadis itu. Cuma hatinya yang tidak mahu mendengar akalnya. Adwa bersandar pada kerusi sambil berpeluk tubuh memandang lelaki itu.
“Sejak bila awak sayang saya?” soalnya. Fuadzi tersenyum mendengar soalan gadis itu.
“Sejak pertama kali jumpa awak. Ingat tak? Masa saya ambil Iz kat universiti. Saya terserempak dengan awak. Masa tu saya tak yakin lagi. Saya risau kalau hati awak tu ada orang yang punya,” jawabnya. Adwa menggeleng.
“Fuad, saya suka dengan kehidupan yang saya lalui sekarang ni. Tolong jangan ganggu hidup saya dengan hal ni. Awak dan Iz sama aje. Memang tak suka tengok saya hidup tenang kan?” soal Adwa separuh memerli. Tanpa menunggu jawapan Fuadzi, Adwa bangun dari kerusi lantas berlalu. Fuadzi hanya memandang langkah gadis itu. Dia mengeluh perlahan.
*****
Adwa melangkah masuk ke dalam pejabatnya. Dia tidak terkejut melihat Lufia yang sedang duduk di sofa panjang yang memang disediakan khas untuk tetamu. Gadis itu memang selalu melepak di pejabatnya jika ada masa yang terluang.
“Lewatnya kau masuk. Kau pergi mana? Tadi setiausaha kau beritahu yang kau tergesa-gesa keluar tanpa pesan apa-apa,” tegur Lufia. Adwa mengambil tempat di hadapan gadis itu.
“Kau tak kerja?” soalnya kembali tanpa menjawab.
“Aku tanya dia, dia pula tanya aku semula,” rungut Lufia. Adwa hanya tersenyum hambar.
“Aku tak kerja hari ni. Cuti sendiri,” sambung Lufia separuh bergurau.
“Aku jumpa Fuad tadi,” beritahu Adwa.
“Fuad? Pasal apa? Bukan kau tak suka jumpa dia ke?” soal Lufia bertalu dengan riak wajah yang hairan.
“Dia jumpa aku sebab urusan kerja. Kau kenal aku. Aku tak suka nak campurkan hal peribadi dengan kerja,” jawab Adwa.
“Tapi kenapa muka macam tu? Betul ke urusan kerja?” soal Lufia yang kurang percaya apabila melihat riak wajah gadis itu. Adwa bangun dari sofa lalu menuju ke mejanya.
“So, hari ni kau nak ajak pergi mana?” soalnya sengaja ingin mengubah topik. Dia tidak berhasrat untuk memberitahu Lufia apa yang terjadi antara dirinya dan Fuadzi sebentar tadi. Biar hanya dia dan lelaki itu yang tahu.
“Aku nak melepak kat tempat biasa. Kau nak ikut?” soal Lufia sambil tersengih. Adwa menggeleng.
“Jom lah. Hari ni aku dengar Ana ada buat majlis kat situ,” ajak Lufia lagi.
“Majlis? Majlis apa? Aku tak tahu pun. Tak ada pula Ana beritahu aku,” soal Adwa dengan kening berkerut.
“Majlis sambutan hari jadi salah seorang model kesayangannya. Dia jemput kita. Ana busy kot tu yang tak sempat nak info kita semua,” jawab Lufia. Adwa mengangguk faham.
“Kau ni asyik cuti. Bos kesayangan kau tu tak marah ke?” soal Adwa pula. Lufia bekerja sebagai setiausaha di salah sebuah syarikat terkemuka. Lufia hanya tersengih mendengar soalan gadis itu.
“Wait, kau ni macam ada apa-apa aje dengan mamat tu,” kata Adwa separuh meneka.
“Tak ada lah. Kebetulan hari ni bos aku ada urusan kat luar. So, dia bagi lah aku cuti,” nafi Lufia.
“Bukan dia selalu ajak kau ke?” soal Adwa lagi tidak puas hati.
“Kawasan tu jauh kat dalam kampung,” jawab Lufia dengan nada malas.
“Kau dan Razi macam mana?” soal Adwa pula ingin tahu.
“Apa?” soal Lufia kembali pura-pura tidak faham maksud gadis itu.
“Aku tengok korang bukan main lagi masa kita kat Istanbul hari tu,” kata Adwa separuh mengusik. Lufia berdehem.
“Tak ada lah. Kami cuma kawan. Sama macam kau dan Iz,” balas Lufia selamba. Adwa terdiam mendengar kata-kata gadis itu. Dia teringat semula pertemuannya dengan Izdan pada minggu lepas.
“Aku ada jumpa Iz masa kat Istanbul hari tu,” beritahu Lufia dengan jujur. Adwa tidak terkejut dengan pengakuan gadis itu. Siapa dia mahu menghalang mereka untuk bertemu. Izdan dan Lufia juga kawan baik. Hanya dia seorang saja yang mula meletakkan batas dengan lelaki itu.
“Aku rasa, Iz perlukan peluang. Adwa, aku kenal kau dan Iz dah lama. Jujur aku tak sanggup tengok korang macam ni. Aku tahu kau sebenarnya sengaja mahu melarikan diri daripada Iz sebab Qish. Kau cuma jadikan alasan apa yang berlaku 4 tahun yang lalu. Betul tak?” sambung Lufia separuh menyoal.
“Luf please,” balas Adwa.
“Iz tu sayangkan kau Ad. Dia sayangkan kau tak sama macam mana dia sayangkan aku. Aku tahu kau faham maksud aku. Kau boleh tak buka semula hati tu untuk Iz?” pinta Lufia separuh memujuk. Adwa mengeluh perlahan.
“Luf, aku ada kerja ni. Jumpa petang nanti,” pintanya separuh menghalau. Lufia menggelengkan kepalanya.
“Baik puan. Jumpa petang nanti.” guraunya sebelum berlalu. Hilang sahaja gadis itu dari pandangan, Adwa terus meraup wajahnya.
*****
“Hai, kita jumpa lagi,” tegur Tengku Hadwan sambil mengambil tempat di sebelah gadis itu. Adwa tidak terkejut melihat kehadiran lelaki itu. Majlis itu Diana yang anjurkan. Sudah pasti lelaki itu akan datang.
“Ya,” balas Adwa pendek.
“Tak nak ikut mereka?” soal Tengku Hadwan sambil memandang rakan-rakan gadis itu yang sedang sibuk mengambil gambar. Adwa hanya menggeleng.
“Awak macam tak sihat,” teka Tengku Hadwan yang sedar gadis itu kurang bercakap.
“Tak lah,” balas Adwa. Memang dia tidak sihat. Tapi bukan fizikalnya. Fikirannya masih terganggu dengan pengakuan Fuadzi.
“Adwa, saya memang baru aje kenal awak. Tapi awak boleh percayakan saya. Awak boleh pinjam telinga ni bila-bila masa awak nak,” kata Tengku Hadwan dengan senyuman. Adwa membalas pandangan lelaki itu. Tengku Hadwan agak gementar melihat pandangan tajam Adwa.
“Awak suka saya ke?” soal Adwa tanpa senyuman. Tengku Hadwan terkedu. Kening Adwa terangkat menunggu jawapan lelaki itu. Tengku Hadwan tersenyum semula. Dia berdehem perlahan.
“Yes, I like you,” balasnya dengan nada serius. Adwa tersenyum sinis.
“Adwa, saya serius. That’s why saya cadangkan dengan my mom jumpa family awak,” sambung Tengku Hadwan lagi. Giliran Adwa pula yang terkedu.
“What?” soalnya dengan riak wajah jelas terkejut. Tengku Hadwan mendekatkan dirinya dengan gadis itu. Wajah gadis itu menjadi tatapan matanya.
“Saya dah kata yang saya serius. Saya nak jadi hak awak seorang. Saya nak telinga ni jadi milik awak seorang,” katanya dengan senyuman nakal. Adwa menolak tubuh lelaki itu agar menjauh darinya.
“Awak jangan buat hal,” balasnya dengan riak wajah yang serius. Tengku Hadwan hanya merenung wajah gadis itu.
“Saya tak nak kehilangan awak,” katanya dengan nada tegas. Dia tahu yang tindakannya agak terburu-buru. Namun dia akui agak gentar dengan kehadiran Izdan. Adwa mengeluh.
“Saya nak balik,” katanya sambil berdiri.
“Saya hantar awak,” balas Tengku Hadwan turut berdiri.
“Tak apa, saya ada kereta,” tolak Adwa sebelum berlalu. Tengku Hadwan mengikut langkah gadis itu dari belakang.
“Saya temankan awak sampai kereta,” katanya perlahan namun masih didengari oleh Adwa. Adwa hanya diam tidak membantah.