Home Novel Komedi/Romantik Komedi Beb, I Love You!
Bab 37


Tania memandang Maria. Dia sebenarnya terkejut dengan kedatangan keluarga Izdan pada pagi itu. Nasib baik Adwa sudah ke pejabat. Jika tidak sudah pasti gadis itu memberontak.

“Sebenarnya pihak kami lagi suka jika bertunang terus. Tapi kami nak dengar juga jawapan pihak perempuannya,” kata Tengku Fariz dengan senyuman.

“Ni untuk bakal menantu saya,” celah Tengku Mariam sambil menghulurkan bekas cincin pada Maria. Maria serba salah untuk menerima. Melihat ibunya teragak-agak, Tania akhirnya menyambut huluran tersebut.

“Saya mama pada Adwa. Minta maaf lah saya dan ibu tak tahu yang Iz nak hantar rombongan hari ni. Tapi tak apa, beri saya masa sekejap ya,” kata Tania dengan senyuman sebelum bangun meninggalkan ruang tamu menuju ke dapur. Tengku Fariz dan Tengku Mariam hanya berpandangan tanpa sepatah kata.

“Saya Maria, nenek Adwa. Saya dah lama kenal Iz,” beritahu Maria yang sedari tadi membisu kerana terkejut.

“Oh, saya pernah dengar Iz bercerita pasal Maria. Tak sangka akhirnya kita bertemu juga,” balas Tengku Fariz. Maria hanya tersenyum mengangguk.

                                 *****

“Mama bergurau ke?” balas Adwa separuh menyoal. Dia baru sahaja selesai mesyuarat dengan pelanggan tetapnya. Tiba-tiba pula menerima panggilan daripada wanita itu. Patutlah mamanya tidak hadir mesyuarat sebentar tadi.

“No Ad. Mereka ada kat rumah sekarang ni? So? Nak terima ke tak?” soal Tania dengan kening berkerut. Adwa terkedu.

Izdan pinang aku?!

“No way!” balasnya dengan nada keras.

“Sebab?” soal Tania pula.

“Mama?” balas Adwa yang kurang percaya dengan soalan wanita itu. Adakah mamanya tidak menyedari yang selama ini dia dan Izdan sudah tidak seperti dulu?

“Okay. Adwa balik awal hari ni,” balas Tania akhirnya.

                                *****

Tania berdebar melangkah semula ke ruang tamu. Dalam masa yang sama dia agak lega apabila mendengar gelak ketawa mereka.

Apa agaknya yang lucu sangat?

Tania mengambil tempat di sebelah Maria.

“Jadi semuanya sudah selesai. Bulan depan jadi besan lah kita,” kata Tengku Mariam sambil menepuk lembut paha Tania.

“Ibu?” soal Tania yang terkejut dengan kata-kata Tengku Mariam. Maria tersenyum

“Ibu dah terima. Bulan depan mereka akan nikah,” balasnya. Tania terkedu.

“Baik lah kami nak balik dulu. Jangan risau dengan persediaan. Pihak lelaki akan tanggung sepenuhnya,” kata Tengku Fariz dengan senyuman lebar.

“Terima kasih Fariz,” ucap Maria sambil turut berdiri. Tania yang masih terkejut bangun perlahan menghantar rombongan itu berlalu.

                                 *****

“Adwa tak akan terima,” kata Tania selepas tetamu berlalu pulang. Maria bersandar pada sofa sambil membuka cermin matanya.

“Ibu tahu. Tapi ibu tak mampu nak tolak. Sejak dulu, orang yang ibu sangat percaya untuk jaga cucu ibu hanya Iz,” balasnya dengan nada perlahan.

“Tapi ibu, Adwa dah terima Wan. Dia dah terima cincin daripada Wan,” kata Tania yang masih tidak berpuas hati. Kali ini dia memang tidak bersetuju dengan cara Maria. Sepatutnya mereka kena dengar keputusan Adwa. Yang hendak berkahwin itu Adwa.

“Maafkam ibu. Bagi ibu ni yang terbaik untuk Adwa. Kalau Nia tak setuju, ibu tak mampu nak buat apa. Kalau Adwa tak setuju, ibu akan pujuk. Nia jangan risau,” balasnya dengan senyuman. Tania menyentuh kepalanya yang terasa berdenyut.

                                   *****

Adwa terduduk di atas sofa saat mendengar perkhabaran daripada Maria.

“Ad, nenek tahu yang nenek patut dipersalahkan. Nenek dah kenal Iz sejak kecil. Nenek tahu Iz boleh jaga Ad,” kata Maria. Tania diam membisu. Kelu lidahnya untuk berkata-kata. Adwa tunduk memandang cincin di jarinya.

“Nenek bukan tak suka Wan. Wan baik. Tapi Iz pun baik juga. Ad dah lama kenal Iz. Mesti Ad lagi selesa dengan Iz,” sambung Maria. Adwa mahu menangis apabila mendengar kata-kata orang tua itu. Dia bangun semula dari sofa lantas berlalu naik ke tingkat atas. Saat ini dia tidak boleh berfikir secara waras. Jika ikutkan hati memang dia akan meninggikan suaranya pada orang tua itu. Lebih baik dia berlalu sebelum amarahnya meletus. Maria tidak menahan apabila melihat gadis itu berlalu. Kedengaran Tania mengeluh perlahan.

                                *****

Izdan memandang telefonnya dengan perasaan berbaur. Bukan dia tidak gembira dengan berita yang disampaikan oleh kedua orang tuanya. Cuma dia agak risau apabila Adwa langsung tidak menghubunginya. Adakah gadis itu benar-benar setuju? Jika Adwa tidak setuju sudah pasti sejak awal lagi gadis itu sudah menghubunginya. Izdan menarik nafas dalam sebelum menekan nombor Adwa. Panggilannya tidak bersambut. Izdan mencuba lagi. Akhirnya panggilannya bersambung.

“Puas hati kau?! Apa salah aku sampai kau buat aku macam ni hah?!” soal Adwa keras. Izdan terkedu.

“Adwa,” panggilnya lembut.

“Hey! Stop it! Aku geli tahu tak!” marah Adwa. Jika lelaki itu di hadapannya saat ini sudah pasti tangannya singgah pada wajah Izdan.

“Kenapa terima kalau tak suka?” soal Izdan yang agak kecewa dengan kata-kata gadis itu.

“Bukan aku lah! Nenek yang terima kau! Kau ingat aku akan terima kau? Kau tak malu?” balas Adwa dengan sinis. Izdan menarik nafas panjang. Kata-kata gadis itu seperti pisau tajam yang menusuk hatinya.

“Dengar sini, aku tak akan terima kau! Aku tak peduli apa yang akan terjadi!” sambung Adwa sebelum memutuskan talian. Izdan meraup wajahnya.

                                *****

Tengku Hadwan memandang lama telefon bimbitnya. Panggilannya tidak bersambut. Mesejnya juga tidak berbalas. Tengku Hadwan mencari nombor Diana

“Adwa ada call tak?” tanya Tengku Hadwan.

“Tak ada pula. Kenapa?” soal Diana sambil meletakkan kameranya di atas meja.

“Saya tak dapat hubungi Adwa. Tak apalah saya pergi rumah Adwa,” balas Tengku Hadwan. Sejak semalam dia tidak dapat menghubungi gadis itu. Tengku Hadwan pantas mencapai kunci lantas berlalu.

                              *****

Diana memandang Rania yang sedang menikmati minum petangnya.

“Siapa call?” tanya Rania.

“Wan. Dia tanya Adwa ada call ke tak,” jawabnya sambil memandang sekeliling. Lufia berjanji akan menyertai mereka petang itu. Sejak Lufia merajuk dengan Adwa dua hari yang lalu, akhirnya hari ini gadis itu bersetuju untuk turut serta.

“Aku pun tak dapat hubungi Adwa. Dah banyak kali cuba tapi tak dapat,” beritahu Rania sambil memandang telefonnya.

“Ad tak nak jumpa Luf kot,” sambung Rania separuh meneka. Diana menggeleng.

“Tak mungkin. Wan pun tak dapat hubunginya,” balasnya kurang setuju dengan tekaan gadis itu.

“Hai,” sapa Lufia yang sedang menarik kerusi. Dia memandang sekeliling.

“Adwa tak datang?” soalnya.

“Tak,” balas Diana.

“Kau ada call dia ke?” tanya Rania pula. Lufia terdiam. Memang Adwa ada menghubunginya selepas pertemuan mereka. Namun gadis itu juga yang terlebih dahulu memutuskan talian. Sejak itu dia langsung tidak menghubungi Adwa. Memang dia sengaja kerana geram dengan gadis itu. Diana dan Rania saling berpandangan.

“Luf pesan lah dulu,” cadang Rania. Diana mengangguk setuju. Lufia mula mencari pelayan. Petang itu mereka bertiga tanpa Adwa.

                                *****

Adwa terkejut menerima kedatangan lelaki itu. Tengku Hadwan tersenyum.

“Saya ada call,” katanya yang serba salah melihat reaksi terkejut gadis itu

“Masuklah dulu,” ajak Adwa sambil melangkah ke halaman rumah.

“Duduklah. Nak minum tak?” soal Adwa sambil memandang lelaki itu yang sedang menarik kerusi.

“No, thanks. Saya datang sebab risaukan awak. Awak sihat?” tanya Tengku Hadwan yang jelas risau. Sebentar tadi sebelum Adwa menemuinya, mama gadis itu memberitahunya yang Adwa tidak sihat. Adwa turut menarik kerusi. Tengku Hadwan agak resah apabila melihat jari Adwa yang kosong.

“Saya memang tak sihat. Maaf sebab tak larat nak angkat call awak,” balas Adwa dengan senyuman hambar. Tengku Hadwan mengangguk faham.

“Tak pergi klinik? Nak saya hantar?” soalnya lagi. Adwa membalas pandangan lelaki itu. Perasaan bersalahnya semakin kuat.

“Keluarga Iz ada datang rumah saya semalam. Saya tak tahu sebab masa tu saya ada kat pejabat. Nenek dah terima cincin daripada keluarga Iz,” beritahunya dengan perasaan sebak. Tengku Hadwan terkedu.

“Saya tak tahu nak buat apa,” sambung Adwa sambil tunduk. Air matanya menitis perlahan. Dia kecewa. Mengapa orang yang paling dia percaya sanggup membuat keputusan yang tidak dipersetujui olehnya?

“Ad,” panggil Tengku Hadwan lembut. Dia menyentuh bahu gadis itu. Adwa mengesat air matanya.

“I’m sorry. Saya just tak boleh tahan. Sometimes orang yang paling rapat dengan kita sebenarnya tak faham apa yang terbaik untuk kita. Mereka selalu kata yang mereka faham dengan kita. Tahu yang terbaik untuk kita. Tapi mereka silap. Tak semua perkara terbaik untuk kita,” katanya. Riak wajahnya jelas menggambarkan kekecewaannya. Tengku Hadwan menarik nafas dalam. Dia tidak pasti siapa mereka yang dimaksudkan oleh gadis itu. Tapi yang pasti perasannya saat ini turut terluka. Dia dapat melihat peluangnya semakin nipis.

“Sebab tu Ad tak pakai cincin yang Wan beri?” soalnya dengan nada perlahan. Adwa memandang jemarinya.

“Saya rasa jari ni lebih baik kosong tanpa apa-apa. Saya tak kecewa macam ni. Tak ada juga orang yang akan terluka,” balasnya dengan perasaan kecewa. Tengku Hadwan hilang kata-kata. Melihat wajah sedih gadis itu membuatnya tidak sampai hati untuk mengatakan sesuatu.

“Ad rehat dulu. Apa-apa nanti kita bincang lepas Ad dah sihat. Wan dah nak balik ni,” katanya sambil bangun dari kerusi. Adwa turut berdiri. Dia hanya mengangguk dengan senyuman hambar. Tengku Hadwan menyentuh ubun kepala gadis itu.

“Jaga diri,” katanya sebelum berlalu. Adwa mengangguk lagi. Air matanya ingin jatuh namun ditahan. Tania yang sedari tadi berdiri di muka pintu memerhatikan kedua-duanya hanya mengeluh perlahan. 

Previous: Bab 36
Next: Bab 38

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.