Home Novel Komedi/Romantik Komedi Did We Really Love?
Did We Really Love?
sipencintapena
11/12/2022 14:45:26
30,699
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 10


“Akak, Hana ada kat bawah tu,” beritahu Sarfiz.

“Sekejap,” balas Dayana sambil melipat telekungnya.

                                 *****

“Baru petang tadi jumpa. Kau dah rindu aku?” soal Dayana sambil berjalan menghampiri gadis itu yang sedang duduk pada bangku yang terletak di halaman rumahnya. Hana hanya tergelak kecil.

“Tahu tak apa,” balasnya. Dayana mengambil tempat di sisi gadis itu.

“Kenapa? Aku tahu mesti ada benda yang kau nak beritahu aku. Kalau tak, kau memang tak akan muncul malam ni,” soalnya. Hana tersenyum.

“Hana, apa dia? Sejak kau call hari tu, aku dah tak sedap hati,” soal Dayana lagi.

“Suami aku ada perempuan lain,” beritahu Hana dengan senyuman hambar. Dayana terkedu.

“Sebenarnya perempuan tu isteri pertamanya. Aku tak tahu pun dia dah kahwin. Aku ditipu hidup-hidup Yana,” sambung Hana kini dengan riak wajah yang sayu. Air matanya sudah kering saat tahu akan kebenaran itu. Dayana menarik gadis itu dalam pelukannya.

“Aku malu nak beritahu yang lain. Ibu bapa aku pun tak tahu pasal ni. Kau orang pertama yang aku beritahu,” kata Hana dengan senyuman hambar.

“So, dia sekarang kat mana? Isteri pertama?” soal Dayana yang mula naik angin. Hafiz suami gadis itu merupakan seorang ahli perniagaan. Hana dan Hafiz bertemu saat Hana bekerja di syarikat lelaki itu. Hana mengangguk lambat.

“Kau nak tunggu apa lagi? Dia dah tipu kau. Kau masih nak lelaki macam tu?” soal Dayana geram.

“Aku sayang Hafiz. Aku kahwin dengan dia sebab aku tak boleh hidup tanpanya. Isteri pertama dia dah tahu pasal aku. Dia boleh terima. Cuma tak nak jumpa aku aje,” balas Hana dengan nada perlahan. Dayana mendengus.

“So, selama ni kau tanggung seorang? Hana, kita bukan saja kawan. Kau tu sepupu aku. Kau kena beritahu aku,” balasnya yang agak kecewa dengan gadis itu.

“Aku tak nak ganggu kau dan yang lain. Lagipun, aku masih boleh hadapi dugaan ni. Cuma aku perlukan seseorang untuk berkongsi,” balas Hana dengan perasaan sebak. Hiba hati Dayana memandang gadis itu.

“Maafkan aku. Aku tak tahu. Kalau aku kat tempat kau, aku tak akan sekuat kau,” katanya sambil mengesat air matanya. Dia kecewa. Selama ini dia fikir gadis itu bahagia selepas bergelar isteri. Hana tunduk menahan sebak.

“Kau jangan risau. Aku boleh laluinya. Lagipun Hafiz adil. Dia suami yang baik. Aku tak akan bertahan jika dia tak jaga aku dengan baik. Cuma apa yang aku risau sekarang ni ialah reaksi ibu dan ayah. Aku tak tahu macam mana nak beritahu mereka,” balasnya. Dayana turut risau. Dia kenal sangat dengan ayah gadis itu. Pak Hassan panas baran orangnya.

“Aku takut ayah nak pisahkan aku dan Hafiz,” sambung Hana.

“Hana, untuk beritahu mereka bukan tugas kau. Ni tugas Hafiz. Dia yang bersalah sebab tak jujur dari awal. Hafiz kena berani kalau dia tak nak kehilangan kau,” balas Dayana. Hana terdiam mendengar kata-kata gadis itu.

“Sebenarnya Hafiz memang bercadang nak beritahu ayah. Tapi aku yang larang sebab takut ayah kejar Hafiz dengan parang,” katanya separuh bergurau. Dayana memeluk bahu gadis itu semula.

“Aku yakin kalau Hafiz jujur, ayah kau tak akan marah. Kau memang kuat Hana. Aku tak mungkin sekuat kau,” balasnya. Hana hanya tersenyum. Dia sudah redha dengan apa yang berlaku.

“Kau jangan sesekali salahkan diri. Kau tak rampas suami orang. Hafiz yang salah. Dia tak jujur dengan kau,” sambung Dayana. Hana mengangguk. Jika sedari awal dia tahu yang lelaki itu sudah beristeri, mana mungkin dia menerima Hafiz. Bukan gayanya merebut hak orang.

“Janji dengan aku. Jangan beritahu sesiapa sebelum ibu dan ayah tahu pasal ni,” pintanya. Dayana mengangguk dengan senyuman hambar.

“Thanks Yana.”

                              *****

Saleha memeluk erat adiknya itu.

“Rindunya,” katanya sambil tergelak kecil. Mulqish membalas pelukan kakaknya dengan senyuman lebar.

“So, ada hadiah tak?” soal Saleha sambil melepaskan pelukannya.

“Akak tak pesan pun,” balas Mulqish separuh mengusik.

“Akak dah pesan awal-awal tau,” kata Saleha dengan kening berkerut. Mulqish tergelak besar sebelum berlari masuk ke dalam rumah.

“Mul!” balas Saleha sebelum mengejar lelaki itu. Tengku Salina hanya menggelengkan kepala melihat telatah kedua-dua anaknya itu. Dia menoleh ke arah Muadzam yang hanya berdiri memerhati tanpa berkata apa-apa.

“Mud,” panggilnya. Muadzam membalas pandangan ibunya.

“Okay ke?” soal Tengku Salina yang agak khuatir dengan lelaki itu. Sejak berpisah dengan Effa, Muadzam lebih banyak mendiamkan diri dan sering menyendiri.

“Okay aje umi. Jom masuk,” balas Muadzam sambil menarik lengan ibunya. Tengku Salina menurut walaupun tidak berpuas hati dengan jawapan lelaki itu.

                                 *****

Datin Hasma menghampiri Effa yang sedang termenung di halaman rumah. Sejak balik bercuti gadis itu lebih banyak mendiamkan diri.

“Sayang,” tegurnya. Effa tersenyum membalas pandangan wanita itu

“Mama. Papa dah keluar?” soalnya.

“Papa tak turun office hari ni. Dia nak bawa kita keluar pergi shopping,” balas Datin Hasma dengan senyuman. Effa tergelak kecil.

“Bukan papa tak suka shopping ke?” soalnya separuh bergurau. Datin Hasma tergelak.

“Anak kesayangannya balik. Mana mungkin dia nak lepaskan peluang manjakan Effa,” balasnya. Effa tersenyum. Bertuah dia memiliki ibu bapa yang sangat menyayangi dan memahaminya.

“Masih tak boleh lupakan dia?” soal Datin Hasma.

“Entahlah. Dia sentiasa ada walaupun Effa larikan diri,” balas Effa sambil mengeluh perlahan. Datin Hasma menyentuh bahu gadis itu lalu mengusapnya lembut. Effa merupakan anak tunggal mereka. Apa sahaja keinginan gadis itu mereka sentiasa cuba untuk tunaikan. Apabila Effa memberitahu mereka mengenai Muadzam, mereka tidak melarang hubungan tersebut. Bukan sebab terlalu manjakan gadis itu tapi Effa tidak pernah mengecewakan mereka selama ini. Gadis itu sentiasa membuat keputusan yang adil buat dirinya. Namun apa yang berlaku baru-baru ini seperti satu tamparan hebat buat Effa. Walau apapun keputusan gadis itu selepas ini, mereka tetap tidak akan masuk campur. Biarlah gadis itu menentukan kehidupannya sendiri.

“Manusia biasa buat silap sayang. Kena tanya hati tu. Kalau masih sayang, Effa kena beri Mud peluang. Kalau dah hilang rasa sayang tu, mulakan hidup baru. Mama dan papa cuma mampu nasihatkan Effa. Keputusan di tangan Effa,” nasihatnya. Effa hanya tersenyum hambar mendengar kata-kata wanita itu.

                              *****

“Kenapa kau yang kena ambil aku?” soal Dayana sambil menoleh ke arah Naufal yang sedang memandu. Naufal tergelak kecil.

“Yusuf ada hal kat pekan. Kebetulan aku nak ke sana. Aku angkut kau sekali lah,” balasnya. Dayana terdiam mendengar kata-kata rakannya itu.

“Aku nak tanya kau ni. Kau kena jawab dengan jujur. Kau masih ada hati kat Yusuf?” soal Naufal apabila melihat gadis itu terdiam. Dayana tergelak kecil.

“Tak tahulah. Dulu memang aku crush gila padanya. Korang semua tau pasal tu,” balasnya.

“So, sekarang?” soal Naufal lagi. Dayana terdiam lagi.

“Aku sendiri keliru,” balasnya dalam nada perlahan. Naufal akhirnya memutuskan untuk mendiamkan diri.

                             *****

“Hi,” ucap Yusuf. Dayana tersenyum.

“Sorry, sebab tadi saya tak sempat nak jemput awak,” ucap Yusuf dengan perasaan bersalah. Dayana menggelengkan kepalanya.

“Yana, saya tak tahu bila ada masa nak jumpa awak lagi. Saya tahu kita dah lama tak jumpa. Dah lama tak berbual macam ni. Tapi ni adalah kesempatan untuk saya nak beritahu awak,” sambung Yusuf sambil menarik nafas panjang. Dayana berdebar mendengar kata-kata lelaki itu.

“Saya sayangkan awak. Sejak dulu lagi. Tapi masa tu saya tak tahu nak beritahu awak. Saya keliru. And, during that time saya dah tahu yang awak pun ada rasa yang sama,” kata Yusuf dengan senyuman. Dayana tidak tahu apa reaksi yang mahu ditunjukkan pada lelaki itu. Tapi yang pasti dia tiba-tiba tidak senang dengan kata-kata Yusuf.

“Awak tahu? Kenapa tak beritahu saya?” soalnya dengan kening berkerut.

“Masa tu saya dah ada teman wanita. Lagipun awak tiba-tiba jauhkan diri daripada saya. Awak dah buat saya tak yakin,” balas Yusuf yang jelas kesal dengan apa yang berlaku. Dayana tiba-tiba tergelak kecil. Berkerut kening Yusuf memandang gadis itu.

“Saya jauhkan diri daripada awak sebab awak dah ada teman wanita. Lagipun saya tak nak bersaing dengan Hana. Masa tu Hana sayangkan awak,” balas Dayana dengan senyuman. Yusuf menepuk dahinya. Dia turut tergelak.

“Bila ingat semula peristiwa itu, saya bukan saja kecewa. Tapi rasa lucu juga. Saya minat awak dah lama Yusuf. Tapi perasaan tu mula menghilang bila awak dah ada teman wanita. Ditambah pula kita dah bawa haluan masing-masing,” sambung Dayana.

 “So, maknanya awak dah move on?” soal Yusuf agak kecewa. Dayana tersenyum.

“Saya akan fikirkan semula,” balasnya. Yusuf tergelak kecil.

“Baik. Saya akan tunggu,” katanya. Dayana hanya tersenyum. Jujur dia turut keliru dengan perasaannya. 

Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.