Home Novel Komedi/Romantik Komedi Did We Really Love?
Did We Really Love?
sipencintapena
11/12/2022 14:45:26
17,893
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 1

Dayana menarik nafas perlahan memandang surat yang berada di atas meja. Gembira? Siapa dalam dunia ini yang tidak gembira apabila mendapat tawaran masuk ke universiti? Dayana mengeluh pula. Terbayang kedua-dua wajah orang tuanya. Apa reaksi ibu bapanya itu apabila tahu akan tawaran tersebut?

“Kak, macam mana? dapat tak?” soal Sarfiz sambil melangkah masuk ke dalam bilik kecil milik Dayana. Dayana yang terkejut pantas menarik surat tawaran yang berada di atas meja lantas memasukkannya ke dalam laci meja. Dia tersengih memandang adik lelakinya itu.

“Akak sorok apa itu?” soal Sarfiz sambil cuba membuka laci meja namun dengan pantas pula Dayana menepis tangan adiknya itu.

“Jangan kacaulah!” marahnya. Berkerut dahi Sarfiz.

“Akak...,.” Dayana mengeluh lagi. Dia membuang pandang ke luar jendela. Bukit yang diteres menjadi santapan matanya.

“Dapat. Tapi rasanya akak tak pergi,” jawabnya hampir tidak kedengaran.

“Fiz bukannya tak tahu. Kita tak mampu dik,” sambungnya agak sebak. Sarfiz menarik nafas perlahan. Dia faham perasaan kakak sulungnya itu. Dayana sudah sekian lama berazam untuk belajar hingga ke menara gading. Namun tercapaikah impian kakaknya itu jika keluarganya tidak berkemampuan?

“Akak tak nak cuba tanya abah dulu?” Dayana menggeleng perlahan mendengar soalan adiknya itu.

Tak apa Yana, kau bukan tak nak. Cuma tak mampu

Dayana cuba menyedapkan hati sendiri. Sarfiz memilih untuk membisu. Dia tahu jika semakin banyak soalan keluar dari mulutnya, sudah pasti semakin kecewa kakaknya itu.

                                  *****

Dayana mendengus perlahan melihat adik lelaki keduanya yang sedang berbaring senang di atas buaian yang dipasang di bawah pokok rambutan yang berada di halaman rumah. Dia berjalan pantas ke arah adiknya itu.

“Arul! Kenapa tak pergi sekolah?” soalnya dengan nada keras. Sarul masih memejamkan mata. Bukan dia tidak dengar suara keras itu, cuma malas hendak melayan.

“Arul! Akak tanya ini, kenapa tak ke sekolah? Dah berapa kali Arul ponteng?” soal Dayana lagi. Dia menggoyangkan buaian itu dengan kuat. Sarul bingkas bangun.

“Akak sibuk sangat ini dah kenapa?! Suka hati Arul lah nak ke sekolah ke tak. Sibuk aje!” jawabnya sambil mendengus geram. Dayana menarik nafas perlahan memandang adik lelakinya yang bakal mengambil sijil pengajian Malaysia tahun depan.

“Arul tahu tak tahun depan...,”

“Tahulah! tak payah nak ingatkan Arul lagi. Spm! spm! spm! muak tahu tak! Apa akak ingat akak itu bagus sangat? Setakat result 5A, jangan nak berlagak sangatlah kak!” Sarul pantas berlalu tanpa menunggu balasan daripada Dayana. Dayana terduduk di atas buaian. Dia hanya memandang langkah adiknya itu yang semakin jauh. Dia menoleh apabila terasa bahunya di sentuh lembut.

“Sabarlah kak,” pujuk Sarfiz yang turut mendengar perbualan kakak dan adiknya sebentar tadi. Dayana hanya tersenyum hambar.

                               *****

“Amboi anak umi ni, happy nak tinggalkan umi ke?” soal Tengku Salina sambil tersenyum. Mulqish hanya tergelak kecil. Dia memeluk bahu ibu tercintanya itu.

“Mana tak happy umi, kat sana nanti umi tak ada. Bolehlah romeo umi ini dating dengan gadis-gadis sabahan yang molek,” celah Muadzam sambil melangkah masuk dengan Saleha.

“Ah ha betul cakap abang. Kalau akak tahu adik handsome akak ini selalu keluar dating. Siap Mul!” Saleha memberi amaran sambil duduk di sisi ibunya.

“Apa ni umi? Mul ke Sabah bukan nak cari calon isteri. Ingat Mul suka sangat ke tinggalkan rumah? Apatah lagi tinggalkan umi. Kalau boleh Mul pun tak nak ke Sabah. Jauh sangat. Tapi bila fikirkan semula. Mul sepatutnya bersyukur. Mul dah dapat. Tak sepatutnya Mul nak cerewet lagi. Betul tak umi?” soal Mulqish dengan senyuman lebar. Saleha dan Muadzam saling berpandangan sebelum tersenyum. Tengku Salina mengangguk tanda setuju.

“Nampaknya romeo umi ini dah besar. Umi taklah rasa susah hati sangat nak lepaskan Mul seorang diri ke sana. Umi yakin Mul dah cukup dewasa untuk hidup sendiri. Umi percaya dengan Mul. Umi cuma minta satu. Mul sematkan dalam hati, Mul ke sana kerana nak menimba ilmu. Ingat, arwah walid nak anak-anaknya jadi orang yang berilmu,” nasihatnya. Mulqish tersenyum sambil mengangguk.

“Faham umi. Mul tak akan lupa pesan walid,” jawabnya agak sebak apabila teringatkan arwah walidnya.

Walid, Mul dah hampir pada kejayaan.

Ucapnya dalam hati. Muadzam yang perasan akan perubahan wajah adik bongsunya itu menepuk perlahan bahunya.

“Mul, minggu depan nak bertolak kan? Jom kita shopping, akak belanja,” celah Saleha yang turut perasan dengan perubahan wajah Mulqish.

“Abang pun nak belanja. Hari ini aje, esok dah tak ada tau. Umi pun ikut sekali,” Muadzam berdiri sambil menarik lengan Mulqish. Saleha pula menarik lembut ibunya. Mulqish tergelak semula. Tengku Salina turut tersenyum.

“Umi, durian runtuh ke umi?” perli Mulqish separuh mengusik.

“Iya Mul. Umi nasihatkan Mul ambillah peluang ini kikis duit kakak dengan abang,” jawab Tengku Salina sambil tergelak. Muadzam dan Saleha ikut tergelak.

                                  *****

Effa Hana menarik nafas perlahan melihat almari pakaiannya yang sudah kosong.

“Anak mama berat hati nak tinggalkan mama ke?” soal Datin Hasma sambil melangkah masuk. Effa menoleh ke arah wanita itu dengan senyuman hambar.

“Nampaknya Effa aje yang tak sanggup berpisah dengan mama,” balasnya dengan nada merajuk. Datin Hasma tersenyum sambil memeluk bahu anak daranya itu.

“Sayang, kalau ikutkan hati mama memang tak sanggup. Tapi demi masa depan Effa, mama dan papa dengan senang hati lepaskan sayang. Pergi dan kembalilah dengan kejayaan. Lagipun ini adalah satu-satunya peluang Effa untuk jauhkan diri daripadanya,” katanya separuh menasihati. Effa mengeluh.

“Mama jangan beritahu dia. Effa tak nak dia tahu,” pintanya perlahan.

Don’t worry dear, dia tak akan tahu,” balas Datin Hasma sambil mengelus lembut rambut panjang milik Effa. Jauh di sudut hatinya dia amat bersyukur Effa mendapat tawaran belajar jauh dari Kuala Lumpur. Dia lega. Selepas ini, dia tidak akan melihat gadis itu bersedih lagi. Biarlah gadis itu jauh daripada mereka semua. Itu lebih baik daripada hampir saban hari dia memandang wajah suram itu.

Thank’s mama,” ucap Effa sambil melentokkan kepalanya pada bahu wanita itu. Betul kata wanita itu. Ini sahaja cara untuk dia melupakan lelaki itu. Mungkin dengan jarak yang jauh, dia akan cepat melupakan lelaki yang menghuni hatinya sejak sekian lama.

                                *****

“Tahniah Yana. Aku memang tak hairan bila kau dapat tawaran ini. Aku dah agak sejak awal. Kau akan ke menara gading juga. Budak pandai macam kau, memang layak dengan tawaran ini,” puji Hana bertalu. Dayana hanya tersenyum hambar.

“Lah, janganlah buat muka macam itu. Kau tak happy ke?” soal Hana apabila perasan sahabatnya itu sudah beberapa kali mengeluh.

“Aku bukan tak happy Hana. Kau tahukan keadaan family aku. Pada masa akan datang, aku akan banyak menyusahkan mereka. Aku tak sanggup Hana. Aku kasihankan ibu dan abah. Aku bukan orang senang. Aku masih ada ramai adik nak belajar,” jawab Dayana sayu. Dia tunduk memandang tanah. Hana mengusap perlahan bahu gadis itu.

“Aku faham. Tapi kau tak boleh lepaskan peluang ini Yana. Tak semua orang bertuah macam kau. Peluang ini hanya datang sekali. Aku tak nak kau menyesal seumur hidup. Pasal duit, kau janganlah risau. Kau boleh buat pinjaman. Setiap masalah pasti ada penyelesaiannya. Cuma kita hanya perlu cari cara untuk selesaikan masalah tersebut. Dah jangan nak fikir banyak,” nasihatnya separuh memujuk. Dayana hanya tersenyum. Walaupun ada benarnya kata-kata gadis itu, namun hatinya masih berbelah bagi.

Thank’s Hana,” ucapnya ikhlas. Hana mengangguk dengan senyuman. Dia tahu sepupunya itu kuat orangnya. Dayana pasti akan berjaya. Gadis itu tidak pernah mengalah dengan sebarang ujian.

                             *****

Rokayah membantu anak sulungnya itu mengemas barang-barang yang akan dibawanya esok.

“Ada yang abah boleh tolong ke?” soal Samad sambil melangkah masuk ke dalam bilik kecil itu. Dayana tersenyum.

“Abang tak payahlah nak menyibuk kat sini. Dah bungkus buah mangga yang Yana nak bawa esok?” soal Rokayah.

“Dah siap pun,” jawab Samad sambil turut membantu melipat pakaian Dayana. Sebak hati Dayana melihat kedua-dua insan itu.

“Ibu, abah terima kasih,” ucapnya perlahan.

“Tak payahlah nak berterima kasih Yana. Dah memang tanggungjawab kami sebagai ibu bapa. Abah bangga dengan Yana. Yana dah semakin hampir dengan kejayaan. Buatlah yang terbaik,” jawab Samad sambil menepuk lembut bahu Dayana.

“Betul kata abah itu Yana. Jangan sia-siakan peluang ini. Ingat, kamulah satu-satunya harapan kami. Yana tak pernah kecewakan ibu dan abah. Ibu yakin dengan kemampuan anak ibu,” celah Rokayah pula. Mata Dayana mula berair.

“Yana janji akan buat yang terbaik. Yana juga berjanji tak akan kecewakan ibu dan abah. Yana tak akan sia-siakan pengorbanan ibu dan abah,” janjinya.

“Kak!” Sira berlari masuk ke dalam bilik lalu menerpa Dayana.

“Alah, ingat Sara takut ke dengan akak? Sira bak sini patung itu!” Sara yang baru sahaja masuk turut menerpa Dayana. Dia cuba merampas patung yang berada di tangan Sira namun Sira dengan pantas menyembunyikannya di dalam baju. Dayana hanya tergelak melihat telatah adik-adik perempuannya itu.

“Dah jangan nak bergaduh. Sara, biarkan patung itu dengan adik,” arah Rokayah dengan tegas. Tangisan Sara mula kedengaran. Samad pantas memujuk.

“Akak, dah kemas semua ke?” soal Sarul yang baru sahaja melangkah masuk diikuti oleh Sarfiz.

“Dah, kamu berdua dari mana?” soal Dayana pula.

“Kami ke dusun dengan nenek tadi. Banyak buah durian jatuh. Bolehlah akak bawa sikit esok,” jawab Sarfiz.

“Fiz, Rul lepas ini kita ke sungai pula. Abah ingat nak bekalkan Yana dengan ikan sungai,” celah Samad separuh mengarah.

“Amboi, abang ingat tangkap ikan sungai itu macam beli ikan kat pasar ke?” soal Rokayah sambil tersenyum memandang suaminya. Sarul tergelak kuat diikuti oleh Sarfiz dan Yana.

“Alah ibu, macam tak kenal abah. Abah the best fisherman ibu,” usik Sarul. Samad hanya tersenyum.

“Yelah itu,” Rokayah mengalah.

“Tak payahlah abah. Nanti tak muat pula bas Yana,” usik Dayana pula. Bahagia hatinya tuhan saja yang tahu. Walaupun hidup serba kekurangan namun kasih sayang yang cukup daripada keluarga membuatnya merasa puas melalui hidup yang hanya sekali ini.

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.