Home Novel Komedi/Romantik Komedi AKU TANPAMU
Bab 25


2 Minggu kemudian

“Kau happy?” soal Rasya apabila melihat gadis itu yang asyik membelek cincin di jari manisnya. Bella tergelak kecil.

“Of course!” jawabnya dengan senyuman lebar. Rasya ikut tersenyum melihat riak wajah sahabatnya itu yang jelas menunjukkan kebahagiaan.

“Tak sangka kawan baik aku dah kahwin. Dengan putera idamannya pula tu,” katanya separuh mengusik.

“Tak sangka pula kahwin tu best,” balas Bella sambil tersenyum nakal.

“Eiih, dia ni. Gatal!” usik Rasya sebelum tergelak kecil. Bella tergelak besar.

“Aku bersyukur Ras. Aku memang dah putus harapan dua minggu yang lalu. Tak sangka Adam sudi terima aku. Aku tahu sulit buat dia juga. Tapi kami dah janji akan sokong antara satu sama lain,” kata Bella sambil memandang semula cincin yang tersarung di jarinya. Selepas mereka bertiga bertemu dan berbincang dari hati ke hati, Adam akhirnya mengambil keputusan untuk menerima mereka bertiga sekaligus. Dalam tempoh masa yang singkat, mereka akhirnya diijabkabulkan dalam satu majlis yang sederhana dan hanya dihadiri oleh ahli keluarga dan kenalan rapat. Oleh sebab Chinta perlu balik segera ke Sabah, maka majlis sanding ditangguhkan dulu.

“Alhamdulillah. Aku tumpang gembira melihat kau bahagia Bell. Bila dah kahwin ni kau kena jadi isteri yang matang tau. Kau tu dah jadi isteri orang. Bukan budak lagi. Kurangkan sikap merajuk tu. Lagi satu, jangan terburu-buru buat keputusan. Aku nasihat ni bukan sebab kau tak boleh fikir ke apa. Aku cuma risau sebab kau tu ada madu,” nasihat Rasya dengan tegas. Bella tergelak kecil.

“Okay bos,” balasnya separuh mengusik. Rasya menggeleng perlahan.

                                *****

“Elis bahagia?” soal Datin Syahida. Delisya tersenyum lebar mendengar soalan wanita itu.

“Elis bahagia aunty. Sangat bahagia,” balasnya.

“Alhamdulillah. Aunty tumpang gembira,” kata Datin Syahida ikhlas.

“Terima kasih aunty sebab dah banyak bantu Elis siapkan majlis di saat-saat akhir. Nasib baik aunty ada. Kalau tak, memang Elis tak tahu nak buat apa,” ucap Delisya dengan perasaan terharu. Walaupun majlis nikahnya hanya sederhana namun wanita itulah yang banyak membantunya menyiapkan majlis tersebut.

“Aunty dah anggap Elis macam anak sendiri. Lepas ni, Elis jangan segan nak kongsi apa-apa dengan aunty. Aunty selalu ada kat sini untuk Elis,” balas Datin Syahida dengan senyuman. Delisya mengangguk sambil membalas senyuman wanita itu.

“Bella dan Chinta apa khabar?” soal Datin Syahida ingin tahu.

“Mereka sihat. Cuma Chinta tak balik lagi kat sini. Dia masih ada kat Sabah,” jawab Delisya. Datin Syahida mengangguk. Dia menyentuh jemari gadis itu.

“Elis kena banyak bersabar. Dalam perkahwinan kesabaran tu sangat penting. Kalau tak sabar, semuanya boleh musnah dalam sekelip mata,” nasihatnya penuh makna. Delisya mengangguk perlahan.

“Elis faham aunty,” balasnya dengan senyuman. Dalam diam dia mengeluh perlahan.

                               *****

Ekram berdehem perlahan sambil mengambil tempat di sebelah lelaki itu. Adam hanya memandang sekilas ke arah temannya itu. Matanya masih tertumpu pada buku di tangannya.

“So?” soal Ekram dengan senyuman nakal.

“Apa?” tanya Adam kembali tanpa memandang lelaki itu.

“Malam ni kau balik mana?” soal Ekram.

“Rumah Bella,” jawab Adam ringkas. Ekram mengangguk perlahan.

“Tak rindu yang ada kat Sabah tu ke?” soalnya separuh mengusik. Adam membuka cermin matanya dan membalas pandangan rakannya itu.

“Tak ada kerja lain? Atau dah tukar kerja jadi wartawan pula?” sindirnya. Ekram tergelak besar.

“Tanya sikit pun tak boleh,” rungutnya.

“Bukan tak boleh. Tapi tak suka,” balas Adam jujur.

“Kau ni dah sensitif sejak jadi suami orang. Mengalahkan perempuan,” usik Ekram. Adam hanya tersenyum kecil.

“Aku sebenarnya nak ucap tahniah dengan kau. Hari tu tak sempat sebab kau kahwin cepat sangat. Sampai aku pun tak sempat nak cari baju masa majlis kau,” sambung Ekram separuh merungut. Adam tergelak kecil. Dia memang faham benar dengan sikap rakannya yang terlalu menjaga penampilannya. Bukan sahaja kesihatannya yang diutamakan. Penampilannya dari gaya rambut sehingga kasut juga dijaganya dengan rapi.

“Thank you, Ram. Kau banyak bagi nasihat kat aku sebelum ni,” ucap Adam ikhlas. Ekram menepuk bahu lelaki itu.

“Tak ada hal bro. Good luck untuk kau. Aku doakan kau bahagia. Berkahwin lebih daripada satu ni memang banyak dugaannya. Keputusan bersama mesti diutamakan,” nasihatnya.

“Kau ni dah mengalahkan aku. Aku yang kahwin tiga kan? Atau kau?” soal Adam separuh memerli. Ekram tergelak besar.

“Tak ada lah. Tu cuma nasihat aku sebagai kawan. Mati aku kalau nak ikut jejak kau,” balasnya yang masih dengan tawanya. Adam hanya menggeleng perlahan melihat telatah rakannya itu.

Insya Allah, Ram.

                                   *****

“Untuk sayang,” kata Bella sambil meletakkan sehelai kemeja berwarna putih di atas paha lelaki itu. Adam tersenyum sambil membelek kemeja tersebut.

“Bila beli? Bella keluar hari ni?” soalnya. Bella menggigit bibir.

“Lupa nak beritahu. Sebenarnya hari ni saya jumpa Lara. Sorry,” ucapnya dengan perasaan bersalah. Adam tersenyum kecil.

“Tak apa. Saya pun tak tengok telefon sangat hari ni sebab sibuk. Yang penting awak selamat. Tapi lepas ni, kalau nak pergi mana-mana awak kena beritahu saya. Boleh?” nasihat Adam separuh meminta. Bella mengangguk pantas.

“Lara dan Khai dah balik Malaysia. Abang tau tak, Lara dah ada anak seorang tau,” beritahunya dengan riak teruja.

“Khairul?” soal Adam. Seingatnya lelaki itu adalah bekas tunang isterinya. Bella mengangguk perlahan.

“Abang marah Bella jumpa Khai? Abang jangan risau. Tadi Lara ada sekali,” katanya agak gelabah melihat wajah serius lelaki itu. Adam tergelak kecil.

“Saya tak marah lah. I’m proud of you. Manusia biasanya susah nak terima semula orang yang dah sakitkan hati dia. Tapi awak seorang yang pemaaf,” balas Adam sambil mengucup dahi isterinya itu. Bella tersenyum kecil.

“Saya dah lama move on dengan abang. Abang tu dah curi hati saya tanpa sedar,” balasnya sambil menggenggam erat jemari Adam.

“Terima kasih sebab sudi jadi suami saya,” ucapnya lagi. Adam tersenyum sebelum menarik gadis itu ke dalam pelukannya. Bella tersenyum bahagia.

“Suka tak kemeja tu?” tanyanya semula sambil melepaskan pelukan lelaki itu. Adam tergelak kecil sambil mengangguk.

“Thank you,” ucapnya. Senyuman lebar menghiasi bibir Bella.

                                 *****

Chinta meletakkan cermin matanya apabila mendengar telefonnya yang berdering sedari tadi. Bulat matanya melihat enam panggilan yang terlepas daripada Adam. Dia pantas menekan punat hijau.

“Sayang,” panggil Adam dengan nada suara yang jelas risau.

“Sorry abang. Jujur tak sempat nak sambut. Sorry,” ucap Chinta sambil bangun melangkah ke beranda biliknya.

“Sibuk sangat ke? Dah makan belum?” tanya Adam masih risau kerana sejak pagi tadi mesejnya masih tidak berbalas.

“Tak makan lagi. Minggu ni memang agak sibuk,” jawab Chinta dengan senyuman hambar. Rindunya dia pada lelaki itu. Sudah hampir dua minggu tidak bertemu. Adam sibuk, dia juga sibuk.

“Sayang buat abang risau. Esok abang datang Sabah,” kata Adam dengan kening berkerut.

“Ehh, jangan. Tak apa. I’m okay. Kejap lagi nak makan lah ni. Abang jangan risau. Nanti kita jumpa bila urusan perpindahan saya selesai kat sini. Maaf lah kalau saya dah buat abang risau,” ucap Chinta dengan perasaan bersalah.

“But…, I miss you,” ucap Adam perlahan. Chinta agak terkedu mendengar ucapan suaminya itu.

“Abang dah dua minggu tak jumpa sayang. Nak tambah dua minggu lagi tu memang lama lagi abang nak jumpa sayang,” rungut Adam lagi. Chinta tergelak kecil.

“Gelak pula dia. Suami dia kat sini tengah risau sempat nak gelak,” rungut Adam lagi.

“Abang, I’m okay. Abang duduk aje kat sana baik-baik. Dua minggu tu tak lama pun. Pejam celik aje dah dua minggu. Chinta tak nak susahkan abang ulang alik balik Sabah. Kali ni abang kena dengar cakap Chinta. Boleh tak?” soalnya separuh meminta. Kedengaran suaminya itu mengeluh perlahan.

“Tak rindu abang ek?” soal Adam kembali separuh mengusik.

“Memang lah Chin rindu abang. Suami kot,” balas Chinta sambil tergelak kecil.

“Yelah tu. Lepas ni makan dan jangan nak tidur lewat sangat. Kalau abang ada kat sana boleh juga abang temankan,” kata Adam yang masih risaukan isterinya itu. Chinta tersenyum kecil.

“Baik abang. I love you,” ucap Chinta sambil memandang cincin di jari manisnya.

“I love you too. Assalamualaikum,” balas Adam dengan senyuman. Chinta menjawab salam lelaki itu dalam hati. Dia menarik nafas dalam. Terngiang semula soalan Marwah kepadanya.

“Kau tak menyesal? Kau dah fikir panjang?”

Chinta tersenyum.

Aku tak pernah menyesal dengan pilihan aku, Wa.

                                      *****

“Bila Chin nak pindah sini?” soal Delisya sambil menghidangkan teh yang masih berasap kegemaran suaminya. Adam tersenyum memandang isterinya itu.

“Kalau tak silap minggu depan. Kenapa?” soalnya ingin tahu.

“Abang dah cari rumah yang sesuai? Takkan Chin nak tinggal dengan Marwah pula,” tanya Delisya prihatin. Dia memang tahu yang Chinta tinggal serumah dengan teman baiknya. Tidak manis rasanya wanita itu terus tinggal di rumah tersebut bila sudah berkahwin.

“Abang dah jumpa rumah. Ingat nak tengok petang ni kalau tak sibuk sangat,” beritahu Adam.

“Elis temankan abang,” kata Delisya agak teruja. Agak lama Adam merenung wanita itu sebelum tersenyum. Dia perasan yang isterinya itu sangat mengambil berat pada Bella dan Chinta. Sikap wanita itu kadang kala membuatnya jadi serba salah.

“Boleh lah,” pinta Delisya apabila melihat suaminya yang hanya membisu.

“Boleh aje,” balas Adam dengan senyuman. Delisya tersenyum gembira. Adam menarik wanita itu supaya duduk di sisinya.

“Tak tahu pula isteri abang ni baik sangat,” usiknya. Delisya hanya tergelak kecil. Dia memeluk lengan lelaki itu.

“Mesti lah. Isteri abang,” balasnya selamba. Adam tersenyum mendengar kata-kata wanita itu. Dalam diam dia menarik nafas lega.

                                  *****

Marwah hanya memerhatikan Chinta yang sedang mengemas barang-barangnya. Teman baiknya itu baru sahaja sampai dari lapangan terbang. Hari ini Chinta akan berpindah ke rumah barunya bersama Adam.

“Aku akan rindu kau,” rungutnya perlahan. Chinta tersenyum sambil memandang sekilas ke arah rakannya itu.

“Kita bukannya tak jumpa kat sekolah. Rumah aje tak sama. Alah, rumah aku pun bukannya jauh sangat dari sini. Selang beberapa rumah aje kot,” balas Chinta sambil tergelak kecil. Marwah ikut tergelak.

“Aku sunyi lah seorang kat sini. Kau tu dah lah tinggalkan aku balik Sabah hari itu. Bukan seminggu tapi setahun. Sekarang dah balik sini tak nak pula tinggal dengan aku,” rungut Marwah lagi.

“Kahwin lah cik kak oi. Tak lah sunyi sangat,” usik Chinta.

“Amboi kau. Mentang-mentang kau dah kahwin seronok nak kena kan aku ek. Aku tak ada calon. Tapi Adam ada satu kosong lagi kan? Aku isi boleh tak?” tanya Marwah separuh mengusik. Bulat mata Chinta membalas pandangan gadis itu. Marwah tergelak besar.

“Tahu takut. So, kau jangan cakap pasal kahwin lagi dengan aku. Aku alergik tau tak,” katanya. Chinta menggeleng perlahan.

“Kau masih tak buka hati tu Wa? Lima tahun dah berlalu. Aku tengok kat instagram si Uzair tu dah bahagia dengan isteri dan anaknya. Kau pula bila lagi?” soalnya tanpa memandang wajah rakannya itu. Dia tahu gadis itu masih tidak mampu melupakan bekas tunangnya, Uzair. Namun sampai bila?

“Kau jangan sebut nama mamat tu boleh tak. Lima tahun aku tak dengar nama mamat tu. Tiba-tiba kau nak sebut pula. Aku tak kahwin sampai sekarang memang tak ada kena mengena lah dengan mamat tu. Cuma tak sampai seru aje nak kahwin,” balas Marwah menafikan. Chinta tersenyum.

“Sorry. Aku salah ke?” soalnya agak rasa bersalah. Marwah tergelak kecil.

“Kau cepat sikit kemas tu. Suami kau kat bawah dah lama tunggu,” katanya separuh mengarah.

“Macam nak halau aku aje,” komen Chinta sambil menarik zip beg sederhana besar yang berisi barang-barangnya. Marwah hanya tergelak.

“Cepat lah,” gesanya lagi.

“Yelah, cik kak oii,” balas Chinta sebelum tergelak kecil. Marwah ikut tergelak sambil membantu Chinta mengangkat beg kecil miliknya. Dalam diam dia mengucap syukur apabila melihat semula riak wajah bahagia sahabatnya itu. Bahagia yang ditunjukkan oleh Chinta itu pernah hilang suatu ketika dulu kini kembali semula sejak kehadiran Adam.


Previous: Bab 24
Next: Bab 26

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.