Bella memandang sahaja lelaki tinggi lampai yang sedang menarik kerusi tidak jauh dari tempatnya.
“Lelaki tu memang selalu datang sini ke?” tanyanya kepada Rasya kawan baiknya selaku orang kepercayaannya yang menguruskan cafe miliknya.
“Oh, doktor tu. Dia memang selalu datang sini dengan kawan baiknya. Hari ni dia datang seorang pula,” jawab Rasya sambil memandang sekilas ke arah pemuda yang dimaksudkan oleh rakannya itu. Bella tersenyum sambil bangun dari kerusinya. Dia melangkah perlahan menghampiri meja di mana lelaki itu berada. Agak lama Adam memandang gadis yang sedang menarik kerusi di hadapannya.
“Apa khabar?” tanya Bella dengan senyuman. Adam membalas senyuman gadis itu. Dia kini ingat wajah gadis itu.
“Saya sihat. Awak macam mana?” tanyannya pula. Bella mengangguk.
“Sihat. Cuma hati yang tak sihat,” jawabnya kini dengan senyuman hambar. Adam terdiam mendengar kata-kata gadis itu.
“Kelmarin saya ada call awak,” beritahu Bella. Terangkat kening Adam memandang gadis itu.
Kenapa semua orang nak cari aku ni?
Bisik hati kecilnya. Adam berdehem perlahan.
“Maaf, saya tak layan nombor yang saya tak kenal,” ucapnya dengan senyuman hambar.
“Tak apa. Awak Adam kan? Saya ada dengar nurse panggil awak hari tu. Saya Bella,” beritahu Bella sambil menghulurkan tangan. Agak lama Adam memandang huluran gadis itu sebelum menyambut lambat.
“Ya, saya Adam,” balasnya dengan senyuman.
“Pasal hari tu, saya minta maaf. Masa tu saya…,” Bella terdiam sejenak. Dia menarik nafas dalam.
“Tak apa. Saya tahu awak tak sihat masa tu,” pintas Adam dengan senyuman. Bella tersenyum hambar.
“Saya kemalangan hari tu sebab ternampak tunang saya dengan perempuan lain. Awak tahu tak apa yang lucu. Perempuan tu kawan baik saya sendiri. Orang yang saya paling percaya dan sayang,” beritahunya dengan perasaan sebak. Adam hanya memandang gadis itu tanpa berkata apa-apa.
“Saya harap sangat masa tu saya mati aje supaya tak berdepan dengan mereka lagi,” sambung Bella dengan suara perlahan.
“Awak tak patut cakap macam tu. Awak patut bersyukur sebab Allah masih beri awak peluang untuk teruskan hidup,” nasihat Adam ikhlas.
“Dam,” panggil satu suara. Adam dan Bella serentak berpaling. Kelihatan Ekram sedang berjalan menghampiri mereka.
“Awak simpan nombor saya ya. Jangan tanya saya dapat dari mana. Itu rahsia,” kata Bella dengan senyuman sebelum bangun lantas berlalu. Adam hanya memandang langkah gadis itu.
“Siapa?” soal Ekram dengan kening berkerut. Adam hanya tersenyum hambar membalas pandangan sahabatnya itu. Dalam diam dia mengeluh berat.
*****
“Kau kenal ke dengan doktor tadi tu?” soal Rasya ingin tahu selepas melihat Adam dan Ekram berlalu keluar dari cafe.
“Dia lah doktor yang rawat aku masa aku masuk hospital hari tu,” beritahu Bella dengan suara perlahan.
“Aku tahu kau masih tak sihat lagi. Tapi aku tetap nak tanya. Aku dengar kau nak tangguh majlis nikah?” soal Rasya lagi inginkan kepastian.
“Siapa beritahu?” soal Bella dengan senyuman sinis.
“Lara ada datang baru-baru ni kat sini. Dia yang beritahu aku,” jawab Rasya.
“Kau pasti ke nak tangguh? Kau dan Khai dah lama rancang nak bersatu. Tiba-tiba pula kau nak tangguh,” komennya pula.
“Aku kalau boleh bukan setakat nak tangguh. Aku sebenarnya berniat nak batalkan saja majlis tu. Aku dah tak ada hati nak kahwin dengan lelaki tu,” balas Bella dengan nada agak tegas. Rasya terkedu.
“Tapi kenapa? Apa yang berlaku? Khai buat silap ke?” soalnya bertalu kerana masih terkejut dengan kata-kata gadis itu. Bella menarik nafas dalam. Rasya memang belum tahu apa sebenarnya yang berlaku semasa dia kemalangan hari itu. Buat masa ini memang dia tidak berniat mahu memberitahu sahabatnya itu. Dia tidak tahu apa pula reaksi gadis itu bila tahu perkara tersebut.
“Aku dah tak sayang dengan lelaki tu lagi. Aku balik dulu. Apa-apa nanti call aku aje,” katanya sebelum bangun dari kerusinya. Terkebil-kebil Rasya memandang langkah gadis itu berlalu.
Apa yang berlaku? Dah tak sayang Khai? Biar betul Bella ni.
*****
Chinta memandang lama foto yang ada di hadapannya. Marwah menggeleng perlahan melihat telatah sahabatnya itu.
“Kata benci. Kenapa masih simpan foto tu?” soalnya dengan kening berkerut.
“Masa ni aku gatal sangat nak kahwin. Sampai aku paksa lelaki tu ambil gambar dengan memakai baju pengantin,” beritahu Chinta tanpa memandang Marwah.
“Kau tahu tak apa dalam fikiran aku?” soalnya semula dengan senyuman sinis.
“Apa pula kali ni?” tanya Marwah agak takut melihat senyuman gadis itu.
“Nampaknya ada hikmah aku buat macam tu. Gambar ni bila-bila masa saja boleh sampai kat isteri tercinta lelaki tak guna tu. Biar padan muka Nazri,” jawab Chinta sambil tergelak kecil. Bulat mata Marwah memandang gadis itu.
“Kau gila? Tu dah nak rosakkan rumah tangga orang tu Chin. Kau jangan buat hal,” nasihatnya dengan perasaan bimbang.
“Kau ni gelabah lah,” balas Chinta sambil tergelak lagi. Dia mencapai semula foto tersebut lalu memasukkan ke dalam beg tangan. Marwah menggeleng lagi.
“Kalau kau nak buat macam tu, dah tentu kau yang akan sakit sendiri,” komennya perlahan. Chinta menepuk bahu sahabatnya.
“Jangan risau. Tu tak mungkin akan berlaku,” balasnya sebelum berlalu pergi meninggalkan Marwah.
“Nak ke mana pula tu?” tanya Marwah separuh menjerit.
“Jumpa doktor kesayangan,” jawab Chinta sambil melambaikan tangannya. Marwah mengeluh perlahan.
Risau aku dengan minah ni.
*****
Delisya menggigit bibir sambil memandang lama telefonnya.
Nak call ke tak?
Dia mengeluh perlahan.
Aku dah terdesak. Hanya doktor Adam yang boleh tolong aku sekarang ni.
Delisya menekan nombor Adam dengan perasaan berdebar. Agak lama menunggu sebelum taliannya bersambung.
“Hello?” Delisya tersenyum mendengar suara lelaki itu.
“Hai doktor, saya ganggu ke?” soalnya dengan perasaan bersalah.
“Awak tak sihat lagi ke?” tanya Adam tanpa menjawab.
“Saya baru bercerai sebulan yang lalu. Kami bercerai sebab bekas suami saya tu ada perempuan lain. Bukan tu saja, selama saya menjadi isterinya dia sebenarnya tak pernah cintakan saya walau sekali pun. Dia kahwin dengan saya sebab nak syarikat papa,” beritahu Delisya tanpa dipinta. Adam terdiam mendengar cerita gadis itu.
“Saya tak tahu nak minta tolong dengan siapa. Saya tak ada kawan baik selain doktor. Suami yang dulu saya percaya boleh jadi kawan dan juga pasangan sehidup semati dah tinggalkan saya. Tapi saya tak menyesal dia tinggalkan saya. Apa yang buat saya menyesal bila jadi isteri lelaki tak guna tu!” sambung Delisya dengan nada marah.
“Macam mana saya nak tolong awak? Lagi satu, kita baru aje beberapa kali jumpa. Kenapa awak begitu mudah percayakan saya? What? Kawan baik? Awak tak kenal saya lagi Delisya,” balas Adam dengan nada tegas. Giliran Delisya pula yang terdiam mendengar kata-kata lelaki itu. Dia sendiri tidak tahu mengapa dia memilih untuk percaya pada lelaki itu. Apa yang dia pasti dia sangat memerlukan lelaki itu saat ini.
“Saya bukan hero yang boleh jadi penyelamat awak. Saya cuma doktor biasa yang merawat pesakit di hospital,” sambung Adam sambil melepaskan keluhan berat.
“Minggu depan saya akan jemput doktor. Nanti saya beritahu tarikh dan masa melalui mesej. Terima kasih doktor,” ucap Delisya sebelum menekan punat merah. Dia menggigit ibu jarinya.
Sorry doktor.
Berkerut kening Adam memandang telefonnya.
What?
*****
Terkebil-kebil Farah memandang makanan yang terhidang di hadapannya.
“Awak masak?” soalnya sambil memandang Chinta yang sedang tersenyum membalas pandangannya. Chinta mengangguk sambil memandang sekeliling.
“Doktor Adam masih ada pesakit ke?” soalnya dengan senyuman.
“Oh, datang sebab nak jumpa Adam ek. Sekejap lagi datang lah tu,” jawab Farah dengan senyuman. Chinta tersengih.
“Doktor Adam tu single tak?” soalnya semula. Hampir tersedak Farah mendengar soalan gadis itu. Chinta hanya tersengih membalas pandangan Farah.
“Sorry,” ucapnya dengan perasaan bersalah. Farah tergelak kecil.
“Dia single. Tapi rasanya tak available kot,” jawabnya dengan senyuman nakal.
“Kenapa pula?” tanya Chinta dengan kening berkerut.
“Awak buat apa kat sini?” soal satu suara. Farah berdehem perlahan.
Nasib baik cepat sampai.
Berkerut kening Adam memandang gadis itu. Chinta menunjukkan isyarat supaya lelaki itu duduk di sebelahnya. Ekram berdehem perlahan sebelum menarik kerusi di sebelah Farah. Adam mengeluh dalam diam.
Apa pula kali ni.
*****
Agak lama Adam merenung gadis itu sebelum menarik nafas dalam. Chinta tersengih melihat wajah merah padam lelaki itu.
“Awak nak apa sebenarnya?” soal Adam dengan suara yang mendatar.
“Saya dah beritahu…,”
“What? Nak kahwin dengan saya juga?” pintas Adam dengan kening berkerut. Chinta agak terkejut mendengar suara tinggi lelaki itu.
“Look awak. Boleh tak jangan macam ni?” sambung Adam kini dengan nada suara yang rendah. Dia meraup wajahnya perlahan.
“Awak kenal Dr. Nazri?” tanya Chinta setelah agak lama mendiamkan diri. Giliran Adam pula yang terdiam mendengar pertanyaan gadis itu.
Dr. Nazri? Doktor yang baru beberapa bulan berkhidmat dengan hospital mereka. Kenapa dengan lelaki tu?
Berkerut kening Adam memandang gadis itu.
“Saya tunggu dia lama awak. Empat tahun saya sia-siakan hidup. Pergi seorang tapi kembali bertiga,” beritahu Chinta sambil memalingkan wajahnya ke arah lain. Dadanya sebak apabila mengingat semula apa yang dilakukan oleh Nazri. Apa yang paling menyakitkan hatinya apabila lelaki itu melayannya seperti biasa selama 4 tahun lelaki itu berada di luar negara. Setelah kembali, Nazri membawa sekali isteri dan anaknya tanpa rasa bersalah terhadapnya. Malahan lelaki itu berlagak seperti mereka tidak pernah kenal sebelum ini. Chinta menggigit bibirnya geram.
“Kalau saya kenal pun, awak nak buat apa?” soal Adam dengan kening yang semakin berkerut.
“Tolong saya bayar semula 4 tahun masa saya yang sia-sia tu,” jawab Chinta separuh merayu. Adam menyentuh dahinya yang terasa berdenyut.
“Awak semua ingat saya ni apa? Robot?” soalnya sebelum melangkah berlalu. Chinta menggigit bibir.
Sorry Adam.
Chinta hanya memandang langkah Adam yang semakin jauh.
Awak semua? Wait, siapa lagi?