Home Novel Komedi/Romantik Komedi AKU TANPAMU
Bab 14


Delisya memandang Adam yang sedang memotong bawang. Dia tidak menyangka yang lelaki itu setuju untuk makan malam bersama dengan mereka.

“Awak memang pandai masak?” soalnya dengan senyuman manis. Adam tersenyum tanpa memandang wanita itu.

“Tak lah pandai sangat. Biasa aje. Dulu masa kat UK memang saya selalu masak sendiri. So, saya dah biasa,” jawabnya.

“Kalau awak nak tahu, saya tak sama dengan perempuan kat luar sana. You know, masak dan kemas rumah. Saya boleh aje sebenarnya. Cuma tak biasa,” beritahu Delisya tanpa rasa malu. Adam tersenyum sambil mula memandang wajah gadis itu.

“Awak tak boleh mengelak. Memang perkara tu berlaku dalam kalangan kaum hawa. Nasihat saya, awak jangan berhenti untuk mencuba. Lama-lama akan biasa,” nasihat Adam sambil menyambung kerjanya semula. Delisya tersenyum lebar. Memang dia akui kebenaran kata-kata lelaki itu.

“Sejak dari pasar tadi sampai lah kat dapur ni awak masih tak tinggalkan kerja awak,” katanya separuh mengusik. Berkerut kening Adam memandang gadis itu.

“Maksud?”

“Cara awak berbual dengan saya. Macam pesakit dengan doktor. Adam, sekarang ni awak kat luar tau. Awak adalah Adam. Bukan Doktor Adam,” usik Delisya. Adam tergelak kecil.

Sorry,” ucapnya sambil menggelengkan kepala. Delisya terkesima memandang lelaki itu. Ini pertama kali dia melihat lelaki itu tertawa. Jantung Delisya berdegub kencang.

Kenapa dengan aku ni?

Datuk Taufiq yang berada di ruang tamu hanya tersenyum mendengar gelak tawa dari arah dapur. Dia menarik nafas lega.

                                    *****

“Sebenarnya saya nak tanya awak pasal papa.” Delisya bersuara perlahan. Adam tidak jadi membuka pintu keretanya. Dia memandang wanita itu semula.

“Papa ada beritahu awak apa-apa tak?” soal Delisya sambil memandang tepat wajah lelaki di depannya itu.

“Pasal apa?” soal Adam semula. Dia agak berdebar. Dia seperti dapat meneka apa soalan yang akan diajukan oleh wanita itu.

You know Adam, saya kahwin dengan Samuel dulu tidak semata-mata hanya sebab saya suka lelaki tu. Pada mulanya, papa yang rancang segalanya. Papa kata dia sakit. Oleh sebab tu dia nak saya kahwin dengan Samuel. Masa tu, saya memang tak kisah sebab saya memang sayangkan Samuel. Tapi bila papa suarakan semula yang dia sakit dan nak saya kahwin dengan awak. Saya rasa tak adil,” kata Delisya dengan perasaan sebak. Adam terdiam memandang gadis itu.

“Papa memang sakit ke Adam? Atau sengaja nak buat drama?” soalnya lagi. Adam menarik nafas dalam.

“Saya tahu yang papa ada beritahu awak pasal ni. Awak tak boleh tipu saya, Adam,” sambung Delisya lagi.

Look Elis, mungkin sebelum ni papa awak cuma bergurau. Saya dah tengok rekod kesihatannya. Kali ni papa awak memang sakit Elis,” beritahu Adam dengan tenang. Jika dia gelabah sudah pasti Delisya akan panik.

“Teruk ke?’ soal Delisya dengan nada perlahan. Adam diam tidak menjawab. Delisya mula tidak keruan.

“Adam,” panggilnya dengan suara bergetar. Air mata yang ingin jatuh ditahannya.

“Elis, esok datang jumpa saya. Awak jangan risau. Insya Allah saya boleh bantu papa awak,” kata Adam sambil menepuk lembut bahu gadis itu. Delisya mengangguk perlahan.

“Saya balik dulu. Jumpa esok,” kata Adam sebelum masuk ke dalam keretanya. Delisya hanya memandang kereta lelaki itu berlalu. Dia melangkah masuk semula ke dalam rumah.

Ya Allah, aku masih perlukan papa. Beri lah kesihatan kepadanya ya Allah.

                                *****

“Aku dah maki hamun perempuan tu. Sorry Bella. Aku dah janji dengan kau. Tapi aku tak tahan bila terpandang aje wajah Lara. Aku kalau boleh nak bagi perempuan tu penampar tapi aku masih boleh sabar bila teringatkan kau,” beritahu Rasya dengan kening berkerut. Bella menggeleng perlahan.

“Kau cakap apa dengan dia?” soalnya.

“Aku larang dia tunjuk muka depan kita lagi. Kau kena tegas sikit. Aku tahu kau bertahan sebab masih sayangkan Lara. Tapi ni dah kes berat. Buat masa ni kau jangan pergi jumpa perempuan tu dulu. Aku tak nak,” larang Rasya dengan nada tegas. Bella menarik nafas perlahan.

“Kau dengar tak?” soal Rasya apabila Bella hanya diam membisu.

“Ya makcik,” balas Bella sambil tergelak kecil.

“Ishh! Aku serius ni,” kata Rasya dengan riak wajah yang tidak puas hati.

“Kau ingat aku kuat ke jumpa Lara sekarang ni? Nanti tak pasal ada yang tidur kat hospital,” balasnya separuh bergurau. Rasya tergelak kecil.

“Mesti kau yang akan tidur kat hospital. Sebab si Lara tu ada tali pinggang hitam,” usiknya. Bella tergelak besar.

“Kau baru aje marah Lara. Sekarang ni dah sokong dia. Nampak gayanya kau yang akan jumpa dia dulu,” balas Bella separuh menyindir. Rasya berdehem perlahan.

Okay berhenti sebut pasal perempuan tu. Kau dah makan belum?” soalnya sengaja mengubah topik. Bella tergelak lagi. Dia menggeleng.

“Aku masak untuk kau,” kata Rasya sebelum berlalu ke dapur. Bella mengangguk setuju.

                               *****

Marwah menggeleng perlahan melihat nama lelaki itu yang terpampang pada skrin telefonnya. Dia menekan punat hijau.

“Kau nak apa?” soalnya sinis.

“Wa, aku tak dapat hubungi Chinta. Dia ada kat sana ke?” soal Nazri dengan nada suara yang jelas kedengaran cemas.

“Kenapa kau sibuk sangat nak cari dia? Selama ni aku memang tak nak masuk campur urusan kau dan Chinta. Tapi kali ni aku tak akan berdiam diri lagi. Nazri, kau sekarang dah jadi suami orang. Dah jadi ayah. Cukup lah Nazri. Sebelum ni Chinta hampir nak bunuh diri sebab kau! Kalau hal ni berlaku lagi aku tak akan teragak-agak nak kenakan kau semula! Isteri kau tak tahukan pasal Chinta? Kau kenal aku Nazri. Aku tak akan berdiam diri!” marah Marwah separuh mengugut. Ikutkan hatinya mahu sahaja dia memaki hamun lelaki itu. Lelaki yang dikenalinya dulu sangat menyayangi Chinta benar-benar telah berubah. Dia sendiri tidak menyangka Nazri sanggup berkahwin lain tanpa pengetahuan mereka. Sanggup melukai Chinta yang sangat setia menantinya kembali.

I’m sorry,” ucap Nazri perlahan. Marwah tersenyum sinis.

“Kau tak layak untuk Chinta. Gadis setia sepertinya bukan untuk lelaki macam kau! Aku sendiri pun tak mampu nak maafkan kau. Apatah lagi Chinta,” balas Marwah sebelum menekan punat merah. Dia mendengus geram.

Aku kalau di tempat Chinta, mungkin aku juga akan lakukan perkara yang sama. Aku nak tengok sangat wajah kecewa Nazri!

                                 *****

Nazri menghampiri Adam yang sedang duduk bersendirian di ruang rehat yang memang disediakan untuk mereka. Dia menarik kerusi di hadapan lelaki itu. Adam yang sedang membaca buku mengangkat wajah memandang lelaki itu.

“Aku nak tanya. Betul kau sayangkan Chinta?” soalnya dengan riak wajah yang serius. Adam bersandar tenang pada kerusinya.

“Kau macam tak percaya aje,” balasnya sengaja menguji lelaki itu. Nazri tersenyum sinis.

“Memang. Aku tahu Chinta tak akan semudah tu nak buang aku dalam hatinya. Melainkan dia sengaja nak sakitkan hati aku!” katanya dengan nada keras.

“Kenapa tak tanya dia sendiri? Oh, aku lupa. Dia ada beritahu aku yang dia tak nak tengok muka kau lagi sebab dia dah benci,” balas Adam sengaja ingin menyakitkan hati lelaki itu. Nazri menggenggam penumbuknya.

“Aku tahu dia memang sengaja nak sakitkan hati aku. Aku yakin dia masih sayangkan aku. Cuma sekarang ni kau yang sudah jadi penghalang. Dengar Adam, aku dah banyak kali ingatkan kau. Chinta tu milik aku. Kau sentuh dia, siap kau!” katanya memberi amaran. Nazri bingkas bangun dari kerusinya sebelum berlalu keluar dari ruangan rehat meninggalkan Adam yang masih memandangnya. Adam melepaskan keluhan berat.

                                  *****

Berdebar Chinta apabila melihat nama lelaki itu terpampang pada skrin telefonnya.

Adam?

Perlahan jarinya menekan punat hijau.

“Adam,” panggilnya dulu dengan senyuman lebar. Sudah agak lama dia tidak menghubungi lelaki itu. Sejak peristiwa dia bertandang ke rumah lelaki itu, dia sudah agak segan untuk menghubungi lelaki itu semula.

“Hai awak, apa khabar?” tanya Adam.

“Baik, awak? Maaf lah, saya busy kebelakangan ni. Budak-budak nak exam,” beritahu Chinta dengan perasaan bersalah.

“Tak apa. Saya sihat,” balas Adam. Dia terdiam seketika. Tidak tahu apa yang harus dibualkan lagi. Tujuannya menghubungi gadis itu hanyalah untuk memastikan Chinta baik-baik sahaja.

“Awak kerja?” soal Chinta. Dia sebenarnya agak hairan menerima panggilan daripada lelaki itu. Ini merupakan kali pertama Adam yang menghubunginya dulu. Selalunya dia yang mencari lelaki itu.

“Ya. Baik lah awak. Jaga diri. Nanti saya call semula,” balas Adam sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal. Chinta tersenyum lebar.

Call semula?

“Hujung minggu ni saya datang lawat awak,” katanya sebelum menekan punat merah. Terkebil-kebil Adam memandang telefonnya. Perlahan senyuman terukir di bibirnya.

Aku silap. Mungkin Nazri sekadar nak beri aku amaran. Chinta pun tak sebut pasal Nazri datang mengganggu. Wait, kenapa pula aku nak risau sangat ni?

Adam berdehem perlahan. Dia mencapai tisu di atas mejanya. Dahinya berpeluh.

Kenapa dengan aku ni?

                                  *****

Bella bersandar pada kerusinya sambil tenang memandang lelaki itu.

“Sejak bila Bella tahu?” soal Khairul dengan nada perlahan. Riak wajahnya jelas menunjukkan rasa bersalahnya.

“Tak penting. Sekarang ni aku hanya nak kau bersihkan semula nama aku dan papa. Aku masih boleh bertentang mata dengan kau sampai saat ni sebab aku masih anggap kau sebagai kawan Khairul. Jangan sampai aku putuskan sekali hubungan kita sebagai kawan. Kalau kau tak mampu nak hormat aku, tolong hormat papa aku,” balas Bella dengan perasaan sebak. Khairul tunduk memandang jari jemarinya. Apabila Lara memberitahunya yang Bella sudah tahu akan hubungan mereka, dia hampir rebah terkejut. Perasaan bersalahnya kian memuncak. Dia tahu tidak ada cara lain lagi selain mengakuinya di depan Bella.

“I’m sorry Bella. Khai dah tak tahu nak cakap apa. Memang semuanya salah Khai. Bella tak perlu maafkan Khai. Khai tak layak,” ucap Khairul tanpa memandang wajah gadis itu. Dia malu. Sangat malu. Bella mengesat air matanya yang menitis tanpa disedarinya.

“Sebenarnya saya nak tanya banyak perkara dengan awak, Khai. Tapi saya dah tak mampu. Saya tak tahu mana silapnya. Kenapa mesti Lara? Kenapa?” soalnya dengan perasaan geram. Khairul masih tunduk sambil menggelengkan kepalanya.

“Tak apa. Tak perlu jawab. Benda dah berlaku pun. Ingat Khai, bersihkan semula nama saya dan papa. Apa yang berlaku antara kita, saya maafkan awak. Beritahu Lara, saya tak pernah simpan dendam padanya,” kata Bella sebelum bangun perlahan dari kerusinya. Dia berlalu meninggalkan Khairul yang masih tunduk. Khairul mengesat air matanya. Menyesal tidak berguna. Dia sudah melukai hati gadis itu.

                                 *****

Agak lama Chinta berdiri memerhati Adam dan Delisya yang sedang berbual. Riak wajah kedua-duanya agak serius.

“Cikgu Chinta?” tegur satu suara. Chinta berpaling memandang gerangan yang memanggilnya. Kelihatan Ekram sedang berjalan menghampirinya. Berkerut kening Chinta cuba untuk mengingati lelaki di depannya itu.

“Ekram. Kawan Adam. Ingat tak?” soal Ekram masih dengan senyumannya.

“Oh ya. Doktor Ekram,” Chinta mengangguk mula ingat gerangan lelaki itu. Lelaki itu memang selalu dilihatnya bersama dengan Adam. Sebelum ini dia ada juga menegur Ekram. 

“Sudah lama awak tak datang sini,” kata Ekram separuh mengusik. Chinta tergelak kecil.

“Saya busy kat sekolah. Budak-budak exam,” beritahu Chinta. Ekram mengangguk faham.

“Awak dah jumpa Adam?” soalnya sambil memandang Adam dan Delisya yang duduk tidak jauh dari mereka. Chinta menggeleng.

“Sebenarnya Adam tak tahu pun saya datang. Saya ingat hujung minggu ni baru nak datang. Oleh kerana saya ada urusan dekat sini, saya singgah lah sekejap,” jawabnya sambil turut memandang pasangan itu.

“Awak boleh tunggu kat bilik pejabat Adam kalau nak,” cadang Ekram agak risau melihat riak kurang senang Chinta melihat Adam dan Delisya.

“Tak apa. Saya balik dulu. Lagipun saya tak boleh lama. Kirim salam dengan Adam,” pesan Chinta sebelum berlalu. Ekram mengangguk perlahan sebelum melepaskan keluhan.

Nampaknya banyak hati yang kau perlu jaga Adam. Bertabah lah.

Bisik hati Ekram sebelum turut berlalu.

                             *****

“Papa boleh sembuh kan?” soal Delisya dengan kening berkerut. Adam mengangguk perlahan.

“Insya Allah kami akan cuba yang terbaik. Yang penting papa awak rajin datang rawatan lanjut. Hari tu papa awak beritahu yang dia sedang terima rawatan dengan salah satu klinik swasta. Saya kenal juga dengan doktor tu. Awak jangan risau. Untuk kes papa awak ni, dia masih di tahap yang awal” beritahu Adam dengan senyuman. Delisya menarik nafas lega.

“Papa memang sengaja nak takutkan Elis,” katanya dengan perasaan geram.

“Bila papa awak beritahu malam tu, saya sebenarnya turut terkejut. Tapi saya lega bila lihat rekod kesihatannya. Malam tu juga papa awak…” Adam terdiam seketika. Agak ragu-ragu meneruskan kata-katanya.

“What?” soal Delisya agak berdebar. Adam berdehem perlahan.

“Papa nak awak kahwin dengan saya ke?” teka Delisya.

“Macam mana awak tahu?” soal Adam agak terkejut. Delisya tergelak kecil.

“Saya kenal papa saya, Adam. Nampaknya dia dah restui kita. So, bila awak nak pinang saya?” soal Delisya separuh mengusik. Adam terkedu. Lidahnya kelu.

Pinang?

                                  *****

Ekram tergelak besar. Berkerut kening Adam memandang lelaki itu.

“Hari tu kau bukan main lagi ek. Risau tapi sebenarnya memang ada niat nak jadikan Elis tu isteri. Betul tak? Aku dah kenal kau lama Adam. Jangan nak tipu aku,” usik Ekram sebelum menyambung gelaknya.

“Seronok kau kenakan aku ek,” balas Adam sambil bersandar pada kerusinya.

“Adam, cuba kau beritahu aku. Kau sebenarnya dah jatuh hati pada Elis. Betul tak?” soalnya sambil memandang tepat wajah sahabatnya itu.

“Aku tak ada jawapan untuk soalan tu,” balas Adam tenang.

“Amboi, pandai kau nak mengelak ek,” usik Ekram lagi. Adam sekadar mengangkat bahu.

“Oh ya, tadi aku terserempak dengan cikgu cantik yang selalu datang sini. Dia kirim salam dengan kau. Kau hati-hati Adam. Aku nampak dia tak senang tengok kau dan Elis tadi,” beritahu Ekram.

“Chinta?” soalnya inginkan kepastian. Ekram menganggukkan kepalanya. Adam menarik nafas berat.

“Boleh aku bagi cadangan?” soal Ekram separuh meminta. Berkerut kening Adam memandang sahabatnya itu. Cadangan apa pula kali ini. Asal saja lelaki itu membuka mulut untuk memberikan cadangan, ada sahaja yang tidak kena dengan cadangannya itu.

“Apa?” soalnya agak berdebar.

“Kau kahwin aje lah dengan mereka bertiga. Kau tu dah lebih mampu zahir dan batin,” cadang Ekram dengan senyuman lebar. Bulat mata Adam memandang lelaki itu.

“What?” soal Ekram.

Salah ke cadangan aku?

“Aku cuma nak tolong mereka Ram. Bukan nak sakitkan hati mereka. Cukup lah apa yang mereka lalui sebelum ni,” balas Adam dengan nada perlahan. Pandangannya beralih ke luar jendela. Situasi yang dialami oleh ketiga-tiga gadis itu berbeza namun berkongsi perasaan yang sama. Sakit menusuk ke dasar hati. Ekram mengangguk perlahan tanda faham akan niat lelaki itu. Niatnya cuma bergurau. Namun seandainya gurauan itu menjadi kenyataan suatu hari nanti. Dia sentiasa ada untuk menyokong lelaki itu.

                                   *****

Adam membuka matanya perlahan. Kelihatan wajah gadis kesayangannya itu sedang tersenyum memandangnya.

“Tidur lah dulu. I tak puas renung you lagi,” usik Qaisara dengan senyuman manis. Lesung pipit di pipi kirinya jelas kelihatan menambahkan lagi seri di wajahnya. Adam tersipu malu. Dia bangun dan duduk berdepan dengan gadis itu. Suasana sepi seketika. Cuma kedengaran angin petang yang bertiup perlahan menyapa wajah masing-masing.

“Why?” soal Qaisara apabila Adam tidak jemu merenung wajahnya. Kedua-dua tangannya naik menyentuh wajah lelaki itu.

“Jangan lah renung Sara macam tu. Nanti Sara tak boleh tidur malam,” usiknya lagi. Adam tergelak kecil. Dia menyentuh jemari gadis itu lalu menggenggamnya erat.

“I love you,” ucapnya perlahan. Qaisara menggigit bibir.

“Are you sure?” soalnya sengaja ingin mengusik.

“Sayang,” berkerut kening Adam memandang gadis itu. Qaisara tergelak kecil. Adam pantas mencubit lembut pipi gadis itu.

“Nakal,” katanya sebelum ikut tergelak.

“Sakit,” adu Qaisara manja. Adam tersenyum memandang wajah comel itu

“Adam!” panggil Puan Hasna dengan nada suara yang agak tinggi. Adam membuka matanya perlahan. Wajah ibunya jelas kelihatan. Bukan wajah Qaisara.

“Mama,” jawabnya perlahan.

“Kenapa ni Adam? Lap air mata tu,” arah Puan Hasna dengan nada sebak. Masih jelas di telinganya Adam mengigau memanggil nama Qaisara.

Ya Allah…,

Puan Hasna menyentuh ubun kepala lelaki itu.

“Adam mandi lah dulu. Tak baik tidur masa maghrib,” arahnya lagi sebelum berlalu masuk ke dalam rumah. Adam mengeluh perlahan sambil mengesat air matanya.

Sara…,

                                  *****

Tuan Izan menghampiri isterinya yang sedang termenung sedari tadi. Semasa makan malam, isterinya tidak banyak bicara. Tidak seperti kebiasaannya.

“Kenapa ni?” soalnya sambil mengambil tempat di hadapan wanita itu. Puan Hasna mengeluh perlahan.

“Asna risau lah dengan Adam tu bang. Asna ingatkan Adam dah lupakan arwah Sara. Rupa-rupanya tak. Sampai mengigau sebut nama arwah,” beritahunya dengan riak wajah yang jelas kelihatan bimbang.

“Biar lah Adam tu As. Itu hak dia. Kita tak boleh halang,” balas Tuan Izan sambil bersandar tenang pada kerusinya.

“Sampai bila bang? Adam tak mungkin akan mampu mulakan hidup baru selagi dia terkenangkan arwah. Saya bukannya tak suka arwah. Saya juga sayang arwah. Cuma Allah lebih sayangkan arwah. Kita yang masih ada kat dunia ni kena teruskan hidup walauapapun yang berlaku,” kata Puan Hasna dengan kening berkerut. Dia akui dia juga turut terkesan dengan pemergian Qaisara. Namun sampai bila mereka semua harus bersedih?. Tuan Izan menarik nafas perlahan mendengar kata-kata isterinya itu. Lidahnya kelu untuk membalas. Ada betulnya juga kata-kata isterinya itu.

Adam tidak jadi menghampiri pasangan itu. Dia mendengar segalanya.

Adam boleh teruskan hidup seperti biasa ma. Namun Adam tak mungkin mampu lupakan Sara. Di dalam hati Adam, ada tempat istimewa buat Sara.


Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.