Datin Syahida tersenyum membalas pandangan gadis itu.
“What?” soal Delisya pura-pura tidak faham maksud pandangan wanita itu. Datin Syahida tergelak kecil.
“Nampak sangat Elis sangat sayangkan Adam,” usiknya. Delisya terdiam.
“Tu pun malu nak mengaku. Aunty sokong sangat kalau Elis pilih Adam. Aunty yakin Adam boleh jaga Elis,” sambung Datin Syahida dengan senyuman. Delisya hanya tersenyum. Agak segan apabila tekaan wanita itu tepat.
“Tapi Elis risau lah aunty,” katanya perlahan.
“Why?” soal Datin Syahida dengan kening berkerut. Setahunya Adam masih belum berkahwin.
Apa pula yang dirisaukan oleh gadis tu?
“Sebenarnya ada gadis lain yang jadi saingan Elis. Lagi satu, Adam tu anggap Elis ni kawan aje,” beritahu Delisya dalam nada perlahan.
“Elis nak mengalah macam tu aje? Adam tu tak kahwin lagi kan?” soal Datin Syahida. Delisya mengangguk lambat.
“Maksudnya Elis ada peluang lagi. Elis kena lah berusaha rebut hati Adam. Kalau tak, Elis akan kehilangan lelaki sebaik Adam,” nasihat Datin Syahida dalam nada lembut.
“Entah lah aunty. Elis masih rasa bersalah pada Adam. Aunty pun tahu yang Elis cuma gunakan Adam untuk lari daripada Samuel. Sekarang ni Elis masih rasa serba salah. Nak teruskan niat Elis ni atau batalkan saja,” balas Delisya sambil mengeluh perlahan.
“Samuel masih ganggu Elis ke?” soal Datin Syahida dengan kening berkerut.
“Selalu juga lelaki tu call Elis sejak akhir-akhir ni. Bila tahu yang Elis berkawan rapat dengan Adam, sibuk pula lelaki tu nak hubung Elis. Dia ugut Elis. Kalau Elis degil nak jumpa Adam, dia kata syarikat papa akan jadi miliknya,” beritahu Delisya.
“Gila ke lelaki tu? Dia nak apa lagi? Nak jadi suami Elis lagi? No, aunty tak akan setuju. Lelaki tu dera Elis luar dan dalam. Kalau Elis nak ikut cakap lelaki tu, anggap aje lah Elis tak pernah kenal aunty,” balas Datin Syahida dalam nada tegas. Delisya tergelak kecil.
“Garangnya,” usiknya.
“Mesti lah. Aunty tak suka lelaki macam Samuel tu. Lelaki tak guna macam Samuel tak layak jadi seorang suami. Dah lah kaki dera, kaki perempuan dan kaki minum pula tu. Elis tak takut ke?” soalnya dengan kening berkerut. Mula-mula mengenal Samuel, dia memang tidak menyangka yang lelaki itu ada sikap buruk seperti itu. Lebih menakutkan apabila lelaki itu mula menunjukkan sikap sebenarnya walaupun pada masa itu perkahwinan antara Delisya dan Samuel belum pun sampai sebulan. Delisya datang kepadanya mengadu akan sikap lelaki itu. Dia sudah berkeras menyuruh gadis itu melaporkan kelakuan Samuel namun Delisya tetap degil. Semuanya kerana cinta.
“Dulu memang lah Elis takut. Sekarang tak lagi. Biar lah Elis kehilangan segalanya, yang penting Elis masih ada papa dan Adam. Tu dah cukup buat Elis,” balas Delisya dengan senyuman. Datin Syahida mengangguk setuju.
Tu yang aunty nak dengar dari mulut Elis. Nampaknya Adam dah ubah prinsip Elis.
*****
Rasya menghampiri Bella yang sedang termenung di mejanya.
“Masih tak baik dengan Adam?” soalnya. Bella berpaling memandang gadis itu. Dia hanya tersenyum hambar.
“Aku tak tahu macam mana aku nak minta maaf dengan Adam. Aku malu,” katanya dalam nada perlahan. Rasya menarik nafas panjang.
“Pergi lah jumpa dia. Aku tengok Adam tu seorang yang berfikiran terbuka. Tapi memang patut pun dia marah kau. Adam pun manusia biasa. Ada emosi,” balasnya. Bella hanya membisu. Dalam diam dia setuju dengan kata-kata gadis itu.
“Kalau kau tak nak kehilangan Adam, aku nasihatkan baik kau pujuk Adam. Aku tengok macam ramai aje peminat lelaki pujaan kau tu. Kalau kau duduk diam aje tak buat apa, aku takut kau akan kehilangan dia,” sambung Rasya separuh menasihati.
“Aku bukan tak nak jumpa Adam. Dia perlukan masa. Adam mesti tertekan dengan kelakuan aku sejak akhir-akhir ni. Mungkin bukan aku saja. Chinta dan Elis juga dah buat dia pening,” balas Bella sambil mengeluh perlahan.
“Kenapa mesti Adam?” soal Rasya tiba-tiba dengan kening terangkat.
“Maksud kau?” tanya Bella pula.
“Aku just kasihan tengok kau macam ni. Apa kata kau cari lelaki lain,” balas Rasya separuh mencadangkan.
“Kau ingat Adam tu pinggan pakai buang ke?” soal Bella dengan riak wajah yang serius. Rasya tergelak besar.
“Wah, aku nampak dengan jelas kau dah tak boleh jauh dengan Adam. Baik kau jumpa dia sekarang. Tak ada ubat lain untuk kau selain Adam tu sendiri. Aku risau lah dengan kau ni,” balas Rasya separuh mengusik. Bella akhirnya tergelak kecil.
*****
Adam menarik kerusi di hadapan kedua orang tuanya.
“Adam dah sihat?” tanya Puan Hasna agak risau. Adam mengangguk tersenyum.
“Kerja tu memang kerja Adam. Tapi jangan sampai nak abaikan kesihatan diri,” nasihat Tuan Izan.
“Okay pa,” balas Adam ringkas. Puan Hasna berdehem perlahan.
“Apa khabar kawan Adam?” soalnya berdebar. Adam mengangkat wajah memandang wajah wanita itu.
“Kawan mana?” soalnya kembali. Dia sebenarnya tahu siapa yang dimaksudkan oleh wanita itu. Cuma dia berharap agar telahannya salah.
“Alah, yang datang rumah kita hari tu. Bella, Chinta dan Elis,” jawab Puan Hasna tanpa bertapis lagi. Hampir tersedak Adam mendengar nama-nama itu disebut.
“Erm…, okay. Mereka okay,” jawab Adam dengan suara tersekat-sekat.
“Bila mereka nak datang sini lagi? Adam ajak lah mereka datang lawat mama. Mama sunyi lah kat rumah. Papa kamu ni asyik sibuk main golf dengan kawan-kawannya. Kalau tak main golf, pergi memancing. Mama bosan seorang kat rumah,” pinta Puan Hasna separuh memujuk.
“Amboi, pandainya nak kenakan abang ek,” balas Tuan Izan separuh mengusik. Puan Hasna hanya tersengih.
“Tak tahu lagi ma. Lagipun mereka tu busy dengan kerja masing-masing. Adam pergi dulu,” kata Adam sambil bangun dari kerusinya.
“Hati-hati,” kata Puan Hasna sambil menggeleng perlahan.
“Awak ni, cakap aje lah nak menantu. Ni nak berkias bagai,” perli Tuan Izan.
“Amboi abang ni kalau nak perli As memang jaguh. Dah tu abang bukannya pernah tolong As tanyakan si Adam tu. Asyik kata tunggu. Biar jodoh Adam datang sendiri. Kalau tak cari macam mana jodoh nak datang?” balas Puan Hasna sambil mendengus perlahan. Tuan Izan sekadar tersengih mendengar bebelan wanita itu.
*****
Agak lama Bella merenung gadis itu sebelum mengeluh perlahan.
“Tak sangka yang awak bos kat sini,” kata Delisya sambil tersenyum memandang sekeliling.
“Siapa beritahu awak? Chinta?” tanya Bella dengan kening berkerut.
“Tak. Adam yang beritahu,” jawab Delisya dengan senyuman. Bella tersenyum sinis.
“So, awak baru balik jumpa Adam?” soalnya lagi. Delisya mengangguk.
“Kenapa? Sakit? Atau memang saja datang melawat Adam?” soalnya bertalu. Delisya tersenyum mendengar soalan gadis itu.
Eh, minah ni senyum pula. Ada dia nampak muka aku ni tengah senyum ke?
Bisik hati kecil Bella.
“Saya ada urusan dengan Doktor Adam. Awak jangan salah faham,” kata Delisya dengan tenang.
“Salah faham? Kenapa pula saya nak salah faham? Awak bukannya ada apa-apa hubungan dengan Adam. Mungkin awak terlupa, kita semua gunakan Adam. So, tak ada sesiapa pun antara kita yang ada hubungan serius dengan Adam,” balas Bella dengan nada tegas. Delisya terdiam mendengar kata-kata gadis itu.
“Awak yakin?” soalnya perlahan tepat memandang wajah Bella. Bella terdiam mendengar soalan wanita itu.
“Saya sayangkan Adam, Bella. Lebih dari seorang kawan,” kata Delisya kini dengan wajah serius. Bella terkedu.
What??
“Awak tak boleh,” balas Bella sambil menggeleng perlahan. Berkerut kening Delisya memandang gadis itu.
“Kenapa pula? Awak tak ada hak nak halang saya. Awak tu bukannya teman wanita Adam,” kata Delisya dengan tenang.
“Saya pun sayangkan Adam. Saya nak jadi isteri Adam,” balas Bella akhirnya dengan nada tegas. Terkedu Delisya memandang gadis itu.
Aku salah dengar ke?
“Bella,” tegur satu suara sambil mencuit bahunya. Bella berpaling. Rasya memberi isyarat supaya gadis itu memandang sekeliling. Bella menurut. Beberapa pasang mata sedang memandang ke arah mereka. Dia mengeluh perlahan.
Kuat sangat ke suara aku? Tak pasal jadi tontonan.
“Sorry, awak nak minum apa?” soalnya tanpa memandang wajah Delisya. Delisya menggeleng lambat sebelum bangun dari kerusinya. Dia terus berlalu tanpa berkata apa-apa. Bella mengeluh lagi.
*****
Pangg!!
Nazri menyentuh pipi kirinya yang terasa perit.
“Ini amaran yang terakhir Nazri! Sekali lagi awak tunjuk muka kat sini saya tak akan teragak-agak beritahu isteri awak!” marah Chinta. Bergegar tubuhnya menahan amarah. Nazri tersenyum sinis.
“Awak boleh beritahu dia. Saya lagi suka kalau dia tahu. Supaya dia bersedia untuk menerima awak sebagai madunya,” balasnya dengan senyuman. Chinta menggengam penumbuknya.
“Awak ingat saya tak tahu yang awak masih sayangkan saya? Awak sengaja gunakan Adam untuk buat saya cemburu. Betul tak? Sudah lah Chinta. Buang masa saja awak buat macam tu. Saya sedia terima awak semula,” sambung Nazri dengan riak wajah yang bersungguh. Chinta tergelak besar.
“Kau ni memang gila Nazri. Memang dulu aku cuma gunakan Adam. Tapi sekarang aku dah mula sayang Adam. Sebab dia lelaki baik! Bukan macam kau! Kau lelaki tak guna Nazri! Kau dengar sini ek. Aku dah batalkan rancangan aku untuk balas dendam dengan kau. Sebab aku dah ada Adam. Adam dah rawat hati aku yang mana kau dah lukakan. So, kau jangan berani nak tunjuk muka lagi kat sini. Aku benci kau Nazri. Kalau kau nak aku maafkan kau. Sila jangan muncul depan aku lagi! Atau kau tak akan pernah dapat kemaafan tu daripada aku!” kata Chinta separuh mengugut. Dia pantas berlalu masuk ke dalam keretanya. Lagi lama dia dengan lelaki itu lagi panas hatinya. Nazri mengeluh perlahan.
*****
Delisya mendengus geram.
“Kau nak apa?” soalnya geram. Samuel tersenyum sinis sambil mengambil tempat di hadapan gadis itu.
“Seorang aje?” soalnya sambil memandang sekeliling.
“Tak. Kau buta ke? Dalam cafe ni ramai orang,” perli Delisya dengan senyuman sinis. Samuel tergelak kecil.
“Kau dah buat pilihan?” soalnya dengan senyuman jahat. Terangkat kening Delisya memandang lelaki itu.
“Adam atau aku? Kalau kau pilih Adam, maka syarikat tu akan jadi milik aku sepenuhnya. Kalau kau pilih aku, sudah tentu kau berhak atas syarikat tu,” sambung Samuel sambil bersandar tenang pada kerusinya. Delisya tersenyum sinis.
“Adam. Aku pilih Adam. Tak apa dengan syarikat tu. Kau ambil lah. Aku tak nak satu sen pun harta papa yang kau ambil dengan cara kotor!” jawab Delisya dengan nada agak keras. Samuel terkedu.
“Kau memang degil Elis!” katanya tidak berpuas hati.
“Cukup lah Samuel. Kau dah ambil harta papa. Dulu kau kahwin dengan aku pun sebab harta kan? Kau nak apa lagi?!” marah Delisya. Samuel tersenyum sinis.
“Aku nak kau semula,” balasnya sambil memandang tepat wajah gadis itu.
“Kenapa? Sebab nak dera aku lagi? Nak aku selalu tengok kau buat projek dengan perempuan lain dalam bilik tidur kita sendiri?” soal Delisya bertalu sambil cuba menahan air matanya yang ingin gugur. Ingatannya masih segar bagaimana lelaki yang pernah menghuni hatinya itu membawa perempuan lain ke dalam bilik tidur mereka. Tiada siapa yang tahu perilaku lelaki itu termasuk papanya. Dia sedaya upaya menyimpan rahsia jahat lelaki itu namun apa yang dibalas oleh lelaki itu benar-benar membuat hatinya berkecai. Samuel terdiam mendengar soalan gadis itu. Dia bangun dari kerusinya dan terus berlalu tanpa berkata apa-apa. Delisya mendengus geram.
Kau jangan mimpi Samuel! Mati hidup semula pun aku tak akan kembali dengan kau!
*****
“Macam mana dengan permintaan uncle?” soal Datuk Taufiq sambil memandang tepat wajah anak muda itu. Hari ini dia meminta lelaki itu supaya datang melawatnya. Delisya tidak tahu akan kedatangan lelaki itu. Dia sengaja tidak memberitahu anaknya kerana mahu berbicara sendiri dengan Adam.
“Maksud uncle?” tanya Adam agak berdebar. Kalau boleh dia sebenarnya mahu mengelak daripada soalan itu. Sejak menerima panggilan daripada orang tua itu dia sudah tahu pasti Datuk Taufiq mahu bertemu dengannya kerana mahu bertanya mengenai hubungannya dengan Delisya.
“Bila Adam nak datang pinang Elis? Pintu rumah uncle sentiasa terbuka untuk Adam,” soal Datuk Taufiq tanpa bertapis lagi. Senyuman lebar terukir di bibirnya. Adam terkedu.
“Uncle, saya…,”
“Uncle berharap sangat Adam tak tolak permintaan uncle. Lagipun Elis juga tak menolak bila uncle cadangkan supaya dia jadi isteri Adam. Uncle kenal anak uncle Adam. Dia tak menolak sebab dia dah mula sayang Adam,” potong Datuk Taufiq dengan panjang lebar. Adam mengeluh perlahan.
“Saya tak pasti uncle. Saya anggap Elis tu tak lebih dari seorang kawan. Saya tak nak Elis kecewa nanti,” balasnya dalam nada perlahan tanpa memandang wajah Datuk Taufiq.
“Uncle jangan percaya sangat dengan saya. Uncle tak kenal dengan saya lagi. Saya…, mungkin tak mampu bahagiakan Elis seperti mana yang uncle nak,” sambung Adam dengan senyuman hambar.
“Uncle percayakan Adam. Adam boleh jaga anak uncle,” balas Datuk Taufiq sambil mengangguk dengan yakin. Adam mengeluh lagi. Bagaimana dia perlu menjelaskan kepada orang tua itu mengenai hubungannya dengan Delisya?
*****
Adam hanya memandang gadis yang sedang menarik kerusi di hadapannya. Bella menarik nafas dalam.
“Awak masih marahkan saya?” tanyanya agak berdebar. Setelah hampir dua minggu baru lah kelibat lelaki itu kelihatan mengunjungi Cafe miliknya. Saat melihat lelaki itu melangkah masuk ke dalam Cafe, dia dengan pantas bergegas menghampiri Adam. Ini sahaja peluangnya untuk bertemu dengan lelaki itu. Sudah dua minggu lelaki itu tidak menjawab sebarang panggilan daripadanya. Apatah lagi membalas mesejnya. Agak lama Adam merenung wajah gadis itu. Ada rindu yang terselit di sudut hatinya buat gadis itu. Bella semakin berdebar membalas pandangan lelaki itu.
Aduh, jangan lah pandang aku macam tu Adam. Nanti aku tak boleh tidur malam ni.
Bisik hati kecilnya.
“Kenapa saya perlu marah awak?” soal Adam kembali. Bella menggigit bibir.
“Sebab saya dah tipu awak. Saya nak kahwin dengan awak sebab nak larikan diri daripada Khai. Masalah saya dan Khai dah selesai. Tapi saya tetap berkeras nak kahwin dengan awak. Awak rasa tertipu,” jawab Bella dengan berat hati.
Beratnya hati nak mengakui kesilapan sendiri.
Bella berdehem perlahan. Dia agak segan dengan lelaki itu.
“Saya maafkan awak,” kata Adam perlahan. Dia bukannya marah pada gadis itu. Cuma kesal dengan diri sendiri. Mudah sangat dipergunakan.
“Adam, kali ni Bella serius. Look at me,” kata Bella sambil mendekatkan wajahnya dengan Adam. Berkerut kening Adam memandang gadis itu.
“I love you,” ucap Bella dengan senyuman. Adam terkedu.
“I love you, Adam. Saya dah tak peduli lagi. Saya nak jadi isteri awak,” sambungnya dalam nada tegas. Terkebil-kebil Adam memandang gadis itu.
“Seriously?” tegur satu suara. Adam dan Bella berpaling memandang gerangan yang menegur. Berkerut kening Chinta memandang Bella. Dia pantas menghampiri dan menarik kerusi di antara Adam dan Bella. Adam mula tidak senang duduk. Bella hanya tersenyum sinis memandang gadis itu.
“Aku salah dengar ke?” soal Chinta sambil memandang tajam gadis itu.
“Tak. Betul apa yang kau dengar. Aku sayangkan Adam. Aku nak Adam jadi suami aku. Kenapa? Kau ada masalah?” soal Bella kembali dengan perasaan geram. Chinta tergelak kecil.
“Buat apa aku nak marah. Tak lama lagi Adam akan jadi suami aku. Kau jangan mimpi nak ambil Adam daripada aku,” balasnya sambil memaut lengan Adam.
“Chinta,” tegur Adam sambil memandang sekeliling.
“Sayang, I cari you tau kat hospital. Rupanya you ada kat sini,” balas Chinta dengan kening berkerut. Bella mendengus geram. Dia pantas bangun dari kerusinya lantas berlalu. Chinta tersenyum sinis.
Padan muka.
“Chinta,” tegur Adam sambil menarik lengannya perlahan. Chinta hanya tersenyum membalas pandangan lelaki itu.
“Awak tak patut…,”
“What? Adam, I mean it. Saya nak kahwin dengan awak. Saya serius Adam,” pintas Chinta kini dengan riak wajah yang serius. Adam mengeluh perlahan.
“Chinta, saya faham perasaan awak. Look, saya dah letih fikirkan semua ni. Saya akan berjumpa dengan Nazri sekali lagi. Kalau boleh saya tak nak terikat dengan kamu bertiga lagi. Dalam hal ni, saya tak nak ada sesiapa yang terluka antara kita. Saya akan pastikan selepas ni Nazri tak akan kacau awak lagi. I’m sorry,” ucap Adam sebelum bangun perlahan dari kerusinya. Chinta mengeluh perlahan.