Home Novel Komedi/Romantik Komedi AKU TANPAMU
Bab 10


Melihat Adam yang sedang berjalan melepasi keretanya, Chinta pantas keluar dari  kereta.

“Adam!” panggilnya dengan nada agak kuat. Langkah Adam terhenti. Dia berpaling menoleh. Chinta berjalan perlahan menghampiri lelaki itu dengan senyuman lebar.

“Hai,” sapa Chinta. Adam hanya memandang gadis itu tanpa menjawab.

“Dah sarapan?” soal Chinta agak berdebar dengan renungan tajam lelaki itu.

“Masih nak pujuk saya?” soal Adam tanpa menjawab. Senyuman Chinta menghilang apabila mendengar soalan lelaki itu.

“Saya…,”

“Okay,” pintas Adam sambil mula melangkah semula.

“Apa?” soal Chinta masih keliru. Adam mengeluh perlahan. Dia berpaling semula memandang gadis itu.

“Jadi boyfriend palsu awak,” balasnya sebelum melangkah semula. Bulat mata Chinta memandang langkah lelaki itu.

Biar betul?

                                      *****

Bella hanya memandang Adam dari jauh tanpa berhasrat untuk menghampirinya. Lelaki itu sedang leka menjamah sarapan bersama dengan rakan baiknya.

“Hari ni pandang aje ke? Tak nak tegur?” soal Rasya separuh mengusik. Bella hanya tersenyum mendengar usikan rakannya itu. Dia melepaskan keluhan berat.

“Kenapa ni?” soal Rasya dengan kening berkerut. Sejak akhir-akhir ini dia ikut tidak tenang memikirkan gadis itu. Selagi Bella tidak memberitahunya apa masalah yang sedang dihadapi olehnya, selagi itu dia tidak senang hati. Bella hanya menggeleng tanpa menjawab.

“Kau ni degil tau tak. Entah apa yang susah sangat nak beritahu aku. Sebelum ni kau senang aje nak kongsi dengan aku,” kata Rasya sambil memandang tepat wajah rakannya itu.

“Khai buat hal ke? Dia ada perempuan lain?” soal Rasya lagi separuh meneka. Bella terkedu.

“Aku nak balik. Tolong jaga Cafe,” katanya sebelum bangun dari kerusinya. Dia mencapai beg tangannya lantas berlalu tanpa memandang Rasya. Terangkat kening Rasya memandang langkah gadis itu.

Khai ada perempuan lain?

                                 *****

“Serius?!” soal Marwah kurang percaya mendengar cerita rakannya itu. Chinta mengangguk laju.

“Aku rasa macam mimpi aje bila dia kata setuju nak jadi boyfriend aku,” katanya dengan senyuman lebar.

“Erm, tadi Nazri datang. Tapi aku beritahu dia yang kau keluar,” beritahu Marwah. Senyuman Chinta menghilang. Dia mendengus perlahan.

“Apa lagi lelaki tu nak?” soalnya geram. Marwah mengangkat bahu.

“Macam biasa kot. Nak pujuk kau agaknya,” jawabnya separuh meneka. Chinta tersenyum sinis.

“Nak pujuk aku? Hidup mati semula pun aku tak akan kembali dengan jantan tak guna tu!” katanya sambil menggenggam penumbuknya. Marwah hanya mengangguk tanpa berkata apa-apa. Dalam diam dia setuju dengan gadis itu.

Nazri memang tak sedar diri! Tak tahu malu!

                                *****

Delisya menarik tangan Adam melangkah masuk ke dalam butik yang memang menjadi tempat kegemarannya.

“Kita buat apa kat sini?” soal Adam dengan kening berkerut.

“Tenang aje. Hari ni saya belanja,” balas Delisya dengan senyuman manis.

“Hai Elis. Ini ke jejaka tu?” tanya seorang wanita yang agak berumur namun masih kelihatan jelita.

Yes aunty. Perkenalkan Adam. Adam, ni Datin Syahida pemilik butik Miracle ni,” beritahu Delisya.

“Apa khabar Adam?” tanya Datin Syahida.

“Baik Datin,” jawab Adam dengan senyuman.

“Panggil aunty aje,” kata Datin Syahida ramah. Adam mengangguk perlahan.

“Aunty, hari ni saya nak kemeja putih lengan panjang, kot hitam and cropped trousers. Kasut sepadan dengan baju,” celah Delisya dengan senyuman lebar.

“Boleh sayang. Adam ikut aunty,” kata Datin Syahida separuh mengarah. Adam memandang Delisya dengan kening berkerut.

Go, saya tunggu kat sini,” kata Delisya. Dia ingin tergelak melihat wajah keliru Adam namun ditahannya. Adam menarik nafas dalam sebelum mengikut langkah Datin Syahida.

                               *****

Datuk Taufiq hanya memandang Adam dari atas ke bawah. Adam hanya tersenyum nipis.

“Dah lama Adam kenal Elis?” soal Datuk Taufiq.

“Papa,” celah Delisya dengan kening berkerut.

“Elis, bagi ruang papa dan Adam berbual dulu,” kata Datuk Taufiq separuh meminta. Delisya mengeluh perlahan sebelum berlalu masuk ke dalam rumah. Adam menarik nafas perlahan.

“Sudah hampir dua bulan saya dan Elis berkawan,” jawabnya jujur.

“Baru dua bulan?” soal Datuk Taufiq kurang percaya. Adam mengangguk perlahan. Datuk Taufiq menggeleng.

“Elis dah gila agaknya. Baru dua bulan kenal dah nak kahwin dengan kamu,” katanya dengan riak wajah yang agak kecewa.

“Saya memang tak nak kahwin dengan Elis, uncle. Kami cuma kawan,” jelas Adam.

“Adam tahu tak kenapa Elis bawa Adam malam ni jumpa uncle?” soal Datuk Taufiq dengan kening berkerut. Adam menggeleng perlahan. Dia agak berdebar menunggu ayat yang seterusnya keluar dari mulut orang tua itu.

“Hampir separuh daripada syarikat uncle dah jadi milik Samuel bekas suami Elis. Elis kata dia akan ambil semula haknya dengan bantuan suami baru. Uncle ingat dia cuma bergurau. Tak sangka pula dia serius. Sebenarnya uncle masih geram dengan Elis. Samuel dah cukup baik dan sempurna di mata uncle. Samuel boleh jadi seorang suami dan usahawan dalam masa yang sama. Uncle tak tahu mana silapnya tiba-tiba uncle dengar mereka dah bercerai,” kata Datuk Taufiq dengan perasaan sebak. Adam hanya diam membisu.

“Semalam Elis beritahu uncle nak bawa Adam jumpa uncle. Elis kata dia nak kahwin dengan Adam sebab Adam lelaki baik,” sambung Datuk Taufiq sambil memandang tepat wajah tenang Adam.

“Tu tak mungkin uncle,” balas Adam sambil bangun dari kerusinya.

“Saya minta maaf kalau kedatangan saya malam ni menganggu uncle. Percaya lah saya dan Elis tak ada apa-apa,” katanya sebelum berlalu.

“Adam!” panggil Delisya sambil berjalan pantas keluar dari rumah apabila melihat Adam yang mula menghampiri pagar utama.

“Dah nak balik? Kita tak dinner lagi ni,” katanya sambil menghentikan langkahnya apabila lelaki itu tiba-tiba berhenti. Adam berpaling memandang gadis itu.

“Saya dah kata tak nak kahwin dengan awak,” katanya dengan kening berkerut. Delisya menggigit bibir.

“Saya dah beritahu awak hari tu. Saya nak syarikat papa semula. Kalau saya tak kahwin dengan awak, saya tak kuat nak lawan Samuel. Hampir kesemua harta milik papa Samuel dah ambil. Papa sepatutnya serahkan separuh aje tapi jantan tak guna tu pandai. Sepanjang kami bergelar suami isteri dia dah ambil sedikit demi sedikit tanpa kami sedari. Masa tu papa pula terlalu percayakan lelaki tu. Perkara ni memang saya tak beritahu papa lagi. Mesti dia sangat kecewa kalau tahu. Sebelum papa tahu, saya nak ambil semula syarikat tu. Saya perlukan awak, Adam,” jelasnya dengan perasaan sebak. Adam menggeleng perlahan.

“Kenapa mesti saya?” soalnya dengan nada perlahan hampir tidak kedengaran.

“Sebab awak aje yang saya ada,” jawab Delisya tepat memandang wajah lelaki itu.

“Saya boleh tolong awak tanpa kahwin dengan awak pun. Kalau awak jumpa saya lagi lepas ni, tolong jangan cakap pasal kahwin lagi. Saya tak suka,” Adam memberi amaran sebelum mengambil keputusan untuk melangkah masuk semula ke dalam rumah. Terkebil-kebil Delisya memandang langkah lelaki itu. Dia melepaskan keluhan berat.

                                   *****

Ekram menepuk lembut bahu lelaki itu. Adam hanya memandang sekilas ke arah sahabatnya itu.

“Kau dah kenapa lepak seorang diri kat taman ni?” tanya Ekram sambil tersengih. Adam mengeluh perlahan tanpa menjawab.

“Semalam apa cerita?” soal Ekram lagi dengan kening berkerut. Adam bersandar pada bangku yang diperbuat daripada kayu tanpa memandang Ekram.

“Aku…, entah lah Ram. Aku tak tahu nak cakap macam mana. Sepatutnya aku boleh tolong Elis tanpa perlu berkahwin dengannya. Tapi sebelum aku balik semalam, papa Elis buat aku berfikir semula,” jawabnya dengan kening yang berkerut.

“Sekejap, maksudnya kau setuju nak kahwin dengan Elis?” soal Ekram agak keliru.

“Aku…,” Adam meraup wajahnya. Ekram menggeleng perlahan.

“Adam, kalau kau tak nak, buat apa nak paksa diri? Sekarang ni kau dipergunakan untuk kepentingan mereka. Ingat Adam, kahwin ni bukannya seminggu dua,” kata Ekram separuh menasihati.

“Papa Elis tu sakit. Tapi Elis tak tahu. Sebelum balik, papa Elis tunjukkan aku rekod kesihatannya. Dia memang tak sihat,” beritahu Adam.

“Apa kena mengena dengan kau?” soal Ekram hairan.

“Dia risaukan Elis,” balas Adam perlahan. Ekram menggeleng lagi.

So, dia nak kau jadi penjaga Elis?” tekanya. Adam diam tidak menjawab.

“Sekarang ni kau nak buat apa?” soal Ekram lagi. Adam mengeluh.

“Kau ni baik sangat lah Adam,” kata Ekram dengan kening berkerut.

                                  *****

“Kau okay?” soal Rasya sambil menarik kerusi di hadapan rakannya itu. Wajah Bella kelihatan pucat.

I’m okay,” balas Bella dengan senyuman hambar.

“Bella,” panggil Rasya dengan kening berkerut. Risau dia melihat keadaan rakannya itu.

“Kau boleh tak janji dengan aku,” kata Bella perlahan.

“Janji apa? Kau buat aku risau tau tak,” balas Rasya.

“Tak payah risau lah. Aku okay. Aku nak kau janji dengan aku yang aku, kau dan Lara tak akan berpisah walauapapun yang berlaku,” kata Bella.

“Kau semakin buat aku risau. Okay, aku janji. Puas hati? So?” soal Rasya yang agak berdebar melihat telatah gadis itu. Bella menarik nafas dalam.

“Sebenarnya, Khai dan Lara dah lama bercinta tanpa pengetahuan kita,” beritahu Bella tanpa memandang wajah Rasya. Rasya terkedu.

“Kau bergurau?” soalnya masih tidak percaya dengan apa yang baru didengarinya dari mulut gadis itu. Bella tersenyum sinis.

“Buat apa nak bergurau. Tak lawak,” jawabnya dengan perasaan sebak.

“Tak guna! Sampai hati Lara buat kau macam ni. Lara dah tahu yang kau tahu pasal mereka?” soal Rasya mula naik angin. Bella menggeleng perlahan. Rasya bangun lalu duduk di sisi gadis itu. Dia menarik Bella ke dalam pelukannya.

“Kau dah janji. Jangan apa-apakan Lara,” bisik Bella perlahan di telinganya.

“Kau memang bodoh!” balas Rasya dengan perasaan sebak. Bella hanya tersenyum hambar.

Memang aku bodoh. Aku tak nafikan tu.

                                *****

Adam memandang lama telefon bimbitnya yang sedang berdering. Melihat nama yang terpampang di skrin telefonnya membuatkan dirinya takut untuk menyambut panggilan tersebut. Deringan terhenti berganti pula dengan bunyi mesej.

-Hai awak. Nak ajak awak lunch. Boleh?

-Please

-Cafe yang dekat hospital awak.

-Datang tau. Saya tunggu.

Adam menyentuh dahinya. Dia meletakkan telefon tersebut ke dalam laci. Keluhan berat dilepaskan.

                                   *****

Tersenyum lebar Chinta melihat lelaki itu yang sedang berjalan menuju ke arahnya.

“Hai,” ucapnya saat Adam menarik kerusi di hadapannya. Adam tersenyum nipis.

“Ingatkan awak tak datang. Memandangkan awak dah terima undangan saya, hari ni saya belanja awak. Awak nak makan apa?” tanya Chinta sambil merenung wajah kacak lelaki itu.

“Awak pesan lah. Saya ikut aje,” balas Adam sambil turut membalas pandangan gadis itu. Chinta mengangguk sambil tersenyum lebar. Dia memanggil pelayan. Selesai memesan dia memandang lelaki itu semula.

“Terima kasih awak,” ucapnya perlahan.

“Kenapa?” soal Adam. Dia tahu maksud gadis itu namun dia sengaja bertanya.

“Sebab sudi terima saya jadi girlfriend awak,” balas Chinta selamba. Adam berdehem perlahan.

“Awak sudi tak kalau saya ajak keluar hujung minggu ni?” tanya Chinta dengan senyuman. Geli hatinya melihat pipi merah lelaki itu.

“Saya kena tengok jadual dulu,” balas Adam perlahan.

“Kalau ma…,”

“Adam,” panggil satu suara. Adam dan Chinta serentak menoleh. Terangkat kening Chinta melihat gadis yang sedang menarik kerusi di sebelah Adam. Adam hanya tersenyum hambar membalas pandangan gadis itu.

“Lama tak nampak awak lepak kat sini,” tegur Bella dengan senyuman lebar.

“Saya memang bukan selalu ada kat sini,” balas Adam perlahan. Chinta berdehem. Bella memandang gadis itu.

“Siapa?” soal Bella sambil memandang Adam.

“Teman wanita Adam,” beritahu Chinta dengan nada tegas. Adam terdiam mendengar jawapan Chinta. Bella tersenyum mengangguk.

“Saya Bella. Bakal pengganti awak,” katanya dengan senyuman sinis. Bulat mata Chinta memandang gadis itu. Adam bersandar pada kerusinya. Tali lehernya mula dilonggarkan.

I see. Ada hati nak gantikan saya,” balas Chinta dengan kening terangkat. Bella hanya tersenyum sinis.

“Jumpa lagi Adam,” kata Bella sebelum bangun dari kerusinya. Chinta mendengus perlahan.

Wait, kenapa aku perlu marah pula ni?

                                   *****

Bella memandang wajah papanya dengan riak kurang percaya.

“Mereka tak nak terima cincin tu?” soalnya meminta kepastian.

“Mama Khai tak nak. Dia tak mahu keluarganya mendapat malu,” beritahu Datuk Ridhuan sambil bersandar pada sofa. Bella mendengus.

So, papa bawa balik semula cincin tu?” soalnya lagi. Datuk Ridhuan mengangguk perlahan.

“Pa, Bella dah kata tak nak kahwin dengan mamat tu,” kata Bella dengan kening berkerut.

“Cuba Bella beritahu papa apa sebab Bella tak nak kahwin dengan Khai. Bella kena beritahu papa supaya papa boleh jelaskan dengan mereka,” balas Datuk Ridhuan dengan nada agak kuat. Geram juga dia dengan anak daranya itu yang sukar berkongsi dengannya. Bella mengeluh perlahan.

“Bella buat silap? Bella ada orang lain ke?” soal Datuk Ridhuan separuh meneka. Bella menggeleng.

“Bella tak sejahat tu pa. Bella dah tak cintakan Khai. Kenapa susah sangat papa nak faham? Please pa. Pulangkan semula cincin tu,” balas Bella separuh merayu.

“Papa cuba untuk faham Bella. Tapi Bella tak pernah jelaskan dengan papa apa yang dah berlaku. Apa sebenarnya yang Bella sembunyikan daripada papa?” soal Datuk Ridhuan dengan kening berkerut.

“Bella penat pa. Nanti kita bincang lagi pasal ni,” balas Bella sambil bangun dari sofa lantas melangkah naik ke tingkat atas. Datuk Ridhuan mengeluh perlahan. Sakit kepalanya memikirkan masalah Bella dan Khairul. Sebagai seorang ayah, memang dia mahu yang terbaik untuk gadis itu. Namun apabila melihat Bella beria-ria mahu memutuskan hubungan dengan Khairul, dia mula tidak sedap hati. Sikap berahsia Bella pula membataskannya untuk meneka apa sebenarnya yang berlaku.

                                   *****

Berkerut kening Chinta apabila melihat Nazri yang sedang bersandar tenang pada keretanya.

“Hai,” sapa Nazri apabila melihat Chinta yang berdiri tidak jauh darinya.

“Berani kau datang jumpa aku. Kau tak malu?” soal Chinta dengan perasaan geram.

I miss you,” ucap Nazri perlahan. Chinta menarik nafas dalam.

“Kau adalah penyesalan yang tak terhingga dalam hidup aku Nazri! Aku menyesal kenal lelaki macam kau! Kau pulang lah pada isteri dan anak kesayangan kau tu. Aku tak nak nanti aku dicop pula perempuan yang suka rampas suami orang!” katanya dengan nada keras separuh mengarah. Nazri berjalan perlahan menghampiri gadis itu.

“Kau jangan cuba dekat dengan aku!” kata Chinta seiring dengan langkahnya yang berundur ke belakang. Nazri berhenti melangkah.

“Saya nak kahwin dengan awak,” kata Nazri dengan riak wajah yang bersungguh. Chinta tergelak kecil.

“Minta maaf ek. Aku tak ingin lah lelaki macam kau! Lagi satu, aku dah ada teman lelaki. So, kau dengan muka tak malu kau tu jangan pernah ganggu hidup aku lagi! Kahwin? Jangan mimpi lah!” balasnya sambil melangkah pantas menuju ke arah keretanya. Dibiarkan lelaki itu yang masih lagi berdiri tanpa berkata apa-apa.

Kau akan rasa apa yang aku rasa Nazri!  

Bisik hati kecil Chinta yang penuh dengan dendam. Nazri hanya memandang kereta gadis itu berlalu. Dia mengeluh perlahan.

 


Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.