Home Novel Komedi/Romantik Komedi Biar Mereka Cemburu
Biar Mereka Cemburu
A. Darwisy
9/10/2013 21:04:09
132,304
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 4

Nad mengerutkan hidungnya. Dia terhidu satu bau wangi yang menusuk-nusuk, sampai pening-pening lalat dibuatnya. Nad mencari punca bau itu dan dia pasti sekali, bau wangi itu datangnya dari Rostam. Buang tabiat apa lelaki ini? Lebih dua tahun bekerja sama, tidak pernah pula Rostam berwangi-wangian sebegitu sekali. Dan tambah menghairankan, dilihatnya Rostam segak memakai kemeja bercorak bunga-bunga. Seperti baju baru beli saja pada pengamatan Nad. Biasanya, t-shirt berkolar warna biru yang sudah lusuh itulah yang dipakai hari-hari.

“Bang Rostam pakai perfume eh?” Nad selamba bertanya. Rostam yang baru duduk di kerusi pemandu, tersengih saja. Lelaki itu sengaja membiarkan enjin bas dihidupkan beberapa minit sebelum memulakan tugasnya sebagai pemandu bas metro.

“Bau pewangi Ambi Pur ni kut...” Rostam bercanda. Nad mencebik bibir. Macamlah dia tidak tahu membezakan bau pewangi kenderaan dengan minyak wangi.

“Loyar buruklah tu!” Nad menjeling. Rostam tersengih lagi melihat kerenah Nad yang ada kala mencuit hatinya.

“He...he...he... Ya... abang pakai perfume. Puas hati?” balas Rostam mahu memujuk. Nad menyeringai.

“Wah, abang Rostam hendak mengorat siapa ni? Pakai baju pun bunga-bunga. Segak betul!” puji Nad ikhlas. Rostam memang kacak orangnya. Berkulit sawo matang, berambut pendek dan kemas. Tinggal lagi, dia cuma seorang pemandu bas. Barangkali kalau dirinya seorang akauntan, pegawai bank, tidakpun seorang yang menjawat jawatan yang hebat-hebat, nescaya sudah ramai perempuan-perempuan di luar sana yang tergila-gilakan lelaki itu.

“Betul ke abang nampak segak, Nad? He...he...he...”

“Betul, tak tipu. Sukalah tu! Ha, ini mesti abang mahu dating dengan Sofea, kan kan kan?” duga Nad sambil menjongket-jongketkan kening kirinya. Mendengar nama Sofea, terus alergik Rostam dibuatnya. Sofea yang selalu buat dia rimas dan rasa tidak selesa. Sofea yang mengada-ngada.

“Harap-harap, minah colour blocking tu tak naiklah bas kita hari ni. Huh!” jawab Rostam mengundang tawa kecil Nad. Nad tahu sangat kenapa Rostam cukup takut hendak menghadap perempuan bernama Sofea itu. Sofea satu-satunya peminat tegar Rostam. Boleh dikatakan saban pagi, perempuan itu akan gigih menunggu di perhentian bas yang sama, waktu yang sama, semata-mata mahu menaiki bas yang dipandu Rostam. Terkadang, mahu pecah perut Nad melayan drama pagi mereka.

“Tak baiklah abang ni, tau. Sofea tu kan pembuka rezeki kita. Dia naik aje bas kita, berduyun ramai orang naik lepas tu. He...he...he...” Sofea giat mengusik. Rostam mengherotkan mulutnya.

“Pembuka rezekilah sangat. Abang kalau dia naik, mahu aje terjun dari dalam bas ni tau!”

Nad ketawa tutup mulut. Walau bagaimana tidak suka pun Rostam dengan Sofea, perempuan itu tetap bersungguh cuba memikat lelaki tersebut. Panggillah dia dengan apa-apa gelaran pun, Sofea tidak kisah. Hati Sofea sudah lama terpaut kepada Rostam, cinta pandang pertamanya.

Perjalanan dimulakan. Rostam memandu dengan lafaz bismillah. Tugas sebagai seorang pemandu bas, tidaklah enteng seperti yang disangka sesetengah orang. Menjadi tanggungjawab Rostam untuk memastikan setiap penumpang yang menaiki basnya, dapat sampai ke tempat yang ingin mereka tuju dengan selamat. Tidak boleh memandu semberono laju yang boleh mengakibatkan kemalangan, tidak boleh mengambil dan menurunkan penumpang di tengah-tengah jalan raya sesuka hati, pendek kata bukan nyawa sendiri saja yang perlu dijaga tetapi juga nyawa penumpang bas yang sedang dibawanya.

“Bang, Nad dah fikir masak-masak... nak daftar masuk kursus hujung bulan ni,” Nad mengajak sembang tiba-tiba. Rostam yang sedang menumpukan perhatian sepenuhnya di hadapan jalan raya, hanya sempat menoleh sesaat dua melihat tampang perempuan itu yang bersemangat hendak bercerita.

“Daftar kursus masak-masak? Nak belajar memasak, dengan mak abang pun boleh Nad. Tak payah bayar yuran segala,” respon Rostam menyebabkan Nad menggaru-garu kepalanya. Bila masa pula aku kata hendak masuk kursus memasak? Nad berfikir sendiri kalau-kalau dia yang tersalah cakap tadi.

“Kursus masak-masak apa pulak, bang oi? Ni mesti tak dengar betul-betul apa yang Nad cakap! Nad nak daftar masuk kursus fotografi lah!” Nad memperbetulkan salah faham Rostam. Lelaki itu kali ini memberi perhatian yang lebih terhadap Nad yang sedang berkongsi cerita dengannya.

“Oh. Kenapa tiba-tiba aje Nad nak masuk kursus fotografi? Bukan ke mahal semua tu?” tanya Rostam mengambil berat. Dia bukannya mahu menghalang keinginan belajar perempuan itu sementelahan Nad selayaknya dalam usia sekarang ini, sedang belajar di institut-institut pengajian tinggi seperti gadis-gadis remaja yang lain. Tetapi nasib tidak menyebelahi Nad yang terpaksa berkorban banyak perkara bagi meneruskan kelangsungan hidup. Cuma Rostam risaukan tentang perihal yuran pengajian yang sudah tentu mahal. Cukupkah duit Nad untuk menampung semua itu?

Nad terdiam sejenak. Dia membuang pandang ke luar tingkap. Bas yang sedang bergerak sederhana laju, memberi ruang untuk dirinya menikmati pemandangan indah di luar. Pohon-pohon hijau yang meredup pandangan. Bunga-bunga kecil berbagai-bagai warna membentuk landskap yang menawarkan ketenangan. Seni taman yang barangkali tidak punya sebarang keistimewaan di mata orang lain tetapi begitu menggamit hati Nad yang memandang.

“Sebab Nad suka melihat pemandangan yang indah... biarpun cuma dari tingkap bas ini,” jawab Nad perlahan. Nadanya meski biasa-biasa saja tetapi Rostam yang mendengar, tersentuh hatinya tiba-tiba. Dia tahu getir hidup perempuan itu. Terkadang dia mengharap, dia mampu untuk melimpahkan kesenangan dan memberi kebahagiaan kepada Nad tetapi apalah dayanya?

“Jadi, Nad mahu daftar kursus fotografi ni sebab mahu tangkap gambar-gambar pemandanganlah ye?” Nad mengangguk dan tersenyum manis. Biarpun baru sekadar memasang angan-angan, Nad akan bersungguh-sungguh untuk mencapai cita-citanya. Paling tidak, dia mahu minat dan bakatnya itu tidak dipersia-siakan.

“Ha’ah. Tidaklah mahal sangat yuran kursusnya. Seratus lima puluh ringgit aje. Nad dah simpan duit untuk masuk kursus itu awal-awal lagi. He...he...he...” Jujur Nad memberitahu. Dia mengimpikan satu hari nanti, dirinya berpeluang untuk mengelilingi dunia dan membidik pemandangan-pemandangan indah yang terdapat di setiap negara yang dikunjunginya. Tetapi Nad sedar akan diri, mustahil sekali untuk dia menjadikan impiannya itu satu kenyataan. Meski begitu, tidaklah Nad berkeluh-kesah. Sekadar duduk di dalam bas, dan melihat pemandangan di luar menerusi cermin, sudah memadai baginya.

Nad tidak pernah meminta lebih dari itu.

“Berapa hari kursusnya, Nad? Dekat mana?”

“Satu hari aje, mula pukul 8:30 pagi sampai 5:30 petang. Ikut brosur yang pihak penganjur bagi, tempatnya di Putrajaya.”

Rostam mengangguk-angguk. Baru dia hendak bertanya lebih lanjut lagi tentang kursus fotografi yang mahu dihadiri Nad itu, dari kejauhan Rostam sudah ternampak akan sesusuk tubuh yang sedang melambai-lambaikan tangan. Nad memanjangkan lehernya, melontar pandang nun di hadapan. Perempuan itu mengekeh ketawa. Rostam pula sudah mengeluh kasar.

“Habislah, minah colour blocking dah mai dah!” rungut Rostam seorang diri. Mahu saja dia meneruskan perjalanan tetapi mengenangkan di perhentian bas itu, ramai orang sedang menunggu hendak menaiki bas yang sama, terpaksalah dia berhenti juga. Kalau Sofea seorang saja di perhentian bas tersebut, nescaya dia tidak akan berkira-kira untuk memecut laju.

“Wah! Cantik Sofea hari ni, bang! Secocok dengan abang, pakai baju bunga-bunga. He...he...he...” sakat Nad yang tidak sabar hendak menonton sketsa cinta Rostam dan Sofea.

Rostam buat-buat tidak layan. Bibir lelaki itu bergerak-gerak, seperti sedang merungutkan sesuatu. Semakin dekat bas yang dipandu menghampiri perhentian bas itu, semakin jelas pula kelihatan leretan senyuman menggoda Sofea.

“Mak aih! Tema lampu isyarat apa minah ni pakai?” Rostam sempat mengutuk. Nad tergelak kecil. Dilihatnya, Sofea begitu bergaya sekali. Cuma mungkin, rona warna terang yang dipilihnya, sedikit menakutkan. Manakan tidak? Tudung berwarna merah garang, blouse berwarna kuning pisang dan dipadankan pula dengan maxi skirt labuh berwarna hijau pekat. Mahu berpinar biji mata dibuatnya.

“Abang Rostam ni tak baik tau! He...he...he...” Nad tersengih-sengih gelihati. Sofea kalau bab bergaya, memang mengalahkan artis. Pernah juga Nad bersembang dengan perempuan itu, mengorek cerita tentang latarbelakangnya. Sofea rupa-rupanya seorang receptionist di sebuah syarikat swasta. Padanlah setiap hari berlawa saja kerjanya.

Rostam memberhentikan bas yang dipandu betul-betul di hadapan perhentian bas itu. Sofea tersenyum lebar sebaik menatap wajah hero idaman hati. Rostam mempamerkan muka kelat. Kuasa dia mahu membalas senyuman perempuan itu.

“Abanggg...” panggil Sofea manja, meleret-leret nadanya. Rostam geli-geleman mendengar. Boleh meremang bulu tengkuk lelaki itu.

“Hai, Sofea! Cantiknya Sofea hari ni,” sapa Nad sengaja mahu mengambil hati. Kasihan pula dia melihat perempuan itu yang tidak dilayan Rostam.

“Orang dah cantik, Nadia... pakai apapun cantik. He...he...he... he. Betul tak abang?” balas Sofea manja. Sempat lagi tersipu-sipu malu. Nad hanya mampu tersengih. Rostam pula seperti mahu terkeluar segala isi perutnya mendengar kenyataan berani mati perempuan itu. Mahu saja waktu itu dia muntah hijau!

Penumpang-penumpang yang berada di belakang Sofea, sudah berebut mengambil tempat duduk di dalam bas. Tetapi tidak pula Sofea yang sanggup berdiri berdekatan tempat pemandu, semata-mata mahu berdamping mesra dengan Rostam. Tidak senang lelaki itu hendak memandu dibuatnya. Nad melakukan rutin tugasnya seperti biasa. Melayan drama pagi Sofea dan Rostam, tidak buat kerja pula sudahnya.

“Abanggg... bila abang nak masuk meminang Fea?”

SRETTT!!!

Rostam tertekan brek tiba-tiba. Terkejut punya pasal!

Mujurlah tidak berlaku apa-apa yang tidak diingini. Rostam lekas mengangkat tangan, sebagai isyarat memohon maaf kepada penumpang-penumpang yang berada di dalam bas. Yalah, pagi-pagi sudah bikin gempar! Rostam menarik nafas dalam-dalam dan kembali meneruskan pemanduan. Tetapi rengekan manja Sofea sekali lagi membuatkan dia tertelan air liur!

“Fea seriuslah, bang. Mak abah Fea dah sibuk bertanya tau!” Sofea memuncungkan mulutnya. Konon comellah! Rostam yang sedari tadi berdiam diri, akhirnya terpaksa juga memaksa diri untuk berkata-kata. Kalau didiamkan, menjadi-jadi pula Sofea mengarut entah apa-apa.

“Fea merepek apa ni?”

“Merepek apa pulak? Fea cakap... bila abang nak masuk meminang Fea. Mak abah Fea pun dah bertanya. Kita buat majlis bulan Disember ni lah ye, bang? Waktu cuti sekolah... kita pilih tarikh 11.12.13. Barulah serupa artis! He...he...he...” Sofea sudah melalut tidak berkesudahan. Rostam tergaru-garu kepala. Sejak bila pula dia berjanji hendak memperisterikan Sofea? Waras atau tidak perempuan ini? Rostam menceceh dalam hati.

“Kejap! Kejap! Sofea, awak ni tak tahu malu ke apa? Peliklah saya dengan perangai awak ni! Kita ni bukan pasangan kekasih pun, macam mana pula tiba-tiba timbul soal masuk meminang ni?” Rostam bersuara. Kelat muka Sofea serta-merta. Rostam tidak kisah. Lagipun bukan kali ini saja dia sudah berterus-terang tetapi sudah banyak kali! Dirinya langsung tidak memendam sebarang perasaan biar sekelumit pun terhadap perempuan itu! Hairan sekali, Sofea seperti tidak faham-faham pula penolakannya yang sudah terang lagi bersuluh itu.

“Tapi abang dah janji!”

“Bila masa pulak?” bidas Rostam kembali. Sofea sudah mencebik bibirnya. Perempuan itu tiba-tiba saja menangis teresak-esak. Sudahnya, semua yang berada di dalam bas itu tertanya-tanya. Nad berlagak selamba. Dia sudah betah dengan drama pagi itu. Boleh dikatakan, ada saja babak rajuk-rajuk manja saban hari!

“Ah, lelaki memang camtu. Lidah bercabang dua! Huh!”

“Kalau lidah bercabang dua, keturunan ular tu Fea. Tengok lidah abang, normal kan? He...he...he...” Rostam rasa mahu ketawa melayan drama Sofea. Dia pun ikut sama tingtong dibuatnya. Terjelir lidah tidak pasal-pasal.

“Kalau abang tak mahu masuk meminang Fea, Fea terjun keluar dari bas ni! You jump, I jump!” ugut Sofea yang seperti kebudak-budakan saja perangainya. Siap mendepangkan tangan ala-ala babak dalam filem Titanic kononnya. Rostam yang menyangka perempuan itu cuma bergurau, tergamam apabila Sofea sudah berdiri di tangga bas. Cepat-cepat Rostam memperlahankan bas yang dipandu tetapi belum sempat bas itu berhenti, Sofea bertindak nekad. Perempuan itu melompat keluar dari bas yang masih bergerak laju. Masing-masing naik cemas dibuatnya!

Rostam menekan brek mengejut! Sekali lagi penumpang di dalam bas, terdorong tubuh mereka ke depan. Ada juga yang terhantuk dahi pada pemegang kerusi di hadapan. Nad sempat berpaut kuat pada salah satu tiang di dalam bas itu. Terbeliak matanya apabila melihat Sofea sudah terduduk di bahu jalan. Biar betul minah ini?

Benarlah kata orang, kerana cinta, lautan api sanggup diredahi. Terjun dari bas pun sanggup!


Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.