Home Novel Komedi/Romantik Komedi AWAK JANGAN NAKAL
AWAK JANGAN NAKAL
muRni aQiLa
24/2/2014 23:27:42
210,675
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 9
JEFFRY mencuba entah kali ke berapa. Didail nombor telefon Shahrul lagi. Masih seperti tadi. Bagaikan berada di luar kawasan perkhidmatan. Dia berdecit.

“Tak dapat lagi?” Atang pun tak senang duduk. Dia menghirup hot chocolate.

Jeffry meletakkan telefon bimbitnya di atas meja. “Susah betul nak call dia sekarang ni.”

Mereka sudah melepak di Starbuck itu hampir satu jam. Air pun dah habis, dipesan lagi.

“Dia balik kampung kot.”

“Taklah. Aku baru call dia dua hari lepas. Dia ada lagi kat Pandan Indah ni, kat rumah sepupu dia.” Jeffry menafikan. “Tapi, dia kata kadang-kadang dia ikut sepupu dia kerja.”

“Dia kerja apa?”

“Entah. Bahagian marketing katanya. Kau bukan tak tahu, dia tu setiap kali cuti sem mesti kerja. Tapi, dengan sepupu dia ni dia kerja malam aje.”

Atang mengangguk-angguk. “Kerja malam...”

“Pukul 10.00 kalau dia tak datang, kita baliklah.” Jeffry memutuskan. “Kalau...” Baru nak cakap telefonnya berdering.

“Hah, tu! Dia call tu!”

Jeffry mendengus. “Bukan dia.”

Atang terpinga. “Habis tu?”

Tanpa menjawab soalan Atang, Jeffry menyambut panggilan itu dengan muka kelat. “Helo...” Kemudian wajahnya dimaniskan.

“You, helo... jom kita keluar.”

“Alah, Julie ni. Kenapa tak bagi tahu awal-awal? Jeff dah keluar dah ni dengan member.”

Mendengar Jeffry menyebut nama Julie, Atang tergelak-gelak tanpa suara. Tak mahu Julie dengar suaranya.

Sorrylah, Julie. Lain kalilah kita jumpa ya?” Jeffry menolak secara baik. Dengan Julie dia tak boleh nak ‘membahan’. Julie tu modelnya. Sumber untuk menyiapkan tugasan. Dia malas nak cari model lain. Jadi, kenalah jaga hati gadis itu.

“You ni kan, Jeff... tak nak ajak Julie keluar sama-sama.” Julie mula buat ayat merajuk.

“Okey, okey... lain kali Jeff ajak Julie. Okey?” Seketika kemudian, Jeffry memutuskan talian dengan muka sebal. Janji-janji ayam. Memang taklah dia nak ajak Julie keluar sama-sama.

“Dia syok kat kau tu,” ujar Atang sambil tersengih.

“Apa hal pulak? Malas aku. Tak sukalah couple-coupleni. Leceh!”

Atang tertoleh apabila dua orang gadis melangkah masuk ke dalam kedai itu. “Hui, hui... tanteknya...” Terus dia bersiul.

“Eh, kau ni! Orang ramai nampaklah.”

Dahi Atang berkerut. “Biasa kita kacau usik orang selamba aje. Ni tiba-tiba pulak kau macam beradab. Pelik aku!”

“Nak mengusik pun tengok tempatlah jugak, gila. Bukan main kacau aje. Tengoklah budak tu punya dressing. Bergaya, seksi... up to date. Pakai seluar ketat. Sorang warna merah. Sorang warna biru. Beg tangan dia tu kau tengok. LV okey? Perempuan macam ni tak boleh sembarangan. Ada cara dia. Kalau tak, kau yang malu.”

Atang mencebik melihat kepoyoan Jeffry. Macam pakar mengurat! Dia merenung kembali dua orang gadis yang sememangnya memukau.Vogue!

“Tengok, tengok... dia orang dah ambil order. Harap-harap dia orang minum kat sini jugak.” Jeffry terus membetulkan cara duduk agar nampak berkaliber.

Atang terduduk tegak sambil mata tidak lepas memandang ke arah keindahan yang terbentang di hadapan mata.

Dua orang gadis itu melangkah ke pintu sambil berbual dan tersenyum.

“Alah... dia orang nak keluarlah. Melepas!” Atang sedikit kecewa.

“Tak apa, tak apa... Kejap lagi bila dia orang pandang kita, terus kenyit mata okey?” Jeffry kelihatan relaks. Dan kemudian dia terus berdeham apabila gadis-gadis itu hampir dekat melalui meja mereka.

Tidak berlengah Atang cepat-cepat mengenyitkan mata dengan reaksi menggoda tatkala gadis-gadis itu menoleh.

Jeffry pun sama. Dua kali dia mengenyitkan mata. Dengan wajah nakal dia tersenyum-senyum.

Dua orang gadis itu ketawa sambil menutup mulut. Tersipu-sipulah tu! Mereka sudah keluar dari kedai itu tanpa berpaling lagi, sampai terteleng-teleng kepala Jeffry dan Atang.

Berdekah-dekah Jeffry dan Atang selepas itu. Mereka mengangkat tangan dan membuat ‘high ten’. Gembira apabila gadis-gadis itu memberi respons yang baik.

“Ah... tapi melepas!” Atang hampa.

Jeffry ketawa. Dia tahu Atang pun seperti dirinya. Mengusikdan mengacau gadis sekadar suka-suka. Tak berniat langsung nak mempermainkan perasaan mereka. Nak serius pun tak.

“Aku tak main-main tau, Jeff. Aku kalau dapat awek macam yang tadi tu, sumpah tak cari lain dah! Aku memerap duduk kat rumah tak nak keluar, sebab aku nak setia kat dia aje.”

Jeffry mengangkat kening menunjuk riak menyindir.

“Aku rasa aku akan jadi pencinta yang setia.” Atang terangguk-angguk mengiakan kata-katanya yang konon serius.

“Persoalannya, siapa yang nakkan kau?” Jeffry melepaskan ketawa. Atang dari dulu lagi cuba nak bercinta, tapi tak pernah menjadi. Entah apa saka yang dia pakai sampai perempuan tengok dia pun macam tak ada selera. Padahal wajah boleh tahan kacak. Cuma sejak akhir-akhir ini Atang seolah-olah berhenti berharap.

Atang tak tahu nak kata apa lagi. Mati kata terus.

“Aku faham... kau nak kita sama-sama jadi kaki kacau, kaki usik perempuan sampai ke tua, kan?” Ketawa Jeffry meletus kembali.

Wajah Atang memonyok.

“Eh, Shahrul datang! Shahrul datang!” tunjuk Jeffry ke arah pintu. Dia melambai-lambai menggamit kawannya itu yang datang bersama seorang lelaki. Sepupu Shahrul rasanya.

“Woi, bro! Lama tak dengar cerita.”

Mereka bersalaman, tapi cara anak-anak muda. Bukan main gembira lagi mereka dapat bertemu.

“Ni sepupu aku... Zakri. Panggil Zack aje.” Shahrul memperkenalkan sambil melabuhkan duduk.

“Zack? Perghh... nama orang putih tu!” usik Atang. Dia merenung Zakri yang memang kacak. Bergaya pulak tu! Terasa diri kerdil tiba-tiba.

“Sejak sekolah menengah member-member panggil Zack. Melekat sampai sekarang.” Ramah Zakri memberitahu.

“Mana pergi handphone kau? Aku call tak dapat-dapat.” Jeffry yang sedikit cemburu beralih memandang Shahrul. Shahrul pun sama kacak macam Zakri sekarang ni. Dengan jaket jean tersarung di tubuh kelihatan sangat elegan dalam situasi santai.

“Bateri kong! Aku tak sempat nak charge, tinggal aje kat rumah.”

“Kau kerja apa, Shah? Malam-malam smart macam ni. Jealous aku!” Atang teruja. Nak kerja jugaklah tu!

“Aku tolong-tolong Zack aje. Dia jumpa klien.” Shahrul kelihatan tenang tersenyum. Dia memandang Zakri. “Kau nak minum pergilah order.”

Zakri menggeleng. “Tak apalah. Kejap lagi kita nak jumpa klien. Minum sekali dengan dia oranglah.”

Jeffry mula berasa pelik. “Jumpa klien malam-malam? Dah pukul berapa ni? Takkan sampai lewat malam pun kerja lagi?” Sudah hampir pukul 10.00. Takkanlah mereka jumpa klien pukul 11.00 malam.

“Biasalah. Siang dia orang kerja. So, malam ajelah dapat jumpa klien. Bincang pasal projek, cari projek baru. Entertain dia orang,” terang Zakri.

“Bagus jugak kerja macam tu. Kerja malam aje. Relaks sikit.” Atang tersengih-sengih memandang Zakri. “Kalau ada kerja kosong kat tempat kau bagi tahu aku.”

Zakri ketawa sampai terangkat-angkat kening memandang Shahrul. “Insya-ALLAH...”

Jeffry menggariskan sebuah senyuman. Entah kenapa tiba-tiba dia teringat Ayu, gadis yang berwarna-warni itu. Alahai... Ayu, Ayu.

Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.