Home Novel Komedi/Romantik Komedi Kukejar Kau Lari
Bab 16


Hari itu Puan Suzi tidak ke pejabat kerana mahu memerhatikan perkembangan Nadira. Demamnya sudah kebah tapi dia tidak berselera untuk makan. Nadira asyik termenung dan tidak ceria. Dengan Puan Suzi pun dia tidak mahu senyum lagi.

“Mama suap Nadira ya.” Sudu sudah berada di hadapan mulut Nadira. Dia tidak ada hati untuk makan. Kepala digeleng lemah. Menolak untuk disuap.

“Sejak Nadira demam, Nadira langsung tak nak makan. Nanti badan tu lemah. Bila nak sihat?” pujuk Puan Suzi.

Nadira tetap menggeleng. Mulutnya pahit dan payau. Memang perutnya sangat lapar, sayangnya dia tidak dapat menikmati keenakan bubur nasi yang disediakan oleh Sulastri. Puan Suzi mencari cara yang terbaik untuk memujuk Nadira.

“Nadira tak suka duduk sini ke?” soalnya lembut. Nadira tunduk. Jarinya bermain-main dengan cadar katil.

“Jangan diam. Kalau Nadira diam, mama rasa Nadira bencikan mama.”

Sengaja Puan Suzi berkata begitu. Mana tau akan lembut hati Nadira. Beberapa minit menanti, Nadira diam lagi. Dia seakan sedang menahan air mata agar jangan keluar. Matanya dipejam celik.

Kali ini Puan Suzi betul-betul buntu. Mangkuk berisi bubur nasi berlauk diletakkan semula di atas meja. Dia menghulurkan pula segelas Orenge Juice. Nadira tetap menolak. Anak yatim itu seolah-olah sedang mogok lapar.

Apabila semuanya ditolak oleh Nadira, Puan Suzi tidak tahu mahu berbuat apa lagi. Dia meninggalkan katil lalu menuju ke hujung bilik. Kain langsir di tolak ke kanan supaya udara segar masuk ke dalam bilik. Dia mahu Nadira cepat sihat.

“Nadira nak apa sebenarnya?”

Dia terlalu ingin tahu apa yang sedang bermain dalam fikiran Nadira. Selain itu dia juga mahu berkongsi beban. Itu pun kalau Nadira mahu meluahkan apa yang terbuku di hatinya.

Kali ini juga Nadira tetap membisu. Dia tidak tahu cara hendak meluahkan apa yang dirasa.

Dia akut akan dimarahi. Nadira menahan diri untuk meminjam bahu Puan Suzi walaupun terlalu mahu berbuat begitu. Hati kecilnya teringin mempunyai seorang mama. Mahu menumpang kasih daripada wanita itu. Perasaan yang baru tumbuh mengintai sudah dicantas oleh sikap Hardy yang sombong dan menakutkan.

“Tak nak makan tak apa...kita keluar dari bilik ni ya. Nadira boleh berenang di kolam renang. Nak?” Puan Suzi tidak jemu-jemu memujuk.

Mukanya diangkat dan Nadira merenung tepat ke dalam anak mata Puan Suzi. Dia mahu bersetuju untuk berenang sayangnya bayangan Hardy muncul lagi. Sejak kali pertama melihat kolam renang di kediaman itu Nadira telah berangan-angan untuk berenang di dalamnya.

“Nak?” Soal mama barunya lagi. Mengharapkan Nadira tersenyum dan bersetuju. Malangnya tidak. Nadira tetap tidak mahu.

“Nadira...maafkan mama atas sikap buruk Hardy. Mama tau Hardy dah sakiti Nadira dan buat Nadira takut.”

Tangan Nadira diambil dan dipegang lama. Selain daripada itu ada yang lebih penting lagi mahu disuarakan oleh Puan Suzi. Dia betul-betul kesal dengan perlakuan Hardy yang kasar dan telah menakutkan Nadira.

“Bukan salah mama. Mama baik, anak mama yang jahat.”

Akhirnya Nadira bersuara lemah. Puan Suzi menarik nafas lega. Jawapan Nadira kedengaran sangat jujur walaupun dia takut-takut untuk menyuarakan.

“Kalau mama baik, dengar kata mama.” Wanita itu belum berputus asa. Nadira geleng.

“Sikit je...dua sudu. Boleh?” pujukannya tidak memberi kesan. Nadira tetap menolak.

“Hmmm...kalau Nadira tak selesa tinggal kat sini, mama akan hantar Nadira ke Al-Mustaqim semula. Orang sana tak pernah sakiti Nadira. Mama kesal dengan sikap Hardy. Mama malu.”

Kali ini Puan Suzi yang tunduk. Dia malu pada diri sendiri. Didikannya tidak menjadi. Dia gagal sebagai seorang ibu. Walaupun ilmu akhirat tidak pernah diketepikan dalam membentuk peribadi Hardy, mungkin belum masanya untuk Hardy lebih memahami tentang hubungan sesama manusia.

“Betul mama nak pulangkan Nadira?” Mata Nadira bersinar. Tangan Puan Suzi digoncang tanpa sengaja. Dia terlalu gembira.

Nadira membayangkan dia akan bersatu semula dengan Zariq, Haji Embong, Mak Som dan seluruh ahli keluarga Al-Mustaqim. Tidak ada yang lebih membahagiakan selain daripada itu. Senyumannya lebar. Nadira sudah berasa sihat. Perutnya lapar tiba-tiba. Dia mahu makan bubur nasi berlauk buatan Sulastri yang semestinya sangat sedap rasanya.

“Mama...boleh tak Nadira makan?”

“Boleh...boleh...makan, sayang.” Perasaan Puan Suzi tidak dapat digambarkan.

Dia melihat senyuman Nadira dengan hati yang menangis. Sedih. Dia akan kehilangan anak perempuan sekali lagi. Di samping itu terselit rasa bahagia kerana dapat memberi kegembiraan buat Nadira. Dia sedar kegembiraan Nadira berada jauh di Ulu Telom. Bersama keluarga besarnya. Bukan di Bukit Antarabangsa. Di mana dia terpaksa menanggung siksa apabila berhadapan dengan Hardy.

“Kesian mama! Ni semua salah aku! Betullah...aku budak jahat.”

Rupa-rupanya sejak Nadira jatuh demam beberapa hari lepas, Hardy sentiasa mengekori Puan Suzi apabila mamanya ke bilik Nadira. Ketika Puan Suzi masuk ke dalam, dia akan menunggu di luar. Mencuri dengar setiap perbualan di antara mamanya dan Nadira.

‘Pernah tak aku buat mama gembira?’ Hardy cuba mengingati. Mungkin pernah, mungkin juga tidak.

Dia mengintai Nadira yang makan dengan penuh selera. Mamanya pula tersenyum senang apabila melihat Nadira sudah mahu makan. Terfikir oleh Hardy, apa salahnya jika dia menghadiahkan sedikit kegembiraan buat mamanya. Kalau kegembiraan mamanya adalah Nadira, dia mesti belajar untuk memahami.

“Alhamdulillah...dah kenyang.” Bubur nasi di dalam mangkuk tidak bersisa. Licin. Selepas itu Nadira menghirup Orange Juice dengan cepat. Habis segelas.

Sesudah kenyang dan agak bertenaga, Nadira turun dari katil. Dia membuka pintu almari. Menyelak pakaian yang bergantungan di dalamnya. Dia mengambil beg pakaian yang berada di sebalik pakaian-pakaian itu. Beg dibawa ke katil.

Puan Suzi menjeling ke arah pakaian yang tergantung di dalam almari besar lima pintu itu. Sejak Nadira berada di situ, belum sekali pun dia mengenakan pakaian yang dihadiahkan kepadanya. Dia lebih senang memakai pakaian yang dibawa dari Al-Mustaqim.

“Nak buat apa ambik beg pakaian Nadira ni?” Puan Suzi berasa hairan melihat perlakuan Nadira.

“Mama kata nak hantar Nadira balik rumah ayah!”

Nadira gembira. Puan Suzi tersentak mendengarnya. Dia belum bersedia untuk melepaskan Nadira. Mengapa terlalu cepat Nadira mahu bersiap-siap? Ah! Hatinya galau. Lebih-lebih lagi ketika itu Tuan Daniel tidak ada dirumah.

‘Dia betul-betul nak tinggalkan rumah ni. Kesian mama.’

Hardy tidak kisah jika Nadira pergi. Kalau boleh dia mahu bertepuk sorak kerana tidak akan ada orang yang akan menggugat kedudukannya sebagai anak tunggal di dalam keluarga itu.

Memandang mamanya yang sayu membuat dia berasa kasihan. Mungkin mamanya benar-benar mahukan seorang anak perempuan. Perlukah dia beralah untuk kali ini? Demi seorang mama. Hardy celaru.

Menahan Nadira dari pergi bermakna dia akan berhadapan dengan budak kampung itu setiap hari. Dapat bertahankah dia? Jika dia membiarkan Nadira pergi, bermakna dia akan melukakan hati mamanya. Luka itu mungkin akan memakan masa yang terlalu lama untuk diubati. Kerana terlalu memaksa diri untuk berfikir, dahi Hardy berpeluh.

‘Arghhh! Bencinya aku terpaksa buat pilihan. Sakit kepala aku!’ jerit Hardy dalam hati.

‘Kenapalah kau mesti wujud, budak kampung? Menyusahkan aku aje!’

Hatinya berbisik lagi. Rupa-rupanya dia telah terlupa lagi tentang dosa membenci anak yatim. Insaf hanya sekejap. Susah juga untuk mencuci hati yang sudah lama berbintik hitam. Kalau disental dengan penyental periuk yang Sulastri selalu gunakan, belum tentu akan hilang bintik-bintik di hati Hardy.

“Nadira...sebenarnya mama tak nak Nadira pergi. Untuk kebaikan Nadira, mama tak ada pilihan lagi. Kalau boleh Nadira tinggallah untuk dua tiga hari lagi. Mama dan papa akan bawak Nadira bersiar-siar. Sejak Nadira datang, mama belum sempat bawak Nadira ke mana-mana lagi. Boleh kan sayang?”

Puan Suzi mahu menghabiskan masa bersama Nadira. Membawanya bersiar-siar dan membeli-belah. Dia berharap akan ada kenangan manis yang boleh dibawa pulang ke Al-Mustaqim oleh Nadira. Tentu Nadira akan menceritakan pengalaman indahnya di Kuala Lumpur kepada seluruh penghuni Al-Mustaqim. Sekurang-kurangnya ia sebagai hadiah buat Nadira yang pernah menjadi anak perempuannya walaupun hanya untuk beberapa hari.

‘Mama berat hati rupanya. Apa aku nak buat ni?’ getus Hardy. Dia terus mendengar setiap apa yang diperkatakan oleh Puan Suzi.

“Mama...Nadira nak...tapi...Nadira...Nadira takut pada Hardy. Nanti dia akan pukul Nadira lagi. Sakit. Kalau Nadira mati macam mana? Kat TV selalu tunjuk ada budak kecik mati kena pukul.”

Akhirnya Nadira memberanikan diri untuk meluahkan apa yang dirasa. Setelah berbuat begitu, hatinya agak lega. Lapang. Bagi Nadira lebih baik dia dihantar balik ke Al-Mustaqim asalkan tidak payah berdepan dengan Hardy yang selalu membuatnya bermimpi ngeri.

“Nadira!” Badan Nadira dirangkul. Berjuraian air mata Puan Suzi.

Sedikit pun dia tidak menyangka akan separah itu perasaan Nadira. Ketakutan yang dirasai begitu menekan sehingga dia terfikir akan menemui kematian akibat deraan Hardy. Tentu hanya bayangan ngeri yang mengekorinya setiap kali terpandang Hardy.

‘Ah! Aku ke tu? Sampai macam tu sekali dia takutkan aku. Adoi...betullah katanya...aku jahat. Tak seronoknya bila semua orang anggap aku jahat. Bukan je Nadira, bahkan mama, papa...dan Sulastri pun anggap aku jahat.’

Hardy terus mengomel dalam hati. Penat pula apabila mendengar terlalu banyak yang buruk tentang dirinya tapi hatinya masih tidak mahu meninggalkan tempat itu. Ada ketikanya dia memarahi Nadira kerana mengadu. Pada waktu yang lain pula dia marah-marah pada diri sendiri kerana menjadi budak jahat.

“Maafkan mama ya.” Sekali lagi Puan Suzi berasa bersalah terhadap Nadira.

“Ya, Nadira maafkan mama.” Melihat Puan Suzi menangis, air mata Nadira ikut tumpah.

“Tapi mama...”

“Tapi apa sayang?”

“Kalau Nadira terus kat sini, Nadira akan mimpi kena bunuh lagi. Nadira takut.” Satu lagi rahsia yang dipendam terluah juga.

“Siapa cuba bunuh Nadira?”

“Hardy nak bunuh Nadira.” Sahut Nadira teresak-esak. Belakang badannya diusap lembut oleh Puan Suzi supaya Nadira akan lebih tenang.

‘Dia ni betul ke? aku lagi!...aku lagi! Takkan aku sampai masuk dalam mimpi dia.’

Diam-diam Hardy bersungut. Kali ini sebal pula hatinya. Geram! Nadia memang mengada-ngada. Getik Hardy mendengarnya. Nampaknya pendirian Hardy masih berbelah bahagi. Sesalnya selalu saja tenggelam timbul. Seperti sabut yang dicampak ke dalam air.

“Itu semua cuma mimpi. Jangan percaya sangat pada mimpi. Lain kali bila Nadira nak tidur, basuh kaki, ambik wuduk lepas tu baca doa tidur. Barulah syaitan nak kacau pun takut.” Ujar Puan Suzi supaya Nadira akan lebih faham bahawa mimpi hanyalah mainan tidur.

‘Sedihnya aku...syaitan pun datang dalam mimpi dia jadi muka aku.’

Marah Hardy pula. Entah siapa yang dimarahinya. Nadira yang bermimpikah? Atau dirinya yang memang jahat? Mungkin juga marah pada syaitan yang menjelma menjadi sepertinya. Bertambah jengkel Hardy dibuatnya.

“Cuma mimpi pun Nadira nak pergi jugak. Anak mama tak suka Nadira.”

Anak yatim itu mengeraskan hatinya. Dia sudah serik menjadi mangsa buli. Di Al-Mustaqim tidak ada sesiapa yang membuli atau membuatnya menangis. Malahan jika ada yang cuba menyakiti, Zariq akan mempertahankannya.

Apa lagi yang hendak dikata. Puan Suzi tidak mampu menahan keinginan Nadira. Dia dapat melihat pendirian Nadira yang masih belum dapat digoyah. Puan Suzi tidak mampu untuk memujuk lagi. Walaupun pada awalnya dia juga mahu menghantar Nadira tapi apabila tiba waktunya berat pula hatinya.

“Baiklah. Kalau itu yang Nadira nak...tapi Nadira mesti tunggu papa balik dulu ya. Papa dan mama akan hantar Nadira.” Sebak suara Puan Suzi, bergetar.

‘Kesian mama...adoi macam mana ni...hmmm...mama sedih.’ Hardy berkira-kira untuk melakukan sesuatu. Bukan untuk Nadira tapi kerana Puan Suzi. Dia tidak mahu melihat mamanya terus bersedih.

“Nadira kemas baju dulu ya ma.”

Nadira pula begitu gembira kerana Al-Mustaqim semakin hampir di ingatannya. Tidak lama lagi dia akan bersatu semula dengan seluruh penghuni rumah anak-anak yatim itu. Dia akan makan ikan Sembilang, pucuk paku dan cendawan butang bersama mereka. Tidak sabar rasanya.

“Tak payah kemas!” Tiba-tiba Hardy muncul. Beg pada pegangan Nadira terlepas. Dia terkejut apabila melihat Hardy sudah berada depan matanya. Nadira sembunyi di belakang Puan Suzi.

“Boy! Buat apa masuk bilik ni?” Puan Suzi gusar. Bimbang Hardy akan memberi masalah lagi. Dia berdebar-debar.

Hardy geleng. Dia berjalan terhencot-hencot dengan tongkat yang berada di celah ketiaknya. Nadira dihampiri. Puan Suzi hanya memandang dengan seribu satu tanda-tanya. Aneh sungguh sikap Hardy. Mustahil pula dia mahu membuli Nadira di depan matanya. Wanita itu hanya tunggu dan lihat apa tindakah Hardy seterusnya.

“Kau tak payah pergi. Aku janji aku tak akan buli kau lagi. Sumpah!” Tanpa diminta Hardy telah melafazkan ikrar.

Kata-kata Hardy seolah-olah bukan keluar dari mulutnya. Nadira ragu-ragu. Haruskan dia mempercayainya? Dipandang Puan Suzi untuk mencari keyakinan dan jawapan. Puan Suzi pula masih merenung Hardy. Dia juga seakan tidak percaya dengan apa yang telah didengarnya.

“Boy?” Dia mahukan kepastian dari anak lelaki tunggalnya itu.

“Ya ma. Biarlah budak ni kat sini. Hardy janji tak akan kacau dia.” Sekali lagi Hardy meluah janji.

“Sungguh?” soal Puan Suzi lagi. Keyakinannya belum bulat. Hardy angguk.

“Boy nak mama gembira.”

Wanita itu tersenyum lalu menepuk-nepuk lembut belakang Hardy. Dia mengucapkan terima kasih kepada anak yang masih ada hati itu. Biarpun dia masih tidak mempercayai sepenuhnya janji-janji Hardy tetapi apa salahnya memberi Hardy peluang untuk membuktikan. Buat masa ini Hardy kelihatan bersungguh.

“Kau jangan takutkan aku lagi. Aku bukan hantu.” Ujar Hardy seadanya apabila melihat Nadira masih berada di belakang Puan Suzi.

“Lepas ni aku tak akan datang dalam mimpi kau lagi.” Sambung Hardy. Puan Suzi menahan ketawa. Kelakar pula kata-kata Hardy.

“Kalau datang lagi?” Nadira pula memberanikan diri bertanya. Yang kedengaran hanya suaranya kerana dia masih menyorok di belakang Puan Suzi.

“Tak ada punya. Aku pun bukan suka nak datang dalam mimpi kau.”

Hardy malas melayan, dia bercakap dengan separuh hati. Kalau diikutkan rasa meluatnya, dia tidak mahu bercakap-cakap dengan Nadira tapi semuanya dilakukan demi seorang mama. Dia tidak suka melihat Puan Suzi muram dan tidak bersemangat

Selepas itu Hardy memusingkan badan untuk beredar dari situ. Dia tidak mahu lama-lama berhadapan dengan Nadira. Apa yang perlu dilakukan telah pun dilakukan. Dia berharap mamanya akan gembira kerana tidak akan kehilangan anak perempuan buat kali kedua.

“Nadira dengar kan apa Boy kata? Tak payah balik ke Ulu Telom ya. Jadi anak mama, ok?” Puan Suzi memujuk lagi dengan harapan baru. Hatinya berdebar-debar menanti jawapan Nadira.

Nadira memandang beg pakaiannya di atas katil. Bibirnya diketap sambil berfikir. Sorot mata beralih pula ke Puan Suzi. Wanita itu cuba bertenang dan menghadiahkan senyuman untuk Nadira. Senyuman tulus dan mengharap.

“Nadira cuba jadi anak mama.”

Akhirnya terluah ucapan Nadira. Jawapan itu sudah memadai buat Puan Suzi. Ditarik Nadira lalu dipeluk kuat. Sekali lagi air matanya jatuh ke pipi. Bukan sebab bersedih hati tetapi itu tanda gembira yang tidak dapat digambarkan melalui kata-kata.


Previous: Bab 15
Next: Bab 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Raihan Zaffya