Sejak kecurian geran tanah di
Ulu Telom, Haji Embong telah berpindah randah dari satu tempat ke satu tempat.
Pada mulanya Haji Embong, Zariq dan Tajol menumpang di tanah kepunyaan Mak Som
yang sekangkang kera keluasannya. Haji Embong membina gubuk di penjuru tanah
tapak rumah Mak Som. Apabila Mak Som dibawa ke Kuala Lumpur oleh anaknya,
mereka terpaksa keluar dari situ.
Zarid dan Tajol nekad tidak mahu
meninggalkan orang tua yang telah mereka panggil ayah sejak kecil lagi. Selepas
kesemua anak-anak Al-Mustaqim dipindahkan ke beberapa rumah anak yatim yang
lain maka Haji Embong hanya ditemani oleh dua budak nakal, Zariq dan Tajol.
Apabila dua budak nakal itu sudah
menamatkan pelajaran dan mulai pandai berdikari, mereka telah membawa Haji
Embong berpindah ke Kampung Taman Sedia, Tanah Rata Cameron Highlands. Mereka menyewa tapak tanah untuk
dipenuhi dengan tanaman Strawberi sebagai punca pendapatan. Sebuah gerai
menjual Strawberi segar dan jem Strawberi buatan sendiri dibina berhampiran
kediaman mereka.
“Ayah dah makan ke?” Sebaik balik
dari Bukit Gondol Zariq terus melihat Haji Embong di dalam biliknya.
“Sudah...janganlah risau. Habis licin
semangkuk bubur yang kamu masakkan untuk ayah. Boleh tahan sedap kamu masak.”
“Ilmu siapa yang Zariq tuntut kalau
bukan ilmu masakan Mak Som. Kalau sedap kenapa ayah tak bertambah?”
“Kamu nak kaki ayah cepat kena
potongnya ke?”
Walau muka Haji Embong nampak selorohnya, pilu pula Zariq yang
mendengarnya. Minta dijauhkanlah potong memotong kaki Haji Embong. Dia selalu
berdoa supaya kesihatan Haji Embong akan bertambah baik. Tidak payahlah nanti
doktor memotong kaki orang tua itu seperti memotong kaki ayam di pasar sehari.
“Dah lama ayah tak sentuh bubur.
Apatah lagi nasi. Sesekali tak apa agaknya.”
“Cukuplah untuk ayah rasa-rasa, Zariq.
Orang kata, untuk lepaskan kempunan.”
Haji Embong melihat tapak kakinya
yang masih berbalut akibat luka tertusuk kaca. Lambat sungguh luka itu hendak
sembuh. Semuanya gara-gara kencing manis yang ditanggungnya. Setiap pagi Zariq
atau Tajol akan mencuci luka itu sebelum membalutnya semula.
“Iyalah ayah...baguslah kalau ayah
berpantang.”
“Ayah nak Zariq tolak ayah keluar ke?”
“Tak payahlah kamu manjakan sangat
ayah ni. Ayah masih boleh tolak kerusi roda ni dengan tangan ayah.” Zariq
sengih. Bukan hendak memanjakan tapi dia merasakan itu adalah tanggungjawab
yang mesti dilaksanakan untuk Haji Embong yang sudah dianggap seperti ayah
kandungnya.
“Kalau macam tu, Zariq ke dapurlah
yah. Nak check stok jem yang masih
berbaki.” Haji Embong angguk dan Zariq berlalu pergi.
Tajol pula masih berlegar-legar di
luar rumah sambil memerhati tanaman Strawberi yang tumbuh subur menghijau.
Juntaian buah Strawberi adalah rezeki buat mereka bertiga. Hasil tunjuk ajar
daripadan pihak MARDI telah direalisasikan dengan sebaik-baiknya.
Dia dan Zariq memulakan dengan modal
yang tidak terlalu besar tapi semangat mereka untuk berdikari memang sangat
besar. Pada mulanya mereka hanya cakap besar mahu berbuat itu dan ini.
Rupa-rupanya berguna juga cakap besar mereka itu. Mereka terbakar dengan
cabaran Haji Embong yang mahu melihat mereka menjadi orang yang berjaya tanpa
bantuan sesiapa.
“Ehem!”
“Siapa pulak yang ber ehem-ehem?”
Spontan Tajol menoleh.
“Assalamualaikum.”
Tajol memberi salam kepada orang yang
ber ehem-ehem. Mungkin orang itu terlupa mahu memberi salam kepada tuan rumah
yang berdiri tegak seperti tugu. Atau mungkin juga sudah terlupa adab sopan.
Dulu Tajol selalu kena luku oleh Haji Embong hanya kerana tidak pandai memberi
salam. Sekarang dia sudah dewasa dan sudah tahu pentingnya memberi dan menjawab
salam.
“Waalaikumussalam...errr, tumpang
tanya. Ada tak chalet berhampiran tempat ni?”
Tajol tidak terus menjawab. Dia
memerhati setiap inci badan orang yang sedang bercakap dengannya. Nampak
seperti orang kaya. Ada rupa, ada gaya. Kemudian Tajol berfikir lama. Memang
lama hingga orang di depannya mulai bosan. Tiba-tiba ‘mentol’ menjelma dalam
otak Tajol. ‘Mentol’ itu menyala dengan terang. Ya...ilham! ilham!
“Hmmm...ada tu ada tapi nak kena kemas
sikitlah. Bersepah. Boleh tunggu sekejap?”
“Kalau boleh tau siapa nama?” tokok
Tajol.
“Oh ya..saya Hardy. Saya dari Kuala
Lumpur.”
“Seorang?”
“Tak...dengan adik. Dia pengsan dalam
kereta.”
“Hah! Pengsan? Kenapa biarkan?”
Mulalah Tajol menganggap betapa kurang cerdiknya seorang abang membiarkan
adiknya yang sedang pengsan sendirian di dalam kereta. Pada Tajol, itu adalah
tolol alias dungu.
“Eh! Bukan macam tu..maksud saya, adik
saya tidur mati. Dia tak tahan tengok jalan yang berbelit-belit. Muntah
menyembur-nyembur sepanjang perjalanan ke mari. Sudahnya dia lembik, terus
tertidur.”
‘Isyyy! Menyusahkan aku je fikir
bukan-bukan. Mamat ni nak bergurau tak bertempat pulak. Rasa nak sekeh je!’
omel Tajol.
“Kalau macam tu boleh ke tunggu
sekejap? Awak boleh duduk kat gerai tu hah. Saya kemas-kemas apa yang patut.”
Hardy angguk. Malas dia hendak
mencari penginapan lain. Kononnya sudah bosan dengan hotel dan rumah tumpangan
yang mahal-mahal. Sebenarnya bukanlah beria bosan tapi dia kedekut mahu
mengeluarkan duit dalam jumlah yang banyak. Memang betullah kata si kucing
Parsi, dasar tahi hidung masin!
“Bolehlah. Saya rehat kat gerai dulu.”
Sebaik Hardy bersetuju, dengan
langkah panjang Tajol menyelinap masuk ke dalam rumah. Membiarkan Hardy
terpinga-pinga. Hardy geleng lalu beredar untuk berteduh di bawah gerai
Stawberi. Dia tidak menyangka penduduk di situ pelik sikapnya.
“Zariq! Sini kejap!” Ditariknya Zariq
ke ruang tamu.
“Siapa kejar kau? Terjelir-jelir je
aku tengok.” Zariq sudah biasa dengan sikap Tajol yang selalu membuat gempar.
Dia suka membuat sesuatu yang kurang dapat diterima oleh akal. Sekarang ini apa
pula yang hendak dilakukannya?
“Duit, Zariq!...duit! masyukkk.”
“Jangan nombor ekor sudahlah. Kau kena halau
dengan ayah nanti.” Usik Zariq.
“Hah!
Apa yang ekor-ekor tu?” Haji Embong baru menolak keluar kerusi roda dengan
kedua tangannya. Zariq dan Tajol senyum.
“Tak adalah ayah...ni haaa Tajol, dah
macam ayam bertelur je. Asyik sebut duit...duit.”
Haji Embong tahu bagaimana gigihnya dua
beradik tidak seibu sebapa itu mencari duit. Mereka bekerja keras tanpa kenal
penat. Duit itu bukan hanya untuk keperluan mereka. Ia untuk Haji Embong dan
untuk segala macam kos perubatannya. Mereka anak nakal yang berguna. Mereka
juga tidak pernah mengeluh depan Haji Embong.
“Zariq...masa aku terdiri-diri kat luar tadi,
ada satu mamat tu datang. Aku rasa dia tu orang kaya. Pakaiannya semacam je aku
tengok.”
“Dah tu kenapa? Kau ada hati nak
rompak dia? Atau nak culik dia, lepas tu mintak tebusan? Atau kau nak jual
semua jem Strawberi kita kat dia? Suruh dia borong?”
Haji Embong hendak ketawa mendengar
soalan Zariq yang tidak putus-putus. Panjang. Kalah kepala keretapi dan
gerabaknya. Zariq memang suka menyakat Tajol sebagaimana Tajol juga suka
mengusiknya. Gurauan itulah yang menguatkan hubungan mereka.
“Soalan kau tu buang masa aku je nak jelaskan.
Macam ni...orang tu cari chalet. Aku kata ada tapi kena kemas dulu. Sekarang
dia tengah tunggu kat gerai tu. Tengok sana tu!”
Tajol menarik Zariq ke tepi tingkap.
Mereka mengintai Hardy tanpa Hardy sedar. Haji Embong hanya memerhati mereka
dari kerusi rodanya. Zariq masih tidak faham apa yang hendak disampaikan oleh
Tajol. Apa yang ada dalam kepala Tajol atau apakah rancangan Tajol masih
samar-samar.
Kalau dulu Tajol agak bodoh-bodoh
alang dan asyik hendak mengikut kenakalan Zariq, sekarang tidak lagi. Tajol
sudah panjang akalnya. Kaki belit nombor satu. Belit bukan sebarang belit tapi
belit berisi. Belitnya bukan juga belit jahat, hanya belit untuk menambah duit
dalam poket.
“Apa hah kaitan kita dengan chalet
yang mamat tu tanya?”
“Kaitannya...kitalah tuan punya chalet
tu!”
“Tak faham jugak.”
“Bermakna sekarang aku lebih pandai
dari kau, kan?” Tajol suka.
“Yalah...yalah...sempat lagi tu nak
masuk bakul.”
Tajol menarik Zariq lebih dekat
lagi. Mulutnya disuakan ke lubang telinga Zariq. Terkumat-kamit Tajol. Besar
kecil matanya. Bersungguh-sungguh dia menerangkan. Muka Zariq nampak terkejut.
Melopong mulutnya.
“Kau gila ke? Situ stor tanaman
kita. Kau ni nak mengarut pun agak-agaklah Jol. Silap-silap bukan untung yang
dapat tapi kau yang kojol...hah! kan...dah akan-akan nama kau pulak!” Terhambur
juga ketawa Zariq. Dalam seriusnya dia tidak dapat menahan gelihati dengan
cadangan Tajol yang agak melampau itu.
“Syyy! Pelan sikit boleh tak? Dengar
dek orang kaya tu nanti. Alaaa, stor tu pun bukan ada apa sangat. Nama je stor
tapi barangnya tah mana-mana. Daripada kosong macam tu je kan lebih baik kita
sewakan.”
Haji Embong menahan ketawa melihat
kerenah dua orang anak lelakinya. Geliga juga kepala Tajol. Macam batu geliga
cincin yang dijual di pasar malam. Sejak kebelakangan ini apa saja yang
dipandang oleh Tajol dan Zariq akan berubah menjadi duit. Lebih-lebih lagi
Tajol, otaknya lebih produktif berbanding Zariq. Perkara yang tidak masuk akal
pun boleh berubah menjadi logik.
“Ermmm...memanglah tak ada barang
buat masa ni. Tapi berhabuk tu. Takkan nak sewakan dalam keadaan macam tu. Duit-duit
jugak Jol tapi servis pun kena tip top. Aku tak naklah pelanggan pertama kita
terus dapat resdung bila sewa stor berhabuk tu.”
“Assalamualaikum.”
“Alahai tu dia! Mesti dah penat
tunggu.” Bisik Tajol lalu menyahut salam.
“Macam mana ni? Lambat lagi ke?”
Hardy menyengih kepanasan.
“Booo..”
“Macam nilah. Tempat tu...errr
chalet tu agak kotor...berhabuk. Kena sapu dan mop dulu. Saya tak fikir
encik...” pintas Zariq sebelum Tajol sempat menyudahkan kata-katanya.
“Hardy!”
“Ya, Encik Hardy...kalau perkara ni
akan beri masalah pada encik, boleh encik cari tempat lain.”
Huh! Tajol terasa hendak memijak kuat
kaki Zariq. Biar dia melompat kesakitan. Rancangannya telah digagalkan oleh
Zariq dengan begitu mudah. Mulalah Tajol melihat ringgit Malaysia yang
diangan-angankan akan masuk ke dalam akaun bank mereka, terbang jauh sehelai
demi sehelai meninggalkannya.
Hardy melihat jauh ke kereta yang
ditinggalkan. Masih tidak nampak Nadira duduk tegak pada seat kereta. Itu bermakna dia masih ketiduran. Kemudian Hardy
menggaru pangkal tengkuk sambil memikirkan sesuatu. Dijeling sebentar ke arah
chalet yang dimaksudkan oleh Tajol. Hardy menarik nafas.
“Kira jadilah. Saya pergi makan dulu.
Dalam masa sejam saya akan datang semula ke sini”
Tajol angguk. Sengihnya besar sampai
tepi telinga. Zariq menjelingnya sambil menghadiahkan senyuman paling manis
dalam dunia. Dia pun tumpang suka kerana Tajol sudah berjaya dengan agenda
tidak masuk akalnya. Hebat juga kawan baiknya itu. Perlahan-lahan Tajol melihat
ringgit Malaysia yang melayang-layang pergi, sudah berpatah balik.
Melayang-layang pula depan matanya.
“Ermmm...tapi.”
“Tapi apa?” soal Zariq dan Tajol
serentak. Khuatir pula Hardy akan membatalkan niatnya dalam sekelip mata.
“Ada satu chalet je ke? Maksud
saya...saya nakkan satu lagi. Untuk adik perempuan saya. Tak manis kan kalau
kami tidur berdua malam nanti.”
Dua kawan baik itu berpandangan.
Nampaknya punah lagi impian Tajol yang kemudiannya sudah menjadi impian Zariq
juga. Uh! Tajol betul-betul rasa dipermainkan oleh impiannya sendiri. Ringgit
Malaysia yang berpatah balik depan matanya terus ghaib entah ke mana. Sudah
patah semangat Tajol untuk memasang angan-angan lagi. Angan-angannya langsung
tidak indah!
“Ada satu lagi. Tapi bukan chalet.
Cuma bilik belakang yang tak berapa besar. Kalau untuk seorang lebih dari
selesa rasanya.”
Tanpa Zariq dan Tajol duga, Haji
Embong yang sedari tadi hanya memandang telah mencelah. Mereka tahu apa yang
dimaksudkan oleh Haji Embong adalah bilik belakang yang selalu digunakan oleh
Cik Ah dan Busrya pada setiap kali mereka datang melawat Haji Embong. Senyuman
Zariq dan Tajol bersemangat semula. Masih ada peluang rupanya.
“Baik...saya setuju. Tak apalah untuk
satu malam. Malas saya nak mencari di tempat lain.”
“Ya...silalah, encik makan tengahari
dulu. Boleh kami bersihkan tempat tu.”
Zariq bersikap sopan. Maklumlah itu
pelanggan pertama mereka. Siapa sangka akan ada bulan jatuh ke riba. Stor yang
terbiar akan bertukar menjadi duit. Walaupun tidak sebanyak mana tapi bagi mereka setiap sen sangat tinggi nilainya.
Satu masa dulu mereka telah melihat bagaimana sikap jimat cermat Haji Embong
sewaktu menguruskan rumah Al-Mustaqim. Segala kepentingan untuk dirinya
diketepikan supaya sedikit duit yang disimpannya akan dapat digunakan oleh
anak-anak Al-Mustaqim pada waktu kecemasan.
Mereka bukan anak muda yang gilakan
kekayaan tapi mereka memerlukan duit untuk satu perkara yang sangat penting.
Zariq dan Tajol bersusah payah dan berusaha mengumpulkan duit untuk membeli
tanah di Ulu Telom untuk mengganti tapak Al-Mustaqim yang telah dirampas dengan
paksa. Mereka tahu di Ulu Telom itulah beradanya kebahagiaan Haji Embong.
“Baik...saya akan datang semula
selepas satu jam.” Hardy beredar.
“Hohoho!...yuhuuu! ambero, ambero,
kucha-kucha...”
Setelah Hardy agak jauh Tajol menari
tarian Apache. Haji Embong geleng-geleng. Tajol menepuk tapak tangan Zariq
supaya Zariq ikut serta. Zariq pun apa lagi. Gamat sebentar ruang tamu itu.
Mereka menari sambil mengelilingi kerusi roda Haji Embong. Haji Embong
terbahak. Sudah lama orang tua itu tidak segembira itu. Ketawanya terhambur
gara-gara dua anak nakalnya itu.
“Sudahlah...jangan lupa sebut
Alhamdulillah. Cepat buat kerja, takut tak sempat kering lantai tu nanti.”
Setelah perut Haji Embong tegang, barulah dia menyuruh Zariq dan Tajol berhenti
menari.
“Hehehe...Alhamdulillah.
Alhamdulillah jugak kami dapat tengok ayah ketawa besar.” Puji Zariq. Senyuman
dan ketawa Haji Embong adalah kegembiraan buat Zariq dan Tajol. Kerana itu Haji
Embong sangat menyayangi mereka.
“Eh, baru ayah ingat...stor tu kan
tak berkatil. Takkan budak Kuala Lumpur tu nak tidur atas simen keras tu. Tikar
pun tak ada.” Baru terfikir oleh Haji Embong.
“Hmmm...tak apalah. Sementara ni Zariq akan
keluarkan katil Zariq. Cuma perlu ganti cadar dan sarung bantal je. Nanti Zariq
tukar semua.”
“Tikar tak ada...hah, kita guna
karpet besar. Raya lambat lagi. Kita gunakan untuk sementara.”
“Ermmm...suka hatilah. Pandai-pandai
kamu berdua nak buat macam mana. Ayah sokong apa yang baik. Ya Allah...Engkau
berkatilah usaha kedua anak lelakiku ini.”
Spontan Haji Embong menadah tangan.
Cepat-cepat diaminkan oleh Zariq dan Tajol dengan rasa sebak. Kemudian mereka
meninggalkan Haji Embong di ruang tamu. Tugas membersihkan stor mesti dilakukan
dengan cepat sebelum Hardy selesai makan tengahari.