BMW Sport 5 siri yang dipandu oleh Hardy berhenti di
hadapan sebuah tanah lapang yang dipenuhi lalang. Hardy tidak pula bertanya
Nadira, itukah tempat yang dicari. Sepanjang perjalanan Hardy lebih banyak
mendiamkan diri. Melayan perasaan. Jika tidak kerana sudah berjanji akan
menemani Nadira, dia tidak akan pernah mahu bertemu dengan Zariq.
“Sejak tadi abang diam je.” Nadira membuka
tali pinggang keledar.
“Tak ada apa. Malam tadi tak cukup
tidur...tak ada mood nak sembang.”
Hardy tidak berbohong. Memang itulah
hakikatnya. Dia tidak dapat melelapkan mata apabila membayangkan saat pertemuan
Nadira dan Zariq. Tentu dia hanya akan menjadi pemerhati yang serba tidak kena.
“Oh, abang mengantuk ya?
Hmmm...maafkan Nadira dah susahkan abang.”
“Taklah. Kita dah sampai, kan? Mana
Al-Mustaqim?” Hardy mengubah topik. Tidak ada hati untuk memperkatakan tentang
dirinya.
“Nadira pasti ni
tempatnya...tapiii...kenapa nampak pelik? Tak ada apa-apa pun.” Nadira agak
sangsi.
“Macam mana sekarang?”
“Entah...Nadira keluar dulu.
Tinjau-tinjau.” Hanya itu pilihan yang Nadira ada.
Sebaik keluar dari perut kereta,
Nadira termangu. Tempat di mana dia sedang berdiri diperhati sekitarnya. Nadira
memejamkan mata, cuba mengingati tentang rumah Al-Mustaqim. Tidak ada
tanda-tanda yang meyakinkan. Dia hanya berpandukan belukar kecil yang agak jauh
dari tempat itu.
“Kenapa semua dah berubah? Mana
rumah Al-Mustaqim? Mana semua orang? Mana?” Nadira mula sebak.
Sudah ada takungan air mata di tepi
matanya. Suaranya tersekat-sekat. Kegembiraan yang dibayangkan sebelum bertolak
ke Ulu Telom telah musnah dalam sekelip mata. Impiannya tidak kesampaian. Yang
kelihatan hanyalah tanah lapang yang dipenuhi lalang yang tinggi.
“Nadira yakin ke ni tempatnya?
Mungkin Nadira dah tersilap. Cuba ingat semula baik-baik. Bawa bertenang.”
Pujuk Hardy yang telah keletihan setelah memandu dari Kuala Lumpur selama
beberapa jam tanpa rehat.
Separuh dari hati Hardy berasa lega kerana dia
tidak akan berhadapan dengan Zariq. Itu satu bonus buatnya. Sebahagian dari
dirinya pula berasa kasihan melihat kesungguhan Nadira yang sia-sia. Impian
yang terpendam selama 10 tahun musnah dalam sekelip mata.
“Ya...inilah tempatnya. Abang tengok
sana tu...sebelah tu ada kebun kelapa sawit. Walaupun pokoknya dah tua tapi
Nadira masih ingat.” Jari dituding ke arah kebun kelapa sawit di sebelah kanan
kawasan tanah lapang tapak Al-Mustaqim.
“Nadira dan Zariq selalu raut
sama-sama daun kelapa sawit untuk dijadikan penyapu lidi. Ya...situlah...Nadira
masih ingat.”
“Ya ke?” Tidak ada apa lagi yang
Hardy dapat perkatakan.
Perasaan Nadira menjadi lesu.
Mungkin lebih letih dari badan Hardy yang terpaksa memandu seorang diri. Tidak
terlintas di fikirannya dia akan melalui semua itu. Nadira telah membayangkan
sesuatu yang mudah. Sebaik kereta berhenti dan parkir di hadapan Al-Mustaqim,
Haji Embong, Zariq dan seluruh penghuni rumah itu akan menyambutnya dengan
gembira. Malangnya ia tidak berlaku.
“Semuanya dah berubah, abang! Dah
berubah.” Keluar lagi air mata Nadira.
“Nadira pasti ini tempatnya?” soal
Hardy lagi. Nadira angguk.
Matanya menatap belukar di belakang
tanah lapang. Belukar itu seakan sedang melambai Nadira. Mungkin ada sesuatu
yang telah ditinggalkan oleh Zariq di situ. Sesuatu yang boleh dijadikan
petanda untuk Nadira menjejak Zariq. Seperti yang pernah mereka janjikan dulu.
Tanpa membuang masa Nadira mula melangkah ke arah tanah lapang yang dipenuhi
lalang.
“Nak ke mana tu?”
“Nadira nak ke belukar belakang tu!
Abang tunggu je dalam kereta! Abang penat kan.” Sahut Nadira tanpa menoleh. Dia
tidak mahu menyusahkan Hardy. Hardy mahu menghantarnya ke Ulu Telom pun sudah
cukup baik.
“Tak payahlah! Semak tu!” larang Hardy.
Dia khuatir kalau-kalau ada haiwan berbisa di tempat itu.
Nadira tidak menghiraukan laungan
Hardy lagi. Dia mesti ke belukar itu. Mahu tidak mahu Hardy terpaksa keluar
dari perut kereta. Berlari-lari anak mengekori Nadira. Di dalam kepalanya
membayangkan kalaulah ada ular berbisa di dalam rimbunan lalang, alangkah
ngerinya. Seumur hidupnya belum pernah melihat lalang yang subur terhampar di
hadapan mata. Dia hanya kenal kota batu. Kesibukan penghuni bandaraya Kuala
Lumpur dan kesesakan lalu-lintasnya.
“Nadira! Tunggu abang!”
Tangannya menepis lalang yang
mengganggu laluannya. Nadira sudah jauh di hadapan. Dia seperti sedang berjalan
di kawasan lapang tanpa ditumbuhi lalang. Ah! Anak kampung memang lasak. Getus
hati Hardy.
“Tak usah ikut Nadira! Abang tunggu
dalam kereta! Rehat! Nanti abang akan drive semula ke Kuala Lumpur!”
laung Nadira.
Nadira lebih selesa jika bergerak
bebas seorang diri. Mahu sendirian di belukar yang menyimpan kisah dirinya bersama
Zariq. Dia tidak mahu Hardy tahu semua itu. Itu bukan urusan Hardy.
“Abang nak ikut.” Hardy berdegil.
Tiada sahutan dari Nadira. Mahu melarang takut Hardy akan berkecil hati.
Akhirnya Nadira membiarkan saja.
Dengan aturan langkah yang
kelam-kabut Hardy berjaya bersaing dengan Nadira. Termengah-mengah nafasnya.
Ada kesan calar pada jarinya gara-gara helaian lalang yang tajam telah
menghiris jari yang menguak lalang yang menghalang laluan. Terasa pedih tetapi
Hardy menahannya. Malu pada Nadira jika dia memperlihatkan kelemahannya.
“Betul! Ya...betul! betul”
“Apa yang betul?” Hardy menggegam
jari-jarinya supaya tidak terasa perit.
“Inilah pagar yang memisahkan
Al-Mustaqim dengan belukar tu. Jadi memang betullah ini tapak Al-Mustaqim!”
Nadira bertambah yakin.
“Dah tak ada rumah Al-Mustaqim, dah
tak ada Zariq, dah tak ada semua...apa yang Nadira cari?
Kita balik jelah.” Pujuk
Hardy sambil menepuk nyamuk yang mahu berkenal-kenalan dengan anak muda kota
Metropolitan.
“Tak abang! Masih ada sesuatu dalam
belukar tu!” Malangnya pujukannya tidak diendahkan oleh Nadira.
“Stubborn!” rungut Hardy.
Mujur Nadira tidak mendengarnya.
‘Eiii, kalaulah ada lipas dalam ni.’
Setiap langkah kaki Hardy dipenuhi debaran.
Tidak padan dengan gagahnya, masih
juga takutkan lipas. Bila membayangkan saja sudah naik bulu romanya, inikan
pula kalau ia muncul dari rimbunan lalang. Lipas ada di tanah berlalangkah?
Fikirnya. Dilihatnya langkah Nadira begitu laju. Langsung tidak bermasalah.
“Nadira...apa laju sangat tu!
Tunggulah abang!” Cuba dipanjangkan langkahnya tetapi kakinya asyik tersadung.
“Lecehlah abang ni! Orang dah kata
tunggu je dalam kereta...tak nak!” marah Nadira. Dia berhenti sebentar.
‘Bukan main dia...dah berani marah
aku. Tapi kenapa aku tak rasa nak marah ya?’ Sambil berjalan Hardy melayan
tanda-tanya tentang dirinya. Jawapan masih tidak juga ditemui.
Apabila Hardy sudah hampir, Nadira
meneruskan langkahnya dengan lincah. Dia telah memijak kawasan belukar. Matanya
liar mencari pokok yang menjulang tinggi. Lebih tinggi dari pokok-pokok yang
lain. Sayangnya tidak nampak. Dia menarik nafas hampa.
Dia berlari-lari pula, memeriksa
setiap batang pokok. Satu per satu. Hardy ternganga. Tidak memahami apa yang
sedang dilakukan oleh Nadira. Terasa mahu membantu tetapi tidak tahu apa yang
perlu dilakukan.
“Cari apa?” laungnya
“Pokok!” sahut Nadira dari jauh.
‘Dah tak kenal pokok ke dia ni. Ada
berbaris-baris pokok, masih nak cari pokok lagi.’ Hardy mentertawakan Nadira.
“Nadira...ini pokok...itu
pokok...sana tu pokok...sana lagi tu pokok. Nak pokok macam mana lagi?” sindir
Hardy yang mulai merasakan Nadira sedang melakukan perbuatan yang kurang
cerdik.
“Diamlah!” bentak Nadira tiba-tiba.
Setelah 10 tahun baru kedengaran
Nadira berani mengherdik Hardy. Itu pun kerana pokok. Baru Hardy tahu pokok
lebih penting buat Nadira berbanding dirinya. Bentakan Nadira tidak membuat
Hardy marah tetapi dia berasa gelihati kerana dia telah dikalahkan oleh
sebatang pokok yang sedang dicari oleh Nadira.
‘Hailah...nasib badan!’
“Abang! Boleh tolong Nadira tak?”
“Apa abang boleh tolong?” Hardy
separuh hati.
“Tolong Nadira cari pokok yang ada
nama Nadira. Cepat jumpa kita boleh cepat balik KL.”
“Sudah...cari pokok ada nama pulak.”
Ujar Hardy perlahan. Sudah tentu tidak didengari oleh Nadira. Hardy geleng
kepala. Nadira memang budak kampung yang tidak membuatnya marah-marah lagi.
“Okeylah...abang cari pokok yang ada
nama Nadira.” Terpaksa juga Hardy melakukan perkara yang kurang cerdik seperti
Nadira. Apa boleh buat, hatinya sudah menjadi lembut. Selembut agar-agar yang
selalu dimasak oleh Sulastri.
“Tak nampak pokok yang paling
tinggi.” Nadira tidak lagi mendengar suara Hardy.
Hatinya mula sebak. Jika pokok itu
tidak ditemui, kedatangannya ke Ulu Telom hanya sia-sia. Sudahlah tidak nampak
bayang Al-Mustaqim, apatah lagi Zariq dan Haji Embong. Terasa hendak jatuh lagi
air matanya tapi ditahankan. Nadira mulai buntu. Dia yakin tempat di mana dia
sedang berdiri itulah tertegaknya pokok yang dicari. Di situ banyak paku pakis
seperti 10 tahun dulu.
‘Adeiii...tak seronoknya cari pokok.
Dah banyak yang aku tengok, tak ada satu pun yang ada nama dia.’ Hardy curi
tulang. Dia meletakkan punggungnya pada perdu sebatang pokok yang hampir mati.
Dia mahu berehat. Penat.
Sepertimana Hardy, Nadira juga tidak
mahu mencari lagi. Bukan kerana penat tapi putus asa.
Tidak ada lagi pokok yang
terlakar namanya dan Zariq. Nadira terdongak-dongak mencari Hardy. Mahu
mengajaknya balik saja ke Kuala Lumpur. Balik bersama hati yang kecewa.
“Abang!”
“Sini!...sini!” Hardy melambai.
Laju langkah Nadira menghampiri
Hardy. Dia mahu meninggalkan belukar itu secepat mungkin agar hatinya tidak
terhiris lagi. Jika dia terus berada di situ, bayangan 10 tahun dulu akan
melukai perasaannya.
Sebaik berada di hadapan Hardy yang
sedang duduk di perdu pokok, mata Nadira membulat. Matanya digosok beberapa
kali hingga merah. Kemudian dia menghampiri pokok itu lalu mencium bertubi-tubi.
Hardy bangkit dan memerhati gerak-geri Nadira.
“Ini dia! Terima kasih, abang. Dah
tolong Nadira cari. Inilah pokoknya!” Gembira sungguh Nadira.
‘Bila masa pulak aku cari?
Haishhh...kira ya jelah.’ Hardy gelihati.
“Abang tengok ni ada nama Nadira dan
Zariq. Zariq yang hiris kulit pokok ni dengan pisau tajam Mak Som. Tapi kulit
pokok ni dah merekah. Pokoknya dah tua dah. Tengok ni!”
Tangan Nadira mengopek kulit kayu
yang sudah pecah. Lakaran namanya dan Zariq tembus hingga ke batang pokok.
Pisau Mak Som memang betul-betul tajam. Lebar senyuman Nadira. Diusapnya nama
Zariq. Hardy yang melihat hanya mengetap bibir. Ada perasaan kurang senang
telah mengganggunya.
“Dah jumpa pokok ni, apa nak buat?
Takkan nak cabut dan bawak balik ke Kuala Lumpur. Kereta abang belum jadi lori
angkat kayu lagi.” Ringan mulut Hardy menyindir Nadira. Apa yang diluah
mengikut kata hatinya yang sedang sebal.
“Merepeklah abang ni. Takkanlah nak
cabut pokok ni.”
“Habis tu?”
“Nadira cuma nak korek tanahlah,
abang.” Jelas Nadira lalu terbongkok-bongkok seolah-olah sedang mencari dan
memastikan sesuatu. Hardy hanya mampu menggeleng.
“Nadira...Nadira...jauh-jauh kita
datang, cuma nak cari pokok...korek tanah...lepas ni apa lagi?” Letih lesu
Hardy melihat kerenah Nadira.
“Lepas korek tanah, tengok dalam
botol pulak!” balas Nadira selamba.
“Adoi...boleh ke Tampoi abang macam
ni!” Hardy bengang.
Kata-kata Hardy tidak dihiraukan
oleh Nadira. Dia sedang mencari ranting yang besar untuk dijadikan alat
mengorek tanah. Setelah berjumpa, dia mulai mengorek tanah berhampiran perdu
pokok. Bertentangan dengan ukiran namanya dan Zariq. Hardy terus memerhati.
“Kalau abang nak balik cepat, tolong
Nadira korek tanah pulak. Abang ada ong la. Tadi abang dah jumpa pokok
ni...mana tau lepas ni abang jumpa botol.” Sengaja Nadira mahu memancing Hardy.
Membodek.
‘Hihihi...bukan dia tau pun aku tak
cari pokok ni.’ Ejek Hardy dalam hati.
Sekali lagi dengan berat hati Hardy
merelakan dirinya menolong Nadira. Izin dalam paksa. Jika tidak dituruti
dibimbangi mereka akan terpaksa bermalam di dalam belukar yang dipenuhi nyamuk
itu. Hardy mematahkan sebatang kayu yang agak besar untuk mengorek tanah yang
ditunjukkan oleh Nadira.
“Kalau abang dah jumpa botol,
berhenti korek tau.”
‘Kalau abang dah jumpa botol.
Berhenti korek tau...huh! bodoh punya kerja!’ Hardy mengajuk dan mengejek
Nadira lagi.
Jika dia melakukan hanya untuk
Nadira, Hardy tidak kisah. Malahan dia akan melakukan apa saja untuk adiknya
itu. Yang pasti dia terpaksa melakukan untuk Zariq juga. Siapa Zariq yang dia
perlu bersusah-payah untuknya?
Hardy mengorek tanah laju-laju.
Mujur tanah tidak keras dan tidak perlu mengeluarkan banyak peluh untuk
melakukannya. Tidak sampai 5 minit Hardy sudah dapat merasakan ada benda keras
yang berlaga dengan kayu yang digunakan.
“Hah! Agaknya itu botolnya tu.” Nadira
gembira. Ranting di tangannya cepat-cepat dilemparkan jauh-jauh.
“Biar Nadira tengok!” Hardy beralih
tempat. Membiarkan Nadira melakukan apa yang dia mahu. Biar hatinya puas.
“Betul! Inilah botol yang kami tanam
dulu. Betul! Betul! Cuma dah kotor je.”
Hardy membersihkan debu tanah pada
kedua tangannya. Itu juga kali pertama dia bermain dengan tanah. Sesekali ekor
matanya menjeling Nadira yang begitu asyik menonggengkan botol dalam
pegangannya. Sebelah matanya dikecilkan supaya sebelah mata lagi dapat melihat
jauh ke dalam botol. Nadira melakukan perkara yang sama berkali-kali. Cerianya
bertukar mendung semula.
‘Dah sedih balik. Tak faham aku
dengan perempuan! Datang bulan agaknya.’ Tidak sudah-sudah Hardy mengejek
Nadira. Dia tidak sebal dengan Nadira tapi dengan Zariq.
“Kau dah tipu aku, Zariq! Kau tipu
aku!” Tiba-tiba Nadira menangis kuat.
‘Pulak dah! Drama sungguh!’ Hardy agak
terkejut.
“Apa budak tu dah buat pada Nadira?”
soalnya separuh hati. Mahu membiarkan Nadira begitu saja tidak sampai hati
pula. Itulah yang Hardy tidak faham. Sehari dua ini dia terlalu berlembut
dengan Nadira. Adik yang dulu digelar sebagai budak kampung.
“Zariq dah janji pada Nadira. Kalau
kami terpisah, dia akan tinggalkan nota dalam botol ni. Dia mesti beritau ke
mana dia dah pergi! Tak kiralah kalau dia dah berpindah ke, dah kerja ke atau
apa je.”
“Oh macam tu. Kesian Nadira.”
‘Nasib baik tak ada nota!’ Mulut
Hardy berkata lain, hatinya pula berbisik lain.
“Nadira bencilah macam ni! Dulu masa
Nadira nak tinggalkan Al-Mustaqim, Zariq tak ucap selamat jalan pada Nadira
jugak. Sampai hati!” Tangisan Nadira masih ada, hanya kedengaran agak perlahan
berbanding sebelumnya.
“Nadira sangka Zariq sayang Nadira.
Kami dah janji akan tetap ingat satu sama lain...tapi dia dah tipu Nadira.”
“Nanti cari lagilah. Tak payah
menangis.” Hardy betul-betul tidak tahu bagaimana mahu memujuk perempuan.
Lelehan air mata Nadira saja sudah membuat dia sesak nafas. Mengapalah
perempuan terlalu murah dengan air mata?
“Tak patut Zariq buat Nadira macam
ni. Nadira tak pernah lupakan dia. Hari-hari ingat dia. Dia dah tipu Nadira.
Zariq penipu!...pembohong!...pendusta!...apa lagi?” Nadira mahu melepaskan
perasaan sedihnya. Biar dia lapang dan lega.
“Errr...auta!...hipokrit!...apa lagi
ya? Entah...cukuplah tu Nadira. Tersedak-sedak pulak dia.” Tambah Hardy
beria-ia kemudian melarang pula. Hardy sudah sama pening seperti Nadira.
“Arghhh! Benci!...benci!” lalu botol
di dalam pegangan dilempar kuat ke batang pokok. Nadira mahu melihat botol itu
pecah depan matanya.
“Kenapa baling?”
“Nak pecahkanlah.” Nadira mengambil
semula botol itu lalu melemparnya untuk kali kedua. Masih tidak pecah.
“Ohhh, nak pecahkan botol pulak.”
Hardy mengambil botol itu dari
tangan Nadira. Dengan tenaga lelakinya botol dihempas kuat ke perdu pokok.
Semahu-mahunya. Dengan sekali hempasan saja botol telah pecah berkecai.
Diam-diam Hardy tersenyum. Mengharapkan Nadira akan terus melupakan Zariq
sepertimana pecahnya botol yang yang dihempasnya sebentar tadi.
“Zariq...aku akan cari kau lagi. Aku
tetap akan cari.”
Malangnya ucapan Nadira telah
membuat angannya terhenti separuh jalan. Hardy melepaskan keluhan panjang.
Nampaknya dia akan merasai penat berkali ganda ketika memandu pulang ke Kuala
Lumpur semula. Penat hati dan perasaan. Juga penat tubuh badan. Atau adalah
perlu untuknya bermalam saja di Cameron Highlands untuk menghilangkan kepenatan
itu?