Anaksinga jantan itu sangat lega apabila kedua orang
tuanya balik lewat pada malam itu. Nadira sudah masuk tidur. Mungkin dia tidur
dalam kepenatan dan ketakutan. Sulastri pula diberi amaran awal-awal lagi
supaya tidak memecahkan rahsianya kepada Tuan Daniel dan Pun Suzi.
Pada awalnya Hardy agak rasa bersalah dengan
perbuatannya. Budak lelaki berumur 13 tahun tidak sepatutnya membuli budak
perempuan yang baru 8 tahun. Nadira bukan lawannya. Tidak sampai separuh hari
dia berubah fikiran lagi. Peduli apa dia. Yang penting dia mahu Nadira keluar
dari rumah itu. Dia sudah terbiasa menjadi anak tunggal. Panas hatinya setiap
kali melihat Nadira cuba-cuba menyentuh piano kesayangannya.
“Dah
lewat malam ni, kenapa Boy tak tidur lagi? Kaki tu sakit lagi ke?” tanya Puan
Suzi sebaik melihat Hardy terintai-intai ke dalam bilik bacaan. Puan Suzi masih
ada kerja yang perlu disiapkan.
“Mestilah sakit.” Tanpa diarah Hardy melangkah masuk. Dia meletakkan
punggung pada kerusi goyang di bilik bacaan. Puan Suzi melihat sekejap sebelum
menyambung tugasan yang dibawa dari pejabat.
“Kat rumah pun mama masih nak buat kerja. Boy boring tau ma. Papa
pulak terus tidur.”
Bukan kali pertama Hardy meluahkan perasaannya. Sudah selalu. Sayangnya
keadaan masih tetap sama. Sudah 13 tahun lamanya dia hidup di dalam rumah mewah
itu dengan rasa kosong dan keseorangan. Setiap kali mama dan papanya pulang,
hanya pertanyaan ‘belum tidur?’ ‘Boy sayang, pergi tidur sekarang’ dan bla bla
bla yang tidak ada bezanya.
“Sebab tu mama carikan adik untuk Boy. Tak adalah Boy sunyi sangat bila
ada Nadira, kan?” balas Puan Suzi tanpa memandang Hardy.
“Yarkkk!” kutuk Hardy dalam hati. Adik? Meluat sungguh dengan perkataan
itu.
“Ma...Boy lebih suka kalau mama belikan Boy anak patung daripada Boy
bermain dengan budak kampung tu.” sebal muka Hardy.
“Hah! Anak patung? Boy nak jadi gugirl ke?” Kali ini beralih
perhatian wanita berkerjaya itu. Biar betul dengan si Hardy. Puan Suzi garu
kepala.
“Maksudnya macam ni ma...budak kampung tu sama je macam anak patung. Tak
boleh hilangkan boring Boy dalam rumah ni. Anak patung 10 kali lebih
baik daripada budak kampung tu. Sekurang-kurangnya kalau Boy geram, bolehlah
pijak-pijak, patahkan kaki tangannya dan campak-campak sesuka hati Boy.”
Sebenarnya Hardy membayangkan anak patung itu adalah Nadira. Betapa
seronoknya kalau dia dapat memperlakukan adik barunya seperti itu. Baru puas
hatinya. Tanpa Puan Suzi sedar begitulah bayangan perasaannya. Hardy sanggup
berbuat apa saja asalkan dapat memuaskan hatinya.
“Kenapa Boy suka panggil dia budak kampung? Mama tak suka tau, Boy.”
Tegur Puan Suzi sambil meletakkan pen ke atas meja. Badannya dipusing sedikit
supaya lebih mudah untuk dia memandang Hardy.
“Dah memang dia budak kampung, nak panggil apa lagi? Siapa suruh mama
cari budak kampung jadi adik Boy? Selekeh! Miskin lagi!” omel Hardy yang sedang
berayun atas kerusi goyang dengan muka sebal. Tidak puas hati.
“Dia kan ada nama...Nadira. Panggillah Nadira. Biasa, Boy ni!” suara
wanita itu agak tegas.
Hardy menarik muka 14 lalu buat-buat memandang siling. Malas hendak
menentang mata mamanya. Mamanya apa tahu, pergi pejabat, balik pejabat. Dia
yang terpaksa menghabiskan lebih banyak masa di dalam rumah semewah itu. Hendak
keluar bersama kawan tidak dibenarkan. Takut kena culik, takut kemalangan,
takut itu, takut ini. Sudahnya Hardy terasa hidup dalam penjara.
“Hantar dia balik tempat dia ma. Boy tak suka!” ujar Hardy keras.
Tersentak mamanya.
“Boy! Kenapa dengan Boy ni?”
“Boy dah kata...tak suka. Boy tak suka,
ma.” Ulang Hardy keras.
Keluhan dilepaskan. Puan Suzi bangkit dari duduk lalu menghampiri Hardy.
Dia bertinggung depan kerusi goyang Hardy. Tangan kanan diletakkan pada paha
anak tunggalnya. Hardy masih lagi memandang ke atas. Dia akan rasa lemas kalau
ada babak pujuk memujuk. Dia bukan anak perempuan yang cengeng dan lembik.
“Dengar cakap mama, sayang.” Wanita itu hendak memulakan.
‘Dah jangka dah. Inilah yang aku malas nak dengar.’ Bisik Hardy jengkel.
“Mama tau Boy tak ada kawan sebab tu mama ambil Nadira. Dia budak baik.
Memanglah mula-mula Boy tak akan suka, tengoklah lama-lama nanti mesti Boy
dapat terima dia. Percayalah kata mama. Satu lagi...jangan gelar dia budak kampung.
Kampung ke, bandar ke...sama aje. Boy kan dah besar, boleh fikir buruk baik. Keputusan
mama muktamad. Nadira akan jadi adik Boy.”
‘Grrr...muktamad!’ Hardy mengetap bibir sambil melepaskan geram di dalam
hati. Hanya itu yang mampu dibuatnya.
Begitulah selalunya. Semuanya muktamad, tidak
ada bangkangan dan segala macam perkataan yang lebih memihat kepada kedua orang
tuanya. Hitam atau putih semua sudah ditentukan oleh mereka. Kadang-kadang
Hardy merasakan dirinya tidak lebih daripada salah satu perhiasan di dalam
rumah itu.
Yang membezakan dirinya dan perhiasan-perhiasan itu adalah dia boleh
bergerak, bercakap dan protes. Protesnya yang jarang didengar dan diambil kira
tapi dia tetap mahu melakukan semata-mata hendak memuaskan hatinya. Nasib baik
ada piano yang dapat melembut dan menghiburkan hatinya.
“Sepanjang kami di pejabat, macam mana Boy layan Nadira?” Puan Suzi
mengusap pipi Hardy. Huh! Rimas sungguh. Hardy tidak suka.
“Ada jugak Boy bercakap dengan budak kampung tu.” Sengaja Hardy
melakukan perkara yang mamanya tidak suka.
‘Lebih dari bercakap.’ Bisiknya pula penuh makna. Mamanya tidak perlu
tahu layanan macam mana yang dihadiahkan buat Nadira setiap kali kedua orang
tuanya tidak ada di rumah. Hardy tersenyum tersengih dalam hati.
“Boy buat lagi? Panggil dia Nadira, okey? Mama
harap ni kali terakhir Boy berkelakuan macam ni!” nada Puan Suzi berubah tegas
sekali lagi.
“Boy mesti jawab okey, kan? Okey! Cukup ma?” sinis pertanyaan Hardy.
‘Siaplah kau, esok...budak kampung!’ Sedangkan dalam hatinya bernada
lain. Ada bau dendam dan sakit hati.
“Boy ni kan!” geram pula Puan Suzi dibuatnya.
Setiap kali berdepan dengan anak tunggalnya,
berbagai rasa ada dalam dirinya. Geram, bengkak hati dan marah sentiasa ada.
Hanya rasa sayang terhadap satu-satunya darah daging yang keluar dari perutnya
saja yang selalu menegenepikan perasaan-perasaan yang menjengkelkan itu. Siapa
tidak sayang anak? Lebih-lebih lagi anak tunggal.
“Sudah Boy, pergi tidur. Mama nak sudahkan kerja sikit.” Malas mahu
menyentuh tentang Nadira lagi. Tugasan pejabat yang belum selesai
lebih menarik minatnya.
“Tak mengantuk...Boy nak duduk sini.”
“Hmmm...suka hatilah. Yang penting
jangan ganggu mama.” Puan Suzi berdiri lalu menuju ke mejanya semula.
Hardy menjeling langkah Puan Suzi sekejap. Mamanya memang cantik dan
tegas. Sebagai anak, dia sangat sayangkan wanita itu. Peliknya terlalu payah
untuk dia mempamerkan. Yang selalu ditunjukkan adalah rasa tidak puas hati dan
rasa tidak pernah kecukupan. Tidak kecukupan dari segi apa, Hardy masih tidak
pasti.
Diam-diam dia melayan perasaan. Teringat semula tiga hari kebelakangan
ini. Dia menjadi seorang yang sangat sibuk. Tidak menang tangan dan tidak cukup
masa. Semuanya cuma disebabkan dendam dan benci. Perang yang dilancarkan masih
belum berakhir. Pihak musuh adalah adik barunya atau lebih dikenali dengan
BUDAK KAMPUNG!
‘Kau tunggu esok...taulah apa aku nak buat.’ Bisikan Hardy menghasilkan
sengihan yang lama. Dia tidak lagi rasa bersalah sebab sudah membuat Nadira
jatuh pengsan.
‘Tak sabar tunggu hari siang!’ sambungnya nakal. Dia menepuk paha sendiri
dek terlalu suka.
“Awww!” tepukan yang kuat membuat pergelangan kakinya yang sakit terasa
lebih sakit. Menyeringai mukanya.
“Kenapa tu?” Puan Suzi menoleh sekejap.
“Tak ada apa.” Balasnya dengan malas.
‘Ini semua kau punya pasallah budak kampung! Kalau tak kaki aku tak
macam ni. Kau datang dari kampung bawak masalah je. Kenapalah kau muncul?’
sungut Hardy makin sakit hati.
‘Susahlah macam ni!’ sambungnya sambil mengepal buku lima.
‘Tunggu esok!’ Ketawanya berdekah-dekah dalam hati.