Qisha Mirza termenung seketika di hadapan telefon pintarnya yang sudah berada
di dalam genggaman. Dia menyimpan terlebih dahulu nombor telefon bimbit Fulshan.
Kemudian, dia membuka laman whatssappnya dan menekan pada nama Fulshan. Namun,
dia masih belum lagi menghantar mesej buat lelaki itu. Hatinya berdebar-debar seketika
apabila teringat kembali bagaimana Fulshan dengan bersungguh-sungguh memberikan
nombor telefonnya dan juga laman sosial yang selalu disertai apabila kebosanan
melanda tahap petala kelapan.
Bagaimana ni? Nak mesej ke tak? Kalau tak mesej, macam mana aku nak kenal
dengan dia? Sekurang-kurangnya kalau tak rapat pun, aku boleh bertukar-tukar
idea cara pengajaran kami. Itu untungnya berada di dalam aliran yang sama.
Qisha Mirza bertembak di dalam hatinya seketika. Makin lama difikirkan, makin
sesak nafasnya dan akhirnya dia mengalah dengan tuntutan hati.
Ah, mesej sajalah. Baru sahaja jari-jemari Qisha Mirza hendak menekan hantar
mesej buat Fulshan ke dalam whatssappnya, tiba-tiba dia membatalkan niat. Tidak
jadi hendak berbuat begitu.
Hesy, kalau aku yang hantar mesej kat dia dulu, nampak sangat aku teruja
nak berkenalan dengan dia. Tak naklah aku. Biar tarik harga sikit, baru ada thrill. Hehehe .... Qisha Mirza memadamkan
mesej yang ditaipkannya sebentar tadi buat Fulshan.
Hmm ... apa kata kalau aku masuk dalam laman sosial Merapu Santai dulu.
Sekurang-kurangnya aku boleh risik dengan teman-teman yang sedia ada. Ataupun
aku boleh tengok dulu macam mana gelagat dia. Bolehlah macam tu. Qisha Mirza
akhirnya membuat keputusan untuk mendaftarkan diri ke dalam ruang maya Merapu
Santai setelah membuka komputer ribanya. Telefon pintar sudah pun diletakkan di
tepi. Malas hendak menengoknya lagi.
Sesudah sesi pendaftaran selesai, Qisha Mirza mula berbual dengan
rakan-rakan yang berada di dalam laman sosial itu. Qisha Mirza hanya meletakkan
nikcnamenya Q’MeZa. Cukuplah. Letak
nama betul buat apa. Makin lama berbual makin seronok pula yang dirasakannya.
Patutlah Fulshan mengajaknya masuk ke sini. Memang boleh mereleasedkan tensionsesudah
penat bekerja. Pertambahan kawan baru membuatnya bertambah gembira.
Q’MeZa : Seronok betul laman web ni. Ramai rakan yang gila-gila.
Giya : Gila-gila saja tau bukan gila betul. Hahaha ...
Q’MeZa : Kalau gila betul mau semuanya lari.
Giya : Mana akak dapat tahu laman web ni?
Q’MeZa : Dari seorang teman.
Giya : Hmm .... siapa dia tu?
Q’MeZa : Adalah ... tak penting pun. Abaikan sajalah.
Giya : Mengelaklah tu.
Q’MeZa : Anggap sajalah begitu.
Giya : Kedekut.
Ha ha ha .... merajuk pula si budak Giya ni. Macam-macam. Biarlah siapa
yang ajak aku masuk di sini menjadi teka-teki buat semua. Menariklah
budak-budak kat sini. Seronok aku dibuatnya. Qisha Mirza tidak tahan hendak
tergelak dengan gelagat setiap seorang daripada mereka.
Atuk Sh’an : Assalamualaikum semua. Hai sayangku, Q’MeZa. Apa khabar hari
ni? Rindu kat abang tak?
Tiba-tiba sahaja terjengul nama Atuk Sh’an. Terperanjat beruk Qisha Mirza
di saat itu.
“Hmm ... siapa pula si Atuk Sh’an ni? Kenal tidak, tiba-tiba datang
mengayat aku. Ingat aku suka sangat cara dia? Macam desperate saja. Gila betul.” Qisha Mirza mengutuk nama yang
menegurnya.
Mek Kelate : Amboi atuk, masuk-masuk
tegur Q’MeZa saja? Kami ni tak nak tegurkah? Siap bagi salam cinta lagi.
Atuk Sh’an : Kenapa? Cemburukah? Dah memang betul saya sayang dia. Buat apa
nak menyembunyikan perasaan sendiri, betulkan sayang?
“Amboi, makin galak pulak dia. Ni yang buat aku tak selesa. Baru nak bermesra
datang pula si mangkuk bulat ni. Malaun betullah.” Qisha Mirza seakan tidak
berpuas hati dengan nickname itu.
Cukup-cukup mengganggu ketenteramannya hendak bersuka ria.
Mek Kelate: Mau tak cemburu. Dah lama saya intai atuk, dia pula yang dapat.
Atuk Sh’an : Itu bermakna di antara kita tidak ada jodoh.
“Suka-suki dia saja nak kata apa pun.” Qisha Mirza terus menyepi.
Sudu : Sudah ... sudah ... kau orang ni, kalau berjumpa memang tak reti nak
berdamai. Ada saja yang nak ditekakkan. Mana Q’MeZa? Senyap saja. Terkejut kut
dengan ayat-ayat cinta kau atuk.
Atuk Sh’an : Ala sayangku Q’MeZa, janganlah senyap saja. Nanti mati
kerinduan pula abe kat sini.
“Sudah! Bahasa Kelantan pula dia ghoyak. Melampau betullah atuk ni. Hee ...
menyampah aku.” Hati Qisha Mirza main membengkak.
Q’MeZa: Mmm .. maaf ya atuk, saya tak berminat dengan awak.
Atuk Sh’an : Saya yakin awak pasti berminat dengan saya.
Q’MeZa : Tak mungkin.
Atuk Sh’an : Mungkin.
Mek Kelate : Sudahlah atuk, orang dah tak sudi buat apa nak menyendeng
lagi. Pilih saja orang yang dah lama menanti.
Tiba-tiba sahaja inbox laman
sosial itu berkelip-kelip menandakan ada mesej baru masuk. Berkerut dahi Qisha
Mirza memandang ke arah ikon inboxnya.
“Siapa pula yang hantar mesej ni?” Pantas sahaja jari-jemari Qisha Mirza
membuka pada ikon inboxnya lalu
membaca dengan rakus. Seketika kemudian, dia tersengih sendiri.
“Mangkuk bulat ni rupanya. Patutlah mengayat aku semacam saja. Fulshan ni
memang hantu pocong betullah. Nasib baik tak terkeluar anak tekak aku dibuatnya
dengan jalinan ayat-ayat cinta tu.” Qisha Mirza menggeleng-gelengkan kepalanya.
Seketika kemudian, Qisha Mirza membalas ayat-ayat cinta daripada Fulshan
dengan gaya cinta ekstrem. Ingat apa, dia tidak boleh mencairkan hati lelaki?
Minta maaflah. Dia pun ada skill
tahu.
Ahli-ahli di dalam forum itu mula terkejut macam-macam. Iyalah, mana tidak
terkejut, dalam sekejap sahaja Qisha Mirza sudah cair dengan ayat-ayat cinta
yang dihamburkan kepadanya. Sudah-sudahnya mereka berdua pula dikenen-kenenkan
dan digelarkan dengan gelaran pasangan cinta ekspress. Ha ha ha macam-macam gelagat
manusia di alam maya ini. Hampir terguling Qisha Mirza di atas katil akibat
tidak tahan ketawa. Kalaulah si Atuk Sh’an itu seorang insan yang tidak
dikenali, jangan haraplah dia hendak membalas ayat-ayat cinta ekstrem sebegitu.
Bayar sejuta pun belum tentu dia mahu. Gedik sahaja. Tetapi oleh kerana lelaki
itu sudah dikenali, maka dia tidak mempunyai masalah untuk mengikut rentak si
Fulshan.
“Hmmm .... boleh tahan juga si Fulshan ni ya? Ingatkan serius saja orangnya
24 jam tapi aku tersilap tafsiran. Otak senget juga rupanya dia sama macam aku.
Boleh ngam ni.” Qisha Mirza menayang sengihan di hadapan skrin yang kaku.
Sesudah meminta diri untuk keluar dari laman sosial itu, Fulshan telah memesej
Qisha Mirza di laman whatssapp agar mereka boleh melanjutkan perbualan di sana.
Melonjak gembira Qisha Mirza. Tidak disangka, pucuk yang dicita ulam yang
mendatang. Yahoo .... akhirnya dia
boleh mengenali jejaka ini dengan lebih dekat lagi. Dengan senang hati, Qisha Mirza
membalas mesej Fulshan di laman whatssapp.
Entah kenapa, hati Qisha Mirza berbunga riang dengan ejekan dan kenen-kenen
daripada teman-teman di laman sosial Merapu Santai antara dirinya dengan
Fulshan. Seakan ada sesuatu yang mengikat mereka untuk terus serasi bersama.
Qisha Mirza dapat merasakan bahawa dia semakin tertarik dengan personaliti
Fulshan walaupun baru sahaja dikenalinya. Jika tidak menghadiri kursus
guru-guru pra tempohari, tidak mungkin dia akan mengenali Fulshan.
Qisha Mirza menutup kembali laptopnya
sambil membaringkan diri di atas katil. Bibirnya tidak sudah-sudah mengukir
senyuman. Makin lama makin manis dan makin mengembang. Aduh! Bahagia sungguh
rasa hatinya. Apakah ini dinamakan cinta?
Oh tidak mungkin. Ini bukannya cinta tetapi hanya obses untuk mengenali si
jejaka. Cinta masih jauh dan belum bertapak lagi di dalam hatinya. Dia sendiri
tidak tahu sama ada cinta itu akan bersemi bersama Fulshan ataupun tidak.
“Reda sahaja Qisha dengan ketentuan Yang Maha Esa.” Akhirnya Qisha Mirza
melelapkan matanya sesudah malas hendak berfikir apa-apa pun. Badan dan otaknya
perlu rehat.