Dari laman sosial Merapu Santai, Qisha Mirza dan Fulshan melebarkan sayap
perbualan mereka ke grup whatsapp
pula dan seterusnya ke whatsapp peribadi. Barulah mereka boleh membicarakan
tentang diri masing-masing.Tentang hal peribadi termasuk juga keluarga. Qisha
Mirza ingin mengetahui tentang diri Fulshan dengan lebih dekat lagi. Dia
merasakan sudah tiba masanya dia lebih serius dengan Fulshan.
Namun agak susah juga Qisha Mirza ingin mengorek rahsia kehidupan Fulshan
kerana jejaka itu lebih bersikap perahsia. Bukan senang hendak mengenali
dirinya dengan lebih dekat. Seksa woo ... namun, berkat kesabaran Qisha Mirza
dengan usaha yang berlipat ganda tanpa mengenali erti putus asa, sedikit
sebanyak jejaka itu mahu berkongsi rahsia hidupnya. Qisha Mirza sendiri tidak
faham dengan hakikat diri Fulshan. Jejaka itu boleh berbual apa sahaja namun
bukan tentang dirinya secara mendalam. Memang sakit batinnya untuk mengorek.
Pada malam itu, mereka bermesej lagi. Ada benda yang Qisha Mirza ingin tahu
daripada jejaka itu. Apa salahnya berkongsi sedikit lagi hal peribadi, bukannya
dengan orang lain pun, kan? Iya sangatlah tu ... macamlah Qisha Mirza ini buah
hati pengarang jantungnya. Qisha Mirza tersengih sendiri. Alah, bukan sesiapa
nampak pun apa yang dilakukannya di dalam bilik.
Qisha Mirza menanti dengan sabar kemunculan Fulshan di layar perak ..
oppss, bukan layar perak daa, tapi layar skrin. Dia bukannya pelakon utama,
begitu juga dengan Fulshan, apa ke halnya hendak muncul di layar perak. Iya
kan? Akhirnya penantian Qisha Mirza berakhir apabila terlihat nickname Shan di skrin Ymnya. Gembiranya
hati Qisha Mirza hanya Allah swt sahaja yang tahu kerana dia terlalu merindui
jejaka itu di saat ini. Pelik bukan, tanpa mengenali siapa dia yang sebenar,
Qisha Mirza mampu mencipta rindu itu. Bukan senang sebuah perasaan itu mampu
hinggap pada sekeping hati milik Qisha Mirza tetapi dengan Fulshan? Hai,
entahlah ... hanya Allah swt sahaja yang tahu apa yang telah direncanakannya
untuk mereka berdua.
“Assalamualaikum awak. Dah online
ya?” tegur Fulshan sebaik sahaja muncul di layar skrin.
“Waalaikumussalam. Yup, dah online.
Tak nampakkah ikon senyum tu ...” balas Qisha Mirza yang sedang mengembang
senyumannya di saat ini.
“Nampak. Tapi saja nak tanya lagi.” Perbualan mereka semakin berkembang
dengan pesatnya.
“Memang mengada, kan. Hari ni tak masukkah di Merapu Santai?” Semakin
selesa.
“Hari ni tak masuk. Malas arr. Awak?”
“Saya pun sama. Tadi menjenguk kejap tapi tak ada orang, saya outlah.”
“Oh, begitu. Dah makan?”
“Dah. Awak?”
“Saya pun sama. Apa je cerita awak hari ni?” Begitulah rutin mereka berdua
apabila sudah online. Pasti akan
berbunga bahasa terlebih dahulu berkisarkan kehidupan harian sebelum perbualan
berkembang lagi.
“Tak ada apa yang menarik sangat. Cuma belajar masak mee kari dari umi
saya.”
“Dah pandai ke ni?”
“Bolehlah kalau nak makan.”
“Nanti masakkan untuk saya ya?”
“Mmm ... ok.” Iyalah tu, macamlah aku ni bini dia. Suka suki saja nak suruh
aku masak. Omel Qisha Mirza di dalam hati.
“Ok je?”
“Iyalah, nanti saya masakkan khas untuk awak. Hmm, awak .... saya nak tanya
sesuatu ni.” Qisha Mirza malas lagi hendak berbunga bahasa. Lebih baik dia
terus ke pokok pangkal. Karang lewat pula pasti matanya akan terundang dengan
rasa mengantuk.
“Awak nak tanya apa?”
“Awak pernah bercinta?”
“Hmm ... semua orang pasti akan melalui saat-saat yang indah itu kan? Cuma
ada percintaan yang berterusan hingga ke hari bahagia dan ada pula yang hanya
bertahan sekerat jalan. Tak semua cinta itu akan berakhir dengan bahagia.”
Amboi! Bermadah pula dia. Aku tanya punyalah straight to the point tapi dia memang suka ikut jalan kampung. Guna
highwaykan senang. Ini mesti nak
berhenti banyak stesyen. Sabar sajalah aku dengan dia ni. Qisha Mirza menarik
nafasnya dengan dalam-dalam kerana dia sudah masak benar dengan sikap Fulshan.
“Memang pun. Saya setuju tapi bagaimana pula dengan percintaan awak? Dalam
kategori yang mana satu ia berada?” Qisha Mirza tidak mahu mengalah. Apa yang
ingin diketahui pasti akan dikorek sehingga habis.
“Percintaan saya mungkin tidak seindah percintaan hero dan heroin di dalam
novel. Percintaan saya terlalu banyak dugaannya sehingga tidak mampu untuk saya
bertahan lagi. Mungkin saya tidak layak untuk mereka.” Fulshan menayang ikon
senyum di layar skrin.
“Kenapa awak cakap macam tu? Kenapa awak rasa tak layak untuk mereka?”
tanya Qisha Mirza lagi.
“Iyalah, saya bukanlah dari golongan orang yang senang dan saya tak dapat
berikan apa yang mereka mahu. Jadi, mungkin mereka rasakan yang saya tak layak
untuk mereka.” Jelas Fulshan lagi.
“Mereka? Ramainya kekasih awak? Kiranya romeo jugalah awak ni.” Qisha Mirza
memerangkap Fulshan. Fulshan hanya menayang ikon ketawa terbahak-bahak.
“Aduh! Awak memang pandai mengorek rahsia saya ya? Hingga saya sendiri
terperangkap.”
“Haa .... awak jangan nak lari. Saya nak cerita versi penuh dari awak.”
Tekan Qisha Mirza.
“Bagaimana dengan percintaan awak?”
“Saya akan cerita selepas awak. Please
.. awak dah mula dan jangan nak berhenti sekerat jalan. Saya tak terima tu.”
Qisha Mirza semakin menekan Fulshan.
“Aduh! Memang saya tak boleh larilah ni?”
“Tak boleh. Cepat.” Qisha Mirza menggesa Fulshan pula.
“Yalah saya cerita. Percintaan pertama saya dengan rakan baik sepupu saya
sendiri. Masa tu saya berada di sekolah menengah. Hubungan kami berjalan pada
mulanya dengan lancar sampailah kemunculan pelajar baru di sekolah kami dan
merampas dia dari saya.” Fulshan masih menayang ikon senyum.
“Jadi, awak lepaskan macam tu saja?”
“Dia dah maki hamun saya, takkan saya nak bertahan lagi? Mentang-mentanglah
saya ni tak punya apa-apa, suka hati dia saja nak buat begitu.” Fulshan
menayang ikon sedih pula.
“Kasihannya. Kalau begitu, cintanya tak ikhlas. Cintanya hanya pandang pada
harta. Tak apalah, lebih baik awak tahu sikap dia dari awal lagi sebelum
percintaan ni berkembang dengan lebih mendalam.” Qisha Mirza turut bersimpati
dengan Fulshan.
“Tak apalah. Saya sedar diri saya siapa dan saya tak berdendam pun dengan
dia. Biarlah dia pergi pada orang yang lebih baik daripada saya. Saya rela.”
“Baguslah awak ni.” Jarang nak ada lelaki macam ni. Aduh hati, kenapa
engkau semakin tertawan dengan dia. Qisha Mirza semakin terpikat dengan sikap
Fulshan.
“Itulah saya. Saya reda dengan ketentuan Allah swt.”
“Percintaan kedua awak pula?”
“Percintaan kedua saya ketika saya melanjutkan pelajaran di Universiti
Kebangsaan Malaysia. Di situ saya bertemu dengan seseorang tapi saya ni jenis
kawan dengan semua, jadi sesiapa saja di dalam kesusahan akan saya tolong, walaupun
bukan dengan duit.”
“Jadi, siapakah dia di antara mereka-mereka yang menjadi kawan awak berjaya
memikat hati awak?” Semakin Qisha Mirza ingin tahu.
“Salah seorang dari mereka. Dia datang pada saya dan cakap saya hendak
bertakhta di hati awak. Saya hendak awak jadi dahan untuk saya bergantung.
Terharulah saya bila dia kata begitu. Mulanya memang semua berjalan lancar
tetapi dia tak faham saya. Sikap saya yang suka menolong teman-teman lain
membuatkan dia cemburu dan ingin mengawal saya. Akhirnya, dia sendiri minta
perpisahan kerana tidak mahu saya dikongsi dengan orang lain.” Panjang lebar
Fulshan menerangkan kepada Qisha Mirza.
“Teruknya sikap dia. Tak apalah, susah juga kalau sikap kuat cemburu ni.”
“Alah, saya tak kisah pun. Mungkin bukan jodoh saya. Saya rela melepaskan
dia. Dan saya berharap agar mereka menemui pasangan yang lebih serasi dan yang
lebih lagi dari saya.” Sikap Fulshan yang bersahaja itu cukup menarik hati
Qisha Mirza.
“Sekarang bagaimana? Dah ada pengganti mereka berdua?” Itulah yang sebenarnya
ingin diketahui oleh Qisha Mirza sebelum perasaannya yang semakin berbunga
indah ini berkembang dengan lebih jauh. Fulshan hanya menayang ikon senyum.
“Hanya Allah swt yang maha mengetahui. Okaylah awak, dah lewat benar ni.
Saya dah rasa mengantuklah.” Fulshan tidak mahu memanjangkan sayap perbualan
mereka lagi. Qisha Mirza terpaksa mengalah.
Tak apalah Qisha, waktu masih panjang lagi. Asalkan aku tak mengalah, pasti
aku akan tahu rahsia Fulshan. Walaupun agak kecewa namun Qisha Mirza
meningkatkan tahap kesabaran diri. Pertama kali dia berjumpa dengan jejaka yang
terlalu misteri buatnya dan membuatkan dia ingin tahu tentang jejaka ini.
“Okay. Saya pun dah mengantuk. Selamat malam awak. Semoga mimpi yang
indah-indah.” Qisha Mirza terpaksa menamatkan jua perbualan mereka.
“Selamat malam. Sweet dreams.
Assalamualaikum.” Balas Fulshan sebelum dia keluar.
“Waalaikumussalam.” Qisha Mirza juga terus keluar sambil berbaring di atas
katilnya. Susah betul hendak mengenali Fulshan. Itulah ayat terakhir yang
berlagu di bibirnya sebelum dia hanyut di layar mimpi.
Manakala Fulshan di rumahnya pula agak kehairanan, bagaimanalah dia boleh
menceritakan hal peribadinya pada Qisha Mirza walhal selama ini dia cukup susah
hendak berkongsi cerita walaupun dengan orang yang paling rapat dengannya.
Wanita ini cukup misteri dan dia harus mengenali dengan lebih mendalam lagi
dengan wanita yang bernama Qisha Mirza.