Home Novel Komedi/Romantik Komedi ISTERIKU NAIK HANTU
ISTERIKU NAIK HANTU
Syikin Zainal
28/10/2013 09:09:19
220,101
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 16

“Gila, awak ni selalu buat keputusan sendirilah, lain kali boleh tak tanya saya dulu,” marah Qarina. Terkejut dia apabila Fareez memberitahu yang Fatimah memintanya pulang sempena perkahwinan anak saudaranya. Betul-betul cari nahaslah.

“Apa pula gilanya, dah keluarga saya nak kenal awak. Salah ke kalau mama saya nak kenal bakal menantunya dengan lebih rapat lagi.”

“Fareez rasanya kita ini terlebih sudah. Awak tak fikir ke kesannya. Ini dah melibatkan kaum kerabat kita tau. Nasib baik famili saya tak tahu, kalau tidak tak tahulah saya macam mana nak tepis, betul-betul cari nahas tau.”

“Kenapa pulak? Tak kan nak mendirikan masjid salah kot. Famili awak mesti gembira lepas ni. Ialah anak dara dia yang terlebih sudah usia dah dapat jodoh,” kata-kata Fareez itu terasa seperi duri yang dicucuk-cocok ke telinga Qarina.

“Amboi sedapnya bahahsa. Yang terlebih sudah usia ni yang mama awak nak buat menantu tau!” balas Qarina dengan perasaan yang bungkam. Huh, memang parahlah telinganya kalau bercakap dengan mamat poyo ni, cakap ikut sedap mulut dia sahaja. Qarina merungut di dalam hati.

Fareez tersenyum, menampakkan lesung pipitnya. Memang Qarina pantang bab terlebih usia tetapi dia sengaja mengusik, suka tengok marah-marah manja Qarina.

“Tengok-tengok, apa hal?” tanya Qarina sebelum keluar dari bilik Fareez. Geram dengan muka sardin Fareez yang langsung tidak ada reaksi bersalah selepas menyakiti hatinya.

Fareez memandu kenderaannya dengan kelajuan sederhana, kadangkala dia memecut sedikit. Qarina di sebelah sedang asyik tidur, dari mula perjalanan hingga ke detik ini kerjanya hanya membina tahi mata.

“Dah sampai mana ni?”

“Baguslah, celik mata sahaja tanya sampai mana. Dah ada sempadan golok dah ni, tok kadi pun dah tunggu,” Fareez menjawab. Mesti naik angin lah minah di sebelahnya.

Qarina malas hendak menjawab sebaliknya dia terus memeluk bantal yang dibawanya bersama.

“Baguslah pergi jalan macam ni, tidur aje. Bestnya ada pemandu peribadi ni,” kata Qarina sambil matanya dipejamkan.

“Untuk bakal isteri apa salahnya,” usik Fareez. Pantang Qarina mendengar ayat-ayat itu.

“Jangan lupa rancangan kita tau, lepas habis kenduri kita balik. Lepas tu kita putus. Tak sanggup dah saya nak jadi mangsa awak ni Fareez.”

“Jahat sangat saya ni?”

“Bukan jahat tapi tak bolehlah, lagipun kita bukan betul-betul bercinta pun. Buat apalah kita nak tipu-tipu. Tipu orang tua pulak tu. Nasib baik mak dengan keluarga saya tak tahu. Kalau dia orang tahu, kena kahwin lah jugak dengan awak ni. Dah lah perangai macam budak-budak. Poyo aje. Malulah saya kalau nak bawak awak pergi reunion kawan saya,” terus-terang Qarina. Fareez nak terasa hati? Huh biarlah, tapi yakin sangat dia Fareez tu jenis hati kebal. Tak mainlah terasa-terasa hati.

Fareez mendiamkan diri kemudian dia mengambil telefon bimbitnya.

“Eloklah tu memandu sambil menggunakan telefon. Kena saman baru tahu,” leter Qarina. Fareez tida menjawab sebaliknya dia terus memperlahankan sedikit kenderaannya. Sekejap matanya melihat ke hadapan sekejap lagi matanya melihat ke skrin telefon bimbit miliknya.

“Assalamualaikum, makcik. Apa khabar?”

“Belum lagi makcik. Dalam perjalanan dah ni. Insya-ALLAH saya tak bawak laju pun.”

“Dia ada kat sebelah ni. Nak cakap dengan dia ke?”

Qarina hanya mendengar perbualan Fareez entah dengan siapa pun dia tak tahu. Mungkin dengan saudara-maranya. Kecoh betullah mamat, mungkin habis suku sakatnya tahu tentang percintaan mereka berdua. Haru-biru betul. Kemudian Fareez memberikan telefon bimbitnya kepada Qarina.

“Nah, ada orang nak cakap,” kata Fareez.

“Siapa? Makcik awak? Tak payahlah.”

“Cakap aje lah,” suruh Fareez.

“Dia ni kan, betullah menyusahkan,” mahu tidak mahu Qarina tetap mengambil telefon bimbit itu dengan wajah yang geram.

“Assalamualaikum,” Qarina memberi salam, suaranya yang tegang kini lembut sahaja. Fareez tersenyum.

“Waaalaikummusalam. Kau ni nak ke mana-mana lain kali beritahulah kat mak. Ini tidak pandai-pandai aje kau. Nasib baik Fareez beritahu mak. Dengan mak kau pun nak malu,” kedengaran suara perempuan yang sedang berleter. Qarina mengerutkan dahinya, apa kes perempuan ni marah-marah padanya, bukan emaknya pun. Suka-suka hati sahaja menyembur dia. Memang keturanan kaki serbu mereka ni. Tetapi macam pernah dia dengar suara itu, tapi di mana ye? Qarina berfikir sendiri.

“Hello, makcik ni kenapa marah-marah saya ni?”

“Makcik? Banyaklah kau punya makcik, ini mak kau lah. Bercinta sampai mak bapak pun kau dah tak kenal ye. Ini abah kau tak tahu, kalau abah kau tahu, teruklah mak kena marah sebab izinkan kau mengikut si Fareez ni,” leter Alina kepada anak perempuannya yang sudah pun berusia 30 tahun. Ini kali pertama dia mendengar anaknya mula berkawan dengan lelaki.

“Mak?” Qarina terkejut, patutlah dia seperti pernah mendengar suara itu, rupanya suara emaknya sendiri. Tapi bagaimana Fareez boleh menghubungi emaknya, fikiranya mula memutar dengan ligat, cuba mencari jawapannya.

“Mak lah ni. Emak Fareez ada?” tanya Alina lagi.

“Er, mak Fareez? Mak ke ni?” Qarina bertanya seolah-olah tidak percaya yang di hujung talian ada emaknya.

“Budak ni, main-main pulak. Mak Fareez ada ke tak?”

“Er, tak ada. Tapi nak pergi ambil lah ni. Macam mana mak kenal Fareez ni?” tanya Qarina serentak dengan ini dia melihat ke arah Fareez.

“Semalam Fareez telefon beritahu yang dia hendak bawa Qina ke rumah kenduri sepupunya. Mak pun terkejut, bila pula kau ni bercinta. Mak tak izinkan, kemudian mama dia telefon. Lepas tu dia cakap nak ke sini lepas ke majlis tu. Mak nak kata apa, tunggu kau telefon tak juga kau telefon. Mak ni dah habis kredit tau. Mak tak beritahu kat abah ni,” terang Alina. Muka Qarina sudak berubah, geram dan marah dengan perbuatan Fareez. Pandai-pandai menelefon keluarganya. Memang sudah lebih.

“Tak apa lah mak, nanti Qina telefon mak balik,” kata Qarina.

“Jaga diri elok-elok. Mak sebenarnya tak berapa suka kau keluar-keluar macam ni, bukan ada ikatan pun.”

“Tak apa lah nanti Qina balik Qina terangkan pada mak. Jangan beritahu abah ek.”

“Takut? Habis tu mama Fareez cakap nak datang ke sini lepas ni?”

“Tak jadi kot. Assalamualaikum mak.”

Qarina tidak bersuara sepatah pun di dalam kereta selepas dia selesai berbicara dengan emaknya. Fareez turut diam seperti patung, tidak berani hendak bersuara. Mana boleh dikira sangat dengan Qarina yang sedang di tahap maksimun kemarahannya, memang cari nahas lah kalau dia buka mulut sekarang ini.

“Em,” Fareez berdeham, rimas lah pula dia dengan suasana yang sepi begini.

“Diam! Aku tak nak dengar suara kau. Mcam mana kau boleh dapat nombor telefon mak aku ni?” marah Qarina. Kalau diikutkan hatinya, memang teruklah Fareez diganyangnya. Dia cuba bersabar, dia tidak mahu bertengkar dengan Fareez ketika ini, Fareez sedang memandu. Nanti tidak fasal-fasal mereka berdua menjadi penumpang di mana-mana hospital yang bedekatan.

“Er, saya ambil dalam komputer. Marah ke?”

“Diam!” marah Qarina.

Fareez menelan air liurnya, memang dari riak dan geri Qarina, jelas emosinya sekarang ini. Haruslah menempah maut kalau dia cuba buat lawak bodoh di saat ini. Fareez membelok keretanya masuk ke kawasan rehat di Sungai Buluh.

“Kenapa berhenti?” tanya Qarina. Fareez mendiamkan diri. Dia cuma membuat bahasa isyarat yang baru diciptanya menunjukkan yang dia hendak ke bilik air.

“Ni kenapa pulak ni? Bisu ke?” tengking Qarina. Memang menyakitkan hati. Fareez tetap tidak bersuara.

“Memang sakit jiwalah kau ni,” marah Qarina. Fareez tersenyum, dia tahu pasti Qarina bengang dengannya.

Fareez kembali memandu selepas berehat hampir 15 minit. Dia sengaja membiarkan Qarina sendiri di dalam kereta. Dari jauh dia melihat Qarina yang mungkin sedang menyumpah dirinya. Di dalam kereta, hanya Qarina sendiri yang berleter, sepatah pun dia tidak menjawab. Ialah, bukan kah tadi Qarina melarangnya bersuara di dalam kereta?

Qarina menjeling, memang sakit hati betul dengan mamat poyo di sebelahnya. Sudahlah menyakitkan hatinya, boleh pula Fareez berlagak seolah-olah tiada apa yang berlaku. Qarina cuba menahan perasaannya. Dari tadi dia cuba bersabar, sudahlah memandai-mandai dia menelefon emaknya dan kini boleh pula buat-buat bisu. Memang dia geram.

Fatimah senyum meleret, dari tadi dia tidak sabar untuk berjumpa dengan Fareez. Sudah beberapa bulan dia menanggung rindu, kalau diikutkan hati dia ingin sahaja berpindah ke Pulau Pinang.

“Tersengih-sengih sahaja awak ni, saya tengok dari tadi. Tak sabar nak tunggu anak balik ke Cikgu Timah,” Hussain mengusik isterinya. Hari ini terubatlah rindu di hati isteri kesayangannya itu. Rindu pada anak terunanya.

“Abang ni, mana ada tersengih-sengih, ingat saya ni gila ke nak sengih-sengih,” sanggah Fatimah.

“Macamlah kita ni baru kenal dia. Ha, itu pun dah sampai,” Hussain berkata dan kemudian bangun dari duduknya. Fatimah terus meluru keluar selepas mendengar kata suaminya.

“Ya ALLAH, sampai pun anak mama,” Fatimah memeluk Fareez. Qarina hanya melihat, hendah tergelak pun ada. Namun di tahannya gelak itu. Sudah besar panjang pun masih dipeluk erat oleh emak. Memang sah anak emak.

“Mama ni, apa lah. Buat malu aje tau,” kata Fareez, dia cuba melepaskan diri dari pelukan mamanya. Aduh, di depan Qarina pula tu. Qarina siap sengih-sengih lagi, masaklah dia kena kutuk dengan Qarina selepas ini.

“Iyalah, mama ni rindu pada Fareez aje, salah ke mama peluk anak sendiri. Buat malu sangat depan Qarina. Kalau tidak asyik nak duduk celah ketiak mama sahaja,” Fatimah mengusik anak terunanya. Qarina cuba menahan ketawa. Rasanya ini kali pertama dia kelihatan ceria sejak dari tadi.

“Makcik sihat?” tegur Qarina.

“Alhamdullillah. Semalam makcik dah telefon emak Qarina minta izin dia supaya kami boleh bawa Qarina pulang ke kampung,” Fatimah menjawab, dia dengan segera mendapatkan Qarina, dipeluknya anak gadis itu, maklumlah bakal menantunya. Qarina sekadar menganggukkan kepalanya. Memang pening kepala dengan keluarga Fareez. Ini baru berpura-pura bercinta, kalau betul-betul dia jatuh cinta mahu meletup jugalah kepalanya.

“Jom lah masuk, nanti kita nak bertolak,” sampuk Hussain.

Previous: BAB 15
Next: BAB 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.