Home Novel Komedi/Romantik Komedi ISTERIKU NAIK HANTU
ISTERIKU NAIK HANTU
Syikin Zainal
28/10/2013 09:09:19
220,078
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 3

Qarina melemparkan senyuman kepada ketiga-tiga calon untuk jawatan jurutera di Setia Holdings. Firhad sudah bersedia di dalam biliknya. Kali ini temu duga dijalankan oleh Firhad, Vincent selaku ketua jurutera dan Dato’ Hamidi. Aduhai, melihat ke arah wajah ketiga-tiga nampaknya terpaksalah dia memanggil lagi calon yang lain. Semuanya nampak ‘blur’ sahaja. Sikit pun tiada karisma sebagai jurutera.

Qarina membelek salinan resume yang diberikan oleh Fatin sebentar tadi.

“Cik Qina rasa siapa yang dapat?” tanya Fatin. Qarina terus membelek.

“Semuanya poyolah Fatin. Ni tengok ni, mat skema mana pulak ni. Ni spek ke kanta pembesar ni,” kata Qarina. Fatin ketawa. Memang dia dan Qarina sebulu dalam bab kutuk-mengutuk.

“Yang ni okey jugaklah Cik Qina,” Fatin kemudiannya beralih kepada resume Fareez Aiman.

“Bolehlah, nampak macho sikitlah, tak kelam tapi dah kelabu asap lah pulak,” komen Qarina.

“Hitam-hitam si tampuk manggis ni. Sungguh pun hitam, dipandang manis. Tak nak cuba ke, mana tahu boleh jadi idaman hati ke?” cadang Fatin. Dia tahu, ketuanya ini belum terisi hatinya.

“Muda sangat, baru 26 tahun. Tahap adik-adik ni. Harus tidak matang. Buat teman pergi membeli-belah okey lah. Tapi kalau nak buat teman sehidup semati, umur macam ni kirim salam. Awak ni dah siap ke kerja?”

“A’ah lah, tak siap lagi. Sembang macam kat kedai kopi. Lupa saya nak tanya, Cik Qina nak kirim apa-apa tak. Saya nak turun beli nasi lemak ni. Lapar lah. Nanti kena gastrik pula. Kesian kat syarikat kena tanggung bil hospital.”

“Boleh jugak, awak beli kuih dah lah. Jangan lupa kopi tarik satu. Jangan lama-lama sangat. Nanti kena ngorat dek mamak bawah tu, baru tau,” kali ini Qarina pula yang mengusik Fatin.

“Tak pa eh, janji mamak kaya. Mamak sengkek, kirim salam aje lah,” jawab Fatin.

“Mata ringgit Malaysia betullah awak ni Fatin.”

“Macam mana bos? Yang mana satu pilihan hati?” tanya Qarina. Firhad meletakkan fail merah itu di atas meja Qarina. Dia menarik bangku.

“Adui, semuanya mengarut lah. Yang ni sahaja boleh tahan. CGPA takat 2.7 cukup makan sahaja. Ko-K, memang aktif. Cara komunikasi pun boleh tahan. Tapi nampak gaya macam gila-gila sikit lah. Tak habis kita soal dia, dia pulak yang berapi-api soal kita. Macam wartawan aje. Tapi Vincent setuju, katanya budak macam ni kena ada dalam syarikat. Banyak soal, biar mengelupur pembekal kita nak jawab. Dah Dato’ pun setuju, saya kena okey aje lah,” kata Firhad.

“Gila-gila tak apa bos, jangan gila dah lah. Jadi bila saya nak keluarkan surat tawaran tu?” soal Qarina. Matanya terus tertumpu ke arah ketuanya. Firhad memang tampan, usianya lewat 30-an. Kulitnya putih cerah. Lelaki di hadapannya baru sahaja mendirikan rumah tangga. Namun ada khabar angin yang mengatakan rumah tangga yang dibina atas dasar

pilihan keluarga itu kini menunggu retak. Entah betul, entah tidak Qarina tidak dapat pastikan.

“Awak ni asyik tengok saya ni kenapa?” tanya Firhad, serba salah juga di buatnya apabila anak dara di hadapannya asyik merenungnya.

“Tak ada lah. Mana ada tengok bos,” elak Qarina. Aduhai, kenapalah gatal sangat matanya. Agak-agaklah kalau nak tengok pun, marah Qarina di dalam hati.

“Jangan tengok lama-lama, nanti awak jatuh hati. Saya ni suami orang,” Firhad memberi ingatan.

“Er, nak keluarkan surat tawaran tu sekarang ke?” Qarina mengalih tajuk bualan.

“Minggu depan boleh. Awak nak makan?”

“Alamak, mahu angau aku, kalau keluar makan dengan mamat ni,”

“Malaslah nak keluar bos. Bos tak keluar makan dengan orang rumah ke?”

“Orang rumah saya ke Kuala Lumpur. Ada seminar. Okeylah, saya keluar dulu. Jangan lupa minggu depan siapkan surat tu. Kalau boleh bulan depan suruh budak tu masuk kerja,” pesan Firhad sebelum dia keluar meninggalkan Qarina sendirian di dalam bilik.

“Fatin, dia ajak saya keluar makan lah,” Qarina memberitahu pembantunya.

“Habis tu, Cik Qina setuju lah.”

“Nak mampus, kalau tahu dek bini dia. Mahu kena belasah muka ayu saya ni. Nasib baik laki orang, kalau tak dah lama jadi suami saya,” kata Qarina sambil ketawa.

“Amboi, gatal Cik Qina ni. Agak-agaklah tak kan nak buat skandal satu pejabat kot. Tapi kan kalau Cik Qina nak tahu, Encik Firhad tu memang kaki perempuan tau. Biasalah, orang kaya, hensem pulak tu.”

“Betul ke? Tak baik buat fitnah tau.”

“Cik Qina baru berapa tahun kat sini, 3 tahun kan? Saya dah nak berlumut kat syarikat ni, saya tahulah. Kahwin tu pun sebab terpaksa aje. Sebab syarikat. Susah kan jadi orang kaya ni. Nak kahwin aje kena ikut status. Tak kuasa saya. Macam Cik Qina ni, kalau nak kahwin kena ikut pangkatlah kan. Sebab tu Cik Qina tak kahwin sampai sekarang. Betul tak?”

“Sedapnya mulut awak berkata-kata Fatin. Saya ni tak kahwin sebab tak sampai jodoh lagi. Mana ada ikut pangkat-pangkat ni, ingat SPM ke. Sekarang ni SPM pun guna sijil terbuka tau,” balas Qarina. Dengan segera tangannya mengutil lengan Fatin.

“Janganlah marah Cik Qina. Memang betul ke Cik Qina ni tak ada buah hati?” duga Fatin.

“Awak pernah nampak saya keluar dengan buah hati saya?” Fatin mengelengkan kepala. Setahunya memang ketuanya ini belum berpunya. Setiap tahun bila diadakan majlis makan malam, dia sentiasa sendirian.

“Saya malas nak fikir lah, bab-bab buah hati ni. Sibuk dengan kerja, dengan keluarga saya. Lain lah awak, kekasih hati tiap-tiap tahun bertukar. Macam tukar tayar kereta sahaja,” sindir Qarina.

“Bukan apa Cik Qina, belum jumpa yang berkenan di hati,” jawab Fatin dengan selamba.

“Ialah tu,” jawab Qarina sambil mencebekkan bibir.

Walaupun dia sudah bernekad untuk tidak lagi membuka e-mail, tetapi hatinya tetap mendesak-desak. Mana tahu kalau-kalau ada lagi e-mail dari Balqis.

Bestnya kalau kita jumpa kan. Iqram pun tak sabar nak jumpa dengan kau. Kalau kau tengok dia sekarang pun dah lain sangat. Makin hensem. Makan hati lah kalau kau tengok dia sekarang ni. Anak kau berapa sekarang? Aku dengan Iqram belum ada cahaya mata lagi, belum ada rezeki. Nanti kita jumpa ye,

Salam,

Balqis

“Padan dengan muka aku. Itu lah, gatal sangat nak bukak e-mail ni,” marah Qarina pada diri sendiri. Pen ditangannya dilemparkan di atas meja. Tanpa disedari perbuatannya diperhatikan oleh Firhad di balik cermin. Qarina kemudiannya membuka fail yang disertakan sekali oleh Balqis. Hatinya bertambah parah apabila dilihatnya gambar Iqram bersama-sama dengan Balqis, begitu romantis. Ketika ini memang Qarina akui, dia dilambung ombak cemburu. Mulutnya tidak henti-henti mengomel.

“Kenapa ni Qarina, marah aje?” Firhad bertanya, dia tidak masuk sebaliknya terus berada di pintu yang telah di kuak sedikit.

“Er, bos, tak ada apalah. Komputer ni buat perangai,” dalih Qarina.

“Alahai bila pulak mamat ni terjongol kat sini.”

“Betul ke? Kenapa tak suruh budak IT tengok-tengokkan. Atau awak nak suruh saya? Saya ni pun pakar jugak dalam bab komputer ni,” Firhad menawarkan diri.

“Tak apa lah bos, tadi aje buat perangai sekarang ni okey dah,” Qarina mengelak. Sejak akhir-akhir ini lain macam sahaja sikap dan perhatian Firhad terhadapnya.

Previous: BAB 2
Next: BAB 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.