Home Novel Komedi/Romantik Komedi Dia Suami Rahsia
Dia Suami Rahsia
Sweet Jasmine
16/11/2021 19:14:05
38,617
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 6
BIARLAH RAHSIA


      SYUHADA masih tersenyum di depan cermin meja soleknya. Jemari melurut lembut rambutnya yang masih lembap kerana dia terus mandi selepas Zaidan memotong rambutnya tadi. Berpuas hati dengan gaya rambut baru. Agak ringan kepala terasa.


Melalui pantulan cermin, dia dapat melihat Zaidan meniarap di atas katil. Seperti biasa, tak pernah berbaju kalau nak tidur. Cuma berseluar tiga suku. Sekarang jam 1 pagi tapi lelaki itu tekun bermain permainan dalam telefon. Call Of Duty atau apa entah nama permainan itu. Melihatkan Zaidan, dia jadi teringat kejadian di pejabat CP Hadri. Merinding tubuh. Kalaulah dia di tempat Zaidan, dah lama dia menangis bucu katil. 


   "Hmmm..." Syuhada memusingkan tubuh, mengubah kedudukan agar menghadap ke arah Zaidan. Suaranya barusan tak menarik perhatian Zaidan pun tapi suaminya itu angkat kening untuk sesaat tanda dia mendengar.


   "Abang okey tak?" tanya Syuhada cuba menyurup perlahan-lahan ke dalam hati Zaidan. Dia tahu misinya mungkin berakhir dengan kegagalan. Seorang Taufik Zaidan itu, amatlah degil.


   "Tak okey," jawab Zaidan dengan muka fokus sepenuhnya pada skrin telefon.


Hampir buat Syuhada terbangun dari duduk. "Tak okey kenapa? Abang nak bagitahu Ayu?"


   "Tak okey sebab rambut sayang mengingatkan abang pada iklan syampu."


   "Tsk." Air muka Syuhada berubah 'jengkel' sekelip mata. Hmh. Apalah yang diharap dari Zaidan? Serius dalam perbualan? Jangan harap.


   "Kenapa iklan syampu? Sebab cantik sangat abang potong?" Dalam geram pun, dia tetap melayan. Dah tabiat mungkin. Selalu terjerumus dalam perangkap Zaidan.


Mendengar itu, Zaidan angkat muka. Sengih lebar sambil mengangguk kepala. "Haah. Sayang ingat tak iklan syampu dulu yang... 'kelapa dan orked, baik untuk rambut.' Iklan legend tu. Ingat?"


Tawa Syuhada meletus kecil. Lucu mendengar Zaidan siap menyanyi sebaris lagu itu. Terbayang babak iklan dalam benaknya tika ini.


   "Ingat."


   "Hm. Abang tengok rambut sayang, teringat iklan tu. Sayang macam... model yang sebelum guna syampu."


   "Abang!"


   "Bhahahaha!" Meledak tawa Zaidan memenuhi segenap kamar. Senang hati dapat mengenakan Syuhada untuk yang kesekian kalinya. Dia kemudian sambung bermain permainan telefonnya. Masih bersisa senyum di wajah.


Syuhada tak berpuas hati. Lama dia merenung Zaidan sedang otak merangka cara. 


   "Abang."


   "Ya intan payung permata hati..." Zaidan menyahut tanpa mengerling walau sekilas. Lagaknya macam di medan perang, fokus seratus peratus pada permainan. 


   "Hm... How was your day today? Is it all alright or... there's something that you might wanna share with me? Like, anything."


   "So you was there. CP's office."


   "Hmh?" Mata galak Syuhada membulat dengan muka 'kantoi' terpampang jelas. Kaku beberapa saat dia memandang Zaidan yang masih bersahaja, tak terjejas sama sekali.


   "Er... Yeah. I was there. Ayu tak sengaja ter..."


   "Abang okey je. Sayang jangan risau," pintas Zaidan bersama senyuman. Sempat membalas pandangan Syuhada sekilas sekali dengan kerutan hidung.


Namun ia tak memuaskan hati Syuhada. Wanita itu bangun mendekati Zaidan. Duduk di birai katil, di sisi kiri tubuh tak berbaju Zaidan.


   "If... you had a bad moment and you wanna share your feelings with someone, you know that i will always be there for you, right?" Lembut sungguh tutur bicara yang meniti di bibir merah jambu Syuhada. Boleh angau sesiapa saja yang mendengar.


Kali ini berjaya menarik perhatian Zaidan. Lelaki itu melepaskan telefon dan memalingkan tubuh ke posisi miring. Satu tangan menongkat kepala agar dapat bertentang mata dengan Syuhada.


   "Always? Like anytime, anywhere?" 


Syuhada terdiam. Sedar yang dirinya sedang diperangkap. Kelu lidah nak membalas.


   "Macam mana abang nak berkongsi rasa dengan sayang setiap kali abang perlukan sayang bila setiap kali sayang nampak abang, sayang akan mengelak?" Sambung Zaidan lagi dengan suara garau yang mengendur. 


Sekelip mata saja perbualan dalam gurau berubah serius seperti ini. Sepi. Di dalam ruang kamar yang sepi, luas dan dingin ini, suara Zaidan benaran gemersik kedengaran.


   "We've been together for 3 years now. Tapi kalau kira jam atau waktu kita bersama macam sekarang, tak sampai pun setahun kan? Sehari-hari abang kat hospital. Kadang jadual kita bercanggah, kita tak bersua muka for...what? Days? Weeks? Months?" 


Syuhada masih membisu. Tersepit, bersalah. Jarang sekali dia melihat air muka Zaidan begini. Air muka yang mendung, redup, sarat dengan kekecewaan. Hatinya mulai dimamah hiba.


   "Ya, ya. Sayang nak cakap yang abang sendiri yang setuju, yang terima syarat sayang sebelum nikah. Yes. But don't you think this is too much?You said that 'rahsia' ni cuma untuk sementara waktu. Sampai bila tiba masanya tapi 3 years have passed and i'm still your secret husband."


   "Abang..."


   "Nak tahu apa yang abang rasa?" Zaidan memotong seperti tak dapat dikawal. Isi hatinya seakan berebut-rebut nak keluar setelah sekian lama terperangkap lemas.


Syuhada gigit dinding bibir, tak mampu menghalang, tak mampu mengiakan.


   "Terkadang abang rasa..." Kali ini Zaidan angkat tubuh dan turun dari katil. Berdiri di hujung katil menghadap Syuhada.


   "Abang rasa yang sayang malu dengan abang. Malu nak dikenali sebagai isteri 'Si Gila Zaidan'. Si gila yang semua orang benci, semua orang maki setiap hari. I'm a jerk."


   "Ayu tak pernah rasa malu dengan abang."


   "Why then? Abang suami sayang yang sah tapi kat tempat kerja abang tak boleh pandang sayang, tak boleh tegur sayang, tak boleh sentuh sayang and bahkan tak boleh berselisih dengan sayang?"


   "Kan Ayu dah cakap sebelum ni. Tak mudah untuk orang-orang sekeliling Ayu terima the fact that abang, suami Ayu. Bukan tu saja alasannya. Ayu dah jelaskan pada abang even sebelum kita nikah."


   "Dan tak mudah jugak untuk abang berlagak macam tak ada apa-apa antara kita kat hospital. To act as if we were strangers. And you know what? Apa yang sayang buat, sebenarnya tak normal." Zaidan bercekak pinggang pula.


   "Tak pelik ke? Abang boleh tegur, sapa semua orang dalam hospital tu, kecuali sayang. Abang boleh borak sebilik, berdua, dengan mana-mana female collague abang yang lain, tapi tak pernah dengan sayang. Nampak tak? Itu yang boleh buat orang curiga sebenarnya. Sayang... You're trying too hard to keep our relationship a secret and that's what hurt me to be honest. I'm not okay. I'm totally not okay about it. Itu yang sayang nak dengar?"


   "Maafkan Ayu kalau Ayu buat abang terasa," ucap Syuhada dengan mata berkaca. Hatinya rapuh mendengar luahan Zaidan. Apatah lagi bila dia tahu Zaidan bukan seorang yang mudah meluah rasa.


   "Abang nak tanya sayang. Simple question, simple answer. Sayang malu ke bergelar isteri abang?"


   "Abang tahu jawapan Ayu."


   "Tell them the truth then. About our relationship."


   "Not now, abang..."


Terdiam sejenak Zaidan mendengar respon Syuhada. Lama menatap seraut wajah Syuhada. Apa yang ada dalam kepalanya sukar ditebak. Dia seperti berkira-kira, berfikir-fikir. Dalam diam memujuk hati sendiri. 


Sebelum akhirnya, dia tersenyum sebelah. Ada tawa kecil bersama senyum. Tawa yang juga tak dapat ditafsir maknanya. 


   "Okay," getus Zaidan mengangguk kepala. Nafasnya ditarik dalam dan dihembus sekali. Berlagak seolah-olah dia langsung tak terkesan dari inti pati diskusi barusan.


Syuhada dibalut rasa berdosa. Dia bangun dari katil, berniat nak memeluk Zaidan namun Zaidan angkat tangan separa sambil berundur setapak. Bibir lelaki itu masih mengukir senyum tipis walau anak matanya tak mahu memandang ke dalam anak mata Syuhada.


   "Sayang tidurlah dulu. Dah lewat, takut esok pagi lemau tubuh nak mula kerja," ujar Zaidan mencapai telefon bimbitnya dari atas katil. 


   "Abang nak pergi mana? Kan kita dah janji, walau apa jadi, selagi kita berdua serumah, kita akan tidur sama-sama. Jangan ada perasaan marah sebelum kita pejam mata." Lembut Syuhada mengingatkan Zaidan peraturan rumah tangga mereka yang termeterai 3 tahun lalu. 



   "Ya, abang tahu," balas Zaidan. Dia mencuit sekali batang hidung Syuhada.


   "Abang keluar ambil angin dekat balkoni sekejap je. Sayang tidurlah dulu."


Tak sempat Syuhada nak menghalang, Zaidan sudah pun mengatur langkah keluar dari kamar. Dia tercegat dia tempat yang sama walau setelah batang tubuh suaminya menghilang.


Menyesali perbincangan tadi. Dia sendiri buntu dan keliru. Tak terbayang dia reaksi teman sekerjanya andai dia memberitahu perkara sebenar. Bayangkan. Dari tahun internship, residen, dia bagaikan tempat utama atau satu-satunya manusia yang semua orang datang meluah perasaan setiap kali 'dibuli' Zaidan. Ada yang menangis-nangis kerana tertekan gara-gara Zaidan. Semua orang percayakan dia dan selesa dengan dia bahkan sampai ke hari ini pun, dia masih mendengar luahan, 'gosip', umpatan dari orang sekelilingnya. 


Jadi kalau hubungannya terbongkar, apa akan jadi? Apa pandangan semua orang padanya? Orang-orang yang pernah curhat padanya akan rasa terkhianati. Orang-orang yang pernah 'bergosip' dengannya akan rasa dipermainkan dan suasana tak lagi sama. Aura antara mereka tak lagi sama. Dia ikhlas mendengar setiap luahan, setiap kata semangat juga ikhlas tapi bagi orang-orang itu, dirinya ini seorang pembohong yang mempermainkan mereka dalam diam. 


Pada awalnya, dia cuma merahsiakan perkahwinannya kerana dia masih lagi bergelar residen ketika itu. Dia tak nak timbul isu pilih kasih antara residen yang lain, tak nak juga buat rakan sekerjanya rasa tak selesa tapi sekarang sudah terlambat. 3 tahun bukan satu jangka masa yang pendek.


Bersabarlah, abang. Bila tiba masanya, Ayu akan umumkan tentang hubungan kita yang sebenarnya. Ayu... bangga bergelar isteri abang.





----------------------------------------------



   SHAHID menguap luas apabila rasa mengantuk terus menghempap kelopak matanya. Dia duduk mencangkung di depan kaunter wad tingkat 3 sementara menanti rondaan pagi ini dilakukan bersama Zaidan lagi 20 minit. Amira duduk di atas kerusi beroda dalam kaunter, membelek fail carta pesakit. Pasha juga sama. Adri pula tercegat bertentangan Shahid sambil membelek telefon bimbit.


   "Balik nanti jom karaoke," kata Adri tiba-tiba menarik perhatian rakannya yang lain.


Shahid angkat kepala. "Kau belanja?"


   "Masing-masing bayarlah... Dah lama tak release tension."


   "Tak nak, aku pokai."


   "Ada masa pulak kau nak karaoke, Adri," celah Amira berbaur perlian.


Pasha diam saja.


   "Alah. Nak tunggu ada masa, lagi 10 tahun bila kau dah tamat residen. Entah-entah mati dulu," bidas Adri jongket bibir.


   "Kalau kau rasa kau dah nak mati dalam 10 tahun, better kau taubat cepat. Bukannya sibuk nak karaoke." Giliran Shahid pula menempelak Adri. Itu pun menongkat dagu tahan kantuk.


   "Tak syok langsunglah korang ni. Noob." Adri jeling mata terbalik, kembali membelek telefon.


Selang beberapa saat, mereka mendengar bunyi derap kaki. Berkerut dahi kesemua mereka menadah telinga agar dapat dengar dengan jelas. Derap kaki... yang berlari.


   "Weh, Zaidan datang," ucap Adri kalahkan melihat kemunculan serangan zombie. 


Cukup untuk membuatkan Shahid berdiri kalut. Pasha dan Amira pun tergesa-gesa keluar dari kauter mendekati Shahid. Dapat dilihat Batang tubuh tinggi lampai Zaidan, berkemeja hitam dan kot putih, berlari menyelusuri koridor. Namun tak berhenti di tempat mereka berdiri sebaliknya terus berlari melewati mereka.


Amira, Pasha, Adri dan Shahid terkulat-kulat. Saling bertukar pandang bagai anak anjing kesesatan tanpa arah tuju.


   "Emergency, weh! Cepat, cepat!" gesa Adri membuatkan kesemua mereka sepantas kilat berlari mengejar langkah Zaidan. 


Di pagi yang aman damai ini, cuma mereka berempat, eh. Berlima termasuk Zaidan, gopoh seakan nyawa pesakit di hujung tanduk. 


4 sekawan merasa perasaan yang sama. Adrenaline memuncak, kecut perut, berdebar, penasaran, ingin buat yang terbaik dan semuanya berbaur.


Kini mereka sudah berada betul-betul di belakang Zaidan. Bila Zaidan berhenti di depan pintu lif, mereka juga berhenti. Baru saja nak mencuri nafas, Zaidan malah berlari laju menuju ke arah tangga kecemasan pula. Fikirnya mungkin kes ini sangat-sangat bahaya untuk dibazirkan masa menunggu lif. Jadi terpaksalah mereka sekali lagi melakukan acara lumba lari, menaiki anak tangga sampai ke tingkat atas. Dan atas lagi. Tak sia-sia ada kelas sukan di universiti dulu. 


Akhirnya mereka tiba di sebuah ruang di tingkat 5. Ruang yang luas, ruang yang selalu juga mereka kunjungi, antara satu-satunya ruang di dalam bangunan hospital ini yang tak dilengkapi katil dan alat perubatan.


Amira, Pasha, Adri dan Adri berhenti melangkah berjarak 1 meter dari tempat Zaidan berdiri sekarang. Zaidan berdiri di hadapan kaunter panjang sementara mereka tercungap-cungap bermandi keringat. Mungkin kerana terlalu kuat jantung berdegup.


Bingung. Keliru. Itu yang mereka rasa. Tapi tak ada yang bersuara walau sepatah. Tumpuan mereka pada Zaidan.


   "Mak cik, saya tak nak dengar apa-apa alasan pun harini. Saya dah datang awal, mak cik jangan main-main. Mana puding karamel? Saya nak 3 bekas. Sekarang. " Bersungguh Zaidan meminta puding karamel dari Hamidah, si mak cik kantin. Tak kisahkan beberapa manusia yang jelas tampak jengkel kerana dia memintas barisan.


Tak sampai sesaat melihat muka Zaidan, Hamidah sudah pun tayang muka 'give up nak hidup'nya. Lesap senyum manis di pagi hari.


   "Scan kad dulu pada pengimbas depan sana, Doktor Zaidan," kata Hamidah mengawal suara. 


Zaidan bercekak pinggang. "Nanti saya scanlah. Bagi saya puding karamel dulu. Scan selepas ke sebelum ke, sama je. Buat cukup syarat je."


   "Maaf, Doktor Zaidan. Tak boleh ambil makanan sebelum scan kad."


   "Aih mak cik kantin ni." Zaidan berdecit sebal. Semacam nak di 'smack down'nya Hamidah itu hidup-hidup. 


Kad akses ialah sekeping kad terdapat nombor ID masing-masing yang perlu mereka imbas jika nak makan di kantin ini. Setiap kantin mahupun kafe, ada nombor berbeza jadi pihak pengurusan logistik akan tahu berapa orang yang daftar masuk ke kantin atau kafe itu setiap hari kerana semua makanan yang disediakan di kantin ini atau mana-mana kantin dalam HMIMC ialah percuma asalkan kad diakses terlebih dahulu.


Dipendekkan cerita, sebab terlalu tegesa-gesa, kad akses Zaidan, tertinggal di pejabat. Baki puding karamel pula dah tak banyak... 


   "Boleh Doktor Zaidan bagi laluan pada orang lain dulu?" Hamidah meminta 'jasa baik' Zaidan membuatkan Zaidan terkumat-kamit membebel sesuatu yang tak jelas.


Tapi baru nak mencetuskan drama berlebihannya, dia terpandang 4 anak buahnya berdekatan. Segera dia hampiri.


   "Shahid. Kau bawak kad akses kau?" soalnya pada Shahid yang tampaknya hanyut dan blur.


Pantas Amira menyiku lengan Shahid, sekali gus menyedarkan lelaki itu.


   "Hah? Oh. Kad. Ada, ada. Ini... Doktor Zaidan." Kalut sekali Shahid menghulurkan kad aksesnya pada Zaidan.


Zaidan tersenyum lebar tika menyambut kad milik Shahid. "Mak cik licik tu ingat dia dapat kenakan aku harini. Dia silap," monolognya sendiri sebelum beredar melakukan misi pentingnya. 


Kad diakses, barisan panjang pun selamba badak dia potong, nak tak nak, Hamidah terpaksa berikan 3 bekas puding karamel Zaidan. Selesai.


   "Nah, kad kau," kata Zaidan mengembalikan kad pada Shahid.


Shahid menyambut. Masih dalam 'shock' sebenarnya. Semacam tak percaya yang mereka berlari dalam perasaan berbaur bagai nak tercabut jantung... cuma untuk 3 bekas karamel?


   "Kalau nak makan, makan cepat. 6AM sharp, aku nak semua mula rondaan," sambung Zaidan lagi lalu membuka langkah pergi meninggalkan keempat-empat anak didiknya terbiar dalam ketidakpercayaan.


Dia siap menyanyi kecil kerana gembira menyuap puding karamel ke dalam mulut. Sementara menunggu lif untuk turun ke tingkat 3, Hana, rakan sekerjanya mampir di sisi. Menepuk sekali bahunya tanda sapaan.


   "Yeay. Finally dapat puding karamel. Mak cik Hamidah dapat hidup dengan aman damai," giat Hana yang merupakan antara sahabat Zaidan dari zaman internship dulu. Hati kental, mulut boleh tahan tak ada filter. Sebab itu dia mampu bergelar sahabat Zaidan.


Untuk sapaan itu, Zaidan langsung tak ambil kisah. Asyik dengan puding karamel. 37 tahun? Entah. Nampak macam 7 tahun.


   "Pukul 10 nanti jangan lupa," pesan Hana sebaik saja mereka berdua menapak masuk ke dalam perut lif.


   "Pukul 10 kenapa? Kau nak beranak? Nak suruh aku sambut?"


   "Kau tak tengok board dulu ke? Bukan ke setiap pagi, benda pertama kau buat ialah tercegat depan daily schedule board?" Berpeluk tubuh Hana yang cantik berambut pendek separa atas bahu itu bertanya.


Zaidan jongket bahu, bersahaja. "Aku nak cepat tadi."


   "For puding karamel?"


   "Banyak sembanglah kau. Kenapa? Pukul 10 ada apa?"


   "CP panggil semua available surgeons and doctors masuk meeting hall. This morning, 10 AM. Kau availble dari pukul 10 sampai pukul 12 so no excuses."


Kali ini Zaidan menoleh. Kerut dahi. "Apa lagilah orang tua tu nak. Jangan dia suruh kita plan majlis perpisahan dia dahla. Kutip dana, buat itu ini, kan? Tak kuasa aku."


Pft! Tawa Hana meletus. Wanita sebaya Zaidan itu menampar sekali lengan Zaidan. Tak lembut, tak juga keras.


   "Kau ingat dia pengetua sekolah rendah ke? Adalah tu benda dia bagitahu. Kau get ready. Mana tahu dia nak basuh kau depan semua orang. Bulan ni pun asyik nama kau je patient complain."


   "Well, can't wait to be main character for today's meeting. Gonna be fun." Muka menganjing gila Zaidan menuturkan kata sinikal itu. Siap jeling mata terbalik di hujung bicara.


   "Tapi aku dengar mungkin dia nak kenalkan Doktor Khalis kot. Sebab aku ada nampak macam Doktor Khalis tadi. Seiring Tuan Farid, naik tingkat atas."


   "Khalis? Acap pulak aku dengar nama mamat ni. Kau kenal ke?"


   "Hmm... I heard about him but we will get to know him later. For sure."


   "Oh yeah. 'Soooo excited'."


   "Hahaha. Kau ni."

Previous: BAB 5
Next: BAB 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Sweet Jasmine