Home Novel Komedi/Romantik Komedi Dia Suami Rahsia
Dia Suami Rahsia
Sweet Jasmine
16/11/2021 19:14:05
38,538
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 1
LANGIT DAN BUMI


2020, HIGH MOON INTERNATIONAL MEDICAL CENTRE.


   "INI tidak adil sama sekali! Saya yakin ada konspirasi di balik semua yang berlaku sekarang, terutamanya mak cik!" suara garau Taufik Zaidan agak kuat untuk menarik perhatian separuh dari manusia yang berada di ruang kantin staf hospital tika ini. Separuh lagi meneruskan urusan masing-masing kerana tak kuasa nak melayan drama di pagi hari.


Tapi peneraju utama tetap dengan dramanya. Rambut hitam pekat tak berapa rapi, muka tak cukup tidur, skrub biru yang tersarung di tubuh tinggi lampainya pun boleh tahan selekeh jika nak dibanding dengan yang lain. Tukang masak penjara pun jauh lebih kemas dari yang namanya Zaidan ini.


Zaidan tercegat di depan pintu. Pintu untuk masuk bahagian dapur. Sah-sahlah dia yang bukan warga dapur itu tak layak untuk masuk. Jadi mulalah dia menimbulkan kekecohan seperti biasanya. 


Di depan pintu, seorang wanita 50an, menahan dengan muka jemu. Penonton lain pula mempamerkan reaksi campur. Ada yang tersenyum kerana berminat. Hm... Mungkin minat pada muka kacak Zaidan. Kalau perangai tu idok ler... Tak semenggah. Selain itu, ada juga yang tergeleng-geleng kepala tanda tak menyenangi sikap 'trouble-maker' Zaidan.


Ah. Apa Zaidan kisah?


   "Mak cik. Saya tanya sekali lagi. Jangan ingat mak cik tua, saya nak berlembut dengan mak cik. Jawab betul-betul," sambung Zaidan belum selesai sesi soal siasat. Dia bercekak pinggang pula. Timbul segala urat pada belakang tapak tangan gekarnya sampai ke lengan.


   "Betul ke dah tak ada langsung puding karamel kat dapur tu? Walaupun satu bekas? Ke ada yang mak cik sorok bawah apron? Atau... mungkin mak cik terlepas pandang, tertinggal satu bekas atas meja? Sebelah sinki? Cuba ingat balik."


   "Tsk, hah..." Panjang keluhan Hamidah kali ini. Diam sekejap memandang muka Zaidan. Ikutkan hatinya, dah lama dia celup kepala Zaidan ni dalam periuk menggelegak minyak panas. Melayan sorang, stresnya sampai ke dasar otak. 


   'Sabar... Sabar... Ingat. Kontrak kau kat sini lama lagi, Hamidah...'


   "Doktor Zaidan, kat dapur dah tak ada puding karamel. Kan saya dah cakap semalam. Hari-hari saya cakap. Pukul 6 pagi lagi puding karamel dah habis. Ni dah pukul 7. Dah lama habis..."


   "Saya dah mintak tolong mak cik simpan untuk saya. Berbuih mulut saya pesan. Saya ada surgery pagi tadi. 4 jam tahu tak? 4 jam saya dalam OR, dalam kepala saya cuma fikir puding karamel je. Tapi sekarang dah habis. Mak cik ni, mak cik kantin jenis apa? Kenapa kejam sangat?" Bersungguh Zaidan melontarkan skrip penuh emosi tanda dia benaran kecewa tak sempat merasa puding karamel hari ini. 


Hamidah jeling mata terbalik sambil memujuk hati untuk bersabar. "Maaf, Doktor Zaidan. Doktor tahu kan peraturan di kantin ni. Saya tak boleh simpankan makanan atau minuman untuk sesiapa."


   "Mak cik dengan peraturan tu boleh baliklah. Mentang-mentang puding sedap," bidas Zaidan tak puas hati. Lebih kurang beberapa saat dia mengintai ke belakang Hamidah sebelum akhirnya akur jua. Kepala diangguk semacam mengumpul dendam kesumat. 


   "Mak cik ingat eh. Setiap yang hidup pasti akan mati. Setiap yang sihat, pasti akan sakit. Sampai masa mak cik sakit nanti, jangan cari saya. Saya blacklist nama mak cik dari senarai patient saya. Ingat tu," pesannya lalu beredar pergi tanpa menjamah sebarang makanan.


Hamidah mengeluh lagi. Kali ini mengeluh lega kerana akhirnya hilang jugak bayang Zaidan dari depan matanya. 



----------------------------------------



   "HMH. Tak habis-habis buat masalah."


Ayu Syuhada tersedar apabila suara Cecilia menyapa cuping. Dia yang duduk di meja bulat dekat dinding kaca sempat ralit sejenak menonton sebabak drama percuma. Sampai sejuk oat di depannya.


Dia memandang Cecilia bertentangannya. Gadis cina berkaca mata itu menikmati bijiran dan susu. Bersedia nak meneruskan bicara.


   "Umur dah dekat 40, perangai macam budak-budak kan?"


Syuhada diam. Tersenyum nipis dengan komen teman baiknya itu. Nipis pun tetap manis. 


   "Tak fahamlah macam mana dia boleh bertahan lama dekat sini. I dengar bilik Madam Elizabeth dah penuh dengan surat layang taw. Semua aduan tentang Zaidan. Tapi kenapa atasan langsung tak ambil tindakan? Annoying betul. Cemarkan imej doktor-doktor kat sini," sambung Cecilia lagi walaupun dia dan Zaidan tidak bekerja di bawah jabatan yang sama. Bahkan di blok bangunan berbeza. Dia cuma datang singgah di bangunan West Wing ini cuma untuk sarapan bersama Syuhada.


Tapi siapa saja yang tak kenal dengan Taufik Zaidan? Doktor berusia 37 tahun dari Jabatan Neurologi. Nama paling hangat meniti di bibir staf hingga ke pesakit. Si gila. Si puaka. Si pembuat masalah. Malaun. Firaun. Ha. Apa lagi? Suka timbulkan masalah, mulut lancang. Apa yang ada dalam otak, itulah dia keluarkan melalui mulut. Segar-megar tanpa sebarang tapisan oleh Lembaga Penapisan Malaysia terlebih dahulu. Sampai ada kes pesakit nak saman menyaman dek isu bertikam lidah.


Untuk yang kedua kalinya, Syuhada senyum lagi. Kali ini bersama jongketan bahu. Angkat bahu pun cantik ke? Iya... Yang namanya Ayu Syuhada ini memang cantik. Manis, sedap mata memandang. Bertudung kemas. Setiap gerak, setiap langkah, semuanya lembut gemalai. Sopan sungguh seperti gadis dari tahun hang jebat dulu. 


Ha. Kalau Doktor Zaidan terkenal dengan perangai tak semenggah, Doktor Syuhada pula terkenal dengan kecantikannya. Gelaran? Puteri Gunung Ledang, calon menantu, bakal isteri, bakal ibu anak-anakku, bidadari, intan payung, aih. Macam-macam lagilah. Pokoknya, doktor psikatri yang paling digemari semua orang. 


Zaidan dan Syuhada? 

Langit dan bumi.


   "Well. Maybe sebab dia antara our chairman's 'golden hands'. Tapi seriously? Tak ada warning langsung ke?" Cecilia tak selesai lagi dengan komennya tentang Zaidan. Tak dinafikan yang Zaidan merupakan kebanggaan hospital ini kerana kepakaran dan bakatnya sebagai doktor.


Syuhada berfikir sejenak. Anak mata dinaikkan ke atas sebelah kanan tanda otak cerdasnya sedang bekerja lebih masa.


   "Mungkin dia pernah terima teguran. Kita je yang tak tahu." 


Kedengaran juga akhirnya suara lunak wanita 34 tahun itu. Suara yang lunak, lembut, semulajadi manja. Pantasan saja pesakit berebut-rebut nak ulang sesi rawatan. Wajah dan suara saja sudah bikin angau. 


   "Yelah tu. Tak ada maknanya dapat warning kalau perangai still macam tu," pangkas Cecilia membalas pandangan Syuhada.


   "I dengar, minggu lepas, ada 2 intern bawah dia jumpa Tuan Farid sebab nak minta tukar under doktor lain. Tak tahan kena buli. Betul ke?" separuh berbisik pula Cecilia bertanya selang sesaat. Berminat benar dengan topik Zaidan. 


Cecilia ni jenis penyibuk sikit. Maklumlah, di bangunan East Wing sana tak adalah semenarik di sini. Tambahan pula dia bekerja di bawah Jabatan Hematologi. Yup. Sehari-hari rasanya seperti di bilik peperiksaan. Sunyi, sepi dan membosankan.


   "Tak pasti," jawab Syuhada menyuap sesudu oat ke dalam mulut. Mulut mengunyah perlahan dengan anak mata menekur mangkuk bijiran Cecilia kerana dia sejenis manusia yang tak dapat bertentang mata bila berbohong.


Untung saja Cecilia tak menyedari hal itu. "Nanti i nak tanya Hana. Dia partner Zaidan so mesti dia tahu right?"


   "Hmm... Lunch nanti nak makan kat luar ke?" soal Syuhada sengaja mengubah topik perbualan meski dia tahu mereka berdua tak ada masa untuk keluar makan luar dari kawasan hospital. Mata galaknya yang cantik beralis hitam tetap cerah memandang Cecilia, menanti jawapan.


   "Ah... I haven't been out in a long time, have i? You know what, i even forgot when was the last time I ate at a real restaurant. Like 'real' restaurant. Tsk. But I can't go out at lah, Ada. A lot of work to do by noon."


   "It's okay. Nanti kita keluar sama-sama okey? Ada tahu kat mana tempat makan best area Cassa Road. Doktor Syukri bagitahu Ada yang dia dengan wife dia celebrated their anniversary kat sana last week."


   "Ahh... Near Pacific Hotel. I ada nampak post IG Doktor Syukri. How sweet of him right? Untung wife dia."


Syuhada angguk bersama senyum lebar. Ceria 2 sahabat ini bila 'bergosip' soal begini. Lebih seronok berbanding topik 'Doktor Zaidan'. Jadi mereka mula bertukar cerita tentang kemanisan rumah tangga Doktor Syukri. Meleret pula bercakap soal jodoh, 'crush' apa semua kalahkan gadis remaja. Dah siap makan, berjalan keluar dari kantin pun, masih rancak berbual diselang seli gelak tawa gembira. Seiring berpaut lengan menuju ke arah lif. 


   "Tapi itulah. Kalau Chris tu pandang i, dah lama i dulu yang ajak dia bercinta dengan i."


Ucapan Cecilia sebaik saja mereka masuk ke dalam perut lif itu mengudang tawa lucu Syuhada. Terbayang Christian, salah seorang jururawat yang bermuka kpop kegilaan para gadis. Duduknya pula di bahagian sakit puan. Ketat muka pasangan pesakit bila Christian melintasi wad.


   "Awak kan cakap tak ada istilah perigi cari timba. Why not awak pikat Chris. Awak sepadan sangat. Nanti anak mesti macam korean. Awak cantik, dia comel," puji Syuhada melentokkan kepala di bahu Cecilia.


   "Hello? I chinese, dia chinese. Why korean? Lagipun i tak nak dipulaukan by all the female nurses here. Jelingan tajam dorang, i tak sanggup!" Cecilia angkat tangan separa dengan muka menyerah kalah. Mata sepetnya pun diluaskan tanda dia tak main-main. 


Cukup untuk membuatkan Syuhada tak kering gusi ketawa. Syuhada memang jenis mudah terhibur. Kadang orang tak buka mulut lagi dia gelak. Berbanding bercakap, dia lebih gemar mendengar. 


   "Eh. Have you heard about our new heart surgeon yang akan bertugas kat sini next month?" Kali ini Cecilia teringatkan khabar angin yang baru didengar semalam.


Tapi tak sempat Syuhada buka mulut, pintu lif berdenting mencelah perbualan mereka. Spontan Syuhada bergerak ke arah Cecilia biar mereka berdua rapat ke dinding, memberi ruang orang lain untuk masuk. Selang sesaat, pintu pun terbuka dan sebatang tubuh menerobos masuk bagai dikejar hantu. Seorang lelaki tinggi lampai, bahu lebar dan dada bidang tergopoh-gopoh memakai kot labuh putih sampai terjatuh beberapa batang pen ke atas lantai. Pintu lif tertutup lagi.


Syuhada dan Cecilia kaku bagai dicurah cairan  lilin. Tertampang muka orang kantoi mengumpat oleh orang yang diumpat. Cecilia telan liur. Lambat-lambat kepala menoleh pada Syuhada untuk bertukar bahasa mata.


   "Shit," sumpah Zaidan mengutip pen dari atas lantai. Sedikit mengah sambil dia menguak rambut yang tak rapi untuk lebih rapi. Sedetik, dia  bersahaja menyandar dan memandang Cecilia. Syuhada dipandang sekilas saja.


   "Oh. Kau. Budak makmal kan?" sapa Zaidan sedikit mengejutkan Cecilia. 


Macam dikawal, tangan Cecilia dah bertaut di depan tubuh sendiri tanda 'hormat'. Bibir memaksa segaris senyum janggal. Hah. Cecilia ni belakang saja gebang. Bila depan-depan, dia jadi sopan seperti Syuhada. Yelah. Celah mana dia tak suka Zaidan sekalipun, Zaidan tetap seniornya. Atasannya. Bekas pengajarnya juga. Dia pernah menjadi intern di bawah Zaidan selama setahun sebelum bertugas sepenuhnya di Jabatan Hematologi. 


   "Ya, saya Cecilia." Cecilia menghulur tangan untuk bersalaman.


Zaidan yang menjuih bibir itu dengan selamba badaknya geleng sekali. "Bukan mahram."


Nah. Setepek dia bagi membuatkan Cecilia terkulat-kulat. Rasanya macam ditampar kiri kanan. Merah satu muka. Nasih baik tak ada manusia lain selain mereka bertiga. Tangan yang tak disambut diturunkan perlahan-lahan. Kekok dan sakit hati. 


   "Kau hari-hari mari makan sini kan? East Wing dah tak ada stok makanan ke? Tak ada bajet dah? Ke tak sedap?" soal Zaidan lagi. Menyandar, berpeluk tubuh. Muka tak cukup tidur tapi seksi di mata wanita lain. Mungkin. Tidak di mata Cecilia pastinya.


   "Er..." Cecilia mati kata. Melirik pada Syuhada di sisi berharap teman baiknya itu akan menghulurkan bantuan. Lif ni pun satu. Nak turun 5 tingkat ke bawah saja pun. 5 tahun ambil masa!


   "Cecilia selalu teman saya makan," sampuk Syuhada akhirnya. Lembut suara ayunya memenuhi ruang lif.


Zaidan angguk. Dia kemudian menyoal lagi pada Cecilia. "Kau sempat makan tak puding karamel pagi tadi?"


   "Tak," sahut Cecilia laju dan jelas.


Zaidan angguk lagi. Terkumat-kamit mulut membebel tak jelas pada mak cik kantin sebelum dia terus menerobos keluar sejurus pintu lif terbuka luas di tingkat lobi utama West Wing.


   "Oh my god! Ada, Ada. Wait." Cecilia mengurut dada saat menapak selangkah keluar dari perut lif. Lengan Syuhada dipaut untuk bertahan agar tak pitam. Okey. Agak berlebihan dramanya tapi siapa saja tak kecut perut bersemuka dengan Si Gila Zaidan kan?


Syuhada tersenyum lucu. Maaf lari topik tapi cantik yang amatlah si Syuhada ni. Muka bulatnya agak berisi. Pipi pau gebu. Mulus sampai geram nak cubit. Dengan mata galak, bibir merah jambu semula jadi, hidung tak terlalu mancung, sedap sungguh dipandang.


   "Awak okey tak ni, Ceci?"


   "Oh my god, Ada. Nampak tak how rude he was just now?" Cecilia mengumpul semula semangat untuk kembali 'gebang belakang'. Rambut pendek lurus separa bahunya dikuak ke belakang.


   "Okay fine. I bukan mahram, i terima but tanya i kenapa selalu makan sini. For real?"


   "Mungkin maksud dia... dia selalu nampak awak kat sini. Baguslah tu. Itu maknanya dia..." ligat otak Syuhada cuba merangka perkara paling positif. "Peka tentang bekas intern dia."


   "Hell nah! He just being mean to me. To all human being in here. Ish. Patutlah dah tua pun tak kahwin lagi. Sorry to say, tapi siapa yang jadi girlfriend dia, or jadi wife dia, i pity her. Wanita paling malang saja yang kahwin dengan psikopat tu." Panjang lebar Cecilia menghambur penuh emosi. 


Syuhada diam tak menyokong, tak juga memangkas. Setelah mendengar luahan hati Cecilia lebih kurang 10 minit, mereka pun 'berpisah' untuk sambung kerja masing-masing. Cecilia kembali ke bangunan East Wing, Syuhada pula menyusun langkah untuk ke Jabatan Psikologi, masih di bangunan yang sama. 


Dalam perjalanan, dia melempar senyum manis pada sesiapa saja yang bertembung mata dengannya. Sesekali menyapa ramah beberapa wajah yang dikenali. Janitor wanita bernama Kak Masitah misalnya. Jangankan doktor dan pesakit. Janitor hingga ke satpam, semua sukakan pemilik nama Ayu Syuhada.


Ting! Telefon bimbitnya berbunyi sekali tanda ada mesej baru. Dia mengeluarkan telefon dari poket jubah moden rona biru yang tersarung di tubuh genitnya. Kaki tersarung kasut Mary Janes warna hitam berhenti dekat koridor untuk fokus pada pesanan yang baru diterima. Ibu jari bergerak di atas skrin telefon model iphone 7 warna silvernya. Membuka mesej melalui aplikasi Whatsapp dari pengirim tanpa nama. Cuma emoji bentuk hati warna merah. 


   +Malam ni abang tak balik. Bos besar nak jumpa.-


Bait perkataan itu dibaca dalam hati tapi kepala terangguk-angguk tanpa sedar. Kemudian, jemari menari rancak di atas skrin.


   +Buat masalah lagi?-


Hantar. Selang 2 saat, pesanannya berbalas. Tak ada patah perkatan. Cuma satu emoji lelaki jongket bahu. Cukup untuk buat dia mengeluh kecil. Sekali lagi jemarinya menari-nari.


   +Okey. Ayu tak tunggu abang. Tapi abang tak patut cakap macam tu kat Ceci tadi. That was so rude of you.-


Hantar. Bibir mungilnya dia ketap sementara menunggu balasan. 5 saat berlalu, tiada sebarang respon. 2 tanda biru jelas tertera di bawah mesejnya. Dah baca tapi tak balas. Okay fine. Perkara biasa.


Syuhada memasukkan semula telefon ke dalam poket jubahnya lalu menyambung perjalanan. Bersedia untuk memulakan tugas hari ini.

Next: BAB 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Sweet Jasmine