Home Novel Komedi/Romantik Komedi Dia Suami Rahsia
Dia Suami Rahsia
Sweet Jasmine
16/11/2021 19:14:05
38,537
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 8
BUAH HATI


      SYUHADA menahan sebu perut. Memikirkan apa yang akan berlaku kalau Zaidan tahu tentang Khalis kerana dia sejujurnya tak tahu macam mana Zaidan bakalan bereaksi. Apa yang dia boleh katakan, Zaidan memang mudah cemburu tapi seperti mana lelaki itu selalu menyembunyikan luka di hati, seperti itu jugalah lelaki itu menyembunyikan rasa cemburu. 


Ya. Zaidan tak pernah mengaku cemburu. Katanya cemburu itu kebudak-budakan tapi semuanya jelas terpampang melalui bahasa tubuh serta pandangan mata. Dia dapat membaca setiap kali suaminya itu cemburu. Terlalu berlagak tak cemburu. Tersenyum, tapi pahit. Tertawa, tapi hambar. Kadang mengelak bertembung mata dan lebih pendiam. Kadang menyindir dalam gurauan. Kononnya bergurau walhal menyuarakan rasa sebenar dalam hati. 


Jadi sebab itulah dia tak tahu macam mana reaksi Zaidan nanti. Dia tak pernah menyebut tentang 'bekas kekasih' antara mereka selama ini. Bila tiba-tiba yang namanya bekas kekasih datang mencelah begini, apa reaksi Zaidan? Dia... benaran tak tahu tapi yang pasti, Zaidan tak akan menyambut baik soal itu.


Dalam masa yang sama, dia juga memikirkan macam mana kalau Khalis tahu tentang Zaidan? Aneh. Kenapa dia perlukan sembunyikan statusnya dari Khalis? Kenapa dia perlu fikir apa reaksi Khalis akan hubungannya dengan Zaidan?


Khalis dah tak ada dalam hidup kau, Ayu. Kenapa kau kena fikir apa tanggapan dia terhadap kau? 


   "Ehem." Suara deheman Khalis kedengaran setelah beberapa saat pintu lif tertutup dan ia sekali gus, memaksa Syuhada angkat muka.


Di saat Syuhada angkat muka, anak matanya serta-merta bertembung dengan anak mata Khalis. Tatkala dia melihat dengan jelas Khalis akan buka mulut untuk berkata sesuatu, otaknya bagai menekan punat kecemasan.


   "CP Hadri ada minta saya untuk bantu awak dalam rawatan patient bernama Hanis Othman." Sepantas kilat Syuhada bersuara terlebih dahulu mematikan niat Khalis. Wanita itu tampak cuba mengawal debaran, memandang tepat pada Zaidan.


Cukup untuk membuatkan Zaidan sedikit kaget sebenarnya. Terpinga-pinga untuk beberapa detik seakan tak percaya dengan telinganya dengar. Sempat dia menoleh pada Khalis di sebelah bagi memastikan sama ada soalan Syuhada benaran dituju padanya atau dia bermimpi. Ayu Syuhada. Wanita yang melarang keras untul bertegur sapa dengannya di tempat kerja itu... baru saja mengajukan soalan padanya? Aneh.


Tapi dia tetap berlagak normal. Lambat-lambat kepala diangguk-angguk. "Ya. Nanti ada budak intern jumpa awak."


Syuhada angguk. Entah apa yang ada dalam kepalanya tapi dia mengangguk bersama rasa lega. Sekurang-kurangnya Khalis tak jadi buka mulut. Dia tak tahu apa yang Khalis akan katakan. Di depan suaminya.


Setelah beberapa saat berteman sepi, pintu lif akhirnya terbuka di tingkat paling bawah. Tak berlamaan lagi, laju Syuhada membuka langkah keluar dari perut lif. Laju bagai takut disambar helang. Langsung tak menoleh ke belakang dan dia tak tahu macam mana air muka Khalis atau Zaidan. Entah kenapa dia jadi macam ni. Macam-macam bermain dalam kotak fikirannya sampaikan dia tak memberi senyum pada sesiapa pun yang berselisih dengannya sepanjang jalan. 


Akhirnya dia tiba di dalam pejabatnya. Menyandar pada pintu untuk mengawal hati yang gundah. Tapak tangan menekap dada, kelopak matanya ditutup rapat. Namun, bayangan wajah Khalis di dewan tadi malah berlegar-legar di layar mata. 


Ah. Kenapa... Kenapa kau kembali, Khai?


   "Allahuakhbar..." Syuhada buka mata sambil geleng kepala. Muka yang suram juga diraup bersama istighfar. Mengingatkan diri sendiri akan halal haram. Dia sekarang seorang isteri. Isteri kepada Zaidan, bukan Khalis.


Ting! Bunyi dentingan telefon memeranjatkan Syuhada. Segera dia mengeluarkan telefon bimbit dari poket kot putihnya. Pesanan Whatsapp dari Zaidan. Teragak-agak ibu jari membuka kotak perbualan.


   'Sayang buang tabiat ke? Salah makan?'


Itu mesej dari sang suami. Cukup untuk buat Syuhada tertawa kecil. Kepala digeleng sekali sambil jari mulai menari di atas skrin telefon.


   'Tak. Ayu sihat, Alhamdulillah.'


Dia senyum saat menghantar pesanan itu. Selang sesaat, Zaidan membalas.


   'Tapi abang happy. After 3 years, akhirnya sayang dulu yang sapa abang. Thank you, my love.'


Dap. Jantung Syuhada bagai tertusuk duri tajam. Hilang senyum di wajah, dia kembali dijerut rasa bersalah. Dia 'menyapa' Zaidan kerana nak menutup gugupnya. Kerana nak menghalang Khalis dari bersuara. Kerana nak menyembunyikan rahsianya, tapi... dalam tak sedar dia telah bermain dengan perasaan Zaidan. Ah. Bodohnya kau, Ayu...


Tak menunggu lama, ibu jarinya sekali lagi menari rancak. 


   'Break nanti jom lunch sama-sama. Ayu tunggu abang di Awana's Western Ark.'


Hantar. Dia takkan biarkan Khalis mengganggu akal fikirannya lagi. Walau apa pun jadi, dia mencintai Zaidan. Zaidan adalah suaminya yang sah. Antara dia dan Khalis, sudah tak ada apa bersisa. Kenangan... Kenangan itu tempatnya di masa lalu.





------------------------------------------




   "KAN aku dah cakap perangai Zaidan tu macam haram jadah, kau jugak yang back up dia memanjang," kata Shahid pada Amira setelah gadis itu merungut soal Syuhada yang juga menyertai 'panggilan' CP Hadri.


Mereka 4 sekawan sedang tercegat di depan pintu bilik Fatin Nadhirah yang tertutup rapat. Bermesyuarat pintu namanya.


   "Dia dah tahu Doktor Ada join meeting sekali dengan dia, tapi dia suruh jugak kau bawak patient tu jumpa Doktor Ada. Ha. Tak ke kerja sia-sia? Saja nak buli korang," tambah Shahid lagi yang memang nombor satu bab nak mengutuk Zaidan.


Adri yang berpeluk tubuh menyandar pada dinding, tampak tak masuk perbualan. Hanyut mengelamun ke alam lain. Pasha? Macam biasa. Diam menjadi pendengar terbaik.


   "Tak adalah sia-sia sangat. At least aku sempatlah nak 'berkenalan' dengan Hanis Othman tu. Boleh kaji maklumat dia dulu. Tak adalah tergagap-gagap macam kau nanti," bidas Amira pula mengundang jelingan terbalik Shahid.


Sedetik, Shahid memandang Adri. "Ha. Kau pulak dah kenapa. Macam laki mati bini. Fikir nak karaoke dengan siapa malam ni?"


   "Tsk." Adri mengeluh berat. Kaca mata dibetulkan sekali. "Aku risaukan Fatin nilah. Nanti Zaidan tanya kita nak jawab apa?"


   "Hah? Korang tak dapat pujuk Fatin lagi?" celah Amira laju. 


Shahid memasukkan tangan ke dalam poket dan mengalihkan pandangan ke arah lain. Dia tahu Amira akan 'menyerang'nya pula jadi terpaksalah dia tadah telinga.


   "Gila ke? Dah nak masuk waktu break. Berapa jam korang habiskan masa kat sini? Tak buat kerja? Susah sangat ke nak pujuk dia?" Bertubi-tubi Amira melepaskan bomnya menambah serabut teman.


Adri mengeluh, Shahid merengus.


   "Hesh kau ni. Ingat senang ke? Perempuan tu hati batu kau tahu? Macam-macam alasan dia. 95 peratus peluang untuk sembuh. Habis tu lagi 5 peratus? Ha. Itu dia tanya kitaorang. Lepastu tak habis-habis cakap pasal majlis nikah dia esok lusa. Kerja lagi bertimbun. Tak ada masa katanya nak surgery. Dia cakap bagi je ubat mana ada."


Terangguk-angguk Amira mendengar aduan panjang lebar Shahid itu. Tak boleh nak mengejek lama sebab takut kalau Adri dan Shahid gagal, dia  pun nanti akan kena tempias amukan Zaidan. 


   "Hm... Kita cuba pujuk sekali lagi?" cadang Amira selepas 5 minit berfikir-fikir.


Shahid jongket bahu. "Suka hati kaulah."


   "Bapak korang ada saham ke dalam hospital ni?" Tiba-tiba satu suara menerpa cuping mereka membuatkan keempat-empat mereka tersentak. 


Bila melihat tubuh tinggi lampai Zaidan mendekati laju dari arah kanan, kalut masing-masing beratur macam orang buat salah.


Zaidan selamba mematikan langkah di depan 'banduan akhir' itu. Satu tangan bercekak pinggang, satu lagi memegang telefon bimbit.


   "Adri, berapa percent saham bapak kau labur? Bukan main lagi buka meeting kat sini," tempelaknya tak berlapik seperti biasa.


Adri tak menjawab. Diam-diam menyiku pinggang Shahid.


   "Yang korang ni buat apa lagi kat sini? Dah bawak Hanis Othman jumpa Doktor Syuhada?" Zaidan menyasarkan Amira dan Pasha pula. 


   "Er... Belum, sebab tadi Doktor Ada meeting sekali dengan Doktor Zaidan jadi kami..." Amira jadi kering lidah nak menjawab walhal dia sudah ada jawapannya. Haih. Muka poyo Zaidan memang berhantu betul!


   "Kau nampak sekarang aku tengah meeting ke?" Zaidan tak memberi peluang. Sindirannya selalu berbisa.


   "Tak," jawab Amira.


   "So? Kau nak aku dukung kau, Pasha dengan Hanis Othman sekali bawak jumpa Doktor Syuhada? Kenapa? Kau nampak muka aku macam muka kuda ke? Hmh?"


   "Er... Tak. Maaf. K... kami pergi sekarang."


Zap! Berdesup Amira menarik lengan Pasha untuk lari dari lubang hitam. Mereka akan selamat asalkan tak bersama Zaidan.


Tak sempat Shahid dan Adri menarik nafas lega, Zaidan kembali menyasarkan mereka.


  "Korang? Patient dah setuju?" soal Zaidan mengundang muka serba-salah anak buahnya. Geleng kepala dia bila tak mendapat sebarang jawapan. Ah. Tengok muka pun dah tahu.


   "Tsk tsk tsk. Korang ni tak boleh harap langsung. Suruh pujuk orang, bukan suruh pujuk dinding pun..."


   "Kami dah cuba pujuk tapi Cik Fatin tetap tak nak." Barulah Adri bersuara membela diri sendiri.


   "Orang, kalau buat kerja tak ikhlas memang payah. Macam kaulah. Serba serbi payah," perli Zaidan mematikan terus niat Adri untuk bersuara lagi.


Selang sesaat, dia mengerling pula pada Shahid bersama gelengan. "Hmh. Kau pulak bukan setakat tak ikhlas. Dari awal lagi kau memang dah aim nak hantar dia bilik mayat."


Berdesing telinga Shahid mendengar sindiran Zaidan. Matanya menyorot saja Zaidan yang menapak masuk ke dalam bilik Fatin Nadhirah. Kecil besar kecil besar aje dia tengok si Zaidan. Bercakap macam hebat sangat. Macamlah hospital ni bapak dia yang punya. 


   'Aih... Kalau bukan sebab biasiswa, memang dah lama aku sepak terajang muka kerek kau, Zaidan. Haram jadah betul. Puih!'


   "Jom," Adri menarik kot Shahid supaya sama-sama menyusul langkah Zaidan. Shahid menurut nak tak nak.


Seperti biasa, Zaidan berdiri di sisi kanan katil sementara 2 anak buahnya berdiri bertentangan. Muka Shahid jelas tampak tak redha. Adri, biasa-biasa saja.


Kelihatan Fatin terbaring di atas katil dalam keadaan sedar. Muka sedikit berkerut, mungkin menahan sakit. Bibir juga agak pucat, tak seperti awal pagi tadi.


   "So macam mana, Cik Fatin? Dah fikir masak-masak? Nak proceed surgery atau nak discharge sekarang?" Suara garau keserakan Zaidan kedengaran memulakan bicara.


Fatin berdehem sekali menghilangkan kering dalam rongga kerongkong. "Saya nak balik."


   "Tak nak proceed surgery?"


   "Berapa kali saya nak cakap, doktor? Saya banyak lagi benda nak fikir. Tunang saya pun dah tanya kenapa saya tak jumpa dia. Saya kena jumpa client lagi petang ni. Boleh tak tolong bagi kerjasama?" Suara Fatin menaik seakan sebal ditanya hal yang sama.


Namun Zaidan kekal bersahaja. Kepala diangguk-angguk sambil otak berputar-putar. Tangannya bahkan bermain dengan jambang sendiri.


Melihat itu, Shahid tersenyum sinis. Dia mendekatkan bibir di cuping Adri. "Macamlah dia tu boleh diharap sangat."


   "Syh!" Adri menyiku lengan Shahid dek takut aktiviti merenyam ketupat mereka ketahuan Zaidan. Fokusnya kembali pada Zaidan.


   "Hm... Okey, boleh. Tapi sebelum tu, izinkan saya jalankan tugas saya dulu. Bagi penjelasan mana yang patut so that nanti, bila atasan saya tanya laporan mingguan saya, saya tak adalah kena penalti," ujar Zaidan sambil berpeluk tubuh untuk beberapa saat sahaja.


Fatin mengeluh berat tapi tak menghalang. Jadi Zaidan pun menyambung bicara.


   "First of all, macam yang saya cakap tadi pagi. Tumor di salur spina ni sangat bahaya kalau tak dirawat segera. Macam mana nak rawat? Dengan buat pembedahan which is peluang untuk sembuh ialah 95 peratus. Macam mana pulak kalau awak tak nak jalani pembedahan segera? Kalau ikutkan tahap tumor awak sekarang. Lewat sehari pun, berisiko besar akan lumpuh. Yes. Lumpuh." 


Lancar dan jelas ujaran dari Zaidan kali ini sampaikan Fatin terpaku memberi perhatian. Begitu juga Adri dan Shahid. Tak berkedip masing-masing dek jelasnya setiap butir patah perkataan yang meniti keluar dari bibir Zaidan.


   "Your wedding day lagi berapa hari? 3 hari?" Zaidan tak berhenti di situ.


"Okey. Awak kena fikir jauh. Katakan harini awak tak jalani pembedahan. Esok awak berisiko lumpuh dan tak boleh lagi disembuhkan. Well, masih boleh undergo surgery tapi peratusan untuk sembuh? Saya tak boleh jamin apa-apa. Okey, back to the story, in case awak lumpuh. Adakah awak fikir tunang awak nak teruskan perkahwinan?"


Dap! Fatin tersentap. Luas biji matanya memandang muka selamba Zaidan. Hati dilingkari rasa panas tapi mulut berkunci. Dia malah terus menadah telinga.


   "Saya rasa tak. Even if dia 'masih' nak teruskan, awak tak rasa ke awak akan menyusahkan dia? Bukan setakat dia tapi semua orang. Awak akan menyusahkan keluarga awak jugak. Awak dah tak boleh kerja macam yang awak nak. Hm... Mungkin boleh tapi it takes time. Pengalaman saya, awak akan lalui fasa tekanan perasaan yang... sangat-sangat berat. Fasa untuk terima yang hidup awak tak lagi sama. Dalam fasa untuk terima keadaan baru awak tu, orang sekeliling awak ikut merasai fasa tu and doranglah yang paling penat sebenarnya. Your husband, dia akan betul-betul penat. Mental dan fizikal. No matter how hard he tries to stay strong and stay patient, he will end up with regrets and he will think whether the decision he made is right or not."


Hujahan panjang lebar Zaidan berhenti sejenak. Memberi ruang untuk Fatin menitiskan air mata. Selang beberapa detik, lelaki itu mengendurkan suara. Lebih perlahan berbanding barusan. Anak matanya menembusi ke dalam anak mata Fatin.


   "Awak nak ke semua tu berlaku? Sedangkan awak masih diberi peluang. Ada orang, mereka tak diberi peluang langsung. Ada yang lahir-lahir je dah lumpuh. Ada yang accident, sekelip mata lumpuh. Tapi awak? Awak masih ada peluang besar. Tunda perkahwinan awak untuk just a few days. A week maybe. Client? Client tak akan ada di sisi buruk awak nanti. For you own sake, please, save yourself."


Titik. Tutur Zaidan berakhir di situ dan ruang bilik berubah sepi. Fatin diam seperti hanyut di dunia lain. Sampaikan Adri dan Shahid pun tak berkutik ikutan berdebar. Melihat reaksi Fatin, Zaidan angguk kepala. Tak lagi meneruskan pujukan.


   "Adri, uruskan..."


   "Tunggu," celah Fatin menarik perhatian Zaidan. Gadis itu menyeka air jernih di pipinya. Beberapa saat dia menatap wajah Zaidan tanpa sepatah kata. Sebelum akhirnya, dia mengukir senyum.


   "Bila saya boleh jalani pembedahan?"





-----------------------------------------------------






    SYUHADA membelek perbualan dia dan Zaidan di aplikasi Whatsapp. Mesejnya bertanya tentang keberadaan suaminya itu tak berbalas sejak 10 minit yang lalu. Tanda biru di bawah mesej menandakan penerima mesej sudah membaca mesejnya. Dia dah 15 minit menunggu di dalam perut kereta Persona miliknya ini. Kereta diparkir di lot parkir Awana's Western Ark. Sebuah restoran berkonsepkan makanan barat yang terletak tak jauh dari hospital. 


Tok! Tok! Tok!


Terkejut beruk Syuhada bila cermin tingkap sebelah tempat duduk penumpang diketuk dari luar. Urut dada dia melihat Zaidan tersengih-sengih di luar tingkap memberi isyarat untuk dia nyah kunci. Nasib baik tak tercabut jantung! 


Segera dia bukakan pintu untuk Zaidan dan Zaidan pun menerobos masuk.


   "Mana budak gemuk?" usik Zaidan pantas melingkari leher Syuhada sebaik saja dia menutup pintu kereta. Biarpun Syuhada menolak, dia tetap menarik kepala isterinya itu dan melepaskan kucupan bertubi-tubi. Ikut kat mana sempat. Senget habis tudung yang dipakai si isteri.


   "Abang..." Syuhada menolak muka Zaidan sebelum membetulkan tudung dengan muka cemberut. Alah, marah Syuhada macam manalah sangat kan? Macam nak mendodoi.


Melihat itu, Zaidan ketawa gembira. Tanpa rasa bersalah, bukan main lagi dia menyelesakan kedudukan pula. Kerusi ditolak agar ke belakang untuk kaki panjangnya berada dalam keadaan selesa. Ini mesti Cecilia yang tarik rapat ke dashboard.


   "Kenapa abang lewat? Dah 15 minit Ayu tunggu," adu Syuhada setelah tudung kembali terletak elok. Tubuhnya sedikit dimiringkan ke arah Zaidan.


Zaidan yang selesa menyandar kepala, menoleh bersama senyum. Jemari kasarnya merayap-rayap di bahu Syuhada. 


   "Abang ada kerja sikit. Kenapa? Sayang dah makan dulu ke? Lapar sangat?"


   "Tak... Ayu tak makan lagi..."


   "Habis tu ni apa ni? Minyak kat dagu," sakat Zaidan mengesat sekali dagu Syuhada yang sedia bersih. 


Cukup membuatkan Syuhada berkerut dahi. Wanita itu 'meninggikan' tubuh untuk melihat dagunya melalui cermin pandang belakang.


   "Mana ada. Abang ni saja kan?"


   "Lah... Cuba tengok elok-elok. Ini macam... minyak cap Saji ni. Bukan yang paket, yang dalam botol."


   "Tsk." Laju sepit ketam Syuhada mencubit pinggang Zaidan membuatkan Zaidan mengaduh kuat. Ha... Geram betul kerja nak mengenakan orang aje.


   "Sakitlah, sayang..." Zaidan meliuk-liuk konon pedih di bahagian pinggang bekas cubitan. Sejenis yang tak boleh duduk diam.


Syuhada menjeling manja. Kali ini tak termakan umpan suaminya itu. Dia lantas mencapai dompetnya. Enjin kereta dimatikan lalu dia melangkah keluar. Meski belum puas bergurau senda mesra, Zaidan terpaksa menyusul tak sampai sesaat. Mereka sama-sama menapak masuk ke dalam restoran 2 tingkat yang luas dan selesa. Interiornya bertemakan warna hitam dan putih. Menarik.


Kerana tak ramai orang, mereka memilih untuk duduk di tingkat bawah. Meja paling dekat dengan kaunter, betul-betul di bawah kipas. Di sebelah kanannya pula terdapat akuarium besar. Cantik-cantik ikan di dalamnya.


Usai membuat pesanan, Syuhada menerima panggilan telefon dari ibunya dari Australia. Sekadar bertanya khabar. Sementara Syuhada berbual dengan ibunya, Zaidan pula ambil peluang yang ada untuk bermain permainan dalam talian. Tekun sungguh sampai berkerut-kerut dahi.


   "Abang, apa nama tempat yang kita pergi holiday 2 bulan lepas tu?" Syuhada tiba-tiba bertanya pada Zaidan sedang telefon masih melekap pada telinga.


Zaidan angkat muka serius. "Jamaica?"


   "Tsk." Syuhada berdecit. Ini kalau orang nampak muka Zaidan beri jawapan, macam ia-ia aje jawapan tu betul. Geram betul.


   "Cepatlah, abang. Mummy tanya ni. Next time kalau mummy dengan daddy datang sini, nak bawak dorang pergi sana," gesa Syuhada berharap jawapan sebetulnya. Dia tak berapa ingat sebab ada satu lagi tempat yang lebih kurang sama dalam benaknya tika ini.


Untuk itu, Zaidan masih dengan muka ia-ianya. Kali ini siap berfikir sejenak. "Holiday 2 bulan lepas?"


   "Ya, yang kita snorkeling sama-sama tu. Dalam Malaysia."


   "Oh... Panama?"


   "Abang." Syuhada tayang muka 'last chance'nya.


   "Sorry. Baru ingat bila sayang cakap snorkeling. Dubai kan?"


Okey dah. Syuhada mengeluh diikuti gelengan putus asa. 


   "Kakak tak ingatlah, mummy. Nanti kakak check balik sebab ada je dalam gambar yang kakak ambil kat sana," kata Syuhada pada Puan Bahirah tanpa mempedulikan Zaidan lagi.


Zaidan dengan muka tak bersalahnya, cuma jongket bahu dan sambung bermain permainan 'Call Of Duty'. Percayalah, lelaki ini usianya 37 tahun.


Selesai berbual dengan Puan Bahirah, Syuhada mematikan talian.


   "Kesian mummy tahu tak?" wanita itu meletakkan kedua-dua bawah lengan di atas meja, memaksa Zaidan angkat muka.


   "Kesian kenapa?" Zaidan memulangkan soalan dengan muka 'sok suci'nya itu. Telefon dia letakkan di atas meja lalu membalas pandangan Syuhada.


   "Yelah. Beria mummy nak tahu tempat yang Ayu cakap cantik tu. Pulau yang kita pergi bercuti 2 bulan lepas."


   "Lah... Pulau... Kenapa tak cakap awal-awal..."


   "Abang dah ingat? Pulau apa, bang?"


   "Pulau Pinang namanya."


   "Ya Allahu Rabbi..." Syuhada hampir hilang sabar setelah untuk yang kesekian kalinya masuk ke perangkap Zaidan. Geram dia tu, tak boleh nak luah. 


Segeram apa pun Syuhada rasa, Zaidan itu sangat konsisten orangnya. Muka kekal bersahaja konon tak buat salah. Muka ia-ia bak kata Syuhada. Untung saja makanan dan minuman yang dipesan, tiba sebelum sempat Zaidan buka mulut.


Zaidan memilih set steak dan Syuhada pula memilih Mac and Cheese. Dengan lafaz bismillah,  mereka mula menyantap hidangan masing-masing.


   "Malaslah Ayu tanya abang. Nanti Ayu cari tahu sendiri," kata Syuhada tanda merajuk.


Zaidan tersenyum melihatkan betapa comelnya muka bulat gebu isterinya tika ini. Berbunga-bunga dalam hati bak cinta pandang pertama. Kasih dan sayangnya pada pemilik nama Ayu Syuhada tak pernah berkurang walau secalit. 


   "Nanti kalau dah jumpa, bagitahu abang. Abang pun nak tahu," giatnya mengenyit sebelah mata. 


Syuhada tak membalas. Masih geram dengan sikap keanak-anakkan Zaidan.


   "Sayang, abang lupa nak bagitahu. Malam ni mama ajak makan kat vila," sambung Zaidan tak sampai 10 saat.


   "Hah?"  Bola mata Syuhada membuntang. Kaget mendengar khabar itu. Hilang selera makan. "Kenapa abang tak bagitahu awal-awal? Malam ni? Ayu... Ayu tak beli apa-apa pun lagi."


   "Mama kirim apa?"


   "Tak... Takkanlah Ayu nak datang tangan kosong je..."


   "Mana pergi dua tangan sayang?"


   "Abang! Ayu tak main-main ni..." 


Zaidan dengan selambanya jongket bahu, meneruskan santapan. Tak berkisah langsung akan 'kegelabahan' Syuhada setiap kali isu mamanya disebut.


   "Abang ni. Seganlah Ayu..."


   "Nak segan kenapa? Ya Allah... Perempuan ni complicated betul. Mama ajak makan je pun. Bukan mama anjurkan rancangan 'Hadiah Apa Malam Ini'. Orang ajak makan, kita pergi makan. Siap makan, balik. Mudah."


   "Pukul berapa mama cakap? Abang boleh ke balik awal? Semalam dah balik awal."


   "Pukul 9 tapi abang rasa tak sempat so abang bagitahu mama pukul 10 kita datang."


   "Hmm... Sempat lagi Ayu cari buah tangan kan? Harini Ayu balik awal."


   "Sejak bila sayang balik lewat? Tak ada mana-mana warga unit sayang kat hospital tu yang abang nampak berlegar-legar lepas pukul 6 petang. 5:59 minit, fuh. Berdesup kalah pelesit. Kasut kalau tertanggal pun, memang tak patah balik dah. Esok pagi pulak baru cari. Entah apa tunggu kat rumah." Sempat lagi Zaidan nak menyindir disusuli tawa lucu sendiri.


Syuhada cuma mampu mencemik macam biasa. Tak pula menafikan. "Balik kerja nanti Ayu singgah mall kejap. Cari buah tangan untuk mama. Boleh kan, bang?"


   "Yelah. Cari buah tangan je tau. Jangan bawak balik buah hati pulak."


Kali ini Syuhada terdiam. Tak memberi sebarang reaksi. Tiada jelingan manja mahupun cemikan. Kaku sejenak saat perkataan 'buah hati' disebut. Liurnya ditelan kesat. Aneh. Kenapa... bayangan wajah Khalis malah melintasi benak?


Ah. Tak, Ayu. Kau kena berhenti sebelum terlambat. Jangan terjerumus ke dalam lembah yang dalam begitu. Jangan...

Previous: BAB 7
Next: BAB 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Sweet Jasmine