Home Novel Komedi/Romantik Komedi Dia Suami Rahsia
Dia Suami Rahsia
Sweet Jasmine
16/11/2021 19:14:05
38,586
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 12
KHABAR ANGIN




      "WEH!"


Tersentak Adri bila Shahir tiba-tiba saja menampar belakang tubuhnya. Nasib baik tak tersedak makanan di dalam mulutnya. Dia menoleh ke arah Shahir di sebelah yang berkerut dahi menekur skrin telefon. Dahlah waktu rehat mereka semput. Makan pula dalam bilik lokar. Kalau tercekik, tidak ke menyedihkan keadaan mayatnya nanti?


   "Asal kau ni?" Adri menepis tangan Shahir yang masih melekap di tubuhnya. 


Amira yang tadi lelap dalam posisi duduk di atas sofa bertentangan dua lelaki itu pun tersedar. Mamai mengesat muka kut ada kesan air liur tak sempat basi. Yelah. Baru sepuluh minit terlelap. Mana sempat basi air liurnya. Pasha di sebelah gadis itu pula tenang membaca buku.


   "Kenapa? Doktor Zaidan panggil ke?" soal Amira membetulkan kedudukan.


   "Kau tak habis-habis dengan Zaidan. Apa kata kau lamar dia? Dia pun dah bujang terlajak tu," tempelak Adri mengundang jelingan Amira. Dia kemudian kembali pada Shahir.


   "Pelamin anganku musnah," kata Shahir sebelum sempat Adri buka mulut. Menarik perhatian semua temannya.


   "Kau nak nikah ke? Tak bagitahu pun," lurus Amira mencelah dengan riak yang sedikit terkilan. Seakan kecewa.


   "Tak jadi nikah. Doktor Ada dah berpunya."


   "Hah?" Adri kaget. Terlepas roti ban dari tangannya. Bersungguh memalingkan tubuh mengadap Shahir. 


   "Doktor Ada? Doktor Ada kita?"


   "Apa pulak kita. Doktor Ada akulah."


   "Eh. Doktor Ada akulah."


   "Dah dah dah." Amira berdecit meleraikan perbalahan sia-sia Adri dan Shahir. Disangkanya betul si Shahir nak kahwin. Hampeh. Loyar buruk!


   "Mana kau tahu Doktor Ada dah berpunya?" Adri masih tidak berpuas hati. 


   "Cuba korang check group whatsapp, group telegram segala group yang korang ada. Kecoh dah ni. Doktor Ada dah ada boyfriend..." ujar Shahir dengan muka patah hatinya. Menyandarkan tubuh sambil melempar lemah telefon bimbit ke tepi. Lagaknya macam pasangan pengantinnya lari di hari akad nikah..


Mendengar itu, Adri, Amira dan Pasha pun segera membuka telefon bimbit masing-masing. Tekun muka menghadam khabar angin yang hangat memenuhi media sosial hospital. 


   "Oh… No wonderlah…" ucap Amira sambil mengangguk-angguk kepala. 


   "No wonder apa? Acah detektif conan kau kan?" Bidas Shahir.


   "Tak… Aku sebenarnya dah agak yang Doktor Ada tu dah berpunya. Air muka dia, cara dia bawa diri, cara dia layan peminat dia semua tu, aku tahu dia tak single."


   "Hmh. Yelah tu," juih Shahir. Adri juga sama. Sama-sama menyandar pada sofa konon benaran kecewa.


   "Tapi curiouslah pulak nak tahu siapa boyfriend Doktor Ada. Beruntungnya lelaki tu…" Lebar senyuman Amira sambil membayangkan gerangan teman lelaki Syuhada. 


   "Mesti dia seorang lelaki yang hensem, baik and gentleman. Sesuailah dengan Doktor Ada. Kan?"


   "Ah. Aku tak peduli. Selagi Doktor Ada tak sahkan berita ni, aku tak percaya." Eh beria pula Shahir memangkas kalahkan ahli parti pembangkang. 


Dan timbalannya pula si Adri. "Aku pun sama. Selagi nasi minyak Doktor Ada tak masuk mulut aku, selagi tulah dia single."


Amira dan Pasha cuma mampu saling berpandangan sebelum akhirnya Amira geleng kepala. Siap mengeluh mati kata dek keanehan dua temannya ini. 


   "Suka hati koranglah. Korang dua-dua ni gila."



____________________________



   SYUHADA merasa hairan. Dahi licinnya pun berkerut walau kaki masih menyusun langkah. Sejak di kantin tadi, sampailah sekarang dalam perjalanan kembali ke pejabatnya, dirasa semua orang memandangnya. Tak tahulah kalau cuma perasaannya semata-mata tapi memang setiap kakitangan hospital yang berselisih dengannya atau sekitarnya, pasti akan melirik ke arahnya dengan… pandangan aneh. Entah. Terkadang berbisik sesama. 


   "Ada yang tak kena ke dengan muka aku?" getusnya sendiri saat berada di dalam perut lif. Bila ditilik melalui kamera telefon bimbitnya, tiada yang aneh pun. 


   "Ke perasaan aku je?"


Ting! Pintu lif ternganga luas menyedarkannya dari penasaran sendiri. Dia kemudian menapak keluar, cuba mengusir kejadian tadi tapi di koridor tika ini, beberapa orang jururawat sudah berkumpul dengan senyum nakal bergayut menghiasi muka. 


Aneh. Tapi dia membalas dengan senyum. Langkah kaki pun perlahan. 


   "Ehem. Patutlah tak jumpa jodoh di kat sini… Dah ada jodoh kat luar rupanya…" usik Juliana disambuk tawa mengelekek teman-temannya.


Bertambah hairanlah Syuhada jadinya. Sempat diintai ke arah kaunter tak jauh dari tempat dia berdiri sekarang. Staf di situ pun senyum-senyum penuh makna.


   "Kak Ju, kenapa ni? Saya tak faham…" manja semulajadi suara Syuhada bertanya bersama senyuman. 


Juliana memandang yang lain sambil angkat kening. 


   "Kami dengar doktor dah boyfriend," kata Yanie membuatkan mata Syuhada membulat luas. 


   "Hah? Boyfriend?" Ulang Syuhada dah rupa nampak hantu. Kecut perut!


Reaksinya itu mencuit hati Juliana dan yang lain. "Oh… Patutlah akak nak kenalkan dengan adik bujang akak, Ada tak mahu ya… Dah ada buah hati rupanya…"


   "Kejap…" Syuhada tersenyum kekok. Bingung. Tekak pun jadi kering. "Saya tak fahamlah. Siapa yang ada boyfriend? Saya ke?"


   "Iyalah… Doktor Ada lah… Tak payahlah berahsia lagi… Satu hospital dah tahu…" sampuk seorang lagi jururawat perempuan bernama Maslina. Tumpang gembira.


Sedangkan empunya badan masih dalam kekeliruan. "Saya rasa ada salah faham. Saya… tak ada boyfriend."


   "Yeke? Tapi dalam group chat ada yang cakap ada orang nampak Ada dengan boyfriend. Keluar makan sama-sama."


Syuhada kerut dahi lagi mendengar jawapan Juliana. Siapa yang sebarkan berita palsu ni? Well, dia tak ada boyfriend sebab dia ada suami. Tapi pointnya, dia tak ada boyfriend. Kan?


   "So bila doktor nak kenalkan tuan pangeran pada kami semua?" Giat Yanie masih dalam senyum. Kejung pipi nanti.


   "Mana ada pangeran… Er… Saya masuk dalam dulu," dalih Syuhada sebelum cepat-cepat beredar tak menghiraukan usikan berterusan dari Juliana dan Yanie.


Boyfriend? Siapa yang sebarkan gosip ini?



________________________



   TEKUN Zaidan menekur skrin telefon bimbitnya. Membelek jadual kerjanya sambil berkira-kira. Dia berdiri hadapan dinding kaca tingkat 5 West Wing. Orang lalu lalang di belakang tak dihiraukan. Dia sedang mengira-ngira jadualnya.


   "Hmm…" Dia kemudian berpeluk tubuh, melempar pandang ke luar dinding kaca sambil mengetuk-ngetuk telefon pada lengan bahu sendiri. Mata memandang kosong pemandangan luar bangunan hospital. Pekarangan yang luas. Tapi otaknya memikirkan hal lain.


Hari ini hari terakhir dia bekerja syif siang. Esok dia mula syif malam. Masuk kerja jam 6 petang dan balik jam 9 pagi. Maknanya mulai esok dia tak berselisih dengan Syuhada selama sebulan. Selamatlah dia tak akan disoal kes khabar angin yang Hadi sebarkan. Untuk hari ini… dia akan cuba selamatkan diri semampu mungkin.


   "Doktor Zaidan!"


Zaidan tersentak bila namanya tiba-tiba bergema di koridor. Dia menoleh ke arah kiri, melihat Adri sudah pun termengah-mengah di sebelahnya. Masalah apa lagilah budak-budak ni buat?


   "Kenapa?"


Adri tarik nafas dalam. Hembus, dan berdiri tegak. "Patient pagi tadi. Felix Wong."


   "Kenapa dengan dia?" Riak Zaidan berubah serius. Ada sedikit kerisauan di wajahnya.


   "Dia nak jumpa Doktor Zaidan sendiri."


   "Tsk, esh kau ni…" hampir saja Zaidan angkat tangan nak menyekeh kepala Adri. Kecil besar besar kecil besar dia tengok muka gelabah Adri. Ingatkan apalah tadi.


   "Yang kau gelabah macam atuk kau nak beranak ni kenapa? Kalau berjalan aje tak boleh?" 


   "Maaf. Saya cari doktor merata tadi."


   "Kau ingat aku sampah ke nak ada merata-rata?"


Adri mati kata ditempelak Zaidan yang kerek itu. Diam tergaru-garu belakang kepala.


   "Kenapa nak jumpa aku? Kan aku cakap, kalau dia setuju nak operate baru kau panggil aku kan?"


   "Dia tak nak dengar pencerahan dari intern. Katanya nak doktor bertugas sendiri yang jelaskan."


   "Banyak pulak songeh mamat ni sorang. Kau tak hantuk kepala dia dekat dinding sekali?"


   "Boleh ke?" Polos Adri menyoal balik membuatkan Zaidan mengeluh berat bersama gelengan kepala.


   "Boleh je kalau kau nak tidur lokap. Makan minum kerajaan tanggung," perli Zaidan seraya membuka langkah.


Adri menyusul laju. Terkumat-kamit mulutnya mengomel tanpa suara di belakang Zaidan sehinggalah tiba di bilik pesakit dimana Shahir dan Amira tercegat di sisi katil pesakit.


   "Mana Kajol?" soal Zaidan selamba ketika berdiri di hujung katil. Dia memandang pelatihnya silih berganti.


   "Kajol…" Amira bingung siapa yang dimaksudkan Zaidan. 


Dalam masa yang sama, Adri di belakang Zaidan sedang memberi isyarat mulut, mata dan tangan.


   "Oh…" Shahir memahami. "Pasha ada di ER. Doktor Sabariah perlukan back up."


Zaidan angguk selamba. Kemudian barulah dia memandang pesakit lelaki 40-an yang terbaring di atas katil. Mereka saling berpandangan.


   "Mr. Felix. So macam mana? Feeling good?" Dia bertanya tak berapa ikhlas. Ala kadar, cukup syarat.


Felix menggeleng. Pucat bibirnya. "Student you suruh i operate. Operate kenapa? I tak mahu."


   "Oh. Dorang bukan student, Mr. Felix. Dorang doktor pelatih. Dorang ada jelaskan tak tentang penyakit you?"


   "Dorang belajar lagi. Tak tahu apa-apa. Ini bukan perkara main-main. Ini berkaitan kesihatan manusia."


Zaidan kerut dahi meski muka masih selamba dan bersahaja.


Shahir pula dah menyiku Amira tanda tak puas hati dengan komen dari Felix.


   "Well… Dorang atau saya yang jelaskan, halnya tetap sama. Tak ada yang nak bagi keterangan tentang penyakit haiwan, serangga, tumbuhan. Kami semua terangkan tentang penyakit manusia. Demi kesihatan manusia."


Pft! Tawa Adri meletus tapi lelaki itu pantas menekup mulut. Shahir ketap bibir buat-buat serius.


   "Adri, kau keluar. Ronda satu blok, masuk sini balik," arah Zaidan tanpa memandang Adri. 


Tercengang beberapa detik Adri jadinya namun dia tetap menurut. Shahid dan Amira pula bertukar pandang. Isyarat mata mengucap lega kerana tak ketawa barusan. Hampir ketawa.


   "Fine. Saya jelaskan," sambung Zaidan tak menghiraukan muka merah padam Felix.


   "Keputusan MRI mendapati, ada satu tumor kongenital dalam pituitari you so itu menyebabkan you hiponatremia. You akan selalu rasa haus and kerap minum air. Bila you kerap minum air, air berlebihan tu akan ganggu tahap natrium. My suggestion? Undergo surgey, buang tumor."


   "Surgery?"


   "Yeah. Tapi kami guna kaedah endonasal which is kami tarik keluar melalui hidung so that, tak akan ada parut."


   "Bila i kena jalani pembedahan?"


   "Esok pagi, once your sodium level dah stable."


Felix terangguk-angguk. Berfikir-fikir sejenak. "I setuju tapi i nak tukar doktor lain."


   "Sure, no problem." Bersahaja Zaidan membalas tanpa jeda walau sesaat. 


   "You pergi kaunter, cakap sendiri yang you nak tukar doktor lain. Okey? That's it? Saya pergi dulu."



__________________



   DIA menutup pintu seperlahan mungkin. Usai menutup pintu rapat, kasutnya ditanggalkan tanpa sebarang bunyi sebelum menapak ke ruang tamu seperti penjenayah nak pecah masuk rumah orang. Beg galasnya dia peluk kemas sambil meluaskan mata ke sekeliling ruang tamu yang sepi. 


Zon A, selamat.


Langkah kaki disusun ke kamarnya pula. Berjinjit. Di dalam kamar pun, tiada kelibat genit isterinya. Jadi dia menghela nafas lega. Mungkin di bilik mandi. 


Zon B, selam...


   "Abang."


   "Mak kau zombie!" Latah Zaidan terkejut beruk tatkala suara lembut Syuhada menyapa telinga. Sumpah terkejut sampai nak luruh jantung!


Syuhada tak ketawa, cuma tersenyum lucu campur bersalah sambil mendekati Zaidan yang mengurut dada dekat katil. 


   "Maaf... Ayu buat abang terkejut?" tanya wanita berbaju kelawar labuh itu. Cuba mengusap dada Zaidan dan Zaidan menolak cara baik.


   "Harta abang semua masih atas nama abang. Tak guna kalau sayang buat abang mati heart attack sekarang..."


   "Tak baik abang cakap macam tu..." Syuhada tarik muka tak gemar akan ucapan suaminya.


Zaidan kerut dahi tak endahkan rajuk Syuhada. Dia bercekak sebelah pinggang, memandang wanita itu atas bawah. "Sayang tu yang tak baik. Datang dari mana tiba-tiba tercegat macam hantu Mak Limah ni? Dengan rambutnya lagi."


Jujur pula dia memberi komen tentang rambut Syuhada yang agak kusut dan tersanggul longgar. 


Syuhada mencemik. "Ayu kat dapur... Ayu nampak je abang masuk, kenapa abang tak nampak Ayu?"


Mendengar itu, barulah Zaidan tersedar kenapa dia sampai seterkejut barusan. Nama pun orang buat salah kan.


   "Sayang nampak abang lalu kat ruang tamu tadi?"


Polos Syuhada mengangguk. "Kenapa abang berjinjit?"


   "Hmh? Berjinjit? Oh. Abang takut ganggu sayang tidur."


   "Aah... Ayu tak tidur lagi. Baru pukul 10 kan. Ayu tunggu abang."


   "Hah? Kenapa? Abang tak buat salah apa pun."


Syuhada kerut dahi melihatkan perangai aneh suaminya malam ini. Tapi dia tak mengesyaki apa-apa. Lembut tangannya bergerak mengambil beg galas dari Zaidan untuk disimpan di meja sebelah dinding.


   "Ayu tak cakap pun abang buat salah... Saja Ayu nak tunggu abang," katanya membuatkan Zaidan tersenyum janggal. 


Syuhada kembali pada Zaidan dan menarik perlahan tangan Zaidan untuk sama-sama duduk di atas birai katil. Cukup mendebarkan Zaidan.


Ehem. Dia bukan takut bini... Tapi... Ayu Syuhada ni baik orangnya. Terlampau baik. Dan tahu-tahu sajalah. Orang bila dah terlampau baik, sekali dah marah... jangankan dia ini takut bini. John Cena pun menyorok belakang pokok. Seram! 


   "Sayang cantik lain macam malam ni. Pakai susuk ke?" tutur Zaidan nak menutup salah. Jemarinya menyentuh pipi Syuhada tapi Syuhada menepis lembut.


   "Abang. Abang tahu tak apa jadi har..."


   "Tak tahu." Laju Zaidan memintas sebelum sempat Syuhada menghabiskan soalan. Lelaki itu tersengih menampakkan barisan gigi yang bersih.


Mujurlah Syuhada masih tidak curiga. Isteri pun boleh tahan bendulnya. Lurus.


   "Harini, ada orang sebarkan dalam group chat hospital yang Ayu dah ada boyfriend. Yang ada orang nampak Ayu dengan boyfriend Ayu."


   "Apa?" Zaidan buat-buat terkejut. Reaksinya itu sangatlah tak semulajadi. Kaku. Intonasinya tak ubah seperti filem melayu tahun 1980an. 


Tak cukup dengan itu, dia berdiri pula. Konon tak puas hati. "Ini tak boleh jadi. Sayang jangan risau. Abang akan cari siapa punya kerja, abang akan tegakkan kebenaran!"


   "Stop," halang Syuhada memegang lengan Zaidan. Dia berdiri setentang Zaidan. Matanya dikecilkan untuk mencari kebenaran di balik mata Zaidan. 


Zaidan telan liur, ketawa janggal. "Kenapa? Ada tahi mata ke?"


   "Abang ke dalang khabar angin ni?"


Gulp! Zon B, tak selamat...


Akhirnya, dia sengih macam kerang busuk. Kedua-dua tapak tangannya diletakkan di atas bahu Syuhada.

 

   "Hadi yang sebarkan dalam group chat, bukan abang. Alah. Biarlah dia. Sayang tahu kan dia kesunyian. Tak ada kerjalah tu..."


   "Macam mana Hadi boleh tiba-tiba cakap macam tu? Mesti ada sebab. Abang kan yang bagitahu dia?" Syuhada masih menyoal siasat. 


   "Ya, abang bagitahu Hadi. Tapi tak tahu pulak Hadi nak announce satu hospital."


   "Abang ni kan!" Syuhada menampar-nampar lengan Zaidan membuatkan lelaki itu mengaduh sakit.


   "Ayu Syuhada, dah." Zaidan memeluk pinggang Syuhada dari belakang. Memerangkap wanita itu agar tak lagi menyerangnya. Tamparan wanita semenangnya berbisa. Boleh tahan pedih kulit lengannya saat ini.


   "Sayang..." Zaidan mengubah nada memanja sambil sesekali mengucup cuping Syuhada. 


"Ya, abang mengaku abang yang bagitahu Hadi tapi abang ada alasan abang tersendiri. Demi kebaikan sayang jugak..."


   "Kebaikan apa? Sekarang semua orang sangka Ayu dah ada boyfriend."


   "Baguslah tu. Tak adalah mana-mana lelaki hantar surat cinta lagi. Tak ada jugak lelaki yang hanyut dalam harapan palsu lepasni."


   "Tapi..."


   "Atau sayang memang suka dorang kejar sayang selama ni?" sekelip mata suara Zaidan berubah senada. Keras tapi tidak kasar. Cukup untuk buat Syuhada kelu membisu.


"Kenapa sayang nak takut dengan sangkaan orang tentang 'boyriend' sayang? Asalkan abang tahu perkara sebenar, sayang dah tak perlu fikirkan pun hal tu. Lainlah kalau sayang betul-betul ada boyfriend lain selain abang kan?"


Syuhada tersentap. Dapat dia rasakan kekecewaan dalam nada suara di cupingnya itu tapi belum sempat dia buka mulut, Zaidan sudah pun melepaskan pelukan. Dia berpaling, melihat ada senyum hambar di wajah suaminya itu.


   "Abang..."


   "Abang mandi dulu," pintas Zaidan lalu bergerak ke bilik mandi.


Syuhada ditinggal lagi dengan rasa bersalah. Sama seperti malam sebelum ini. Ah. Dia yang salah atau Zaidan yang terlalu sensitif?





.

Previous: BAB 11
Next: BAB 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Sweet Jasmine