Home Novel Komedi/Romantik Komedi Dia Suami Rahsia
Dia Suami Rahsia
Sweet Jasmine
16/11/2021 19:14:05
48,628
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 5
ISTILAH TEMAN


    SYUHADA membawa satu fail laporan pesakit yang nak dirujuk pada Ketua Doktor sebelum pulang hari ini. Warga hospital memanggil Ketua Doktor dengan panggilan CP. Sempat dia berbual pendek dengan beberapa orang jururawat di laluan pejabat di tingkat 2 West Wing itu sebelum menyambung langkah sampai ke depan pintu pejabat. Saat tangan baru nak mengetuk daun pintu, cupingnya menangkap suara CP Hadri. Suara tegas dan keras. 


Tiada niat dia nak mencuri dengar tapi kerana pintu sudah sedikit terkuak, dia dapat melihat sipi sipi batang tubuh CP Hadri. Bercekak pinggang di bucu meja dengan riak marah. Dan bila kepalanya bergerak ke kiri, dia dapat melihat batang tubuh Zaidan pula bertentangan CP Hadri. Kedua-dua tangan Zaidan bersatu di belakang tubuh, tunduk memandang dada CP Hadri. Seperti pesalah di mahkamah besar.


Dahi Syuhada berkerut penasaran. Niat kononnya tak mahu mencuri dengar, lesap entah kemana. Dia makin mendekatkan telinga, memberi sepenuh perhatian melalui ruang sempit di celah pintu. Yang dia dengar, umpama deja vu. Kata-kata sama yang Zaidan hamburkan pada 3 orang pelatih siang tadi, kini dihamburkan CP Hadri di depan muka Zaidan. Bahkan jauh lebih kasar 'penghinaannya'. Jika Zaidan memukul kepala anak buah menggunakan cuma segulung kertas, CP Hadri malah memukul dada Zaidan menggunakan fail kulit keras. Sumpah seranah juga meledak sana sini.


Di akhir cerita, ternyata gadis yang menelan dadah itu merupakan anak tunggal orang kenamaan negara. Pantasan saja CP Hadri mengamuk sakan. 


Perlahan-lahan Syuhada menjarakkan diri dari dari pintu. Hati dicuit rasa kasihan pada sang suami walau dia tahu, suaminya itu pasti tak ambil pusing. Dia kenal yang namanya Zaidan. Tak pernah nak pamerkan perasaan sebenar. Kalau terluka, dia berlagak kuat. Kalau bersedih pun, masih berlagak kuat. Berlagak seakan apa saja yang berlaku, tak memberi kesan dalan hati. Dan dia... tahu suaminya itu memendam rasa. Sukar untuk dia gali tapi dia berharap, suatu hari nanti Zaidan akan belajar untuk berkongsi rasa. Dia tak mahu Zaidan lemas sendiri.


Tak menunggu lama, Syuhada membuka langkah pergi meninggalkan CP Hadri terus memarahi Zaidan. Tak betah dia terus menadah telinga, hati tisunya mudah carik. Soal fail laporan, esok sajalah dia bersemuka dengan CP Hadri.



-------------------------------------------------




    "JUMPA ESOK."


Shahid cuma angguk kepala membalas lambaian Adri yang sudah pun menghayun langkah ke arah bertentangan dengan arah yang dia nak tuju. Dia menyusun langkah tak bersemangat menyelusurui pekarangan hospital menuju ke perhentian bas yang terletak betul-betul di luar pagar hospital. Berbaju T warna hitam, seluar kargo warna coklat dan beg silang, dia cuma tunduk menekur jalan sepanjang langkah. Kasut pun menyeret jalan semacam tak ada tenaga dan semangat dah nak angkat kaki.


Sesampai di perhentian bas, dia melabuhkan punggung di atas bangku besi. Tak ada sesiapa. Bersama satu keluhan berat, dia angkat muka memandang hadapannya. Kenderaan di jalan raya, bangunan-bangunan bercahaya warna warni, manusia lalu-lalang. Senario biasa di ibu kota pada jam 8 malam tika ini. Tak satu pun menembusi fikirannya yang berserabut. Dia masih memikirkan kejadian tengah hari tadi. Tak akan dia sesekali lupa babak dia dimalukan oleh Zaidan.


Bodoh? Tak layak? Apa lelaki tu tahu tentangnya? Dia berusaha keras untuk sampai ke tahap ini. Usaha separuh nyawa. Dia bukan orang senang. Mak ayahnya dah lama meninggal dunia, meninggalkan dia dan adik lelakinya terumbang-ambing tapi dengan bantuan kewangan dari orang kampung dan kerja separuh masa, dia berjaya tamatkan pengajian 4 tahun yang memeritkan. 


Pada awalnya dia tak layak menerima biasiswa dari HMIMC kerana biasiswa berharga itu cuma untuk 5 pelajar terbaik setiap tahun tapi di saat dia hampir putus asa kerana tak mampu, dia akhirnya menerima biasiswa di bulan kedua internship. Katanya ada pelatih yang menerima biasiswa itu tarik diri. Pada bulan yang sama, adiknya di Sabah juga menerima biasiswa penuh selama persekolahan. Sangkanya hidup akan berjalan lancar kerana dia tak perlu fikirkan kos pengajian tapi ternyata, Zaidan. Bapak segala firaun itu satu-satunya penghalang paling besar dalam perjalanannya untuk berjaya. 


   'Hmh...' Satu lagi keluhan berat dihela Shahid. Muka yang kusut diraup lama. Selang beberapa saat, telefon bimbitnya menjerit tanda ada panggilan masuk. Segera dia keluarkan dari poket seluarnya. Melihat nama 'Sharif' tertera di skrin, dia terus menyentuh paparan tanda hijau lalu menekap muka telefon di telinga.


   "Helo? Assamualaikum, bang." Ceria suara di hujung talian menyapa. Suara comel yang belum 'pecah'.


Shahid tersenyum nipis. Senang hati dapat mendengar suara yang dirindui.


   "Belum tidur lagi bha kau?" pekat dialek Sabah yang keluar dari mulut Shahid.


   "Belum. Aku minta dengan warden mahu telefon kau. Rindu."


   "Rindu kunuk. Kenapa? Mahu apa kau? Duit nda cukup ka?"


   "Tidaklah, bang. Aku saja mahu tanya khabar kau. Sudah lama kau nda telefon sini bha."


   "Aku sibuklah. Sudah. Tidur kau sana, bisuk mahu skula."


   "Iya... Selamat malam, bang. Aku sayang kau."


Shahid tersenyum. Ada sinar di bola matanya kerana bahagia mendengar ucapan itu. Hiba juga kerana tak dapat bertemu adiknya nun jauh di Sabah.


   "Tambiranglah kau. Tidur sana."


Talian dimatikan dan bibir masih mengukir senyum. Semangat yang melayang, perlahan-lahan kembali menyurup masuk. Di saat dia hampir berputus asa, adiknya itu mengangkatnya untuk berdiri semula. Dia tak boleh biarkan Sharif hidup getir sepertinya. Dia nak Sharif merasa senang. Dia nak Sharif tak kenal erti berlapar. Dia nak Sharif tak kenal erti susahnya mencari wang. Dia nak Sharif belajar setinggi langit dan menjadi seorang yang berjaya. Ya. Dia akan bertahan demi Sharif.


   "Hey..." Tiba-tiba satu suara menyapa perlahan. Sebaik saja dia menoleh ke arah kiri, Amira sudah pun melabuhkan punggung di sebelahnya. 


   "Hey..." Agak janggal Shahid membalas sapaan Amira. Janggal kerana sejak kejadian dimarahi Zaidan tengah hari tadi, mereka langsung tak bercakap walau sepatah. Berlaga mata pun tidak.


Jadi sekarang, mereka duduk sisi ke sisi. Janggal. Shahid meluaskan pandangan ke hadapan, Amira pula menekur kaki sendiri. Beberapa minit berlalu sepi antara mereka.


   "Erm..." Amira menarik perhatian Shahid. 


   "Asal?" soal Shahid buat-buat tak kekok.


Kali ini Amira menoleh, pandangan mereka bertemu.


   "Aku... nak mintak maaf pasal tadi. Maaf sebab tinggikan suara and... cakap kau 'gila'."


   "Oh..." Shahid terangguk-angguk. Pelik pula mereka berkata sesuatu yang 'baik' dan bukannya bertikam lidah seperti biasa. 6 bulan kot mereka bertikam lidah. 


   "Aku pun mintak maaf sebab tengking-tengking kau," ucap Shahid tak berapa jelas kerana segan.


Giliran Amira pula terangguk-angguk. Masing-masing kembali buat-buat memandang senario sekitar.


   "Weh, dahlah. Gelilah aku," kata Shahid tak betah berlamaan 'baik-baikan' begini.


Laju Amira mengangguk. "Haah. Aku pun jijik."


   "Hah? Jijik? Aku jijik? Melampaunya kau." Shahid yang asal kembali merasuk. Berkerut dahi memandang sisi wajah cantik Amira.


   "Samalah. Kau pun cakap geli."


   "Kau tahu tak beza geli dengan jijik?"


   "Okay fine! Aku tarik balik apa aku cakap tadi. Ya. Kau geli, aku pun geli. Puas hati?" Amira menjeling sebal.


Shahid merengus. Diam tak berkata untuk beberapa saat.


   "Kau lapar tak?" soal Amira.


   "Lapar jugak. Tapi aku tak ada duit. Area sini semua mahal-mahal makanan."


   "Subway jom? Aku belanja."


   "Betul kau belanja?"


   "Hurgh... Ya, ya. Jomlah."


   "Cantik!"




----------------------------------------------------



   SYUHADA yang sedang mencari sesuatu dari laci almari pakaian itu terkejut kecil apabila Zaidan muncul dari muka pintu kamar. Tergesa-gesa menanggalkan pakaian bagai dikejar hantu.


   "Tak ada salam pun. Kenapa abang ni?" lembut suara Syuhada menyapa. Lemah gemalai mengutip kemeja dan seluar slack Zaidan dari atas lantai.


   "Abang sakit perut nak berak ni. Nanti siap mandi, siap solat, baru abang bagi salam. Tepi, tepi." 


Gopoh sekali Zaidan mencapai tuala dan meluru masuk ke kamar mandi yang terletak di dalam ruangan kamar tidur ini.


Syuhada cuma geleng kepala. Mengerling sekilas jam pada dinding. Ish ish ish. Dah dekat 11 malam, belum solat isyak lagi. 


Setelah memasukkan kemeja dan seluar Zaidan ke dalam bakul kotor, dia yang berbaju kelawar labuh itu meneruskan pencarian yang terbantut. Bila tak jumpa, dia keluar dari kamar. Lebih kurang 20 minit, dia masuk semula ke dalam kamar. Zaidan pun dah siap mandi dan solat. Masih berkain pelikat dan baju T lengan pendek.


   "Ada rupanya sayang. Assalamualaikum," giat Zaidan menyangkut sejadah pada ampaian kayu sebelah kabinet TV, bertentangan katil.


   "Waalaikumussalam... Abang. Abang tahu tak dekat mana gunting rambut yang abang beli dulu tu?" Manja suara Syuhada membalas dengan cemikan dek dia tak jumpa barang yang dicari.


Wanita itu berdiri dekat meja solek sementara Zaidan melabuhkan punggung di birai katil.


   "Ada dalam library. Kenapa?"


   "Lah... Kenapa letak dalam tu?"


   "Habis tu takkan nak letak dalam rumah sebelah..."


Syuhada menjuih. "Ayu nak potong rambut. Rimaslah pakai tudung..."


   "Astaghfirullahaladzim... Bawak mengucap, Ayu Syuhada... Dah tak nak pakai tudung? Nak freehair?" Bukan main beria air muka Zaidan menyerkap jarang.


   "Bukanlah..." Kening Syuhada bercantum. Dia tahu Zaidan sengaja nak mengusik tapi geram betul. Tak pernah nak serius. "Rambut Ayu panjang sangat... Kan hampir full day Ayu pakai tudung. Panas, rimas, cepat pening kepala. Nanti rosak rambut. Ini pun dah banyak gugur."


   "Baguslah tu gugur. Kalau tak gugur, tu maknanya rambut palsu."


   "Abang tolong potong rambut Ayu boleh?"


   "Boleh aja... Asalkan sayang kena percaya pada abang, tawakal dan redha."


Tawa Syuhada meletus lucu. Lucu campur seram. Redha? Haih. Lain macam.


   "Abang jangan main-main tau," pesan Syuhada membuka langkah untuk ke ruang tamu. 


Dia mula menghampar plastik di atas lantai dan meletakkan kerusi di tengah-tengahnya. Menanti dengan sabarnya Zaidan yang sedang mengambil barang-barang yang diperlukan dalam sesi gunting rambut ini. Sementara menanti, dia membelek telefon bimbitnya.


Selang 5 minit, Zaidan datang. Membawa mesin rambut, gunting rambut, sikat dan beberapa barang lain. Semua barang diletakkan di atas tangan sofa di sebelah kiri kedudukan Syuhada agar senang nak dicapai. Berkerut seribu dahi Syuhada melihat semua alatan itu.


   "Abang bawak keluar apa ni?"


   "Sayang jangan risau. Ini hair dresser bertauliah dan pernah menang banyak anugerah kecemerlangan sepanjang berkhidmat," kata Zaidan sambil mengeluarkan mesin rambut dari kotak.


   "Tak nak... Abang. Ayu nak potong sikit je... Kenapa guna mesin? Tu dengan deodorant apa semua nak buat apa? Body lotion lagi. Ya Allah..." Risau pula Syuhada dengan tahap 'kecemerlangan' suaminya.


   "Abang tengok ni." Dia kemudian menunjukkan skrin telefon pada Zaidan. Terpapar beberapa keping gambar yang diambil dari instagram.


   "Ayu nak separa ni, style macam ni. Abang ikut je macam dalam gambar."


   "Hm..." tekun Zaidan menekur gambar itu. "Okey... Okey... Kacang botol saja ni."


Lelaki itu meletakkan mesin dan mula memegang gunting di tangan kanan, sikat di tangan kiri.


Chop. Chop. Bunyi mata gunting bertemu rambut cukup mendebarkan Syuhada. Dari gaya tekun dan profesional Zaidan, dia bukan lega tapi malah makin risau. Sesekali air disembur pada rambutnya. Kalahkan air dari pili bomba sampai basah satu muka.


Chop. Chop. Chop. Ia masih berterusan.


Syuhada telan liur. Gusar melihat jumlah rambut hitamnya yang semakin bertambah di atas lantai. Berdebar sungguh akan hasil tangan sang suami.


   "Abang pernah gunting rambut sesiapa tak sebelum ni? Risau pulak Ayu tengok rambut atas lantai ni."


   "Abang rasa sayang patut risau baki rambut yang ada atas kepala sayang. Dah tak banyak ni."


   "Ayu lagi risau the fact that abang langsung tak tengok gambar yang Ayu tunjuk tadi. Abang tahu tak Ayu nak rambut yang macam mana?"


   "Lah. Kita tengah gunting rambut ke ni? Bukan cari kutu?"


   "Abang!!" Laju tangan Syuhada nak menampar perut Zaidan tapi Zaidan sempat mengelak.


   "Duduk diamlah, sayang. Karang terpotong kepala susah pulak abang nak sumbat dalam luggage. CCTV dahlah banyak kat apartment ni."


   "Tsk."  Syuhada menaikkan bola mata bersama keluhan berat. Pasrah. Give up sudah nak berbicara dengan Zaidan yang tak pernah nak serius. 3 tahun. Tak penat ke lelaki itu menyakatnya selama 3 tahun? Dengan jenaka yang aneh-aneh lagi. Ya Allah...


    "Okay... Siap..." Akhirnya sesi gunting rambut paling mendebarkan pun berakhir setelah hampir 60 minit. Naik kejung punggung pelanggan.


Zaidan tersenyum lebar tanda berpuas hati dengan hasil kerjanya. Dia menyapu-nyapu baju Syuhada, meniup pula seluruh muka isterinya itu agar bersih dari sebarang rambut yang dipotong.


   "Wow. Marveles. Amazing. Bakat abang masih bersisa," ucap Zaidan memuji diri sendiri.


Syuhada mencebik dengan muka tak termakan ucapan Zaidan. Entah macam manalah hasilnya. 


   "Dah siap ni?"


   "Sayang nak abang guna mesin ke?"


   "No. Enough." Laju Syuhada bangun dari kerusi. Mengibas-ngibas baju kelawarnya, kemudian berjalan masuk ke dalam kamar dibuntuti Zaidan.


Dia menilik rambutnya di depan cermin meja solek. Dari depan, dari sisi kanan, dari sisi kiri. Hmm... Boleh tahan. Sebelum ini separa pinggang. Sekarang separa bawah bahu. Lebih sikit saja dari bahu. Dan mungkin lebih nipis berbanding sebelum ini. Cantik juga. 


   "Macam mana? Berapa bintang sayang bagi abang? Jangan rate teruk sangat, nanti bankrup salon abang ni."


 Syuhada tersenyum lebar memandang Zaidan yang menyandar pada bingkai pintu. 


   "Cantik. Ayu suka."


   "Tak ada upah?" Zaidan mengecilkan anak matanya isyarat miang keladi.


Syuhada yang polos, cuma diam memikirkan jawapan. "Berapa?"


   "Mmm..." Zaidan memuncungkan bibir dan barulah Syuhada mengerti.


Syuhada mendekati Zaidan dan mendekatkan bibir mungilnya dengan bibir Zaidan walau terpaksa berjinjit.


Chup! Kucupan hangat diberi. Tak sampai sesaat tapi cukup membahagiakan buat Zaidan.


   "Kalau macam ni, hari-hari abang nak potong rambut sayang."


Syuhada ketawa lucu. "Botaklah Ayu nanti."


   "Hm... Menarik. Botak dan gemuk. Abang tetap sayang seadanya."


   "Abang! Tak naklah cakap macam tu..." meleret-leret suara manja Syuhada merengek geram. Macam nak menangis pun ada.


Melambung tinggi tawa Zaidan sambil dia menarik tubuh genit Syuhada yang sememangnya agak berisi itu  ke dalam pelukannya. Pipi gebu dan batang hidung Syuhada dikucup-kucup laju. Sebanyak mungkin.


   "Nak dengar lagu baru abang? Tajuk Buai laju-laju, laju sampai tali buai terputus. Tahu tak siapa yang naik buai sampai putus tali tu?"


   "Tak nak!"

Previous: BAB 4
Next: BAB 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Sweet Jasmine