Home Novel Komedi/Romantik Komedi Dia Suami Rahsia
Dia Suami Rahsia
Sweet Jasmine
16/11/2021 19:14:05
38,531
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 11
DINOSAUR



    "NANTI ada masa, selalulah datang jenguk mama... Tak kesian ke mama sorang-sorang kat rumah ni?" Puan Naura memancing simpati anak menantunya ketika nak menghantar mereka sampai ke luar rumah.


Serba salah Syuhada jadinya. Wanita itu mencari mata Zaidan tapi Zaidan tayang muka tak tahu. Nak buat macam mana. Dua-dua sibuk memanjang.


   "Er... In shaa Allah, ma," jawab Syuhada akhirnya. Tangannya masih dalam genggaman Puan Naura.


Tuan Farid muncul dari belakang membawa satu fail. Tak ada kerja lain, bab hospital lah tu.


   "Zaidan. Ini saya nak kamu selesaikan kes ni. Bukan kepakaran kamu tapi saya tahu kamu boleh cari tahu penyakit ni. Nanti kamu bentang depan ahli lembaga," kata Tuan Farid sambil memghulurkan fail tebal pada Zaidan.


Zaidan tetap mengangguk walau muka semacam tak suka. Dia tahu niat Tuan Farid nak dia 'ambil hati' ahli lembaga agar terpilih jawatan Ketua Doktor tahun ini. Orang tua ni tak kenal erti putus asa.


   "Papa ni tak habis cakap pasal hospital," keluh Puan Naura mengundang tawa Tuan Farid.


   "Tadi kan mama larang papa cakap pasal hospital dalam rumah. Ini dah luar rumah..."


Pft! Meletus juga tawa Syuhada mendengar ucapan Tuan Farid itu. Cepat-cepat air muka kembali dikawal. Aih. Pandai pulak bapa mentuanya bermain kata. 


   "Kami balik dululah. Dah lewat," pamit Zaidan sambil bersahaja membuka pintu kereta. Dia tak pernah menyalami tangan Puan Naura.


   "Ada orang tu, kalau tak cukup tidur, mulalah bangun nak marah orang... Habis sarung bantal digigit macam dinosaur," sindir Zaidan sebelum menerobos masuk ke dalam perut kereta. Menyempat!


Syuhada cuma mampu ketap gigi di depan mentua. Senyum-senyum sambil menyusul Zaidan. Melambai-lambai tangan dulu kalahkan nak berangkat dari kampung sesudah raya.  Sampailah kereta sudah membelah jalan, sepit ketamnya menyengat lengan sang suami.


   "Aduh duh duh duh duh..." berlagu bagai Zaidan mengaduh pedih. Nasib baik tengah memandu. Kalau tak, confirm dia balas balik.


   "Siapa macam dinosaur?" 


   "Sayang."


   "Tsk. Geramlah," rajuk Syuhada berpeluk tubuh. Muncung sedepa!


Zaidan tersenyum lucu. Sebelah tangan memegang stereng, sebelah lagi disangkut sikunya pada birai tingkap.


   "Sayang kalau merajuk macam ni, sebijik macam dinosaur... archaeopteryx."

 

Syuhada menoleh sebal. "Archaeopteryx tu burung, bukan dinosaur."


   "Oh sorry. My mistake. Spesis sayang, mestilah sayang lebih tahu kan?"


Bahahaha! Zaidan sendiri yang ketawa di hujung ucapannya. Kelakar betul bila Syuhada membetulkan katanya barusan.


Syuhada yang sedar kesilapannya, segera melempar pandang ke luar tingkap. Bertambah-tambah rajuknya bercampur malu. 


   "Tapi maaflah kalau abang masuk campur urusan salasilah keluarga sayang," tokok Zaidan masih tak puas menyakat. Geli hati walau Syuhada tak menoleh.


   "Abang rasa burung tu pun dinosaur. Dinosaur ni kan haiwan reptilia yang hidup zaman mesozoik, zaman  230 juta tahun dulu. Masa tu sayang tak ada lagi sebab tu sayang salah faham. Tapi ikut kajian, any birds zaman tu termasuk juga dalam golongan dinosaur."


Kali ini barulah Syuhada menoleh. Polos mukanya memandang Zaidan seakan berminat. 


   "Yeke burung pun dinosaur?"


   "Yelah. Cuba sayang tanya nenek moyang sayang yang masih hidup."


   "Abang!"


Hahahahaha! Tawa galak Zaidan meledak tinggi setiap kali Syuhada masuk perangkap. Ah. Seronok betul.




---------------------------------------------------



   ZAIDAN menapak masuk ke bilik pantauan unit radiografi. Bersahaja menepuk sekali bahu Ravi yang duduk di atas kerusi menghadap monitor. Ravi merupakan salah seorang juru radiograf. Melalui bilik itu dapat dilihat pesakit yang menjalani pemeriksaan MRI di bilik lain. Dipisahkan oleh satu dinding kaca dan boleh berkomunikasi melalui interkom sepanjang prosedur.


Tika ini, kesemua 4 orang anak buah Zaidan berada di ruangan tak berapa luas ini. Berdiri di sebelah kanan kanan Ravi. Tadi rancak bersembang. Bila batang tubuh Zaidan muncul, serentak mereka membisu kelu. Dah macam zaman hitler.


   "Dah mula?" soal Zaidan sambil melempar pandang ke arah pesakit yang berada di bilik pemeriksaan. Terbaring di atas katil terowong magnet.


   "Belum!" sahut Amira dan Adri. Mereka saling menjeling pula. Berebut-rebut nak buat yang terbaik. Tak sempat Pasha dan Shahid nak buka mulut.


Zaidan bercekak pinggang. Kerut dahi memandang keempat-empat mereka.


   "Yang ramai sangat ni kenapa? Ada tahlil ke? Hmh?"


   "Ini kes saya, doktor. Doktor Hadi bagi saya," kata Adri bersungguh. Siku pula menolak-nolak tubuh Amira ke belakang.


Zaidan masih selamba. Hujung kening digaru-garu seakan memikirkan kenapalah dia ada anak buah tak cukup sel macam ni.


   "Seronok betul kau main passing patient. Apa lagi Hadi bagi kau?"


   "Er... Tak ada."


   "Tak ada? Ha, pergi mintak lagi tengok apa dia ada."


Tercengang Adri mendengar ucapan Zaidan. Bingung sama ada serius atau bercanda. Macam tak masuk akal je.


   "Tercegat apa lagi? Pergilah," gesa Zaidan membuatkan Adri kalut bergerak pergi. 


Amira tersenyum-senyum. Tapi tak lama senyum kemenangan itu terpampang.


   "Mira. Kau check carta semua patient wad 3 yang baru masuk harini atau... after pukul 12 semalam," arah Zaidan mencuri senyum itu. 


Berat kaki Amira berjalan ke arah pintu. Nak protes tak berani.


   "Okey. Erm..." Zaidan kemudian memandang Pasha dan Shahid silih berganti. Lagaknya macam nak pilih pasangan hidup.


   "Pasha, kau boleh pergi termenung dekat mana-mana koridor. Nak minum air pun boleh. Shahid, kau stay."


Aneh, tapi itulah arahannya. Dalam keliru Pasha menurut. Tak ada hala tuju, langkah kaki diatur keluar. 


Tinggallah Shahid bersama Zaidan dan Ravi. Ini yang berdebar. Tadi elok je dah hafal semua maklumat pesakit. Bila depan muka kerek Zaidan, dia jadi gugup. Gementar tangan membelek buku di tangannya. Tutup buku, pula fail. Tutup fail, buka buku. Semua huruf dah jadi halimunan.


   "Kau nak patient explain sendiri ke? Elok jugak. Biar kau je baring dalam tu," giat Zaidan  dengan muka jenuh menunggu.


Shahid geleng. Berdehem sekali bila dah menemui apa yang dicari.


   "Patient lelaki, Felix Wong. Umur 42 tahun. Pagi tadi pitam di tempat kerja, kepala terhantuk kuat menyebabkan pendarahan subdura kecil. Pergerakan mata tak terkawal dan delirium. Sejak tadi lagi patient asyik meracau, bercakap yang bukan-bukan."


Zaidan angguk berpeluk tubuh. "Ada ambil alkohol? Dadah?"


  "Tak. Saringan alkohol dan toksin negatif. Tahap natriumnya 112 which is quite low."


   "Okey, mula."


Mendengar arahan Zaidan, juru radiograf memberi arahan melalui interkom kepada petugas yang bersama pesakit. Pemeriksaan MRI pun dimulakan. Perlahan-lahan katil bergerak masuk ke dalam terowong magnet.


Tak lama kemudian, paparan imbasan pun tertera di monitor. Rafiografi dalam kepala pesakit.


   "Zaidan, ini. Ada Ratkhe's cleff cyst," kata Ravi menunjukkan pada satu bahagian.


Terbongkok Shahid melihat  radiografi itu penuh minat. Sedikit teruja. Tak sabar nak menunjuk-nunjuk pengalamannya ini pada Adri dan Amira. Temannya dua orang tu kan memang suka bab begini. Semangat juang nak belajar tu tinggi sangat.


   "Shahid. Apa dia ni?" Tuju Zaidan pada Shahid tanpa amaran. Nasib baik tak diserang asma budak tu.


   "Er..."


   "Lambat. Hiponatremia."


   "Ya. Hiponatremia."


   "So kenapa kau cakap dia meracau tadi?"


   "Sebab... kesan sampingan hiponatremia ialah haus berlebihan. Maybe patient dah consume air yang banyak and air tulah yang menyebabkan dia punya sodium level rendah."


   "Macam mana nak rawat? Tak bagi dia minum air?"


   "Er... Bagi 3 peratus larutan garam hipertonik IV, 300 CC selama 3 jam."


Zaidan angguk selamba. Poyo saja riaknya, tak ada kata pujian pun atas kecermelangan Shahid hari ini.


   "Hantar dia ke bilik. Once dia dah sedar sepenuhnya, bagitahu dia untuk jalani pembedahan. Lepas dah inform dia, baru panggil aku."


   "Baik."


   "Satu lagi, kau cari Pasha. Kot dia lama sangat termenung, lupa nak buat kerja lain."


   "Er... Baik."


Shahid kaku menghantar susuk Zaidan pergi. Ah. Kenapalah aku dapat Zaidan? Aneh!





----------------------------------



   "HMH..." 


Hadi melepaskan keluhan panjang setelah meluaskan pandangan ke segenap ruang kantin. Roti sandwichnya ditolak tanda dah tak ada selera nak makan. 


   "Punyalah ramai perempuan cantik kat sini. Tak ada sorang pun sangkut. Apa buruk sangat ke aku ni?" keluh Hadi yang elok rupa parasnya. Umur sebaya Zaidan. Mesra alam orangnya.


   "Kau memilih sangat..." bidas Zaidan bersahaja. Dah 6 tahun dia berteman dengan Hadi. Dah masak dengan perangai memilih Hadi. 


Untuk itu, Hadi menyandar sambil berpeluk tubuh. Sekali lagi mengimbas sekitar ruangan.


   "Aku memilih ke?"


   "Betty?"


   "Erm... Cantik, tapi tinggi dari aku."


   "Wawa?"


   "Pun cantik, tapi kepoh sangat... Maksud aku, suara dia kuat sangat kalau bercakap."


   "Fauzana?"


   "Cantik tapi... aku prefer yang bertudung."


   "Adawiyah?"


   "Bertudung litup, tapi... pendek sangat. Tak ngam untuk dipeluk. I mean, lepas nikah."


   "Aku rasa, elok kau masuk bilik mayat, kau muhasabah diri kat sana. Kejadian fizikal cuma sementara saja."


   "Alah... Sembanglah kau. Kau pun teruna terlajak, ada hati."


Zaidan diam tak membalas. Tayang muka selamba sedang hati sedikit terasa. Bukan kerana Hadi tapi kerana ucapan Hadi mengingatkan akan statusnya sebagai suami rahsia. Walau dia cuba memahami, hati tetap terkilan setiap kali memikirkannya.


   "Haa... Itu baru taste aku..." kata Hadi tiba-tiba sepakej dengan senyum meleret.


Walaupun tak berminat, Zaidan tetap menoleh ke belakangnya untuk melihat perempuan mana yang berjaya dipilih oleh lelaki paling cerewet sedunia. Namun, siapa sangka pandangannya jatuh pada isteri sendiri. Serta-merta rasa sebu menyerang perut. Dipandang sejenak pada Syuhada yang duduk berjarak 4 meja darinya. Gembira berbual dengan Dahlia.


Sedetik, dia kembali pada Hadi.


   "Siapa?" soalnya dengan harapan, bukan Syuhada yang Hadi maksudkan.


   "Lah. Tu... Doktor Ada."


Ah... Zaidan terangguk-angguk mengawal rasa. Perlahan-lahan cemburu membelit tangkai hati.


   "Bertudung? Yup. Lembut? Yup. Berbudi bahasa? Yup. Bijak pandai? Yup. Perfecto."


   "Jangan main-mainlah, Hadi." Zaidan tak mahu meneruskan topik ini. Tak suka kalau lelaki lain mendambakan isterinya sendiri. Teman baiknya sendiri? Lagilah dia rasa tak senang.


   "Aku sajalah tak flirting sangat dengan Doktor Ada selama ni sebab... aku takut kalau tiba-tiba dia reject aku. Lepastu mesti hubungan aku dengan dia dah tak sama. Awkward. Kau faham kan? Ah. Kau apa faham? Semua orang awkward dengan kau."


   "Dahlah. Aku ada kerja nak buat," dalih Zaidan tak betah mendengar. Baik dia cepat pergi sebelum ada kes kawan tikam kawan secara realiti. Bukan pepatah ya. Memang dia ambil sudu garpu, ditikamnya betul-betul.


   "Eid. Why not aku cuba nasib?"


Gerak Zaidan mati. Tak jadi nak bangun pergi. Keningnya bersatu memandang Hadi yang masih merenung Syuhada.


   "Maksud kau?" Liur ditelan kesat. Berdebar.


   "Aku confess lah. Kalau dia tolak, aku cakaplah aku bergurau je. Kalau ada dia terima... weh! Kenduri minggu depan."


   "Tak boleh!" 


Tersentak Hadi bila Zaidan menampar meja. Kuat sampai menarik perhatian orang sekeliling. Untung cuma untuk beberapa saat. 


Hadi menyua tubuh dekat Zaidan. "Kau dah kenapa? Sampai macam tu sekali ke kau nak aku teman kau membujang?"


Zaidan berlagak tenang, garu kening. Memaksa otak bekerja cerdas.


   "Doktor Syuhada... dah ada boyfriend."


   "Hah?" Membuntang biji mata Hadi macam nak tersembur keluar. Kaget. 


Zaidan dah terlepas cakap tapi lantaklah. Dia tayang muka yakin dalam selamba.


   "Doktor Ada? Doktor Ada dah berpunya?" soal Hadi lagi tak percaya.


   "Ya. Dia dah ada boyfriend. Sebab tu aku cakap tak boleh. Kau jangan nak usik girlfriend orang. Karang kalau kau kena serang, tak ke rosak nama baik hospital?"


   "Cis. Perangai kau selama ni pun dah cukup rosakkan nama hospital," juih Hadi sempat lagi lari fokus. 


Sesaat, dia kembali ke topik asal. "Betul ke? Mana kau tahu? Sembang dengan Doktor Ada pun kau tak pernah."


   "Aku nampak sendiri dia keluar lunch dengan boyfriend dia... Hensem. Tinggi... Bahu lebar... Berjambang nipis... Muka..."


   "Kau describe diri kau sendiri ke?" pintas Hadi mengecilkan mata.


   "Ehem. Tak. Maksud aku. Ha. Itulah boyfriend dia."


   "Oh... Patutlah dia tak layan semua orang yang usha dia... Dah ada boyfriend rupanya..."


   "Ya, betul. So lepasni, kau jangan nak berangan ada hati kat Doktor Syuhada. Aku bukan apa. Aku sayangkan kau. Aku tak nak sampai karier kau, keselamatan kau, hati dan perasaan kau di..."


   "Aku kena sebarkan berita hangat ni."


   "Hah? Wait, what?


   "Done send semua group."


   "Tsk..." Zaidan ketap gigi menekup muka sendiri. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata...


Matilah kau, Zaidan...

Previous: BAB 10
Next: BAB 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Sweet Jasmine