Prolog
“SATE,anata
wa nani o motteinai (Sekarang kau dah tak punya
apa-apa),” beritahu Hiroshi dengan lagak seorang pemenang. Kerana harta dia
lupa diri. Dibelai dan digoda perempuan seperti Minami, hati Hiroshi turut
menjadi buta. Soal masa depan Ayumi bukan lagi urusannya. Ayumi sendiri yang
kurang bijak. Padanlah muka! |
Ayumi melihat butiran kertas di
tangannya dengan perasaan terkejut. Dia tidak boleh beremosi berhadapan dengan
masalah ciptaan Hiroshi itu. Kewarasan sangat diperlukan. Lagipun di situ dia
sendiri, tiada siapa yang boleh dipercayai.
Ayumi melepaskan keluhan. Apa lagi
yang boleh dikata hal buruk sudah pun berlaku. Pandangannya beralih jauh
merenung lantai. Sekarang dia jatuh terduduk di bilik bacaan itu bersama
salinan dokumen penukaran hak milik harta yang telah ditandatangani sendiri.
Hiroshi menipunya!
Tak sangka aku tersilap percayakan
dia! Ayumi pejamkan mata. Masih cuba memikirkan jalan keluar. Manalah tahu
masih ada cara untuk menyelamatkan apa yang Hiroshi rampas. Sudahnya wajah
comel itu berubah hampa. Memang tiada jalan keluar. Itu kenyataan. Meskipun
sebaris nama Encik Shikata melintasi fikirannya, dia rasa lelaki itu tidak
mungkin berpihak kepadanya. Jika begitu takdirnya terpaksa jugalah dia
melepaskan segalanya. Hiroshi yang dulu baik sekarang dirasakan jahat sangat.
Selain menipu hartanya, Hiroshi juga menipu hatinya. Hubungan mereka hanyalah
sandiwara. Selama ini Hiroshi menyukai Minami, bukan dirinya.
Ayumi angkat muka. Wajah Minami
dicari. Mesranya tangan Minami memaut pinggang Hiroshi. Hiroshi yang berdiri di
hadapan meja kerja ayah Ayumi itu hanya membiarkan sahaja. Benci Ayumi melihat
semua itu. Entah kenapa suasana bilik itu tiba-tiba menjadi jijik dan
memualkan. Mungkin ketika dia tiada, bilik itu juga menjadi tempat pasangan
pengkhianat itu curi-curi bercinta.
‘Ah, mereka beraksi macam tu sebab
sengaja nak buat aku gila. Orang gila takkan menuntut apa-apa. Tak habis-habis
nak buat jahat,’ fikir Ayumi. ‘Minami, kenapalah kau tergamak menganiaya
saudara sendiri? Dulu masa kau kehilangan keluarga kerana gempa bumi, ayah
akulah yang beri kau kehidupan baru. Walaupun kita tak membesar bersama macam
aku dan Hiroshi tapi kita bersaudara. Ayah kau dan ayah aku adik-beradik
kandung. Tali persaudaraan kita rapat. Kata ayah aku, kau macam kakak kandung
aku. Tapi kakak apalah yang sanggup melihat adiknya terhumban dalam kesusahan?’
Kenang Ayumi penuh kesal.
Dulu Minami selalu bersikap
melindungi, sekarang menjadi musuhnya. Perubahan Minami dalam sekelip mata
membuat Ayumi sedih. Hiroshi yang sebelum ini bersikap seperti abangnya juga
kian menjadi orang asing yang tidak dikenali. Kecut perutnya memikirkan
perubahan sikap mereka itu.
‘Tak apalah aku percaya satu hari
nanti semua ini akan terbalas,’ bisik Ayumi memujuk diri. Kebisuan Ayumi buat
Hiroshi tidak senang hati. Apa yang difikirkan Ayumi?
“Ayumi. Moichido kangaete suru
hitsuyo wa arimasen (Ayumi. Ikut saja kemahuan kami),” arahnya. Terlalu
lama Ayumi di situ Hiroshi risau. Manalah tahu dalam diam Ayumi merancang
sesuatu. Musnah segala usaha yang dirancang bersama Minami sebelum ini. Ayumi
bukannya bodoh cuma tidak banyak cakap sahaja.
“Sore wa do iu kotodesu ka
(Apa maksud kau)?” Ayumi bersuara perlahan.
Hiroshi merenung Ayumi. Kesian juga
melihat gadis itu. Percaya sangat dengan dirinya, sekarang susah sendiri. Itulah,
lain kali jangan percaya sangat dengan orang lain termasuk kekasih sendiri.
Jadi gadis harus pandai berhati-hati.
Ayumi dan Hiroshi saling bertentangan
mata. Dalam hati Ayumi terbit rasa benci yang meluap. Rasa macam nak patahkan
leher Hiroshi dengan teknik Judo yang pernah dipelajarinya. Ayumi mengalihkan
pandangan. Semoga dia terus bersabar.
Hiroshi memandang Minami. Matanya
memberi isyarat mahukan sesuatu.
Senyuman Minami melebar. Pantas
tangannya menye-rahkan sampul berisi wang yang dari tadi telah disiapkan di
atas meja di belakang mereka kepada Hiroshi.
Hiroshi melangkah mendapatkan Ayumi.
Perlahan dia mencangkung. “Kono okane o toruto hanarete iku! (Ambil duit
ni dan pergi dari sini)!” kata Hiroshi perlahan tapi serius.
Ayumi menoleh Hiroshi yang jaraknya
sangat dekat. Hatinya terasa bergetar. Getar yang asing. Mungkin marah yang
mendidih.
Hiroshi tersengih. Sampul berisi wang
di tangannya beberapa kali ditepuk perlahan ke pipi Ayumi sebelum dilepaskan
jatuh.
Ayumi kerut dahi. Sampul itu diambil
dan isinya dilihat. Telah diduga isi sampul kertas itu. “Anata watashi ga
doko ni ikitai (Kau nak aku pergi mana)?” tanya Ayumi sedikit keras.
Kesabarannya benar-benar berakhir. Hiroshi yang sudah kembali berdiri di sisi
Minami dipandang tajam. Berani mereka menghalau dirinya. Tapi jika ikut dokumen
yang dilihat tadi apa lagi yang dia ada? Semuanya telah menjadi milik Hiroshi.
Tak guna!
“Kau janganlah melampau sangat! Rumah ni,
rumah aku. Kalau kau nak sangat apa yang aku ada, kau boleh ambil! Tapi tidak
rumah ni!” tegas Ayumi cuba mempertahankan satu-satu peninggalan ayahnya yang
dirasakan tiada siapa berhak merampasnya.
Hiroshi ketawa mengejek. Itulah
Ayumi. Antara mereka punya perbezaan yang sukar dinafikan. Tinggal dan membesar
di dalam rumah itu membuatkan Hiroshi rasa seperti tinggal di negara asing.
Puan besar rumah itu merangkap ibu kandung Ayumi adalah wanita asing yang
dikahwini Encik Hamazaki Takamiya lebih 30 tahun yang lalu. Dan hasil dari
perkahwinan itu adalah anak tunggal mereka, Natasa Ayumi Takamiya.
Bahasa Melayu yang Ayumi tuturkan
bukanlah asing kepada Hiroshi. Dia memahami bahasa itu kerana dia juga
dibesarkan oleh Tini, ibu Ayumi. Wanita itu baik hati. Sayangnya Hiroshi tidak
dapat membalas kebaikan wanita itu dengan menjaga Ayumi. Untuk hidup, Hiroshi
perlukan sesuatu yang lebih daripada menjaga Ayumi saja. Jika hanya Ayumi yang
berharta tapi tidak dirinya membuat Hiroshi rasa seperti hamba keluarga itu.
Cukup-cukuplah sepanjang hidupnya terpaksa patuh dan hormat dengan arahan ayah
Ayumi sahaja. Kini Hiroshi mahukan perubahan, dia mahu menjadi tuan yang
dihormati dan dikagumi. Bukan lelaki yang menumpang kesenangan kekasih atau
satu hari nanti mungkin Ayumi menjadi isterinya.
Minami menjeling. Dia tidak suka
Ayumi membuang masa di situ. Apa yang mereka mahu sudah jelas. “Ayumi...”
“Damare (Diam)!” jerit Ayumi
tidak suka mendengar Minami menyampuk. Pantas dia berdiri dan berhadapan dengan
Hiroshi. Hanya lelaki itu yang perlu bercakap!
Terkelip-kelip Hiroshi memandang
Ayumi. Dia tidak pernah melihat Ayumi marah. Kalau merajuk memang selalu.
Melihat Hiroshi seakankehilangan kata Minami merenung Ayumi dan
bersuara lagi, “Anata wa kare o yuwaku suru kotoga
dekimasen (Kau takkan berjaya mempengaruhi
dia).” Peduli apa Minami kalau Ayumi menjerit lagi. Renungan mata Ayumi itu
sudah tidak berkuasa untuk memujuk Hiroshi. Dia telah memberikan lebih daripada
apa yang mampu Ayumi berikan. Hiroshi takkan berpaling lagi.
Ayumi menjeling Minami. “Watashi
wa ko no yona otoko o hitsuyo to shinai (Aku tak perlukan lelaki macam
ni)!” balas Ayumi geram. Dia yakin Hiroshi memang tiada tempat lagi di hatinya.
Biarpun satu hari nanti Hiroshi menangisi kesilapan yang telah dilakukan, dia
takkan terima.
Minami buat muka mengejek. Apalah
yang boleh Ayumi lakukan? Ayumi hanya boleh menjerit untuk memuaskan hatinya.
Tanpa harta Ayumi kehilangan kuasa. Baru sahaja Ayumi mahu belajar tentang
syarikat yang diwarisi, gadis itu telah pun kehilangan segala. Sekarang hanya
dia yang layak berada di tempat Ayumi.
Hiroshi merenung Ayumi. Benarkah apa
yang didengar? Ayumi tak perlukan dia? Kenapa dia terasa hati dengan kata-kata
itu? “Ayumi,” panggil Hiroshi.
Ayumi memandang Hiroshi. “Kau pasti
tak nak diusir dari sini, kan?” tuturnya lancar dalam Bahasa Melayu. Walau dia
jahat kerana merampas segala milik Ayumi tapi dia tak mahu bertindak kejam.
Duit yang dia beri dan yang telah dipindah ke akaun Ayumi pasti lebih dari
cukup untuk Ayumi memulakan kehidupan di tempat lain. Dia masih mahu Ayumi
hidup. Asalkan bukan di Tokyo atau mana-mana kawasan berhampiran yang
memungkinkan mereka atau siap sahaja yang mengenali Ayumi bertemu gadis itu.
Lama Ayumi merenung Hiroshi. Hatinya
masih tidak percaya dia sudah tidak punya apa-apa. Tanpa mahu banyak bicara
Ayumi mengundur ke belakang. Kehendak Hiroshi sudah sebulat Minami. Tapi tanpa
dirinya nanti berjaya ke mereka mendapatkan kepercayaan pekerja syarikat?
Mungkin mereka akan berhadapan dengan kesulitan. Hati Ayumi sedikit tersenyum
memikirkan hal itu. ‘Kau tak menang kesemuanya Hiroshi. Sedikit masa nanti kau
pasti cari aku lagi.’
“Daijobu (Baiklah),” putus
Ayumi perlahan. Bilik bacaan itu ditinggalkan. Sebelum pintu ditutup Ayumi
terdengar ketawa gembira Minami yang menghiris hatinya. Ayumi mendongak ke
siling, menahan hiba. Nafas ditarik.‘Aku akan kembali ke sini,’ azamnya
dalam hati.
“Kanojo wa watashitachi no
seikatsu kara kiete ita (Akhirnya dia pergi juga dari hidup kita),” kata
Hiroshi pura-pura bersetuju dengan Minami. Dalam hati masih risau Ayumi akan
melakukan sesuatu untuk merampas rangkaian hotel, restoran dan ladang
buah-buahan milik keluarga Takamiya yang hampir menjadi miliknya. Walaupun
urusan pindah milik itu belum 100% sah tapi Hiroshi yakin, setelah Encik
Shikata pulang nanti semua itu akan selesai dengan mudah. Dia tidak merompak,
Ayumi yang secara rela menyerahkan segala-galanya. Buktinya Ayumi telah pun
menandatangani semua dokumen yang diperlukan untuk melicinkan proses pemindahan
harta itu. Bodoh Ayumi. Kerana malas mahu membaca kesemua dokumen yang dibawa,
akhirnya semua itu terjadi.
“Watashitachiha yorokobu(Kita
akan bergembira),” kata Minami. Leher Hiroshi dipaut. Mata lelaki itu
dipandang. Selepas ini dia akan buat Hiroshi memindahkan semua itu ke atas
namanya pula. Dan akhir sekali, dia akan mengucapkan selamat tinggal. Pengarah
IT & Teknologi di Syarikat Takamiya itu tidak sesuai menjadi pasangan
hidupnya.
BARANG keperluan dan pakaian Ayumi
disumbat ke dalam beg. Pasport antarabangsa dimasukkan ke dalam jaket yang
dipakai. Bilik tidur itu dipandang seketika. Semangat harus dikuatkan. Pasti
ada tempat lain yang lebih baik buatnya. ‘Bumi ini bukan kecil. Anggaplah ini
masa untuk makan angin,’ bisik hatinya kepada diri. Ayumi yakin dia takkan
menjadi pengemis seperti Minami harapkan.
Pintu bilik ditutup rapat. Beg
ditarik menuruni anak tangga. Sampai di ruang bawah dia berdiri di hadapan
sebuah potret besar. Potret itu ditatap dengan senyuman pahit.
“Otosan(Ayah).” Kepala Ayumi
tertunduk ke bawah. “Regashi no sewa o suru tame ni shippai shite moshiwake
arimasen (Maaf kerana gagal menjaga peninggalan ayah).” Badan ditundukkan
sedikit sebagai memberi penghormatan terakhir. Potret itu Ayumi tengok lagi
sebelum menuju pintu keluar.
Terperanjat pengurus rumah itu
melihat Ayumi menyeret beg.
“Ayumi san.” Akiko mendapatkan
Ayumi. “Anata wa doko e ikitai ka (Cik Ayumi, nak pergi ke mana)?” tanya
Akiko kehairanan.
“Hiroshi...” kata-kata Ayumi
terhenti. Malas rasanya mahu menjelaskan segala yang telah dilakukan Hiroshi.
Mungkin setelah dia pergi Akiko akan mengetahui semua itu sendiri.
Akiko terlopong tidak percaya.
Benarlah perbualan yang didengar antara Hiroshi dan Minami kelmarin. Mereka
mahu menyingkir Ayumi dari rumah itu. Oh, tidak! Mana boleh begitu.
“Ayumi san, Anata ga iku koto ga
dekinai (Cik Ayumi, awak tak boleh pergi).” Bahu Ayumi ditahan. Baru lima
bulan majikannya meninggal dunia, sesuatu yang buruk pula menimpa Ayumi. Di
manakah Encik Shikata pada waktu ini? Seharusnya peguam itu dapat menyelamatkan
keadaan.
Ayumi menggenggam ibu jarinya
sehingga berdetak. Matanya melirik ke tingkat atas seketika. Seolah-olah sedang
memandang Hiroshi dan Minami yang sedang asyik bermadu kasih di atas sana.
“Koko de watashi wa hitsuyo
nakunarimashita. Watashi wa ikanakereba naranai (Di sini saya dah tak
diperlukan. Saya mesti pergi),” beritahu Ayumi. Tangan Akiko ditepis perlahan.
Akiko tertunduk sedih. Seketika
kemudian muka Ayumi dipandang.
“Seikyuna handan shinaide kudasai
(Jangan buat keputusan terburu-buru).” Tahannya. Berharap Ayumi mendengar kata.
“Watashi no ito o burokku shinaide
kudasai. Watashi wa koko kara iku hitsuyo ga arimasu(Tolong jangan halang
saya. Saya mesti pergi dari sini)!” bantah Ayumi. Apakah dia memang selalu
sahaja tidak berfikir dalam membuat keputusan? Nekadnya mahu pergi tidak
mungkin dihalang Akiko.
“Shikashi... Ayumi-san ga doko e
ikitai ka (Tapi... ke mana Cik Ayumi nak pergi)?” Akiko resah memikirkan
Ayumi. Dia yang membesarkan Ayumi semenjak Tini meninggal dunia. Ayumi sudah
dirasakan seperti anak sendiri. Sekarang Ayumi akan pergi. Ke manalah gadis
berusia 25 tahun dan tidak pernah hidup susah itu akan pergi?
Ayumi diam tidak menjawab. Dia mahu
pergi jauh. Sejauh yang boleh. Tapi ke mana? London? Kota yang yang pernah
dilawati bersama ayahnya dulu. Dia tak suka tinggal di London. Orang di sana
tinggi-tinggi buat dia terasa kerdil. Habis tu ke mana? Dia berfikir lagi.
Korea? Tak boleh... dia tak pandai berbahasa Korea. Lagipun kalau mahu tinggal
lama di negara asing dia perlu membuat permohonan penghijrahan. Dia tak boleh
tinggal lama hanya dengan menggunakan pasport antarabangsa. Dia pun tak
terfikir mahu berhijrah, dia masih mahu menjadi rakyat di bumi Sakura itu.‘Aaa...
nak pergi dari sini pun susah. Habis tu aku nak ke mana?’
Sayu hati Akiko memandang Ayumi.
Dalam pada itu dia teringat sesuatu. “Ayumi-san shibaraku matte (Cik
Ayumi, tunggu sebentar).” Tahannya. Cepat-cepat dia berlari ke belakang menuju
bilik tidurnya. Ada sesuatu yang menjadi amanah Tini masih disimpan.
Pintu almari disorong ke tepi.
Sekeping kertas berwarna putih dikeluarkan dari bawah lipatan kain.
Terburu-buru kertas itu dibawa, lalu diserahkan kepada Ayumi. Tini pernah
berpesan, andai sesuatu terjadi kepada anaknya, Ayumi harus ke tempat itu.
“Yakusoku. Ayumi-san wa, kono
basho ni iku(Berjanjilah. Cik Ayumi akan ke tempat ini),” pinta Akiko
dengan bersungguh. Andai Ayumi begitu mahu meninggalkan Tokyo, tempat itu
mungkin pilihan terbaik.
Akiko dipandang dengan perasaan
pelik. Kertas berlipat dua itu dibuka. Alamat yang tertera di atas kertas itu
buat dahi Ayumi berkerut. Alamat bertulis kanji itu dibaca. Alfiah? Terengganu,
Malaysia?
“Anata no haha wa soko kara kita
(Itu tempat asal ibu awak),” beritahu Akiko perlahan. Tiada apa lagi yang dapat
dibantu jika Ayumi bulat hati mahu pergi meninggalkan rumah itu.
Ayumi mengangguk. Nampaknya dia akan
ke sana. Mungkin keluarga ibunya lebih membahagiakan. Dia pasti ke sana.
Pandangan dialih ke tingkat atas. Untuk kali terakhir. Alang-alang dia akan
pergi jauh. Elok meninggalkan hadiah buat Hiroshi yang dikasihi dan Minami yang
disayangi terlebih dahulu. Ayumi tersenyum jahat. Beg sandang dilepaskan dari
bahu dan diletak ke sofa. Dia berlari ke tingkat atas. Pintu bilik bacaan
ditolak sekuat hati.
Hiroshi dan Minami yang sedang
berbual mesra terkejut memandang Ayumi berjalan pantas mendapatkan mereka.
PANGGG! Satu penampar singgah ke pipi
Hiroshi. Panas dirasakan. Hiroshi tergamam seketika. Tidak menyangka Ayumi akan
kembali ke situ dan bertindak begitu.
Minami membesarkan mata. Dia bangun
dari sofa dan cuba membalas apa yang dilakukan Ayumi kepada Hiroshi. Namun,
tangan Ayumi lebih pantas menangkap pergelangan tangan Minami. Dengan satu
teknik jurus Judo tubuh kurus Minami dijatuhkan ke lantai.
Minami terjerit kesakitan.
Hiroshi yang terkesima dengan
tindakan pantas Ayumi terus mendapatkan Minami.
Ayumi memandang mereka dengan
perasaan puas. Mulai hari itu, itulah dirinya yang sebenar. Dia bukan lagi
gadis polos yang menurut. Dia akan selalu mempertahankan diri dengan cara
sendiri. Ayumi menjeling mereka dan berlalu dari bilik itu.
Akiko yang menunggu di bawah
memandang Ayumi mendapatkan begnya semula. Dari reaksi muka gadis itu dia tahu
ada sesuatu telah dilakukan.
“Watashi ga saisho ni itta
(Saya pergi dulu),” kata Ayumi.
Akiko mengangguk. “Ayumi wa jibun
no sewa o (Cik Ayumi, jaga diri),” pesan Akiko hiba. Entah bila mereka
boleh bertemu lagi. Dalam hati dia mendoakan keselamatan Ayumi.
Ayumi menundukkan sedikit badannya. “Anata
o mochido mite hoshi(Semoga berjumpa lagi).” Segaris senyuman diukir buat
memadam duka di hati Akiko. Sedikit rasa sakit di hati terhadap Hiroshi dan
Minami telah pun dilepaskan. Kini, Ayumi rasa bersemangat untuk pergi dari
situ. “Sayonara (Selamat tinggal),” ucap Ayumi bersama tunduk hormat.
Setelah pintu tertutup rapat, Akiko
memandang potret yang ditatap Ayumi tadi. “Takamiya-shi (Tuan
Takamiya),” ratapnya. Kesal dengan apa yang terjadi.