10
TINA mundar-mandir berfikir. Bagaimana
caranya membuat Ayumi bersetuju dan akhirnya pergi dari rumah itu. Dalam masa
yang sama dia dapat keuntungan. Tina masih belum menemui cara yang dimahukan.
Dia duduk bersila atas lantai. Dagunya digaru beberapa kali. Pesan arwah ibunya
supaya menjaga Ayumi sebaiknya bermain di fikiran. |
Selama ini dia tidak membenci Ayumi
tetapi kurang senang dengan kehadiran gadis itu secara tiba-tiba dalam
keluarganya sahaja. Ayumi datang dalam kehidupan mereka sebagai anak yatim.
Lebih menyedihkan ibunya mengakui Ayumi sebagai anak Tini hanya kerana wajah
Ayumi dari tepi jika dipandang mirip Tini. Huh! Senang betul ibunya mengecam
cucu yang datang entah dari mana itu sebagai darah daging sendiri. Tina
mencebik.
“Kalau pun betul dia anak Kak Tini,
kenapa mesti datang sini berebut hasil kilang tu dengan aku? Bapak budak tu tak
ada sedara ke?” tanya Tina sendiri. “Ah! Susah persoalkan masalah orang yang
dah mati. Sekarang ni soal orang hidup.” Tina menegakkan sebelah lututnya dan
menyangkut dagu di situ. Rasanya dia tidak buat dosa pun kalau menyuruh Ayumi
berkahwin. Cuma calonnya sahaja yang menjelikkan.
“Alah, Natasa tu kan anak gadis. Dah
besar pun. Kalau tak kahwin sekarang, bila lagi?” Tina bangun dari duduk. Suka
tak suka dia mesti bercakap dengan Ayumi dan buat gadis itu rela mengahwini Pak
Hamid.
Tina melirik jam antik yang diperbuat
daripada kayu itu. 10.00 malam. Dia mencebik. Mungkin Ayumi sudah tidur. Tapi
tak salah kalau dikejutkan sekejap. Tina ukir senyum dengan sebelah kening
terangkat. Muka jahat. Bilik Ayumi ditujui.
“Sa, Sa...” panggil Tina sambil
mengetuk pintu bilik Ayumi.
Ayumi tidak menjawab.
Tina rasa geram. Diketuk lagi pintu
itu dengan lebih kuat. “Sa...”
Daun pintu terbuka. Ayumi terjongol
dengan mata sekejap pejam, sekejap celik. “Ada apa auntie?” tanyanya mamai. Apa
lagilah yang Tina mahu mengganggu tidurnya. Esokkan dia nak kena bangun awal.
Kalau lambat Tina marah.
“Ada hal aku nak cakap,” beritahu
Tina pintu bilik ditolak lebih luas dan melangkah masuk.
Ayumi mengangguk dan kembali ke atas
katil.
Tina menarik kerusi dari meja tulis
dan duduk. Ayumi yang sudah bersandar di kepala katil dipandang. “Kau dengar
baik-baik apa aku nak cakap ni,” tegas Tina.
Ayumi mengangguk. Lagi cepat Tina
cakap, lagi baik. Dia nak sambung tidur. Sebahagian dari otaknya dah tidur, tak
mungkin memproses apa yang bakal Tina sampaikan dengan baik nanti.
“Ada orang dah lamar kau,” beritahu
Tina sambil melihat reaksi Ayumi.
‘Lamar?’ Lambat-lambat otak Ayumi
mentafsir perkataan itu.
“Rasanya kau tak payah banyak fikir.
Terima aje. Lagipun tak ada siapa nakkan kau kat pulau ni. Lelaki tu aje,” kata
Tina.
Ayumi buka mata. Otaknya berjaya
mentafsir perkataan itu.‘Lelaki
tu, Hadi?’
Tekanya. Mereka kan masih perang dingin. Hadi, Hadi... kenapalah degil? Tina
dipandang.
“Itu aje aku nak cakap.” Tina
memandang Ayumi. “Pejam, celik, pejam, celik. Kau dengar tak apa yang aku cakap
tadi?” marah Tina. Bukan senang dia nak kumpul keyakinan untuk cakap semua tu.
Ayumi diam. Kalau dengan Tina ni
bukan boleh salah cakap. Panjang bebelnya nanti tak dapatlah dia menyambung
tidur. Hadi pun satu, dah bekali dia cakap tak nak kahwin. Tak faham ke?
“Kau bisu ni kenapa? Kalau orang
zaman mak aku dulu, bisu macam kau ni dikira setuju,” bentak Tina. Macam tengah
bercakap dengan sotong salai pun ada.
Ayumi menguap.
“Hoi!” Komik dari atas meja tulis Tina
campakkan kepada Ayumi.
Pantas Ayumi menepis. Dia tak mahu,
Tina pula mungkin tak suka dengar jawapan tu. Macam mana? “Auntie...”
“Alah, kau tak payah fikir. Setuju
aje. Aku nak bagi jawapan segera,” potong Tina. Dia pun tak mahu berlama-lama
dalam bilik Ayumi. Mengantuk.
Ayumi telan liur. Hatinya tak rela
untuk mengatakan ya. Betul ke jodohnya memang dengan Hadi? Kalau dia kata ya
malam ni, mungkin esok dia masih sempat berbincang dengan Hadi. Ayumi pandang
Tina. Demi menutup mulut Tina malam tu dia mengangguk setuju.
“Dah angguk tu kau setujulah, kan?”
tanya Tina.
Ayumi angguk lagi.‘Esok siap
kau Hadi! Kau memang nak aku pergi dari pulau ni,’ marah hatinya sambil membayangkan
muka Hadi.
Tina masih tidak percaya. Semudah itu
Ayumi setuju. Atau mungkin Ayumi pun dah tak tahan bekerja dan tinggal
dengannya. Ayumi mula terfikir hendak pergi tapi bimbang dia kecil hati. Dan
mungkin lamaran itu alasan untuk Ayumi pergi?‘Bagus, bagus.’ Tina ketawa dalam hati.‘Kalau
dari awal kau pergi, mesti kau tak payah kahwin dengan si tua tu.’
“Esok aku nak bagi jawapan. Kau
jangan nak kata tak jadi pulak. Jangan malukan aku,” pesan Tina.
Ayumi diam.
“Dah! Pergi tidur. Karangpagi
terpekik-pekik aku panggil kau bangun.” Tina bangun dari duduk dan segera
meninggalkan Ayumi.
Ayumi pandang pintu biliknya yang
kembali tertutup rapat.
“Susah betul kau nak faham, kan
Hadi,” rungutnya sebelum kembali tidur.
DARI tadi Ayumi hanya menyanyi
sendiri. Mereka tengah perang dingin apa yang hendak dikatakan. Lagipun Ayumi
rasa sakit hati memikirkan kata-kata Tina malam tadi. Hadi sengaja mahu
memanjangkan masalah mereka dengan melamarnya pula. Habis menyanyi Ayumi
bersiul.
Sekilas Hadi menoleh. “Hoi! Jangan
bersiul boleh tak?” Tegurnya garang.
Ayumi buat tidak peduli.
“Hoi! Pekak ke? Perempuan tak elok
bersiul,” tegur Hadi lagi.
Ayumi berhenti bersiul dan memandang
Hadi.
“Tak ada undang-undang yang cakap
perempuan tak boleh bersiul, lelaki aje yang boleh,” jawab Ayumi.
Hadi hembus nafas bengang. Ayumi ni
sengaja mahu pagi mereka terus berbahang. “Ikut aje apa yang aku cakap tak
boleh ke?”
“Kenapa aku kena ikut semua cakap
kau? Kau siapa nak tentukan hidup aku?”
Dahi Hadi berkerut. Kata-kata Ayumi
mengganggu tumpuannya. Dia tak boleh memandu dengan baik. Kenapa Ayumi naik
angin?
“Sa, aku tak maksud macam tu. Hidup
kau hak kau. Aku bukan sesiapa,” kata Hadi perlahan di hujung kata. Tahukah
Ayumi hatinya luruh ketika itu.
Ayumi diam. Pandangan dibuang ke luar
tingkap.
Hadi juga diam. Dia tak faham kenapa
pagi itu Ayumi kelihatan lain. Kesalahan apa lagi yang sudah dilakukan? Ayumi
menolak dirinya, dia cuba terima. Tapi dia perlukan sedikit masa untuk memujuk
hati dan kembalikan persahabatan mereka seperti biasa.
“Hadi...” tanpa pandang Hadi, Ayumi
bersuara.
Hadi sekadar mendengar.
“Betul ke kau serius nak kahwin
dengan aku?” tanya Ayumi perlahan. Entah kenapa pertanyaan itu buat wajahnya
menjadi lebih muram. Dia benci kalau Hadi kata, ya.
Pertanyaan Ayumi buat Hadi hilang
kawalan.
“Woi! Apahal kau makan jalan ni?”
tegur Ayumi cuak melihat van yang dipandu Hadi sedikit memasuki laluan
bertentangan.
Hadi cepat-cepat memutar stereng dan
memasuki laluan yang betul semula.
“Mahunya tak makan jalan kalau kau
merepek bukan-bukan pagi-pagi buta macam ni!” Marah Hadi. “Aku dah tak nak
cakap pasal semua tu, kau janganlah nak mulakan pulak,” cukup-cukuplah Ayumi
buat dia rasa bodoh sebelum ni. Takkan nak tambah lagi.
Ayumi terasa hati dimarah begitu.
Berubah benar sikap Hadi. Sudahlah membabitkan Tina dalam hal mereka. Sekarang
tak mahu menyelesaikan masalah itu pula.
Sampai di dermaga Hadi turun dan
menghempas kuat pintu van.
Ayumi sekadar memerhati. Ketika Hadi
menurunkan troli dari belakang van dia memerhatikan dermaga yang sekadar
diterangi lampu itu. Suka ke dia dengan tempat tu? Mahu ke dia berkeluarga di
situ?
“Sa, cepatlah!” arah Hadi mula mahu
menarik troli. Dia cuba untuk lupakan apa yang berlaku tadi.
Ayumi memandang Hadi. Tidak tahu
kenapa kakinya tidak mahu turun hari itu.
“Kau pergilah dulu. Kejap lagi aku
datang,” suruh Ayumi tiada hati mahu bersama-sama Hadi melangkah ke dermaga.
Hadi jatuh bahu dan kembali
mendapatkan Ayumi. Pintu van dibuka. “Kau jangan nak mengada.” Lengan Ayumi
ditarik. Dia tak sampai hati melihat muka tidak gembira Ayumi.
Kerana sudah ditarik Ayumi terpaksa
menurut.
Hadi cuba tersenyum. Troli kembali
didapatkan dan menolaknya mendekati Ayumi.
“Naik,” suruh Hadi berusaha
menggembirakan Ayumi. Bukankah setiap pagi mereka begitu. Dia akan menyorong
Ayumi hingga ke tempat Pak Hamid.
Ayumi memandang troli itu, kemudian
Hadi. Dia tahu Hadi cuba memujuk. Tidak baik ke Hadi? Lelaki itu sering
memanjakan dirinya. Salah ke kalau dia memberi Hadi peluang dan cuba membuka
pintu hati agar mereka bahagia bersama? Ayumi cuba ukir senyum. Perlahan Ayumi
naik ke atas troli itu.
Melihat Ayumi tidak lagi marah Hadi
tersenyum senang.
Dari jauh Pak Hamid memerhatikan
kemesraan dua orang anak muda itu. Dia mencebik.
“Macam budak-budak!” tegur Pak Hamid
ketika Hadi dan Ayumi sampai berhampirannya.
Ayumi dan Hadi sedar kemesraan mereka
canggung di mata orang tua seperti Pak Hamid. Kerja memunggah bakul berisi ikan
ke atas troli terus sahaja mereka lakukan.
Pak Hamid cuba membantu. Sayang
sekali pinggang tuanya tidak mampu menampung beban lalu tergeliat. Pak Hamid
mengeluh menahan sakit.
Hadi dan Ayumi saling berpandangan
sebelum memandang Pak Hamid semula.
“Itulah Pak Hamid. Saya kata, tak
payah. Pak Hamid dah tua, duduk aje tengok. Kita orang boleh buat,” kata Hadi.
Tersentap hati Pak Hamid mendengar
perkataan tua itu. Namun, dia berusaha juga menegakkan badan. Mulalah Pak Hamid
mahu ke bandar berdekatan untuk mewarnakan rambut berubannya kepada warna
hitam, biar nampak muda sikit. Kalau di bandar itu ada rawatan mencucuk kolagen
dan vitamin C pun hendak di cuba, biar wajahnya setanding Hadi yang celupar
mengatanya tua itu.
“Pak Hamid,” panggil Ayumi perlahan.
Entah ke mana fikiran Pak Hamid melayang.
Pak Hamid memandang Ayumi.
“Kita orang dah habis,” beritahu
Ayumi. “Pinggang Pak Hamid tu mungkin cedera teruk. Pergilah klinik.”
“Eh, tak apa. Sikit aje ni. Kuat lagi
ni,” jawab Pak Hamid berlagak gagah. Tidak menyangka Ayumi mengambil berat
tentang dirinya. Ketika cuba berdiri tegak Pak Hamid terseringai. Pinggangnya
terasa sakit.
Ayumi menggeleng.
“Kami pergi dulu Pak Hamid,” kata Hadi
dan terus menolak troli yang sudah penuh ke van.
Ayumi ikut Hadi dari belakang.