Home Novel Keluarga Cinta Senget-Benget
Cinta Senget-Benget
Nina Rose
23/9/2013 21:05:35
83,843
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Beli Sekarang
Bab 1
1

“BANGUNNN...”

Jeritan kuat itu rutin pagi Tina. Jika tidak menggegar alam sehingga Ayumi terbangun dari tidur dia tidak puas hati. Pintu bilik Ayumi dipandang. Harapannya Ayumi segera bangun. Tidaklah dia terpekik di situ lagi.

Dengan mata terpejam Ayumi angkat badan dan duduk berlunjur di atas katil. Mimpi indahnya musnah diganggu Tina. Itu baru satu jeritan, kalau lebih lambat dia bangun mungkin pintu biliknya pula yang roboh diketuk Tina. Keluhan kecil dilepaskan. Malas-malas mata dicelikkan. Kalau dulu dia tiada masalah untuk bangun pagi, kini segala-galanya berubah. Apa yang dilalui dahulu tidak boleh digunakan di pulau itu. Di sini dia Natasa, bukan lagi Ayumi. Di sini dia kuli Tina, bukan lagi anak hartawan yang kaya-raya. Bermula lapan bulan lalu dia terpaksa hidup mengikut keadaan.

Malas-malas selimut ditepis ke tepi. Kalaulah setiap malam dia tidak berjaga hingga lewat pasti dia tidak mengantuk. Salah sendirilah tu, dia yang cari penyakit. Tina bukannya mendera sangat dirinya, tapi...

“Animeshon (Animasi),” sebut Ayumi perlahan. Dia menyalahkan siri kartun online yang digilai itu. Kalau bukan kerana terlalu rindukan bumi Sakura pasti kartun Jepun itu tidak menjadi pelipur laranya. Salah Tina juga. Kalau dia disayangi, pasti bumi Jepun dilupakan. Keluh Ayumi sendiri.

Ayumi sangka di situ ada kasih sayang buat memujuk hati yang berduka tapi hampa. Tina itu jenis manusia tidak punya hati. Kerana sikap Tina dia merindui Akiko. Bila ingatkan Akiko dia merindukan Tokyo pula. Tapi... hmm... Ayumi malas mahu memikirkan hal lalu lagi. Sampai ke hari itu tiada siapa yang mencari dirinya, bererti Hiroshi telah berjaya memiliki segala-galanya. Bibir dimuncungkan. Pasti orang-orang yang membuat Hiroshi berjaya merampas hartanya itu sama tamak dengan Hiroshi. Benci!

“Kalau pun dia datang cari aku mesti sebab dia nak aku mati!” omel Ayumi. Apa sahaja berkaitan Hiroshi jika melintasi fikirannya pasti negatif. Lelaki itu jahat! Mimpilah lepas lapan bulan dia pergi Hiroshi hendak datang membawanya pulang. Memang mustahil. Hiroshi dilupakan. Siri animasi yang mula melekat di hatinya kembali merajai fikiran. Bukan mudah dia mahu menonton episod demi episod. Dia harus bijak mencari waktu. Bukan mudah juga mahu menggunakan komputer milik Tina. Tina berkira sangat dengan dirinya. Pada Tina dia tiada hak di situ, dia hanya penumpang yang harus sedar diri. Ayumi menggeliat sebelum kaki diturunkan dari katil.

“Natasa!!!”

Ayumi mengeluh. Baru sahaja dia hendak berdiri suara Tina kedengaran lagi. Kali ini berserta ketukan kuat di pintu pula.

“Bangun! Apa lagi yang kau lambat sangat tu, hah?” laung Tina nyaring memecah kesunyian pagi. Pastinya seisi alam berdekatan turut terkejut beruk.

“Ya, ya... saya bangunlah ni,” jawab Ayumi sedikit kuat.

“Cepat! Ikan tu nak kena hantar ke kilang. Kalau lambat nanti busuk! Kalau dah busuk kau nak bayar ganti rugi?” bebel Tina terus mendesak. Entah apa yang Ayumi buat setiap malam sampaikan susah sangat nak bangun dia pun tak tahu. Hari-hari perlu dikejutkan. Bangun sendiri tak boleh! “Ingat aku ni orang gaji dia ke?” rungut Tina masih setia berdiri di hadapan pintu bilik Ayumi.

Ayumi mencapai tuala dan terus ke bilik mandi. Orang lain pukul 4.00 pagi bahagia bergulung bawah selimut, dia kena kerja macam jantan! Benci! Kenapa tempat asal ibunya itu menyusahkan?

Nasib dia jugalah tinggal dengan ibu saudara macam Tina. Anggap sahajalah dunianya telah kiamat dan dia sedang menghadapi hukuman kerana gagal menjaga segala yang ditinggalkan ayahnya dengan baik. Ayumi mencebik.

“Kau ni memang dilahirkan malang ke?” tanya Ayumi pada dirinya di dalam cermin. Pipi cengkungnya disentuh. Dia tersenyum mengejek diri. “Bukan malang tapi kurang bijak,” jawabnya sendiri. Gadis lain seusianya pasti sedang berdendang sayang menikmati kehidupan di luar sana. Dia... semua kegembiraan tu sudah hilang dan tidak boleh diharap lagi. Ayumi kecilkan mata dengan bibir yang dimuncungkan sedikit. Dia tidak suka dengan rasa putus asa tu. “Pilihan ni silap. Kenapa aku tak buat pilihan baru aje? Perlu ke aku terus kat sini kalau Tina memang susah nak akui aku?” Dia jatuh bahu.

“Tuhan... aku juga berhak bahagia,” adunya di hadapan cermin. Aku dah tak tahan ni...” keluhnya pula.

“Natasa! Kau buat apa lagi lama sangat dalam bilik tu? Dah beku ke?” Selagi Ayumi tidak keluar dari bilik itu Tina tidak puas hati.

Ayumi merengus.‘Apasal Tina tu tak dilahirkan bisu aje, ek? Merimaskan!’ Tubuhnya disandarkan ke dinding bilik air. ‘Aku mesti pergi. Tak boleh tahan dah lama-lama tinggal kat tempat ni. Tekanan sangat aku dengan Tina tu. Perempuan tu sawan!’ Dia berkira-kira sendiri.

‘Pergi dari sini senang. Tapi lepas tu aku nak pergi mana?’ Terkelip-kelip Ayumi berfikir. Dia tidak berani pula mahu meninggalkan pulau itu. Dulu dia ke situ kerana terpaksa. Bermakna kena ada sebab yang memaksa jugalah baru dia berani bertindak. ‘Huh! Penakut!’ ejeknya pada diri.

“Ooo... Natasa! Kau nak cepat ke nak aku pecahkan pintu ni?” jerit Tina lagi. Tombol pintu bilik Ayumi digoncang.

Ayumi buat muka kelat. “Tak nak pulak anak tekak kau cicir jerit-jerit macam tu, kan?” rungutnya perlahan. Nafas ditarik dalam sebelum melaung kuat, “Kejaplahauntie. Saya sakit perut. Kejap lagi saya keluarlah.” Harap bolehlah buat Tina senyap seketika. Ruang privasi dalam bilik mandi pun sukar dinikmati.

“Cepat!” tengking Tina tidak mahu mengalah. “Kalau lambat sangat tak payah sarapan!” ugutnya. Ayumi dah ke bilik mandi barulah senang hatinya mahu ke dapur.

Terkumat-kamit mulut Ayumi mengajuk setiap dari butir bicara yang didengari. Pili air dibuka. Sejuk yang memang tidak boleh dielak. Mandi sahajalah.

KEMEJA tangan panjang Ayumi sarung ke badan. Topi berkait diletakkan atas kepala, menyembunyikan rambutnya yang panjang beralun. Wajahnya dibiarkan sahaja tanpa solekan. Perlu ke dia bersolek kalau setiap hari hanya mata beku ikan yang melihatnya.

Kunci van dari dalam bakul atas almari di bahagian tengah rumah diambil. Dia masuk ke dapur dan terus meneguk segelas minuman yang disediakan Tina. Walaupun Tina bersikap seperti membenci dirinya tetapi Tina masih dalam kategori wanita yang baik hati, wanita yang rela paksa menumpangkan dirinya yang terdampar di situ. Pendek kata, mana hendak dibuang dirinya setelah tiada tempat mahu bergantung lagi. Terpaksalah Tina berlapang hati membenarkan dia tinggal di rumah itu.

Kalau Tina membiarkan Ayumi hidup sendiri di luar sana, boleh hidup ke anak saudaranya itu? Mungkin boleh, tetapi dalam keadaan yang lebih dahsyat agaknya.

“Tengah hari nanti jangan lupa ajak Hadi temankan kau pergi bank,” pesan Tina. Sudah hampir cukup bulan. Gaji pekerja-pekerjanya harus segera diuruskan. Walau dia kurang senang dengan kehadiran Ayumi dalam hidupnya tapi jauh di sudut hati dia mempercayai kejujuran gadis itu. Kalau darah daging keturunannya mana pernah menipu.

Ayumi mengangguk sambil mengunyah roti bakar.

“Jangan kau ambil separuh duit tu masuk poket. Nanti aku tanam kau hidup-hidup.” Tina cekak pinggang di hadapan Ayumi. Sengaja menggertak.

Ayumi telan roti yang sudah dikunyah. Namun, roti itu tersekat di kerongkong. Dia terbatuk dan segera meneguk air. Kejam betul ayat Tina. Kalau dia hendak buat begitu, elok buat dulu lagi. Susahnya... dia sudah berusaha menjadi sejujur mungkin juga masih tidak dipercayai.

“Sudahlah, cepat! Jam tu lagi lima minit pukul 5.00. Kau tak bergerak jugak. Duduk dalam bilik tu lama sangat,” protes Tina sambil mengetuk meja makan beberapa kali. Sengaja mahu Ayumi rasa terdera. Puas hatinya setiap kali melihat muka tidak puas hati Ayumi. Padan muka! Siapa suruh menyemak dalam kehidupannya. Dah elok-elok dia seorang sahaja yang mewarisi kilang makanan laut milik arwah ibunya, kini terpaksa berkongsi hasil dengan gadis asing itu. Entahkan betul anak kakaknya, entahkan tidak. Nak buat DNA, mahal. Buang duit sahaja.

‘Dahlah tu Tina. Kalau bukan aku yang tolong kau, siapa lagi? anak kau? Langsung tak boleh harap!’ Ayumi memandang Tina dan menggeleng kecil.

“Auntie... Saya pergi dulu,” laung Ayumi sebelum melalui pintu utama. Kunci van yang kian uzur itu dipulas beberapa kali. Setelah enjin van menjadi panas Ayumi memandu keluar dari garaj. Nyanyian kecil mula menemani paginya. Dalam samar-samar cahaya berhati-hati dia memandu. Sekejap dia rasa penat melalui semua itu dan mahu pergi, sekejap dia rasa bahagia hidup begitu. Bahagia bila dia belajar menghargai nikmat hidup dan berdikari.

Ayumi memberhentikan van yang dipandunya di hadapan sebuah rumah separuh batu dan separuh papan. Hon dibunyikan. Seketika kemudian kelihatan seorang pemuda keluar dari rumah itu. Ayumi segera turun dari van dan beralih ke tempat duduk di sebelah kiri. Pemuda itu mengambil alih tempat Ayumi.

Ohayogozaimasu(Selamat pagi),” ucap Ayumi dengan senyuman ceria. Walau mata mengantuk dia selalu bersemangat menemani Hadi melakukan tugas harian itu.

“Perasan nak jadi Jepun betullah kau ni,” kata Hadi tahu Ayumi gemar menonton animasi Jepun. Kalau bukan dengan dirinya Ayumi berkongsi cerita, siapa lagi? Seluruh pulau tahu sejak Ayumi ke situ mereka berkawan rapat.

“Lain kali bagilah salam,” tegur Hadi. “Assalamualaikum. Macam tu,” tambahnya kemudian. Banyak kali diingatkan, banyak kali juga Ayumi buat tidak peduli. Dia tidak tahu bagaimana lagi mahu mengingatkan gadis itu.

Ayumi tersengih. Bukan salahnya kalau jati dirinya tidak pernah dikuatkan dengan ajaran Islam sebenar.

Previous: Prolog
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.