Home Novel Keluarga Cinta Senget-Benget
Cinta Senget-Benget
Nina Rose
23/9/2013 21:05:35
83,822
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Beli Sekarang
Bab 8
8

ADAKAH aku akan menemui apa yang disukai seperti Yukari? Apa yang aku suka? Ayumi terkelip-kelip sendiri. Animasi yang selesai ditonton tiga jam lepas sedikit menganggu fikirannya. Setakat ni apa yang dia buat masih juga belum memenuhi kepuasan diri. Sebelum ini dia sangka kehidupannya sudah lengkap, tidak perlu merancang apa-apa lagi. Tetapi... dia mencebik sendiri.

Matanya memandang bilik kecil itu. Ini yang terjadi. Dia hidup, tak mati tetapi terkandas antara hidup dan mati. Betul kata Hadi, dia harus punya kehidupan lebih baik daripada itu. Dia kena tinggal di bandar. Tetapi, perkataan tetapi itulah yang selalu menjadi masalah. Sudahlah dia melanggar undang-undang berdaulat Malaysia dan meletakkan diri di bawah kesalahan tinggal lebih masa. Jika disabit kesalahan di bawah Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dia boleh dikenakan denda tidak kurang RM 10,000.00 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya. Kalau setakat denda pejam mata sahaja boleh dibayar. Kalau kena penjara? Alamat lima tahunlah dia merana. Tak adalah nampaknya dia berpeluang hendak membuat kesalahan baru dengan bekerja pula. Kalau hendak terus tinggal di Malaysia pilihannya hanya pulau itu, tiada pihak berkuasa yang akan ambil tahu soal dirinya.

Ayumi teringatkan Pak Hamid pula. Cadangan Pak Hamid ada juga benarnya. Kalau dia berkahwin dengan lelaki tempatan kehidupannya akan kurang bermasalah. Sebagai isteri yang mengikut suami dia boleh menguruskan dokumennya sebaik mungkin. Dan mungkin dia berpeluang mencari pekerjaan yang sesuai. Mungkin juga darah ahli perniagaan yang mengalir dalam tubuhnya boleh digunakan. Tetapi apa matlamat hidupnya? Selepas meninggalkan dunia Ayumi, dia sudah menjadi Natasa. Natasa ini perlu diatur supaya mempunyai matlamat hidup, Waa... terasa dirinya bagaikan robot model baru pula. Kusut! Ingatkan boleh tolong kembangkan perniagaan neneknya, tapi Tina pula tak sudi beri peluang. Ayumi herotkan bibir.

“Sa! Kau buat apa dalam bilik tu?” suara Tina kedengaran dari sebalik pintu bilik Ayumi yang tertutup rapat.

Kening Ayumi terangkat. ‘Tina dah balik?’ tanya hatinya. Sempat jam dinding dilirik. Hampir pukul 6.00 petang, patutlah Tina dah sampai rumah. “Baru nak pergi mandi auntie,” beritahu Ayumi. Cepat-cepat tuala mandi di ambil dari penyidai.

“Hmm! Cepat sikit. Aku penat ni. Lauk yang aku beli ni, kau tolong panaskan untuk makan malam,” pesan Tina sebelum mengatur langkah ke dapur bersama beberapa beg plastik di tangannya. Malam itu, dia tidak larat mahu memasak. Nak harapkan Ayumi? Memang tak boleh diharap! Ayumi hanya tahu memanaskan makanan segera yang ada dalam peti sejuk sahaja. Arwah kakaknya yang cekap memasak dulu tu tak sempat mewariskan ilmu memasak kepada Ayumi ke? Tina menggeleng tidak faham.

“Manjakan anak sampai nak hantar makan ke tekak sendiri pun tak lepas,” rungut Tina mengenangkan Tini.

Mujur Tina tidak banyak berleter petang itu. Ayumi melangkah ke bilik air dalam biliknya dengan senang hati. Tapi baru sahaja dia mahu masuk ke bilik air suara Tina kedengaran lagi.

“Sa, lepas mandi kau jangan lupa jerang nasi. Tak ada nasi karang macam mana nak makan? Takkan nak jadi kucing makan lauk.”

Ayumi menjeling ke atas. Kalau dia tak masuk tangan menyudahkan kerja Tina yang tak seberapa itu mesti Tina tak puas hati.

“Okey, auntie,” balas Ayumi.

“Cepat!” laung Tina sebelum berlalu ke biliknya untuk berehat seketika.

HADI masih merajuk. Mungkin hati kawannya itu masih terbuku dengan hal semalam. Bermakna hari itu juga mereka takkan singgah di batas ban. Selepas menghantar Hadi pulang Ayumi tidak rasa mahu pulang ke rumah. Dia mahu mengambil angin di tepian pantai. Melihat pengunjung lain menikmati indahnya alam dan ketawa riang dibelai lembutnya bayulaut mampu buat dia tersenyum juga.

“Saaa...”

Laungan itu membuatkan Ayumi berlari ke gigi pantai. Mendapatkan lelaki Cina yang memanggilnya. Sesekali dapat mengikut Tauke Liung menghantar pelancong yang mahu melihat karang, penyu atau menyelam di tengah laut sangat menyeronokkan. Mungkin hari itu Tauke Liung akan mengajaknya mengikuti aktiviti yang digemari pelancong dan penduduk tempatan itu.

“Ya, atuk,” sapa Ayumi sebaik menghampiri Tauke Liung yang mesra dipanggil atuk oleh penduduk di situ. Biarpun berketurunan Cina, Tauke Liung sangat fasih bertutur dalam bahasa Melayu. Kalau tidak melihat fizikal lelaki sebaya Pak Hamid itu pasti orang menyangka seorang Melayu yang sedang bercakap. Kata Tauke Liung, orang Malaysia kena fasih berbahasa Malaysia. Bahasa Malaysia bahasa ibunda rakyat Malaysia, kena cintai dan sayangi. Ayumi hanya boleh tersenyum. Kerana padanya bahasa Melayu adalah tuah yang diwarisi. Dia bangga boleh bertutur sebaik Tauke Liung.

“Mari ikut atuk,” ajak Tauke Liung. Jika ada Ayumi bolehlah dijadikan teman bergelak tawa. Muka Ayumi yang mirip peranakan Cina itu mengingatkan diri Tauke Liung kepada cucunya yang lebih kurang seusia Ayumi. Tapi cucunya sudah lama tidak pulang ke pulau itu.

“Hari ni kita nak ke mana?” tanya Ayumi. Bot Tauke Liung dihampiri. Bot itu kosong, belum ada penumpang.

“Atuk nak hantar awak-awak ke tengah sana,” beritahu Tauke Liung sambil memandang bot nelayan yang agak jauh dari situ.

Ayumi mengangguk setuju. Dia tahu bot besar seperti rumah lengkap dengan peralatan dapur yang digunakan nelayan untuk menangkap ikan itu tidak boleh memasuki kawasan pantai yang cetek. Bot besar itu terpaksa diikat pada pelantar terapung di laut yang lebih dalam. Jadi terpaksalah Tauke Liung menghantar awak-awaknya ke sana dengan bot kecil itu. Ayumi berhati-hati melangkah ke dalam bot Tauke Liung.

Tauke Liung memandu botnya ke jeti. Lima orang awak-awak sudah sedia menunggu. Sebaik menghantar mereka, Tauke Liung membawa Ayumi bersiar-siar di laut. Keriangan Ayumi mengubat rasa rindu Tauke Liung kepada cucunya. Semenjak anak lelakinya sekeluarga meninggalkan pulau itu dan berhijrah ke luar negara, dia merasa sepi. Kehadiran Ayumi buat kehidupannya sedikit berseri. Apalagi Ayumi sangat ramah orangnya.

“Hari ni nak kejar penyu, tak?” tawar Tauke Liung setelah memberhentikan bot berhampiran kawasan yang menjadi tempat aktiviti menyelam dan meneroka dasar laut.

Ayumi mengangguk riang. Itu antara aktiviti pulau yang paling disukai. Ayumi memandang beberapa orang pelancong dan penduduk tempatan yang sedang terapung di permukaan laut tidak jauh dari bot mereka. Tidak sabar dia mahu menyertai mereka. Tubuh dijatuhkan ke dalam laut.

Tauke Liung memerhati. Dari permukaan laut yang jernih dia boleh melihat Ayumi berenang ke atas.

“Atuk cepatlah,” suruh Ayumi setelah timbul di permukaan.

Tauke Liung mengangguk dan segera terjun ke laut.

Melihat Tauke Liung menyelam Ayumi ikut menyelam. Mereka suka bertanding menyelam. Siapa paling lama berada di dalam air dikira sebagai pemenang. Walau Ayumi tahu dia tak mungkin menang. Tauke Liung yang sudah sebati dengan kehidupan laut itu selalu sahaja mengalahkan Ayumi. Pada usia 65 tahun kehebatan Tauke Liung bertahan di dalam air memang Ayumi kagumi.

Ayumi yang tidak mampu bertahan lama dalam air berenang ke permukaan. Dia mengambil nafas seketika sebelum berpusing-pusing mencari kelibat Tauke Liung di dalam air. Sebaik ternampak, Ayumi mula tersenyum. Tauke Liung baru sahaja bertembung dengan seekor obor-obor. Jika tidak disengat haiwan laut itu kira bernasib baiklah.

Tauke Liung berenang ke permukaan. Dia menarik nafas. “Kacaulah benda tu,” rungutnya.

“Atuk yang kacau obor-obor tu,” beritahu Ayumi.

Tauke Liung menggeleng tidak mengaku sebelum mereka ketawa melihat obor-obor itu berenang lebih jauh. Ayumi suka keajaiban dunia air. Di Tokyo, dia langsung tidak terfikir mahu melakukan aktiviti seperti itu. Kalau Hiroshi tidak menyebabkan hidupnya jadi begitu, pasti hari itu dia sibuk dengan kehidupan pejabat dan perniagaan. Haruskah Hiroshi terus dimusuhi?

MALAM cepat benar menjelma. Aktiviti petang bersama Tauke Liung kini menjadi kenangan yang Ayumi lakarkan dalam buku catatannya. Selain menulis buku itu sebagai diari, Ayumi juga gemar melukis. Setiap hal yang menggembirakan hatinya akan dilakar menjadi komik. Dia punya kemahiran melukis komik sejak dari kecil lagi. Tapi kemahiran itu tidak diperluaskan. Dia melukis sewaktu hati gembira sahaja. Buku berkulit tebal dengan perkataan Tokyo tertulis di luarnya itu Ayumi masukkan ke dalam sarung plastik khas sebelum disimpan ke dalam beg sandangnya.

“Sekarang waktu tidur,” kata Ayumi sendiri. Dia membetulkan bantal. Ketika itu telefon bimbitnya berbunyi. Telefon yang terletak di atas tilam itu di ambil. Mesej.

Sa, aku minta maaf. Tak sanggup nak merajuk dengan kau lama-lama. ^_^

Hadi? Ayumi tersenyum sendiri. Akhirnya, Hadi mengalah juga. Skrin telefon bimbitnya disentuh.

Kes kecik. Lupakan aje lah.

Setelah menyentuh ikon hantar Ayumi berbaring. Telefon bimbitnya berbunyi lagi.

Sa, aku nak tanya sikit. Harap jangan marah ;-)

Ayumi kerut dahi. Ni mesti benda yang akan buat dia marah. Balas Ayumi.

Kalau kau tak buat aku marah. Aku tak marah.

Kau ada jatuh hati dengan Encik Ikan Masin ke? :-P

Ayumi memandang skrin telefon bimbitnya. Hadi masih memikirkan Encik Ikan Masin yang dah hilang ‘digoreng’ bandar raya Kuala Lumpur tu. Ayumi menggeleng.

Hailah kawan, apa kes ni?

Balas Hadi

Jawab aje lah.

Ayumi garu kepala. “Hadi oh Hadi! Kau ni kenapa?” tanya pada telefon bimbit di tangan.

Okey, aku jujur. Adalah sikit.

Okey. Selamat malam. Mimpi indah.

Ayumi telan liur. Dia tak faham dengan maksud balasan Hadi. Masih merajuk atau dah okey?

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.