Home Novel Keluarga Cinta Senget-Benget
Cinta Senget-Benget
Nina Rose
23/9/2013 21:05:35
83,833
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Beli Sekarang
Prolog
Prolog

“SATE,anata wa nani o motteinai (Sekarang kau dah tak punya apa-apa),” beritahu Hiroshi dengan lagak seorang pemenang. Kerana harta dia lupa diri. Dibelai dan digoda perempuan seperti Minami, hati Hiroshi turut menjadi buta. Soal masa depan Ayumi bukan lagi urusannya. Ayumi sendiri yang kurang bijak. Padanlah muka!

Ayumi melihat butiran kertas di tangannya dengan perasaan terkejut. Dia tidak boleh beremosi berhadapan dengan masalah ciptaan Hiroshi itu. Kewarasan sangat diperlukan. Lagipun di situ dia sendiri, tiada siapa yang boleh dipercayai.

Ayumi melepaskan keluhan. Apa lagi yang boleh dikata hal buruk sudah pun berlaku. Pandangannya beralih jauh merenung lantai. Sekarang dia jatuh terduduk di bilik bacaan itu bersama salinan dokumen penukaran hak milik harta yang telah ditandatangani sendiri. Hiroshi menipunya!

Tak sangka aku tersilap percayakan dia! Ayumi pejamkan mata. Masih cuba memikirkan jalan keluar. Manalah tahu masih ada cara untuk menyelamatkan apa yang Hiroshi rampas. Sudahnya wajah comel itu berubah hampa. Memang tiada jalan keluar. Itu kenyataan. Meskipun sebaris nama Encik Shikata melintasi fikirannya, dia rasa lelaki itu tidak mungkin berpihak kepadanya. Jika begitu takdirnya terpaksa jugalah dia melepaskan segalanya. Hiroshi yang dulu baik sekarang dirasakan jahat sangat. Selain menipu hartanya, Hiroshi juga menipu hatinya. Hubungan mereka hanyalah sandiwara. Selama ini Hiroshi menyukai Minami, bukan dirinya.

Ayumi angkat muka. Wajah Minami dicari. Mesranya tangan Minami memaut pinggang Hiroshi. Hiroshi yang berdiri di hadapan meja kerja ayah Ayumi itu hanya membiarkan sahaja. Benci Ayumi melihat semua itu. Entah kenapa suasana bilik itu tiba-tiba menjadi jijik dan memualkan. Mungkin ketika dia tiada, bilik itu juga menjadi tempat pasangan pengkhianat itu curi-curi bercinta.

‘Ah, mereka beraksi macam tu sebab sengaja nak buat aku gila. Orang gila takkan menuntut apa-apa. Tak habis-habis nak buat jahat,’ fikir Ayumi. ‘Minami, kenapalah kau tergamak menganiaya saudara sendiri? Dulu masa kau kehilangan keluarga kerana gempa bumi, ayah akulah yang beri kau kehidupan baru. Walaupun kita tak membesar bersama macam aku dan Hiroshi tapi kita bersaudara. Ayah kau dan ayah aku adik-beradik kandung. Tali persaudaraan kita rapat. Kata ayah aku, kau macam kakak kandung aku. Tapi kakak apalah yang sanggup melihat adiknya terhumban dalam kesusahan?’ Kenang Ayumi penuh kesal.

Dulu Minami selalu bersikap melindungi, sekarang menjadi musuhnya. Perubahan Minami dalam sekelip mata membuat Ayumi sedih. Hiroshi yang sebelum ini bersikap seperti abangnya juga kian menjadi orang asing yang tidak dikenali. Kecut perutnya memikirkan perubahan sikap mereka itu.

‘Tak apalah aku percaya satu hari nanti semua ini akan terbalas,’ bisik Ayumi memujuk diri. Kebisuan Ayumi buat Hiroshi tidak senang hati. Apa yang difikirkan Ayumi?

Ayumi. Moichido kangaete suru hitsuyo wa arimasen (Ayumi. Ikut saja kemahuan kami),” arahnya. Terlalu lama Ayumi di situ Hiroshi risau. Manalah tahu dalam diam Ayumi merancang sesuatu. Musnah segala usaha yang dirancang bersama Minami sebelum ini. Ayumi bukannya bodoh cuma tidak banyak cakap sahaja.

Sore wa do iu kotodesu ka (Apa maksud kau)?” Ayumi bersuara perlahan.

Hiroshi merenung Ayumi. Kesian juga melihat gadis itu. Percaya sangat dengan dirinya, sekarang susah sendiri. Itulah, lain kali jangan percaya sangat dengan orang lain termasuk kekasih sendiri. Jadi gadis harus pandai berhati-hati.

Ayumi dan Hiroshi saling bertentangan mata. Dalam hati Ayumi terbit rasa benci yang meluap. Rasa macam nak patahkan leher Hiroshi dengan teknik Judo yang pernah dipelajarinya. Ayumi mengalihkan pandangan. Semoga dia terus bersabar.

Hiroshi memandang Minami. Matanya memberi isyarat mahukan sesuatu.

Senyuman Minami melebar. Pantas tangannya menye-rahkan sampul berisi wang yang dari tadi telah disiapkan di atas meja di belakang mereka kepada Hiroshi.

Hiroshi melangkah mendapatkan Ayumi. Perlahan dia mencangkung. “Kono okane o toruto hanarete iku! (Ambil duit ni dan pergi dari sini)!” kata Hiroshi perlahan tapi serius.

Ayumi menoleh Hiroshi yang jaraknya sangat dekat. Hatinya terasa bergetar. Getar yang asing. Mungkin marah yang mendidih.

Hiroshi tersengih. Sampul berisi wang di tangannya beberapa kali ditepuk perlahan ke pipi Ayumi sebelum dilepaskan jatuh.

Ayumi kerut dahi. Sampul itu diambil dan isinya dilihat. Telah diduga isi sampul kertas itu. “Anata watashi ga doko ni ikitai (Kau nak aku pergi mana)?” tanya Ayumi sedikit keras. Kesabarannya benar-benar berakhir. Hiroshi yang sudah kembali berdiri di sisi Minami dipandang tajam. Berani mereka menghalau dirinya. Tapi jika ikut dokumen yang dilihat tadi apa lagi yang dia ada? Semuanya telah menjadi milik Hiroshi. Tak guna!

“Kau janganlah melampau sangat! Rumah ni, rumah aku. Kalau kau nak sangat apa yang aku ada, kau boleh ambil! Tapi tidak rumah ni!” tegas Ayumi cuba mempertahankan satu-satu peninggalan ayahnya yang dirasakan tiada siapa berhak merampasnya.

Hiroshi ketawa mengejek. Itulah Ayumi. Antara mereka punya perbezaan yang sukar dinafikan. Tinggal dan membesar di dalam rumah itu membuatkan Hiroshi rasa seperti tinggal di negara asing. Puan besar rumah itu merangkap ibu kandung Ayumi adalah wanita asing yang dikahwini Encik Hamazaki Takamiya lebih 30 tahun yang lalu. Dan hasil dari perkahwinan itu adalah anak tunggal mereka, Natasa Ayumi Takamiya.

Bahasa Melayu yang Ayumi tuturkan bukanlah asing kepada Hiroshi. Dia memahami bahasa itu kerana dia juga dibesarkan oleh Tini, ibu Ayumi. Wanita itu baik hati. Sayangnya Hiroshi tidak dapat membalas kebaikan wanita itu dengan menjaga Ayumi. Untuk hidup, Hiroshi perlukan sesuatu yang lebih daripada menjaga Ayumi saja. Jika hanya Ayumi yang berharta tapi tidak dirinya membuat Hiroshi rasa seperti hamba keluarga itu. Cukup-cukuplah sepanjang hidupnya terpaksa patuh dan hormat dengan arahan ayah Ayumi sahaja. Kini Hiroshi mahukan perubahan, dia mahu menjadi tuan yang dihormati dan dikagumi. Bukan lelaki yang menumpang kesenangan kekasih atau satu hari nanti mungkin Ayumi menjadi isterinya.

Minami menjeling. Dia tidak suka Ayumi membuang masa di situ. Apa yang mereka mahu sudah jelas. “Ayumi...”

Damare (Diam)!” jerit Ayumi tidak suka mendengar Minami menyampuk. Pantas dia berdiri dan berhadapan dengan Hiroshi. Hanya lelaki itu yang perlu bercakap!

Terkelip-kelip Hiroshi memandang Ayumi. Dia tidak pernah melihat Ayumi marah. Kalau merajuk memang selalu.

Melihat Hiroshi seakankehilangan kata Minami merenung Ayumi dan bersuara lagi, “Anata wa kare o yuwaku suru kotoga dekimasen (Kau takkan berjaya mempengaruhi dia).” Peduli apa Minami kalau Ayumi menjerit lagi. Renungan mata Ayumi itu sudah tidak berkuasa untuk memujuk Hiroshi. Dia telah memberikan lebih daripada apa yang mampu Ayumi berikan. Hiroshi takkan berpaling lagi.

Ayumi menjeling Minami. “Watashi wa ko no yona otoko o hitsuyo to shinai (Aku tak perlukan lelaki macam ni)!” balas Ayumi geram. Dia yakin Hiroshi memang tiada tempat lagi di hatinya. Biarpun satu hari nanti Hiroshi menangisi kesilapan yang telah dilakukan, dia takkan terima.

Minami buat muka mengejek. Apalah yang boleh Ayumi lakukan? Ayumi hanya boleh menjerit untuk memuaskan hatinya. Tanpa harta Ayumi kehilangan kuasa. Baru sahaja Ayumi mahu belajar tentang syarikat yang diwarisi, gadis itu telah pun kehilangan segala. Sekarang hanya dia yang layak berada di tempat Ayumi.

Hiroshi merenung Ayumi. Benarkah apa yang didengar? Ayumi tak perlukan dia? Kenapa dia terasa hati dengan kata-kata itu? “Ayumi,” panggil Hiroshi.

Ayumi memandang Hiroshi. “Kau pasti tak nak diusir dari sini, kan?” tuturnya lancar dalam Bahasa Melayu. Walau dia jahat kerana merampas segala milik Ayumi tapi dia tak mahu bertindak kejam. Duit yang dia beri dan yang telah dipindah ke akaun Ayumi pasti lebih dari cukup untuk Ayumi memulakan kehidupan di tempat lain. Dia masih mahu Ayumi hidup. Asalkan bukan di Tokyo atau mana-mana kawasan berhampiran yang memungkinkan mereka atau siap sahaja yang mengenali Ayumi bertemu gadis itu.

Lama Ayumi merenung Hiroshi. Hatinya masih tidak percaya dia sudah tidak punya apa-apa. Tanpa mahu banyak bicara Ayumi mengundur ke belakang. Kehendak Hiroshi sudah sebulat Minami. Tapi tanpa dirinya nanti berjaya ke mereka mendapatkan kepercayaan pekerja syarikat? Mungkin mereka akan berhadapan dengan kesulitan. Hati Ayumi sedikit tersenyum memikirkan hal itu. ‘Kau tak menang kesemuanya Hiroshi. Sedikit masa nanti kau pasti cari aku lagi.’

Daijobu (Baiklah),” putus Ayumi perlahan. Bilik bacaan itu ditinggalkan. Sebelum pintu ditutup Ayumi terdengar ketawa gembira Minami yang menghiris hatinya. Ayumi mendongak ke siling, menahan hiba. Nafas ditarik.‘Aku akan kembali ke sini,’ azamnya dalam hati.

Kanojo wa watashitachi no seikatsu kara kiete ita (Akhirnya dia pergi juga dari hidup kita),” kata Hiroshi pura-pura bersetuju dengan Minami. Dalam hati masih risau Ayumi akan melakukan sesuatu untuk merampas rangkaian hotel, restoran dan ladang buah-buahan milik keluarga Takamiya yang hampir menjadi miliknya. Walaupun urusan pindah milik itu belum 100% sah tapi Hiroshi yakin, setelah Encik Shikata pulang nanti semua itu akan selesai dengan mudah. Dia tidak merompak, Ayumi yang secara rela menyerahkan segala-galanya. Buktinya Ayumi telah pun menandatangani semua dokumen yang diperlukan untuk melicinkan proses pemindahan harta itu. Bodoh Ayumi. Kerana malas mahu membaca kesemua dokumen yang dibawa, akhirnya semua itu terjadi.

Watashitachiha yorokobu(Kita akan bergembira),” kata Minami. Leher Hiroshi dipaut. Mata lelaki itu dipandang. Selepas ini dia akan buat Hiroshi memindahkan semua itu ke atas namanya pula. Dan akhir sekali, dia akan mengucapkan selamat tinggal. Pengarah IT & Teknologi di Syarikat Takamiya itu tidak sesuai menjadi pasangan hidupnya.

BARANG keperluan dan pakaian Ayumi disumbat ke dalam beg. Pasport antarabangsa dimasukkan ke dalam jaket yang dipakai. Bilik tidur itu dipandang seketika. Semangat harus dikuatkan. Pasti ada tempat lain yang lebih baik buatnya. ‘Bumi ini bukan kecil. Anggaplah ini masa untuk makan angin,’ bisik hatinya kepada diri. Ayumi yakin dia takkan menjadi pengemis seperti Minami harapkan.

Pintu bilik ditutup rapat. Beg ditarik menuruni anak tangga. Sampai di ruang bawah dia berdiri di hadapan sebuah potret besar. Potret itu ditatap dengan senyuman pahit.

Otosan(Ayah).” Kepala Ayumi tertunduk ke bawah. “Regashi no sewa o suru tame ni shippai shite moshiwake arimasen (Maaf kerana gagal menjaga peninggalan ayah).” Badan ditundukkan sedikit sebagai memberi penghormatan terakhir. Potret itu Ayumi tengok lagi sebelum menuju pintu keluar.

Terperanjat pengurus rumah itu melihat Ayumi menyeret beg.

Ayumi san.” Akiko mendapatkan Ayumi. “Anata wa doko e ikitai ka (Cik Ayumi, nak pergi ke mana)?” tanya Akiko kehairanan.

“Hiroshi...” kata-kata Ayumi terhenti. Malas rasanya mahu menjelaskan segala yang telah dilakukan Hiroshi. Mungkin setelah dia pergi Akiko akan mengetahui semua itu sendiri.

Akiko terlopong tidak percaya. Benarlah perbualan yang didengar antara Hiroshi dan Minami kelmarin. Mereka mahu menyingkir Ayumi dari rumah itu. Oh, tidak! Mana boleh begitu.

Ayumi san, Anata ga iku koto ga dekinai (Cik Ayumi, awak tak boleh pergi).” Bahu Ayumi ditahan. Baru lima bulan majikannya meninggal dunia, sesuatu yang buruk pula menimpa Ayumi. Di manakah Encik Shikata pada waktu ini? Seharusnya peguam itu dapat menyelamatkan keadaan.

Ayumi menggenggam ibu jarinya sehingga berdetak. Matanya melirik ke tingkat atas seketika. Seolah-olah sedang memandang Hiroshi dan Minami yang sedang asyik bermadu kasih di atas sana.

Koko de watashi wa hitsuyo nakunarimashita. Watashi wa ikanakereba naranai (Di sini saya dah tak diperlukan. Saya mesti pergi),” beritahu Ayumi. Tangan Akiko ditepis perlahan.

Akiko tertunduk sedih. Seketika kemudian muka Ayumi dipandang.

Seikyuna handan shinaide kudasai (Jangan buat keputusan terburu-buru).” Tahannya. Berharap Ayumi mendengar kata.

Watashi no ito o burokku shinaide kudasai. Watashi wa koko kara iku hitsuyo ga arimasu(Tolong jangan halang saya. Saya mesti pergi dari sini)!” bantah Ayumi. Apakah dia memang selalu sahaja tidak berfikir dalam membuat keputusan? Nekadnya mahu pergi tidak mungkin dihalang Akiko.

Shikashi... Ayumi-san ga doko e ikitai ka (Tapi... ke mana Cik Ayumi nak pergi)?” Akiko resah memikirkan Ayumi. Dia yang membesarkan Ayumi semenjak Tini meninggal dunia. Ayumi sudah dirasakan seperti anak sendiri. Sekarang Ayumi akan pergi. Ke manalah gadis berusia 25 tahun dan tidak pernah hidup susah itu akan pergi?

Ayumi diam tidak menjawab. Dia mahu pergi jauh. Sejauh yang boleh. Tapi ke mana? London? Kota yang yang pernah dilawati bersama ayahnya dulu. Dia tak suka tinggal di London. Orang di sana tinggi-tinggi buat dia terasa kerdil. Habis tu ke mana? Dia berfikir lagi. Korea? Tak boleh... dia tak pandai berbahasa Korea. Lagipun kalau mahu tinggal lama di negara asing dia perlu membuat permohonan penghijrahan. Dia tak boleh tinggal lama hanya dengan menggunakan pasport antarabangsa. Dia pun tak terfikir mahu berhijrah, dia masih mahu menjadi rakyat di bumi Sakura itu.‘Aaa... nak pergi dari sini pun susah. Habis tu aku nak ke mana?’

Sayu hati Akiko memandang Ayumi. Dalam pada itu dia teringat sesuatu. “Ayumi-san shibaraku matte (Cik Ayumi, tunggu sebentar).” Tahannya. Cepat-cepat dia berlari ke belakang menuju bilik tidurnya. Ada sesuatu yang menjadi amanah Tini masih disimpan.

Pintu almari disorong ke tepi. Sekeping kertas berwarna putih dikeluarkan dari bawah lipatan kain. Terburu-buru kertas itu dibawa, lalu diserahkan kepada Ayumi. Tini pernah berpesan, andai sesuatu terjadi kepada anaknya, Ayumi harus ke tempat itu.

Yakusoku. Ayumi-san wa, kono basho ni iku(Berjanjilah. Cik Ayumi akan ke tempat ini),” pinta Akiko dengan bersungguh. Andai Ayumi begitu mahu meninggalkan Tokyo, tempat itu mungkin pilihan terbaik.

Akiko dipandang dengan perasaan pelik. Kertas berlipat dua itu dibuka. Alamat yang tertera di atas kertas itu buat dahi Ayumi berkerut. Alamat bertulis kanji itu dibaca. Alfiah? Terengganu, Malaysia?

Anata no haha wa soko kara kita (Itu tempat asal ibu awak),” beritahu Akiko perlahan. Tiada apa lagi yang dapat dibantu jika Ayumi bulat hati mahu pergi meninggalkan rumah itu.

Ayumi mengangguk. Nampaknya dia akan ke sana. Mungkin keluarga ibunya lebih membahagiakan. Dia pasti ke sana. Pandangan dialih ke tingkat atas. Untuk kali terakhir. Alang-alang dia akan pergi jauh. Elok meninggalkan hadiah buat Hiroshi yang dikasihi dan Minami yang disayangi terlebih dahulu. Ayumi tersenyum jahat. Beg sandang dilepaskan dari bahu dan diletak ke sofa. Dia berlari ke tingkat atas. Pintu bilik bacaan ditolak sekuat hati.

Hiroshi dan Minami yang sedang berbual mesra terkejut memandang Ayumi berjalan pantas mendapatkan mereka.

PANGGG! Satu penampar singgah ke pipi Hiroshi. Panas dirasakan. Hiroshi tergamam seketika. Tidak menyangka Ayumi akan kembali ke situ dan bertindak begitu.

Minami membesarkan mata. Dia bangun dari sofa dan cuba membalas apa yang dilakukan Ayumi kepada Hiroshi. Namun, tangan Ayumi lebih pantas menangkap pergelangan tangan Minami. Dengan satu teknik jurus Judo tubuh kurus Minami dijatuhkan ke lantai.

Minami terjerit kesakitan.

Hiroshi yang terkesima dengan tindakan pantas Ayumi terus mendapatkan Minami.

Ayumi memandang mereka dengan perasaan puas. Mulai hari itu, itulah dirinya yang sebenar. Dia bukan lagi gadis polos yang menurut. Dia akan selalu mempertahankan diri dengan cara sendiri. Ayumi menjeling mereka dan berlalu dari bilik itu.

Akiko yang menunggu di bawah memandang Ayumi mendapatkan begnya semula. Dari reaksi muka gadis itu dia tahu ada sesuatu telah dilakukan.

Watashi ga saisho ni itta (Saya pergi dulu),” kata Ayumi.

Akiko mengangguk. “Ayumi wa jibun no sewa o (Cik Ayumi, jaga diri),” pesan Akiko hiba. Entah bila mereka boleh bertemu lagi. Dalam hati dia mendoakan keselamatan Ayumi.

Ayumi menundukkan sedikit badannya. “Anata o mochido mite hoshi(Semoga berjumpa lagi).” Segaris senyuman diukir buat memadam duka di hati Akiko. Sedikit rasa sakit di hati terhadap Hiroshi dan Minami telah pun dilepaskan. Kini, Ayumi rasa bersemangat untuk pergi dari situ. “Sayonara (Selamat tinggal),” ucap Ayumi bersama tunduk hormat.

Setelah pintu tertutup rapat, Akiko memandang potret yang ditatap Ayumi tadi. “Takamiya-shi (Tuan Takamiya),” ratapnya. Kesal dengan apa yang terjadi.

Next: Bab 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.