Home Novel Keluarga Cinta Senget-Benget
Cinta Senget-Benget
Nina Rose
23/9/2013 21:05:35
84,693
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Beli Sekarang
Bab 4
4

WALAUPUN Hadi sudah hilang daripada pandangannya Ayumi tetap berlari. Sehinggakan tanpa sengaja kakinya tersepak bakul berisi ikan. Opsss! Larian Ayumi terhenti. Bakul yang melayang ke udara dipandang. Alamak! Dia menekup mulut dengan tangan. ‘Ya, yang ini baru betul-betul masalah. Nak lari ke macam mana?’ tanya Ayumi pada diri.

Tidak jauh di depan Ayumi kelihatan seorang lelaki sedang memegang bakul yang jatuh di kepalanya. Dia mendongak ke langit sebelum memandang sekeliling. Mustahil bakul itu jatuh dari kapal terbang, fikir lelaki itu. Ketika memandang sekeliling matanya terhenti kepada Ayumi yang sedang menekup mulut dan dia tahu, itulah pesalahnya.

Ayumi turunkan tangan dari mulut dan kemam bibir. Dia buat muka bersalah.‘Aduhai... apa aku dah buat ni? Kalau lari mungkin dikejar dan dihantui rasa bersalah.’

‘Jadilah orang yang bertanggungjawab Ayumi,’ bisik hatinya. Ayumi melepaskan nafas. Suka atau tidak lelaki itu dihampiri. Dalam hati masih juga terus berdoa lelaki itu seorang yang budiman.

Lelaki itu membiarkan Ayumi menghampirinya. Memang dalam undang-undang dunia orang yang buat salah kena akui kesilapan, barulah nampak bertanggungjawab.

Ayumi telan liur. Seram.

“Maaf,” pinta Ayumi dan perlahan-lahan bakul dari tangan lelaki itu diambil. Setelah berjaya tanpa menerima caci maki dia hembus nafas.‘Nampak macam okey.’

Lelaki itu masih memandang Ayumi. Gadis depannya ini macam tiga suku. Boleh pula mengambil bakul itu sesuka hati. Diserkup atas kepala gadis itu pula nanti baru tahu.

Ayumi memandang muka lelaki itu. Seriusnya. Matanya beralih arah. Ikan yang terselit di celah kot lelaki itu dipandang. Yang tu dia tak boleh ambil, nanti dituduh mencabul pula. Pelahan-lahan jari telunjuknya diangkat dan memberi isyarat kepada lelaki itu untuk melihat ke badan sendiri.

Dahi lelaki itu sedikit berkerut.‘Apa pula kali ini?’ Dia memandang ikan yang terselit di celah kotnya. Pantas ikan itu diambil dan dicampakkan ke tanah. Makin busuk dirinya jadinya. ‘Argh, perempuan sorang ni!’ keluh lelaki itu dalam hati. Geram!

“Kenapa awak lempar bakul tu atas kepala saya?” tanya lelaki itu. Masih bersabar walau rasa mahu jadikan gadis di depannya itu ikan masin pula. Tapi itu tempat orang, kalau dia silap langkah dan gadis itu buat tuduhan tidak sepatutnya, dia pula bakal dipukul penduduk pulau itu.

Ayumi menggeleng. Dia tak buat macam yang lelaki tu cakap. Namun, matanya masih terpaku memandang muka lelaki itu. Waa... dari kerana mata sempat hatinya terpesona. ‘Mata dia cantik,’ bisik hati Ayumi.

“Oi, cik kak,” tegur lelaki itu. Ada masa pula gadis itu nak berkhayal.

“Saya tak sengaja,” beritahu Ayumi. Malu dia hanyut dalam kebun penuh bunga di dalam mata lelaki itu.‘Apa nak jadilah kau ni Ayumi? Tengah bermasalah pun masih nak main-main,’ marah hatinya.

“Okey, tak sengaja. Sekarang macam mana?” tanya lelaki itu. Alasan tak sengaja Ayumi itu bunyi macam sengaja. Jangan-jangan gadis itu sengaja mahu mengoratnya. Tengoklah cara gadis itu memandangnya tadi. Apa pun dia tak tergoda dan tak peduli. Sekarang pakaiannya sudah dikotorkan gadis itu, kalau setakat menerima maaf dia masih rugi.

“Salah saya. Macam biasa dalam kes yang macam ni, encik hantar baju tu ke dobi dan saya bayarkan bilnya. Okey?” kata Ayumi. Bunyinya macam mudah tapi Ayumi yakin lelaki tu mesti malu dengan situasi tadi dan pasti tidak mahu berlama-lama di situ.

Lelaki itu menghembus nafas keras. “Hmm, semudah tu?”

Ayumi merenung lelaki itu seketika. Nampaknya tidak seperti yang diduga.

“Encik...” Ayumi tersenyum. “Encik Ikan Masin,” sebutnya sengaja. Dia tiada maksud mahu mengelar lelaki itu begitu, tapi lelaki itu lorat sangat. Benda sikit aje pun nak panjang-panjangkan.

“Apa awak panggil saya?” sergah lelaki itu sambil men-dekatkan sedikit mukanya ke muka Ayumi.‘Hisy, gadis comot ni memang melampau! Dahlah buat salah, ada hati nak mempermainkan orang lagi.’

Ayumi memandang mata lelaki itu. Ingat dia takut! “Saya mungkin salah, tapi kemalangan ni tak disengajakan. Janganlah berkira sangat.”

“Eh, eh... kenapa ni?” tanya Hadi sebaik terpandang lelaki itu dan Ayumi berada dalam jarak yang terlalu dekat. Dia menghampiri.

Lelaki itu memandang Hadi sebelum bergerak selangkah ke belakang.‘Siapa pula ni?’ tanyanya dalam hati.‘Kawan sekampung? Boyfriend? Atau suami? Err, tak kisahlah siapa pun. Lelaki itu tiada kena mengena dalam masalah itu.’

Ayumi menoleh kepada Hadi.‘Lembab! Baru nak sampai,’ cemuhnya dalam hati.

Hadi memandang Ayumi, minta kepastian.

“Accident. Aku tak sengaja tersepak bakul ni atas kepala Encik Ikan Masin ni,” beritahu Ayumi dengan muka bersahaja. Bakul di tangan diserahkan kepada Hadi. Bakul itu pula dijadikan pesalah, walaupun sikap cuainya yang menjadi penyebab insiden itu.

Hadi merenung Ayumi. Suka saja mengelar lelaki itu Ikan Masin. Nak tambah masalah baru ke? Lelaki itu dipandang. Manalah tahu kelancangan mulut Ayumi mempermainkan nama lelaki itu bakal mengundang pergaduhan pula. Lagipun lelaki itu kelihatan seperti bukan penduduk tempatan.

“Encik, maafkan kawan saya. Dia tak sengaja,” pinta Hadi bagi pihak Ayumi. Apa sahaja kesalahan Ayumi dia sedia menanggung. Lelaki depan mereka itu kelihatan kaya, pasti dari bandar. Orang dari bandar suka saman-menyaman. Kononnya yang kaya menyaman sebab nama dan yang tak kaya menyaman sebab nak kaya. Terikut-ikut budaya barat yang kononnya menyelesaikan masalah secara terhormat. Alahai, dunia tenat dah kau layan ragam manusia yang berpijak atas kau.

Lelaki itu memandang Hadi dan mencemik. Ada orang nak jadi hero pula, ejek hatinya. Ayumi dipandang. Malas dia mahu berlama-lama di situ. “Cik kak, mintak nombor telefon awak.” Telefon bimbit dari poket seluar dikeluarkan. Dia serius.

“Kenapa nak nombor telefon dia?” tanya Hadi tidak puas hati. Apa sangat masalah lelaki itu dengan Ayumi sampai nak bertukar nombor telefon? Macam kemalangan kereta pula.

“Pasal dia janji nak bayar duit dobi. Itu baru duit dobi, belum masuk ganti rugi atas kerugian yang lain. Manalah tahu ada masalah lain, senang saya nak beritahu,” jawab lelaki itu. Sempat pula gambar Ayumi dirakam.

Hadi herotkan bibir. Kan dia dah cakap tadi, orang bandar memang suka ambil kesempatan. Hal sekecil itu jika Ayumi panjangkan tunggulah lelaki itu bawa peguam nanti. Tengok tadi lelaki itu dah rakam gambar Ayumi. Bahan bukti ni.

“Ambil ajelah nombor saya. Semua masalah yang dia buat biar saya yang tanggung,” pinta Hadi.

“Tak perlu. Awak bukan orang yang bersalah dengan saya,” balas lelaki itu sedikit angkuh. Matanya masih belum lepas memandang Ayumi. Gadis itu harus selesaikan masalahnya sendiri.

“Amboi, bercakap macam peguam,” sindir Hadi. Mahu saja lelaki itu ditumbuk. Tapi Ayumi pantas menahan. Lengan Hadi ditarik. Tidak mahu hal itu menjadi lebih panjang nombor telefonnya disebut satu per satu. Hanya satu urusan ganti rugi, tidak perlulah berubah menjadi aksi tinju.

“Okey, nanti dah siap dobi saya call,” beritahu lelaki itu. Telefonnya bimbit disimpan ke dalam poket semula. Kepada Hadi dia tersenyum sebelah bibir.

Hadi buat muka menyampah. “Padanlah dapat minyak wangi percuma. Berlagak!”

“Kau ni nak marah-marah kenapa?” tanya Ayumi. Sedar cara lelaki itu tadi agak angkuh dan menyakitkan hati Hadi. Tapi nak buat macam mana kalau memang dia bersalah pun.

“Habis kau tu tengok lelaki tu semacam kenapa?”

“Aku tengok sebab aku rasa lelaki tu ada masalah hati,” jawab Ayumi masih merenung lelaki itu yang kian jauh. Hati yang bermasalah sekarang bukan lelaki itu tapi dia.

Hadi herot bibir. “Dia ada masalah hati ke kau?” Cara Ayumi pandang lelaki itu buat dia sakit hati.

“Lelaki tu lah. Apa pulak aku,” jawab Ayumi tidak mahu mengaku hatinya tercuit dengan renungan lelaki itu.

“Cakap ajelah kau dah jatuh cinta dengan dia, kan senang...” Cemburu Hadi mengembang.

Ayumi pandang Hadi. Dia jatuh cinta?

“Bila masa?” Dalihnya tidak mahu mengaku. “Masalah hati bukan berkaitan dengan cinta aje. Tapi masalah diri yang tak jumpa kepuasan dan jawapan. Macam kau yang tak puas hati selagi tak tahu sebelum aku sampai sini, kat mana kapal angkasa aku mula-mula terjatuh? Kapal angkasa jenis apa yang aku naik?” jelas Ayumi mahu dalihnya dipecayai.

“Ha’ah! Banyak-banyak planet kat dalam dunia ni, planet bumi ni aje yang ada manusia tinggal, planet lain tak ada!” jerkah Hadi geram. Diam-diam kehadiran lelaki tadi memberi impak maksimum kepadanya.

DERIA baunyasemakin tidak tahan dengan bau busuk yang melekat. Kot yang dipakai ditanggalkan. Rasanya bau itu bukan sekadar melekat di kot tapi di rambutnya juga. Dia perlu segera membersihkan diri. Entah kenapa bau itu tidak seperti lazimnya bau ikan masin yang menyenangkan. Entah-entah itu memang ikan busuk yang sengaja ditinggalkan orang. Lalu gadis itu tidak sengaja menjadikan dirinya mangsa. Langkah diatur lebih laju menuju ke biliknya.

Penyelia resortyang berselisih dengan lelaki itu menegur. “Encik dari mana?” Dia menekup hidung setelah terhidu sesuatu.

Reaksi penyelia itu menyakitkan hati. Lelaki itu menarik muka masam. Pantas kot di tangan dihulurkan. “Tolong hantar ke dobi. Kalau tak boleh bersih, buang aje,” arahnya.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.