Rebuttal
Nota: Bab ini menggunakan beberapa istilah teknikal telekomunikasi. Rujuk Glosari Bab 6 untuk makna istilah.
Sebaik pad anak panah disentuh, paparan Genex Assistant memenuhi skrin. Suraya menghela nafas kecil, jemarinya terasa sejuk sebaik cawan oat di meja itu dicapai.
“Anne, guna log files apa?” tegur Zamri dari arah belakang.
Suraya hampir terbatuk, tapi cepat-cepat menjawab, “UE.”
“Good. Nampaknya Anne ingat apa yang abang ajar.”
Dia hanya senyum nipis. Matanya kembali pada jujukan warna di skrin: hijau, jingga, merah. Cuba menafsir, walau fahamannya belum sedalam Zamri. Semua itu, adalah petunjuk kekuatan signal yang diterima— tapi bagi Suraya, ia umpama kod rahsia dunia luar. Dunia yang sehingga kini cuma dapat dia bayangkan. Lirikannya turun ke bawah sekejap, risau kalau kerjanya hanya buat laporan.
Kali terakhir dia ke tapak projek? Tiga minggu lalu. Itupun sekadar berdiri di tepi, memerhati Dr. Adrian dikerumuni bos-bos senior. Dia sendiri? Tak sempat pun sentuh satu test. Pulang dengan rasa hampa.
Setiap hari masuk pejabat, pasti ada rakan yang hilang satu — dipanggil turun lapangan. Tapi dia? Namanya tak pernah disebut.
Suraya menahan keluhan. Laporan di skrin tetap bergerak, tapi hatinya diam-diam menjerit. Bila? Bila tiba giliran aku?
Keluhan itu perlahan dilepaskan. Matanya tanpa sengaja menjeling ke arah meja Hadi — kosong sejak pagi. Lelaki itu berada di Subang Jaya, melawat tapak projek. Sedangkan dia, saban hari hanya menerima laporan kasar daripada Zamri, menukarkannya menjadi laporan penuh, lalu menghantarnya kepada Mr. Lee.
Setiap kali melihat nama Hadi tercatat pada lampiran, hatinya seolah-olah diguris halus. Satu pun namanya belum pernah terukir. Katanya, tim mereka sekadar transit — tempat mengasah kemahiran sebelum diserap ke bahagian tertentu. Baguslah, katanya lagi. Tapi di telinga Suraya, ia kedengaran seperti alasan.
Kalau asyik terperap di pejabat, kerja dokumentasi akan melekat padanya. On-site? Entah bila. Dan kalau corak ini berterusan, dia pasti hanya akan dicop sebagai budak dokumen. Sedangkan harapannya — bertentangan sama sekali.
Suraya mengetap bibir. Dadanya terasa sesak. Pandangan dialihkan semula ke MapInfo Professional. Daripada terus membebankan kepala dengan rasa kecewa, lebih baik dia menyiapkan tugas. Kawasan seluas dua kilometer persegi itu diberikan perhatian yang teliti. Pinggir bandar yang padat dan laluan drive test engineer mengikut rencana coordinator. Dia kembali melirik ke paparan Genex Assistant, menekan butang Play. Garisan data hidup di skrin.
“So, what’s your theory?”
Jantung Suraya hampir gugur. Suara itu terasa dekat, terlalu dekat. Jari-jemarinya kaku. Adrenalin menyerbu, wajahnya serta-merta memerah. Cepat-cepat dia menekan Stop, seolah mahu menyembunyikan sesuatu.
“In terms of quality... ninety-five percent of the total route looks good.” suaranya perlahan, seakan meneka-neka.
“And the remaining five?”
“Bad spot,” jawabnya, ringkas.
“Maksud you?”
Suraya diam, menimbang kata. Adakah ini ujian? Atau sekadar pertanyaan kosong? Dia menarik nafas.
“Pilot pollution, ” akhirnya terluah.
“Based on?”
“Non-dominant RSRP value.”
Lelaki itu tidak berkata apa-apa. Hanya sebuah arahan tenang:
“Tunjuk.”
Suraya mengangkat tangan, jari telunjuknya perlahan menyentuh skrin. Titik merah pada peta 2D itu direnung tajam.
“Elaborate.” suara Dr. Adrian tenang tapi berat, membuatkan jantung Suraya berdegup lebih laju.
“Pilot pollution buatkan bacaan SINR jadi lebih teruk. Kualiti network akan terkesan… throughput pun boleh terganggu,” jelasnya, cuba menyalurkan keyakinan walau dalam hati dia sibuk berdoa semoga hipotesis itu tidak kelaut.
Kening Dr. Adrian sedikit terangkat. “Kan ada serving cell?”
“Yup. Tapi bukan site dalam drive area… serving datang dari side lobe, ” balasnya, kali ini nadanya lebih berani.
Dr. Adrian menyilangkan tangan di dada.
“Solutions?”
“Add dominant cell,” jawabnya pantas, yakin seolah-olah itu jawapan muktamad.
Seketika, sunyi. Hanya bunyi papan kekunci komputer menemani. Suraya menelan liur.
“Well done, Suraya.”
Dia hampir menghela nafas lega.
“Malangnya, you tersilap sikit.”
Erk! Hampir tercabut jantungnya. Pandangan dilayangkan sekilas ke arah lelaki itu—Dr. Adrian berdiri tegak, berpeluk tubuh sambil matanya masih terikat ke skrin.
“Power parameters. Reduce the overshooting cell power and increase the power of the desired cell in that coverage area,” tutur Dr. Adrian, nada suaranya lancar, yakin, seolah-olah tidak memberi ruang untuk disanggah.
“Oh…” Suraya hanya mampu senyum kelat.
“Ambil masa untuk belajar dan terus mengkaji. Ingat, kesilapan sekecil mana pun perlu dielakkan, sebab kita berkerja untuk orang ramai. Harap you tak tertinggal jauh untuk kejar yang lain-lain,” suara itu menyusul lagi, kali ini lebih bernada peringatan.
Perlahan, Suraya memusingkan kerusinya sembilan puluh darjah. Kepala mendongak, matanya bertembung dengan wajah lelaki itu—kemas dalam kemeja putih dengan lengan dilipat ke paras siku, dipadankan dengan jeans biru yang sederhana. Aura profesional tapi santai.
“Terima kasih kerana bagi nasihat tu. I really appreciate it,” ucapnya, berusaha menyalut kegugupan dengan senyuman tipis.
Dia berpaling semula, kerusi diputarkan kembali ke arah meja. Tetapi hakikatnya, jemarinya tidak segera menyentuh papan kekunci. Dia masih terganggu.
Kenapa terasa lain bila dia yang menegur? Kenapa nada itu seakan menembusi lebih dalam dari sekadar arahan kerja?
Dia mengetap bibir, cuba fokus semula pada skrin, tapi jemarinya terasa kaku. Yang lebih mengganggu bukan sekadar kesilapan tadi, tetapi hakikat bahawa setiap gerak-geri mereka, kini menjadi tontonan senyap pejabat itu.
“Zamri, siapa yang suruh buat Prima?”
Suraya buat-buat tidak dengar. Tekun menyambung kerja, walau hatinya sudah berdebar.
“Mr. Lee, Dr. Adrian,” jawab Zamri cepat.
“Hentikan semua report Prima jam ni juga!”
Suraya tersentak. Jari jemari yang sedang menaip terus kaku di atas papan kekunci.
Biar betul? Separuh jalan kot aku dah buat ni…
“Tapi, kami cuma ikut arahan—” suara Zamri kedengaran, namun Suraya tidak lagi mampu memberi perhatian. Bagai tenggelam, hanya derapan pintu pejabat Mr. Lee yang dihempas kuat kedengaran.
Dentuman itu terasa sampai ke dadanya, meninggalkan satu rasa yang menyesakkan. Semangatnya yang tadi bertahan, runtuh sekelip mata.
Tengah hari itu, Suraya menerima pelawaan Amy dan Lisa untuk makan bersama. Dari jauh, dua sejoli itu sudah melambai-lambai memanggilnya. Sharon, setiausaha jabatan, turut ikut serta.
Mereka memilih sebuah warung nasi campur yang agak tersorok di lorong belakang bangunan. Walaupun terperuk, pelanggan tetap penuh—kalau lambat, memang takkan dapat meja. Suraya mencapai nasi putih dengan lauk ikan bakar, sayur campur, dan sambal Thai.
“Anne, tadi tu… kenapa dengan Dr. Adrian?” Lisa membuka bicara sebaik mereka duduk.
“Kenapa, kenapa pulak?” Suraya berhenti seketika daripada mengunyah. Dia mengangkat wajah, kening sedikit berkerut, sebelum kembali menyuap—lapar benar perutnya.
Sharon mencelah, suaranya penuh nada gosip.
“Laa… kitorang kerja sini dah bertahun, tak pernah dengar dia hempas pintu. Ada apa sebenarnya dengan kau tadi, Anne?”
“Kan?.. Biasanya Dr. Adrian tu orangnya cool aje. Sejuk mata memandang,” celah Amy sambil menyelak sedikit selendang hitam di kepala. Jambul halusnya terjuntai keluar, kilau anting-antingnya terserlah.
Suraya tetap dengan kunyahan. Kepala pun tak diangkat.
“Hisy, kitorang bercakap ni dia relaks je makan,” tegur Lisa, menguis pinggan Suraya dengan sudu.
“Lapar,” ringkas jawabnya.
Sharon ketawa kecil. “Kesian korang… korek rahsia, last-last tak dilayan jugak.”
Suraya hanya menjungkit bahu. Pinggannya licin dalam masa sepuluh minit, minuman pun habis. Dia bersandar puas.
“Anne, dengarlah apa aku nak tanya ni,” desak Amy, nada makin bersungguh.
Suraya melirik padanya. Amy, dengan blouse berlabuci yang berkilau bila terkena cahaya, tampak sofistikated. Lain benar dengan Lisa yang duduk di sebelah, kasual dengan tudung bawal bercorak abstrak—trademark dia setiap hari.
“Apa dia?” Suraya menyoal perlahan, masih sibuk menguis baki ais batu dalam cawan.
Suasana riuh rendah warung tidak langsung menenggelamkan perbualan mereka. Tiba-tiba, sekumpulan staf lain berdiri berhampiran meja.
Sharon cepat-cepat cadang, “Jomlah kita beredar. Kasihan orang lain nak duduk.”
Mereka setuju, lalu bergerak keluar setelah membuat bayaran. Lorong sempit di belakang kedai dipenuhi bau ikan bakar dan goreng-gorengan.
“Kenapa dengan Dr. Adrian tu? Dia marah siapa sebenarnya?” Amy sekali lagi mencuit, matanya penuh ingin tahu.
Suraya menghela nafas, cuba berlagak tenang.
“Entah… masa tu aku tengah buat kerja. Dia cakap dengan Abang Zam, tiba-tiba senyap. Lepas tu… berdentum pintu.”
Amy terdiam, lama merenung Suraya. Tak lama kemudian, mereka sampai di deretan gerai kecil di hadapan. Topik tentang Dr. Adrian pun terhenti di situ, membuat dada Suraya terasa lebih lega.
Mereka berhenti sebentar di gerai buah potong. Lisa dan Amy masing-masing beli tembikai merah dan jambu asam boi. Suraya sekadar memandang. Namun di balik renungan itu, ada rasa bersalah yang dia simpan. Dia tahu, kemarahan Dr. Adrian tadi besar kemungkinan berpunca daripada dirinya—seorang junior yang berani-berani mengendalikan laporan yang sepatutnya diuruskan staf berpengalaman. Tapi semua itu ditelan tanpa sebarang kata.
Mereka kembali ke pejabat dengan langkah perlahan, masing-masing membawa plastik buah.
Di lobi, Amy dan Lisa berpisah ke surau, sementara Suraya dan Sharon menuju ke tingkat enam.
Di tandas, Suraya sibuk membetulkan selendang di kepala. Baru sahaja hujung kain itu dirapikan, tiba-tiba dia terhenti.
“Alamak!” matanya terbeliak, suara hampir terjerit.
“I lupa save file tadi!!”
Belum sempat Sharon keluar dari kubikel, Suraya sudah menolak pintu. “I pergi dulu, Sharon!” jeritnya cemas, langkahnya tergesa-gesa.
Mungkin kerana terlalu lapar tadi, dia terkocoh-kocoh keluar berehat hingga terlupa menyimpan fail laporan yang sedang disiapkan.
Sharon yang baru melangkah keluar dari kubikel terpinga-pinga melihat kelakuannya.
Tanpa menoleh lagi, Suraya bergegas keluar. Jantungnya berdegup laju. Komputer riba itu tidak disambungkan pada pengecas — kalau bateri habis, hilanglah semua usaha sejak pagi tadi. Lebih merisaukan, itu bukan lagi laporan Dr. Adrian, tetapi data baharu daripada pasukan sendiri, yang wajib dihantar kepada Mr. Lee tepat jam tiga!
Nafasnya semakin pendek. Setiap langkah terasa seperti berpacu dengan masa.
Suraya lega melihat pintu pejabat terbuka. Tidak perlu dia menyentuh kad akses yang tergantung di leher. Namun, langkahnya terhenti seketika apabila seseorang muncul tiba-tiba di laluan. Tubuhnya berpusing, hampir tersungkur, sebelum sebuah tangan memegang lengannya dengan kemas.
“Suraya, are you okay? Kenapa ni?”
Degup jantungnya melompat. Perlahan, Dr. Adrian melepaskan genggaman itu.
“Oh, sorry,” ucapnya.
Iye… ye… maaf diterima. Tapi… hati Suraya bergelora.
“Dr. Adrian, that’s not fair. Isn’t it too soon to evaluate my performance? Lagi pun, apa lagi yang boleh saya buat sepanjang duduk di pejabat selain menyiapkan report yang diarahkan?” suaranya sedikit geram. Tanpa menunggu jawapan, dia beredar pantas, meninggalkan Dr. Adrian terkebil-kebil.
Di mejanya, dada Suraya berdebar kencang. Marah—kepada dirinya sendiri kerana baru saja meluahkan rasa geram kepada seseorang yang lebih berjawatan. Marah juga kerana terlupa mengucapkan terima kasih kepada lelaki itu, yang tanpa sengaja menahannya dari terjatuh.
Namun, terkilan tetap terasa. Prestasinya dinilai sedangkan baru sebulan setengah berada di syarikat, dan tempoh percubaan masih berbaki beberapa bulan.