MiaKarmila sampai di rumah lebih
kurang pukul 3.00 petang setelah Shahriman menghantarnya sehingga di hadapan
pagar rumah. Mia Karmila menjinjing beg-beg plastik yang mengandungi
barang-barang yang dibelinya tadi dengan riang ria sambil menyanyi kecil ketika
melangkah masuk ke dalam rumah tanpa menyedari mama dan papanya yang duduk di
ruang tamu sedang memerhatikannya sejak dia turun dari teksi Shahriman tadi.
“Hai,
bukan main lagi Mia shopping. Padanlah seronok sangat,” tegur Dato’
Kamal dengan nada nakal, sengaja mahu mengusik.
Manakala
Datin Mariam terus merenung dengan pandangan tajam. Dia terkejut melihat Mia
Karmila bertudung litup begitu. Datin Mariam tahu yang Mia Karmila memakai baju
kurung ketika pergi belajar agama di rumah Ustazah Habibah tetapi dia tidak
menyangka yang Mia Karmila akan terus selesa memakai tudung litup begitu
sepanjang masa walaupun kelihatannya Mia Karmila sempat singgah membeli-belah
di shopping mall.
Takkanlah
Mia dah tukar penampilan pakaiannya? Bisik hati kecil Datin Mariam terus
tertanya-tanya.
“Oh papa, mama, maaf Mia tak perasan yang papa
dan mama ada kat rumah. Ingatkan papa masih kat pejabat,” ujar Mia Karmila
terkejut, lalu berpaling dan berjalan menghampiri kedua-dua ibu bapanya itu.
Mia
Karmila segera mencium pipi Datin Mariam setelah bersalaman dan mencium
kedua-dua tangan papa dan mamanya itu. Memang itulah yang Mia Karmila selalu
lakukan sekiranya kebetulan kedua-dua orang tuanya berada di rumah ketika dia
baru balik walau dari mana sekali pun.
“Mia
pergi mana sebenarnya? Pagi tadi kan Mia pergi kelas agama, macam mana boleh
sempat shopping-shoppingni? Apa yang Mia beli banyak sangat tu?” soal
Datin Mariam keras sambil memuncungkan bibir ke arah beg-beg plastik yang Mia
Karmila letakkan di atas lantai.
Kelihatan
Dato’ Kamal berkerut dahi sambil berpaling ke arah isterinya bagaikan hairan
melihat reaksi isterinya yang agak kurang senang dengan tindakan anak gadis
mereka itu.
Mia
Karmila agak terkejut mendengar nada suara mamanya yang agak tegang itu. Dia
segera memandang ke arah papanya seolah-olah memohon simpati.
“Mia
memang pergi belajar mengaji pagi tadi. Pak Manap yang hantar sebab papa nak
jumpa dengan ustazah yang ajar Mia tu.”
“Habis
tu masa mana pulak Mia shopping-shoppingni, sampaikan tak sempat nak
tukar baju ke?” soal Datin Mariam, jelas kedengaran nada suaranya yang agak
kurang senang dengan penampilan anak gadisnya itu.
Mia
Karmila tergamam. Perlahan-lahan dia memegang kepala bagaikan baru tersedar
yang dia masih bertudung litup ketika masuk ke rumah tadi.
“Dah
kebetulan Mia tak pandu kereta sendiri dan Mia balik naik teksi yang dibawa
anak Ustazah Habibah, jadi Mia mintak tolong dia tunggu Mia kat shopping
mallsebab Mia nak cari tudung dan baju-baju yang sesuai untuk seorang Muslimah,”
ujar Mia Karmila lirih.
“Hah?
Mia beli tudung dan baju-baju Muslimah? Apa maksud Mia?” soal Datin Mariam
dengan mata membulat.
Dato’
Kamal hanya memerhati sambil mengurut-urut lembut dahi.
“Err...
orang perempuan wajib menutup aurat. Tu perintah ALLAH yang wajib kita patuhi.
Jadi Mia belilah tudung dan baju-baju yang boleh menutup aurat Mia dengan
sempurna sebab sekarang Mia tak banyak tudung atau baju yang sesuai yang boleh
Mia pakai sepanjang masa,” ujar Mia Karmila berhati-hati.
“Apa?
Mia nak pakai tudung sepanjang masa?” soal Datin Mariam lagi dengan mata yang
semakin membulat.
“Ya,
dan bukan setakat tudung aje tetapi jugak baju-baju yang menutup aurat mengikut
syariat Islam. Mia nak tutup aurat Mia daripada dilihat orang-orang yang bukan
mahram Mia sebab Mia tidak nak Mia atau papa atau mama masuk neraka nanti,”
ujar Mia Karmila, cuba menyampaikan fakta-fakta yang diberitahu Ustazah Habibah
kepadanya pagi tadi.
Dato’
Kamal dan Datin Mariam sama-sama tergamam. Dato’ Kamal menarik nafas panjang.
Spontan Mia Karmila merenung ke wajah papanya dengan pandangan yang keliru
bercampur bimbang.
Inilah
peluang aku untuk menasihati isteriku, detik hati kecil Dato’ Kamal.
“Alhamdulillah,
terima kasih Mia kerana niat Mia yang amat murni itu. Papa bangga ada anak
gadis yang solehah macam Mia,” ucap Dato’ Kamal sambil mengelus bahu Mia
Karmila yang duduk di sebelahnya.
“Abang!”
“Dan
kamu Yam, sepatutnya sejak dulu lagi Yamlah yang sewajibnya bertudung dan
memakai pakaian yang menutup aurat. Jadi sekarang abang nak Yam jugak
berpakaian yang menutup aurat macam Mia setiap masa apabila berhadapan dengan
orang-orang yang bukan mahram. Abang tak sanggup lagi nak tanggung dosa-dosa
Yam kerana mendedahkan aurat begini,” tegas Dato’ Kamal sambil merenung tajam
ke wajah isterinya.
“Tapi
bang...”
“Tak
ada tapi-tapi lagi, Yam. Abang sedar yang abang dah banyak lalai selama ni.
Jadi abang tak nak kita terus-menerus bergelumang dengan dosa kerana
mengingkari perintah ALLAH. Kalau Yam benar-benar sayangkan abang, mulai
sekarang Yam pun kena ubah penampilan Yam macam apa yang Mia lakukan ni,” tegas
Dato’ Kamal memberi kata muktamad.
Datin
Mariam tersentak. Dia bagaikan tidak percaya yang Dato’ Kamal boleh
mengarahkannya begitu di hadapan Mia Karmila. Dia langsung tidak menyangka
perubahan yang berlaku pada anak gadisnya itu juga telah bagaikan berjaya mempengaruhi
tindakan suaminya untuk melakukan perubahan yang besar di dalam cara kehidupan
mereka sekeluarga. Datin Mariam merenung Mia Karmila dengan tenungan yang
tajam.
“Mama,
maafkan Mia kerana kata-kata Mia tadi telah membuatkan papa marah sehingga papa
paksa mama lakukan perkara yang mungkin mama tak suka. Tapi apa yang Mia
katakan tu adalah perintah ALLAH yang tak boleh kita pertikaikan,” ujar Mia
Karmila membela diri. Dia terpandang renungan tajam Datin Mariam yang bagaikan
mahu menelannya.
Dato’
Kamal segera menarik Mia Karmila rapat di sisinya seolah-olah mahu melindungi
anak gadisnya itu daripada dimarahi mamanya. Datin Mariam yang telihat
keakraban dua beranak itu tiba-tiba terasa dirinya amat terasing ketika itu.
Entah mengapa hatinya jadi sendu dan pilu yang teramat-amat. Tidak sanggup
rasanya dia menentang mata suaminya yang begitu penyayang terhadap anak
gadisnya ketika itu walaupun Datin Mariam sedar bahwa Dato’ Kamal seorang suami
dan papa yang baik selama ini.
Ya
ALLAH, sesungguhnya aku tahu aku berdosa kerana mengingkari perintah-MU tetapi
tiada siapa yang mahu membimbing aku selama ini. Adakah apa yang sedang berlaku
ini adalah rahmat-MU kepada keluarga kami? Bisik hati kecil Datin Mariam.
“Yam,
abang sedar abang telah terlalai di dalam menjalankan tanggungjawab abang di
dalam mendidik Yam dan anak-anak mengikut syariat Islam. Selama ni abang hanya
sibuk menyediakan keperluan duniawi sehingga melupakan keperluan akhirat.
ALLAH
itu Maha Adil dan Maha Penyayang. DIA tahu kita berdua dah tersasar jauh
daripada syariat-NYA sehingga kita tak berusaha langsung untuk mendekati-NYA.
Maka sebab tulah DIA hantar anak yang solehah kepada kita untuk mengingatkan
kita. Abang benar-benar bersyukur kerana ALLAH masih sayang keluarga kita dan
beri peluang kepada kita untuk bertaubat dan memperbaiki diri.
Dan
macam yang Mia kata tadi, dia tak nak abang masuk neraka kerana kelalaian abang
membiarkan dia terus ingkar pada perintah ALLAH. Maka sebab tu abang mintak Yam
pun turut berubah kalau Yam benar-benar sayangkan abang. Sebagai suami dan
papa, adalah menjadi tanggungjawab abang untuk memastikan keluarga kita terus
mendapat reda ALLAH. Yam sanggup ke biarkan abang masuk neraka kalau Yam terus
berdegil macam ni?” nasihat Dato’ Kamal dengan suara yang lirih.
Datin
Mariam terus membisu. Mia Karmila yang melihat mamanya seolah-olah keliru
segera bangun dan berteleku di hadapan wanita itu sambil mencapai kedua-dua
tapak tangan dan menciumnya dengan penuh syahdu.
“Mama,
kasihanilah papa. Janganlah kita terus mengheret papa ke neraka. Masih belum
terlambat untuk kita bertaubat, ma,” rayu Mia Karmila dengan linangan air mata.
Datin
Mariam terkedu. Terasa betapa jahil dan berdosanya dia selama ini. Dia segera
menarik kedua-dua bahu Mia Karmila dan memeluk anak gadisnya itu sambil
tersedu-sedu dengan air mata yang tidak dapat lagi diseka. Datin Mariam mencium
dahi Mia Karmila dengan penuh syahdu sebelum melepaskannya dan segera berpaling
menghadap suaminya. Datin Mariam segera mencapai kedua-dua tangan Dato’ Kamal
dan kemudian mencium kedua-dua telapak tangan suaminya itu dengan air mata yang
terus menitis.
“Ampunkan
Yam, bang. Yam tahu Yam banyak berdosa pada abang. Yam selalu pentingkan diri
sendiri di dalam segala urusan rumah tangga kita.”
Datin
Mariam menyembamkan muka ke atas pangkuan suaminya sambil terus tersedu-sedu
tanpa menghiraukan Mia Karmila yang masih berada di sisinya. Entah mengapa hati
Datin Mariam tiba-tiba terasa amat takut apabila teringatkan kata-kata Mia
Karmila yang tidak mahu mengheret dia dan suaminya ke neraka.
Oh,
alangkah beruntungnya aku mendapat anak seperti Mia Karmila yang telah
menyedarkan aku dan suamiku tentang perintah-MU. Ya ALLAH, ampunkanlah segala
dosaku dan KAU rahmatilah kami sekeluarga, doa Datin Mariam di dalam hati.
“Alhamdulillah,
abang bersyukur kerana Yam pun dah sedar akan kelalaian kita selama ni. Terima
kasih Mia, kerana menyedarkan papa dan mama,” ucap Dato’ Kamal sambil mengelus
lembut kepala isterinya yang masih di pangkuan sebelum memandang ke arah Mia
Karmila yang kelihatan sedang menyeka air mata.
Tanpa
disedari, kelihatan dari pintu dapur Mak Kiah yang memerhatikan ‘drama’ mereka
sejak tadi juga turut menyeka air mata dengan penuh kesyukuran kerana ALLAH
masih sayangkan majikannya itu. Ya ALLAH, alhamdulillah, kerana memakbulkan
doa-doaku, bisik hati kecil Mak Kiah.
Lewat malam itu, buat pertama kalinya setelah
berpuluh tahun mereka berkahwin, Dato’ Kamal dan Datin Mariam bertahajud dan
bermunajat kepada ALLAH, memohon keampunan dan keredaan yang Maha Esa.
Bercucuran air mata Dato’ Kamal dan Datin Mariam membasahi sejadah.