SEBAIK sahaja Mia Karmila melangkah masuk
ke dalam bilik, dia segera meletakkan beg tangan dan buku-buku yang dibeli di
atas katil. Kemudian dia meluru ke bilik air untuk membersihkan diri dan
berwuduk. Jam telah pun menunjukkan hampir pukul 2.00 petang. Mia Karmila telah
mendengar azan di dalam radio ketika memandu tadi.
Memang
niatnya mahu segera menunaikan Solat Zohor dan melakukan sujud syukur
sebagaimana nasihat Shahriman sebaik sahaja sampai di rumah. Tetapi niatnya itu
tergendala apabila mendapat panggilan telefon daripada Adrian. Dia tidak
menyangka perbualannya dengan Adrian boleh meleret-leret sehingga melewatkan
lagi masanya untuk melaksanakan solat.
“Ya
ALLAH, aku bersyukur di atas rahmat dan hidayah-MU. Aku memohon agar KAU
tambahkan dan kekalkanlah rahmat dan hidayah-MU ini di dalam hatiku.
Tunjukkanlah aku jalan yang betul untuk aku menambahkan takwa terhadap-MU. Aku
tahu aku telah lalai dan mengingkari perintah-MU selama ini, namun berilah aku
peluang untuk kembali ke jalan yang KAU redai.
Aku
bersyukur kerana KAU telah menghantar Shahriman untuk menolongku dan telah
menyedarkan aku daripada kelalaianku terhadap-MU selama ini. Aku jugak memohon
rahmat-MU agar dapat bertemunya lagi di dalam situasi yang KAU redai,” doa Mia
Karmila selesai Solat Zohor dan melakukan sujud syukur.
Hmm...
banyak lagi rupanya kebesaran-kebesaran ALLAH yang aku tak tahu, bisik Mia
Karmila sendu apabila dia mula membaca buku Meraih Cinta Al Khaliq yang
dibelinya tadi.
“Mia...Mia...”
Tumpuan
Mia Karmila terganggu apabila terdengar suara Datin Mariam dari luar pintu
bilik. Mia Karmila segera menuju ke pintu dan membukanya.
“Ya
ma, kenapa?” soal Mia Karmila terkejut. Tidak menyangka Datin Mariam balik awal
hari ini.
“Andy
kata kereta Mia rosak tadi ya?”
“Oh,
bila Andy jumpa mama?” soal Mia Karmila hairan.
“Kat
kelab tadi. Dia datang makan tengah hari kat kelab dan kebetulan mama dan Puan
Sri Zalina pun sedang makan kat situ, jadi kami berbual-buallah sekejap,”
beritahu Datin Mariam.
“Macam
mana pulak Andy boleh keluar cerita pasal kereta Mia rosak?” soal Mia Karmila
lagi, seakan-akan tidak senang dengan sikap Adrian yang suka mengadu segalanya
pada Datin Mariam.
“Andy
kata Mia ada telefon dia pagi tadi tetapi dia tak sempat nak jawab sebab tengah
mesyuarat. Dia risau kalau Mia kecil hati, jadi sebab tu dia terus telefon Mia
sebaik sahaja habis mesyuarat tadi. Dia rasa amat bersalah kerana tak dapat nak
tolong semasa Mia memerlukan pertolongannya.”
“Jadi?”
“Jadi
dia mintak mama terangkan pada Mia sebab-sebabnya. Dia takut Mia tak percaya
kata-katanya tadi,” jelas Datin Mariam.
Datin
Mariam menjenguk ke dalam bilik, mahu melihat dengan lebih jelas apakah yang
sedang dilakukan anak gadisnya itu. Tiba-tiba dia terpandangkan buku yang
dibaca Mia Karmila tadi berselerakan di atas katil.
“Kenapa
pulak dia fikir macam tu? Mia dah cakap pada dia yang Mia faham keadaan dia
tadi. Jadi mengapa dia perlu risau-risau lagi?” soal Mia Karmila benar-benar
tidak faham mengapa tiba-tiba Adrian seolah-olah tidak yakin apa yang
dikatakannya tadi.
Mengapa
mamat ni begitu prihatin terhadap perasaan aku? Soal hati kecil Mia Karmila
hairan.
“Tak
adalah. Dia kata Mia macam keberatan aje bila dia ajak Mia keluar malam ni.
Kenapa, Mia?” soal Datin Mariam prihatin.
“Siapa
kata Mia keberatan? Mia dah pun setuju untuk keluar dengan dia malam nanti.
Hisy, mengada-ngada betullah Andy ni. Kalau Mia betul-betul tak nak keluar
dengan dia lagi, baru dia tahu,” balas Mia Karmila tegang bagaikan meluat
dengan sikap Adrian yang suka mengadu.
“Kenapa
ni, Mia?”
“Kenapa
apa?”
“Mama
tengok Mia macam tak seronok aje nak keluar dengan Andy. Sebab tulah agaknya
Andy pun rasa macam Mia keberatan tu,” komen Datin Mariam.
“Yang
mama suka sangat Mia keluar dengan Andy tu, pasal apa?” soal Mia Karmila tanpa
disedari.
Datin
Mariam tergamam. Walaupun dia dan Dato’ Kamal memang mengamalkan sikap terbuka
dalam mendidik anak-anak, tetapi apabila Mia Karmila begitu berani
mempersoalkan tindak-tanduknya, Datin Mariam jadi kurang senang. Dia tidak mahu
anak-anaknya mempertikai segala perancangannya dalam mengejar kekayaan dan
kemewahan untuk mereka sekeluarga.
“Iyalah,
Andy tu kan sayangkan Mia, jadi kesian pulak mama tengok dia bila Mia buat
endah tak endah aje pada dia. Macam
mana Mia rasa kalau orang yang Mia sayang tiba-tiba buat macam tu pada Mia?”
jawab Datin Mariam.
Mia
Karmila pula yang tergamam. Entah mengapa tiba-tiba terbayang wajah Shahriman
yang tenang dan bersahaja, seolah-olah sedang memerhatikannya.
Oh,
mengapakah wajah lelaki itu yang kuingat? Akan kecewakah aku kalau Shahriman
hanya akan mentertawakan aku sekiranya dia tahu aku sentiasa terbayangkan
wajahnya? Soal hati kecil Mia Karmila, risau.
“Habis,
mama nak Mia buat apa? Ikut aje apa yang dimahukan Andy?” soal Mia Karmila,
bagaikan cuba memahami niat sebenar Datin Mariam.
Datin
Mariam tersenyum lega. Dia telah berjaya membuat anak gadisnya berasa serba
salah lalu bersedia untuk menuruti segala apa yang dirancangkannya.
“Mama
bukan nak suruh Mia ikut aje apa kata Andy, tetapi Mia kenalah jaga hatinya
agar dia terus setia dan sayang pada Mia. Daripada kata-katanya, mama tahu dia
memang benar-benar cintakan Mia. Lelaki handsome dan kaya macam dia tu,
ramai perempuan yang berkenan. Jadi mama tak nak dia tinggalkan Mia nanti kalau
dia dah rasa bosan nak pujuk-pujuk Mia selalu. Nanti siapa yang rugi, kalau
bukan diri Mia jugak?” saran Datin Mariam.
“Kalau
dia nak tinggalkan Mia, biarkanlah. Itu hak dia. Takkanlah Mia nak merayu-rayu
pulak,” jawab Mia Karmila bagaikan tiada apa-apa yang membekas di hatinya.
“Kenapa
Mia cakap macam tu? Bukan ke kamu berdua saling mencintai?” soal Datin Mariam
terkejut.
“Tapi
cinta bukan boleh dipaksa-paksa, ma,” jawab Mia Karmila tanpa disedari.
Datin
Mariam berkerut dahi merenung Mia Karmila. Dia keliru dengan maksud anak
gadisnya itu. Setahunya, selama ini Mia Karmila amat menyenangi kehadiran Adrian
dalam hidupnya dan begitu juga sebaliknya. Disebabkan itulah juga pasangan itu
sangat serasi dan sering keluar bersama. Hanya baru-baru ini sahaja Mia Karmila
kelihatan jarang keluar bersama Adrian. Hati Datin Mariam tiba-tiba berdetik
resah.
“Mia
sanggup ke biarkan Andy dirampas perempuan lain? Mia dah tak sayangkan Andy
ke?” soal Datin Mariam inginkan kepastian.
“Siapa
kata Mia dah tak sayang Andy? Mia tetap sayangkan Andy, tapi...”
“Tapi
apa, Mia?” pintas Datin Mariam sebelum Mia Karmila sempat menghabiskan
kata-katanya.
“Mia
hanya sayangkan Andy sebagai seorang sahabat yang baik, yang selalu
menggembirakan Mia, tak lebih daripada tu. Jadi kalau Andy dah ada perempuan
lain yang lebih menyayanginya, takkanlah Mia nak halang dia?” jelas Mia Karmila
bersahaja.
Datin
Mariam tersentak. Sangkanya Mia Karmila benar-benar mencintai Adrian selama
ini. Senanglah untuknya menyuruh anak gadisnya itu memujuk Adrian agar masuk
meminang secepat mungkin. Tetapi dengan keadaan sekarang, pasti susah untuk
Datin Mariam berbuat demikian.
“Tapi
Andy memang benar-benar cintakan Mia.”
“Mana
mama tahu yang dia benar-benar cintakan Mia?”
“Mama
tahulah. Kalau tak, takkanlah dia risau sangat kalau-kalau Mia menolak lagi
untuk keluar malam nanti. Katanya, dia dah rindu sangat pada Mia,” balas Datin
Mariam prihatin.
Memang
dia amat mengharapkan agar hati Mia Karmila terus terbuka untuk menerima cinta
Adrian. Malah tidak akan lagi menolak pelawaan lelaki itu.
Mia
Karmila merenung tepat ke dalam mata Datin Mariam, cuba mentafsir reaksi dan
kata-kata mamanya itu. Hati Mia Karmila tiba-tiba berdetik resah. Mengapakah
Datin Mariam begitu bersungguh-sungguh mahu meyakinkan perasaan Adrian
terhadapnya. Apakah ada perancangan yang dia tidak tahu?
“Jadi,
mama benarkan ke Mia keluar dengan Andy malam nanti?” soal Mia Karmila sengaja
memancing perasaan Datin Mariam.
“Tentulah
mama benarkan. Malah mama tengok Puan Sri Zalina pun amat merestui bila Andy
beritahu mama kat kelab tadi,” beritahu Datin Mariam dengan nada ceria.
“Hmm...
terima kasih, ma,” balas Mia Karmila sambil melempar senyuman mesra.
Namun
hakikatnya dia langsung tidak berminat untuk keluar dengan Adrian lagi setiap
kali mengingati perangai Adrian yang suka berfoya-foya. Malah dia langsung
tidak mengira halal haram dalam pergaulan antara lelaki dan perempuan.
Walaupun
Mia Karmila seorang gadis yang agak sosial dan bebas tetapi dia tetap menjaga
maruah dirinya. Baginya hanya itulah harga sebenar seorang gadis. Kematian
sahabat baiknya, Zila telah benar-benar memberi pengajaran yang mendalam pada
dirinya. Sejak itu jugalah Mia Karmila sentiasa berhati-hati setiap kali keluar
berhibur bersama Adrian dan kawan-kawannya yang lain.
Mia Karmila mula terfikir bahawa Adrian bukanlah
benar-benar mencintainya. Namun lelaki itu masih belum berjaya mendapatkan apa
yang diingininya daripada Mia Karmila. Maka tidak hairanlah dia masih tidak
berputus asa mendekatinya. Secara diam-diam, Mia Karmila telah bertekad dalam
hati. Malam itu adalah kali terakhir dia keluar dengan Adrian.