Sudah dua hari Mia Karmila memandu
sendiri ke rumah Hajah Habibah yang terletak berhampiran Pusat Tahfiz Darul
Hana setelah Pak Manap menunjukkan jalan pada hari pertama Mia Karmila
diketemukan dengan Hajah Habibah. Namun
pada hari ini Mia Karmila dihantar Pak Manap kerana Dato’ Kamal turut serta
untuk bertemu dengan Hajah Habibah, sebagaimana yang dijanjikan Mia Karmila
tempoh hari.
“Habis
tu, macam mana Mia nak balik nanti?” soal Dato’ Kamal apabila Mia Karmila menyatakan
yang Pak Manap tidak perlu datang kembali setelah menghantar Dato’ Kamal ke
pejabat.
“Tak
apa, Mia boleh balik naik teksi. Ustazah kata tak susah nak dapat teksi kat
sini sebab budak-budak tahfiz tu pun selalu naik teksi kalau nak ke pekan,”
ujar Mia Karmila, cuba meyakinkan Dato’ Kamal kerana tidak mahu Pak Manap
bersusah payah berulang-alik untuk mengambilnya nanti.
“Eh,
tak apa ke Mia naik teksi seorang-seorang?” sampuk Pak Manap spontan dengan
nada bimbang.
“Haah,
berani ke Mia naik teksi seorang-seorang tu?” soal Dato’ Kamal turut bimbang.
“Tak
apa, Dato’. Suami saya pun ada teksi. Nanti saya telefon dia supaya tolong
hantarkan Cik Mia balik. Jadi janganlah Dato’ dan Encik Manap risau pasal
keselamatan Cik Mia. Insya-ALLAH, ALLAH akan sentiasa melindungi dia daripada
sebarang kejahatan dan bahaya,” ujar Hajah Habibah.
“Hmm...
kalau dah macam tu kata ustazah, tak apalah. Jadi saya mintak diri dulu. Ada
banyak urusan kat pejabat yang perlu diurus segera. Macam yang saya kata tadi,
saya amat berharap ustazah dapat mengajar Mia dengan sebaik-baiknya dan
tolonglah doakan agar kami sekeluarga sentiasa mendapat kerahmatan dan
keberkatan daripada ALLAH,” balas Dato’ Kamal dengan nada penuh mengharap.
“Insya-ALLAH,
Dato’. ALLAH itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang, maka DIA pasti takkan
menyusahkan hamba-NYA yang beriman dan bertakwa kepada-NYA,” ujar Hajah Habibah
tersenyum mesra.
“Terima
kasih, ustazah. Mia, papa pergi dulu ya. Assalamualaikum,” ucap Dato’ Kamal
turut tersenyum mesra sambil mengelus lembut bahu Mia Karmila sebelum anak
gadisnya itu bersalaman dan mencium tangannya.
“Waalaikumussalam,”
jawab Hajah Habibah dan Mia Karmila serentak sambil terus memerhatikan lelaki
itu masuk ke dalam kereta.
Hajah
Habibah segera menepuk lembut bahu Mia Karmila seolah-olah mengajak gadis itu
untuk masuk kembali ke dalam rumah untuk meneruskan pengajian sebaik sahaja
kereta Dato’ Kamal yang dipandu Pak Manap meluncur laju meninggalkan halaman
rumah Hajah Habibah.
“Mia,
kenapa Mia tak pakai aje tudung tu pada setiap masa terutamanya bila Mia keluar
dari rumah? Rambut tu kan salah satu daripada aurat wanita,” tanya Hajah
Habibah lembut apabila melihat Mia Karmila yang sedang terkial-kial
mengeluarkan kain selendang dari beg tangan.
Memang
begitulah yang Mia Karmila lakukan sejak dua tiga hari ini, iaitu membawa
tudung di dalam beg tangan dan hanya memakainya ketika belajar mengaji. Mia
Karmila tersentak. Dia tidak tahu apa yang harus dijawab.
“Berdosa
ke kalau kita tak pakai tudung, ustazah?” soal Mia Karmila naif.
“Menutup
aurat bagi perempuan-perempuan yang dah baligh, hukumnya adalah wajib. Jadi,
memang berdosa kalau aurat kita dapat dilihat orang yang bukan mahram kita.
Apatah lagi kalau kita sengaja pulak dedahkan aurat kita sehingga boleh dilihat
orang lain yang bukan mahram kita.
Pakai
tudung tu adalah wajib kalau itulah caranya dapat kita menutup aurat kita
daripada dilihat orang lain yang bukan mahram dan dengan itu kita akan berdosa kalau
tidak memakainya,” ujar Hajah Habibah menerangkan secara terperinci.
Mia
Karmila tergamam. Terasa dirinya amat berdosa kerana mendedahkan auratnya
selama ini. Patutlah ramai kawanku ketika di universiti dulu yang memakai
tudung. Tetapi kenapa tiada siapa pun yang mahu menegur aku supaya menutup
aurat sebelum ini? Papa dan mama pun tak pernah menegurku malah mama pun tak
menutup aurat. Jadi, siapakah yang harus dipersalahkan? Bisik hati Mia Karmila.
“Menutup
aurat perempuan bukan setakat memakai tudung aje tetapi jugak cara pemakaiannya
kerana Rasulullah pernah bersabda, akan ada golongan perempuan yang berpakaian
tetapi telanjang,” ujar Hajah Habibah lagi apabila melihat Mia Karmila terus
membisu.
“Hah?
Apa maksudnya tu, ustazah?” soal Mia Karmila tambah keliru.
“Apabila
seorang perempuan itu berpakaian tetapi pakaiannya masih menampilkan susuk
tubuhnya dengan jelas sehingga boleh menarik minat orang lain untuk
memandangnya, maka perempuan yang demikian itu adalah
diibaratkan berpakaian tetapi tetap telanjang,” ujar Hajah Habibah
cuba menjelaskan.
“Walaupun
perempuan tu memakai tudung?” soal Mia Karmila lagi dengan mata membulat.
Terbayang
di matanya, ramai kawannya di universiti dulu yang memakai tudung tetapi tetap
memakai seluar ketat dan baju pendek yang kadang-kadang hampir menampakkan
aurat jika mereka membongkok.
“Ya,
walaupun dia memakai tudung kerana tudung itu dah dijadikan sebagai fesyen,
bukannya untuk menutup aurat dengan betul. Rasulullah pernah bersabda, ‘Wahai
kaum wanita, labuhkanlah tudungmu agar kamu terhindar daripada api neraka’,”
jelas Hajah Habibah lagi.
Tiba-tiba
terbayang lagi di mata Mia Karmila bagaimana keadaan pakaiannya selama ini yang
memang kebanyakannya amat seksi dan selalu mengikut fesyen barat yang terkini.
Oh, adakah sebab itu Andy selalu cuba mencabuli aku kalau kami berdua-duaan?
Adakah cara aku berpakaian ketika bertemunya yang telah membuatkan nafsunya
bergelora? Adakah itu salahku? Bisik hati kecil Mia Karmila lagi.
“Ya
ALLAH, banyaknya dosa saya, ustazah. Macam mana ni, ustazah? Saya tak nak masuk
neraka,” ujar Mia Karmila sambil memegang tangan Hajah Habibah bagaikan
ketakutan.
“Sabar,
Mia. Macam yang ustazah kata semalam, ALLAH itu Maha Penyayang dan Maha
Pengasih. DIA jugak Maha Pengampun dan Maha Pemurah. Mia patut bersyukur kerana
ALLAH masih sayangkan Mia dengan memberi taufik dan hidayah-NYA pada Mia untuk
mendalami lagi agama Islam,” ujar Hajah Habibah terhenti seketika sambil
menelan liur.
“Jadi
apa yang Mia perlu lakukan sekarang ialah memohon ampun daripada ALLAH atas
dosa-dosa lalu yang Mia telah lakukan ketika Mia masih jahil dan bertaubat
untuk tidak mengulangi lagi. Insya-ALLAH, ALLAH akan mengampunkan segala
dosa-dosa Mia,” ujar Hajah Habibah lagi sambil mengelus lembut bahu Mia Karmila
seolah-olah ingin memujuk gadis itu daripada terus ketakutan.
“Adakah
ALLAH akan ampunkan semua dosa saya itu, ustazah?” tanya Mia Karmila sambil
merenung Hajah Habibah.
“Insya-ALLAH
kalau Mia benar-benar bertaubat kerana ALLAH itu Maha Pengampun dan DIA yang
Maha Mengetahui segalanya. Firman ALLAH dalam Surah An-Nisa ayat 48 mengatakan,
‘Sesungguhnya ALLAH mengampuni dosa-dosa selain dosa syirik, kepada sesiapa
yang DIA kehendaki’.
Jadi
eloklah Mia segera bertaubat dan memohon ampun daripada ALLAH. Moga-moga ALLAH
akan mengampuni dosa-dosa Mia yang lalu,” pujuk Hajah Habibah lagi sambil terus
mengelus lembut bahu gadis yang duduk di hadapannya itu.
“Macam
mana Mia nak bertaubat, ustazah?” soal Mia Karmila keliru.
“Mia,
bertaubat itu adalah apabila kita mengaku segala kesalahan kita pada ALLAH dan
kita menyesal atas apa yang telah kita lakukan. Lalu kita berjanji pada ALLAH
dengan bersungguh-sungguh hati bahawa kita takkan sekali-sekali melakukan lagi
segala dosa yang telah kita lakukan itu. Insya-ALLAH, ALLAH akan menerima
taubat kita dan mengampunkan segala dosa kita tu,” jawab Hajah Habibah satu per
satu supaya Mia Karmila dapat memahami segala apa yang diajarkannya itu.
“Bila
Mia boleh bertaubat, ustazah?” tanya Mia Karmila. Dia masih tidak pasti apa
yang perlu dilakukan.
“Kita
boleh bertaubat pada bila-bila masa. Lebih cepat lebih baik kerana kita tak
tahu bila kita akan mati. Amat malanglah nasib orang-orang yang tak sempat
bertaubat ketika dia mati. Malahan kita digalakkan untuk bertaubat dan memohon
ampun kepada ALLAH pada setiap masa terutamanya setiap kali selepas kita
menunaikan solat. Namun ALLAH jugak suka kalau kita buat Solat Taubat terutamanya
pada tengah malam,” ujar Hajah Habibah lagi sambil terus menatap wajah Mia
Karmila yang mulus itu dengan rasa lega kerana dapat membimbing gadis itu ke
jalan yang diredai-NYA.
“Tapi
ustazah...” Mia Karmila bagaikan hilang kata-kata.
“Tapi
apa, Mia?”
“Mia
tak pandai nak baca doa-doa dan bertaubat pada ALLAH dalam bahasa Arab. Boleh
ke Mia cakap dalam bahasa Melayu aje? Lagipun Mia tak tahu nak buat solat-solat
sunat tu,” ujar Mia Karmila bagaikan anak-anak kecil yang baru masuk sekolah.
“Macam
yang dah beberapa kali ustazah kata, ALLAH itu Maha Mengetahui dan Maha
Bijaksana. Jadi DIA boleh faham walau bahasa apa pun yang kita cakap. Jadi Mia
boleh berdoa dalam bahasa Melayu, cumanya Mia tak boleh berdoa dalam bahasa
Melayu ketika dalam solat kerana itu boleh membatalkan solat.
Dalam
solat, Mia kena baca semuanya mula daripada takbiratul ihram, al-Fatihah,
surah-surah lain dan lain-lain bacaan ketika rukuk, sujud, duduk antara dua
sujud dan tahsyahud, semuanya kena baca dalam bahasa Arab sebagaimana yang
diajarkan Nabi Muhamad.
Tapi
setelah selesai solat dan memberi salam, Mia boleh berdoa dalam bahasa Melayu
kalau Mia tak tahu doa dalam bahasa Arab. Namun yang afdalnya eloklah kalau
kita dapat membaca beberapa doa lazim dan zikir selepas solat dalam bahasa Arab
dahulu sebelum kita terus berdoa dalam bahasa Melayu. Tentang solat sunat tu,
Mia jangan risau. Nanti ustazah akan ajar Mia semuanya,” jelas Hajah Habibah
panjang lebar.
“Huh,
banyaknya yang Mia nak kena belajar daripada ustazah,” keluh Mia Karmila sambil
menepuk kedua-dua belah pipi.
“Mia,
jangan mengeluh. Belajar agama dan menghadiri majlis ilmu jugak adalah ibadah
dan akan mendapat pahala yang besar kerana hanya melalui pembelajaran dan ilmu
kita akan dapat melakukan ibadah dengan baik dan betul. Sebab tu Islam
menggalakkah semua umatnya menuntut ilmu,” saran Hajah Habibah.
“Alhamdulillah,
nasib baiklah ALLAH telah bukakan hati saya untuk belajar dan mendalami lagi
hukum-hakam agama Islam. Saya jugak benar-benar bersyukur kerana telah bertemu
dengan seseorang yang telah menasihati saya untuk bersujud syukur ketika saya
selamat daripada kesusahan tempoh hari. Kalau tanpa nasihatnya tu mungkin saya
akan terus jahil tentang agama macam dulu. Tapi ustazah, sebenarnya Mia sendiri
tak tahu apa itu sujud syukur. Mia sujud aje macam kita sujud dalam solat tu.
Betul ke ustazah?” akui Mia Karmila perlahan.
Entah
mengapa hati Mia Karmila tiba-tiba terasa rindu hendak bertemu Shahriman. Sudah
hampir tiga minggu sejak Shahriman menolong menukar tayar keretanya tempoh
hari, Mia Karmila langsung tidak ada petunjuk macam mana dapat bertemu lagi
dengan Shahriman. Mia Karmila kadang-kadang jadi lemas apabila wajah Shahriman
dengan senyuman yang menggoda itu sering muncul dalam mimpinya dan mengganggu
tidurnya.
“Oh,
iya ke? Siapa dia tu? Dia tak beritahu Mia macam mana nak buat sujud syukur?”
soal Hajah Habibah teruja.
“Adalah
dia beritahu sikit pasal sujud syukur tu. Dia kata sujud aje macam biasa tetapi
seeloknya selepas solat kerana kita masih ada wuduk dan ucapkan alhamdulillah
tanda kita berterima kasih pada ALLAH serta menghargai pertolongan-NYA,” jawab
Mia Karmila.
“Hmm...
betullah tu. Untung orang yang telah menasihatkan Mia tu kerana ALLAH jugak
telah membukakan hati Mia untuk lebih dekat kepada ALLAH. Besar pahala dia kalau
dia benar-benar jujur nak menunjukkan Mia jalan yang betul,” komen Hajah
Habibah.
“Itulah
ustazah, Mia pun bersyukur sangat terjumpa dia tempoh hari. Mia rasa ingin sangat
nak jumpa dia lagi untuk ucapkan terima kasih kerana telah menyedarkan Mia
daripada terus lalai, tetapi Mia lupa pulak nak tanya nombor telefon dia. Jadi
sampai sekarang Mia tak tahu macam mana nak jumpa dia lagi,” ujar Mia Karmila
tanpa berselindung.
“Tak
apalah Mia, ALLAH itu yang Maha Mengetahui segala apa yang diaturkan-NYA. Mia
berdoa ajelah. Mohon pada ALLAH, mintak kalau perjumpaan Mia dengan dia akan
lebih membawa kebaikan maka pertemukanlah lagi Mia dengan dia. Insya-ALLAH,
ustazah yakin ALLAH akan memakbulkan doa Mia tu. Hmm... mari kita mulakan
bacaan al-Quran dulu hari ni sebelum ustazah terangkan yang lain nanti,” ujar
Hajah Habibah sambil membuka al-Quran.
Apabila
pembelajaran yang telah mengambil masa lebih kurang dua jam sebagaimana yang
dipersetujui Hajah Habibah dan Mia Karmila hampir selesai, Hajah Habibah segera
menelefon suaminya supaya balik dan menghantar Mia Karmila pulang ke rumahnya.
Tambahan pula, Hajah Habibah lihat Mia Karmila agak letih ketika itu, mungkin
kerana banyak sangat perkara-perkara yang dipelajarinya pada hari itu, maka
Hajah Habibah tidak sampai hati untuk meneruskan pengajian lebih lama lagi.
Lebih
kurang 20 minit kemudian kedengaran bunyi enjin kereta berhenti di hadapan
rumah Hajah Habibah menandakan teksi suaminya telah sampai. Hajah Habibah
segera membuka pintu untuk melihat.
Mia
Karmila yang turut mengikuti Hajah Habibah ke muka pintu jadi tergamam apabila
melihat lelaki yang keluar daripada teksi itu.