Home Novel Keluarga APA DOSANYA?
APA DOSANYA?
Asmah Hashim
2/12/2018 15:04:43
58,068
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 16
Maria membantu Zaiton membersihkan kawasan rumah. Hari pertama dia berada di rumah banglo dua tingkat itu. Cuaca hari itu agak baik. Matahari  memancarkan sinarnya seperti biasa, tidak pernah terlupa kecuali hari mendung atau hujan di pagi hari.  Rumah banglo yang terletak di kawasan seluas setengah ekar itu turut ada taman bunga dan air terjun buatan manusia.  Pokok bunga beraneka jenis ditanam sekeliling pagar rumah. Beraneka jenis dan warna, ada bunga matahari,bunga ros, kekwa dan  pelbagai jenis lagi.
            Zaiton pula sibuk menyediakan makanan tengahari untuk pemilik rumah banglo itu. Sudah berbelas tahun dia menjadi pembantu rumah itu. Sejak  arwah Dato Seri Khalil masih ada lagi.  Lagipun, dia sudah tiada sesiapa, biarlah dia berkhidmat di rumah itu sampai akhir nyawanya. Puan Seri Diah dan anak-anaknya melayan dengan baik. Dia juga sudah dibawa mengerjakan umrah dan haji beberapa tahun dahulu.  Hadiah yang amat bermakna dirinya yang hanya seorang pembantu rumah di rumah  banglo itu.
            Malam tadi, puan seri bawa pembantu baharu, kenapa ya?  Takkan nak berhentikan dirinya?  Dia ada buat salah ke?  Zaiton mengeluh. Berdebar hatinya.  Sejak malam tadi lagi, dia memikirkan tentang kehadiran Maria di rumah itu.  Melihat keadaan wanita itu yang sugul, lemah dan tidak bermaya buat dia risau sahaja. Berpenyakitkah wanita itu?  Sesekali dia menjengah ke taman, melihat-lihat Maria melakukan tugas yang disuruhnya tadi.  Nampak macam rajin buat kerja?  Entahlah, tidak sampai 24 jam mereka bersama.  Apa yang pasti, wanita itu seperti malas nak beribadah. Perlahan-lahan ubah fikiran wanita itu, detik hati kecil  Zaiton.
            Tengahari ini, dia masak  kari daging bersama rebung madu, sambal belacan, ulam-ulaman dan telur masin. Lauk kegemaran Puan Seri Diah  dan anak-anaknya.  Ketiga-tiga anaknya tinggal di rumah itu biarpun sudah berumah tangga.  Puan Seri tidak mahu anak-anaknya tinggal berasingan daripadanya.  Biarlah mereka berada di hadapan matanya sentiasa.
            “Zaiton! Dah siap masak ke?”  tanya Puan Seri Diah sebaik sahaja dia melangkah ke dapur. Badannya berasa sangat letih setelah memandu semalam dari kampung.  Puas rasanya setelah tidur semula selepas bersarapan tadi.
            Puan Seri Diah merenung Zaiton yang leka memandang keluar taman bunga yang terletak di sisi rumah banglo itu.  Dia turut menjengah melalui pintu dapur.
            “Hish! Puan seri? Terkejut saya. Tak dengar pun puan seri masuk dapur?” Zaiton berdiri  tegak, dia menyengih.
            “Kenapa awak intip Maria tu buat kerja?  Tak percaya kat dia?”  Puan Seri Diah  mengangkat kening.  Dia kembali ke ruang dapur.
            “Bukan tak percaya. Cuma nak periksa, buat kerja ke tidak,” luah Zaiton jujur.
            Puan Seri Diah melemparkan senyuman manis.  Dia kenal Zaiton, dia tahu pembantu rumahnya itu tidak pernah ada perasaan cemburu dan iri hati kepada sesiapapun.  Zaiton seorang pekerja yang rajin, pandai memasak dan tidak pernah merunggut soal kerja di rumah itu.Seluruh ahli keluarganya sayang sangat dengan pembantu rumahnya itu. Zaiton berasal satu kampung dengan arwah suaminya.
            “Mana puan seri jumpa Maria?”  Zaiton mengisi lauk-pauk yang sudah siap dimasak ke dalam bekas makanan berkaca dan bertutup.  Dia menyusunnya di atas meja makan yang terletak di ruang makan berhampiran dapur itu.
            Puan Seri Diah mengeluh. Setelah orang yang dicari tidak ditemui. Dia bercadang pulang ke Kuala Lumpur semula.  Ketika itu, dia  sedang membeli makanan kegemarannya untuk dibawa pulang ke rumah.   Dia terlihat Maria berjalan seperti orang hilang arah. Langkahnya lemah.  Mukanya pucat,tidak bermaya.  Berjalan tidak pandang kiri kanan.  Dia niat ingin membantu kalau-kalau Maria ada masalah, dia ikut langkah Maria sehingga ke  jambatan. Dia ingatkan Maria ingin menyeberangi jambatan itu, dia hampir berpatah semula ke keretanya, tetapi apabila terlihat Maria menuruni bukit menuju ke sungai, dia terus mengekori sehingga tiba ke tebing sungai.  Hampir luluh hatinya, melihat reaksi Mariayang mahu terjun ke dalam sungai. Rupanya ingin membunuh diri.  Dia belum lagi sempat bertanya sebab apa  Maria mengambil tindakan bodoh seperti itu.
            “Ya, Allah!  Berdosa tu puan seri!”   ujar Zaiton. Dia mengeluh kesal.
            “Itulah… entah sebab apa agaknya sehingga dia ingin membunuh diri?” keluhan terlepas dari bibirnya.
            “Pergi panggil Maria, kita makan sama-sama.  Budak-budak tak balik makan tengahar ini. Mereka makan di luar,” kata Puan Seri Diah sambil melihat-lihat lauk-pauk yang terhidang. 
            Zaiton bingkas bangun, dia keluar mendekati Maria yang tekun membuang rumput-rumput yang tumbuh di sekeliling pokok bunga di taman itu.
            “Maria! Maria! Puan seri panggil makan.  Nanti petang sambung balik buat kerja tu.  Hari semakin panas ni,”  ajak Zaiton. Wajah pucat itu dipandang seketika. Mata yang letih, bibir yang kering,pipi yang cengkung.  Badan yang kurus,simpati menyinggah dalam hati.
            Di meja makan, Puan Seri Diah sudah menyenduk nasi ke dalam dua biji pinggan lagi. Maria terus ke bilik air membersihkan diri, beberapa minit kemudian sudah berada di hadapan Puan Seri Diah.  Zaiton sudah sedia menunggu,melayan Puan Seri Diah menjamah makanan tengaharinya.
            “Mari Maria, jemput duduk,” pelawaPuan Seri Diah ramah.
            Maria menarik kerusi, dia duduk menghadap hidangan yang terhidang.  Dia memerhati.  Naik seleranya.  Dia diam seketika. Hatinya sebak, entah apa yang anak-anaknya makan?   Maafkan ibu!detik hati kecil Maria. 
            “Jangan bersedih depan rezeki. Makan,jangan tengok saja,” tegur Puan Seri Dia.
            Perlahan-lahan Maria menyenduk seketul ayam goreng ke dalam pinggan. Ali, sangat suka ayam goreng. Tapi mereka jarang dapat makan. Sebak menggila di hati.  Tidak terjamah nasi yang terhidang.  Setiap butir nasi itu dia  terbayangkan wajah anak-anaknya.
            “Kenapa Maria? Kenapa tak makan?”tegur Zaiton pula.
            Maria memandang wajah kedua-dua orang baharu dalam hidupnya itu.   Takungan kesedihan semakin terisi dengan air mata di hati.  Bergetar bibirnya menahan tangisan daripada pecah sehingga akan membajirkan matanya. Biarlah takungan itu pecah di hati.  Biarlah hanya dia menanggung kesedihan ini.Dia tidak mahu kedua insan yang baik itu mengetahui kesedihan di hatinya dan masalah yang sedang dihadapinya.
            “Kesedihan di hati, usah tanggung seorang diri. Kenalah berkongsi. Kami sedia mendengarnya.  Itupun kalau Maria sudi berkongsi cerita dengan kami,”  kata Puan Seri Diah,sambil menghabiskan nasi dalam pinggan. 
            Maria baru makan dua suap nasi dan secubit ayam goreng. 
            Zaiton mengurut belakang Maria,memujuk agar  kenalan baharunya itubertenang. 

            Mereka tidak tahu masalah yang dihadapinya. Air mata di hati takkan pernah berhenti  mengalir sejak hidupnya dirosakkan.  Ditambah masalah anak-anak yang ditinggalkan begitu sahaja.tidak tahu bagaimana nasib hidup mereka. Hembusan nafasnya terasa sesak.  Dia menarik nafas bagi melegakkan perasaansedihnya itu.

Previous: Bab 15
Next: Bab 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.