RUMAH teres dua tingkat itu terasa sunyi dan
sepi walaupun terdapat tiga orang penghuni
di dalamnya. Mereka membuat hal sendiri di
dalam bilik masing-masing. Chan Lee Fong asyik
menghadap komputer sambil mendengar muzik
manakala Chan Chee Hong sedang menunaikan Solat Isyak.
Papa mereka, Chan Koon Cheng yang berada di bilik tingkat
bawah, asyik meneguk minuman keras di dalam tin. Bagaikan
satu rutin keluarga itu bila matahari melabuhkan tirainya.
Walaupun kedua-dua beradik itu belajar di sekolah
berasrama penuh dan hanya berada di rumah apabila cuti
sekolah tetapi bapa mereka tetap dengan aktiviti ‘mabuknya’
tanpa menghiraukan kehadiran mereka. Kadangkala mereka
berasa terpinggir dan seperti tidak disayangi oleh papa mereka
walaupun hakikatnya tidak sebegitu.
Bagi Chan Chee Hong, keadaan ini amat melegakan kerana
dia bebas menunaikan solat tanpa dapat dikesan kedua-dua
ahli keluarganya itu. Ada hikmah di sebalik semua kejadian.
Walaupun papanya sering mabuk pada waktu malam, tetapi
dia tidak pernah mengabaikan kerja dan juga tanggungjawab
kepada anak-anaknya.
Chan Chee Hong yang baru selesai menunaikan Solat
Isyak terkejut dengan ketukan di pintu bilik. Dia segera bangun
dan mengangkat selimut yang dijadikan alas untuk bersolat
lalu bergerak ke pintu. Sebaik sahaja pintu bilik dibuka, adik
perempuannya terus meluru masuk. Dia sememangnya akrab
dengan abangnya dan sering bertanya apa sahaja perkara yang
tidak difahami.
“Abang, saya nak tanya sesuatu boleh tak?” tanya Chan
Lee Fong sambil mencapai sebuah buku bertajuk ‘Panduan
Bersolat’ yang terletak di atas katil abangnya.
“Tanya apa?” jawab Chan Chee Hong sambil merampas
buku itu daripada tangan adiknya.
Buku bertukar tangan.
“Tapi sebelum tu, kenapa abang baca buku ni?”
“Saja nak tahu pasal ibadah orang Islam, tak boleh?” Chan
Chee Hong cuba berhelah.
“Boleh, tak ada salahnya. Abang, saya hairanlah dengan
orang Melayu.”
“Kenapa?”
“Kawan sebilik saya orang Melayu tapi selalu tak solat
sedangkan dalam Islam, solat adalah tiang agama. Bila saya tanya
dia marah-marah dan kata semua orang Islam akan masuk
syurga jugak, bukan macam kau masuk neraka walaupun
kau baik,” ujar Chan Lee Fong cuba mengajuk sebagaimana
percakapan kawannya itu.
Chan Lee Fong sebenarnya belajar di Sekolah Menengah
Sains Sultan Mohamad Jiwa, Kedah di dalam tingkatan tiga.
Dia juga turut belajar Pendidikan Islam dan Bahasa Arab di
sekolah.
“Lee Fong, awak tak perlu risau. Kawan awak tu sebenarnya
boleh digolongkan dalam kategori orang yang fasik. Orang
fasik ialah orang yang imannya nipis dan sering melakukan
perbuatan mungkar, maksiat dan dosa,” ujar Chan Chee Hong
menerangkan berdasarkan apa yang telah dipelajari sewaktu
pelajaran Pendidikan Islam di sekolah.
“Tapi kenapa kita tak boleh
masuk syurga walaupun kita
baik? Sedangkan orang fasik pun boleh masuk syurga jugak
akhirnya?”
“Baik aje belum cukup untuk masuk syurga. Seseorang
tu kena beriman kepada ALLAH, mengimani bahawa hanya
ALLAH TUHAN semesta alam dan tidak ada satu pun sekutu
bagi-NYA,” terang Chan Chee Hong.
“Tunggu sekejap. Abang ambilkan buku tentang beriman
kepada ALLAH.”
Chan Chee Hong mencari buku yang dimaksudkan.
Adiknya hanya memandang penuh minat. Setelah mengambil
buku yang dimaksudkan, dia lantas membuka muka surat yang
terkandung petikan terjemahan al-Quran.
“Tengok ni, keimanan pada sifat rububiyah ALLAH telah
diakui kaum Musyrikin pada zaman Nabi Muhammad lagi tapi
mereka masih ingkar akan kebenaran itu, sebagaimana dalam
Firman-NYA dalam Surah Al Mu’minun ayat 23,” ujar Chan
Chee Hong.
“Abang pernah tak terfikir apa yang kita anuti sekarang
adalah menyimpang jauh daripada kebenaran?”
Chan Chee Hong hanya mengangguk. Adakah adiknya turut
mendapat hidayah daripada ALLAH? Hatinya cuba meneka.
Lama mereka terdiam dan tunduk memikirkan sesuatu. Tibatiba
terdengar kaca jatuh berderai. Mereka berdua segera lari
menuju ke arah bunyi itu yang datangnya dari tingkat bawah.
Dari atas tangga mereka dapat melihat papa mereka
sedang marah-marah dan pasu bunga yang pecah berderai
bertaburan memenuhi ruang hadapan rumah. Di hadapan pintu
masuk kelihatan seorang perempuan berumur pertengahan
30-an sedang berdiri ketakutan.
“Kenapa kau nak kacau lagi hidup kami? Anak-anak tu hak
aku, bukan hak kau. Bila kau dah ikut jantan lain dan tinggalkan
aku bermakna kau dah tak ada dalam kamus hidup kami. Pergi!
Jangan sampai aku bunuh kau nanti!” jerit Chan Koon Cheng.
Mereka yang hanya memerhati dari tadi terkejut dengan
apa yang dilihat. Siapa perempuan yang sedang dimarahi
papanya itu? Mereka tidak pernah melihat perempuan itu
sebelum ini. Sedang mereka mencari jawapan di dalam minda,
tiba-tiba papanya berpaling ke arah mereka dan mengarahkan
mereka naik semula ke atas.
“Papa kata pergi naik!” jerkah Chan Koon Cheng apabila
anak-anaknya masih teragak-agak untuk naik.
Mereka segera berlari ke atas kerana takut dan terkejut.
“Abang, kenapa papa marah sangat kat perempuan tadi?
Siapa dia?” tanya Chan Lee Fong.
“Entah, abang pun tak kenal,” jawab Chan Chee Hong
ragu-ragu.
Siapa perempuan tu? Rasanya macam pernah lihat sebelum
ni, bisik hati Chan Chee Hong. Tetapi dia membiarkan sahaja
persoalan itu dan mereka masuk ke bilik masing-masing.
Chan Chee Hong segera ke meja dan mengambil
sekeping kad lalu ditulis sebuah ucapan ringkas untuk Cikgu
Sara Raihana. Kad itu dilekatkan di atas hadiah yang telah siap
berbalut. Hadiah itu akan diberi esok, sewaktu dia menghadiri
majlis perkahwinan Cikgu Sara Raihana.
Bagaimanakah keadaan Cikgu Sara sekarang? Tentu sedang
bergembira, bisik hatinya.
SARA Raihana tiba di wad kecemasan Hospital Taiping
dan dia melihat beberapa orang ahli keluarga Izzat Hafis
berkumpul di situ dengan wajah sugul. Dia mendapatkan
emak mentuanya yang sedang duduk di sebelah Rosliana,
isteri Khairul Hafis. Air mata menitis kembali bersama sendu
apabila emak mentuanya memeluk erat tubuhnya. Seketika
kemudian pelukan dileraikan. Mak Zainab memandang wajah
menantunya yang mulai sembab kesan menangis terlalu lama.
Ada pilu yang mendalam di dalam hatinya tetapi sedaya upaya
dia menahan kepiluan itu.
“Mak, macam mana keadaan Abang Izzat?” tanya Sara
Raihana dalam sendu.
Mak Zainab cuba mengawal perasaan. Dia masih berharap
agar keadaan Izzat Hafis akan bertambah baik.
“Sara, sabar ya, nak. Kita doakan agar Izzat dan Imran
selamat,” pujuk Mak Zainab sambil mengesat air mata Sara
Raihana dengan tangan.
Sara Raihana hanya mengangguk lemah. Keluarga Sara
Raihana yang datang turut kelihatan sugul.
“Macam mana yang lain?” tanya Mak Cik Rohaya setelah
dia tidak melihat kelibat beberapa orang lain yang turut berada
di rumahnya petang tadi.
“Ayah, pak ngah dan Harris dah meninggal,” terang
Rosliana di dalam tangisan yang masih bersisa. Sesekali dia
mengelap air mata dengan lengan baju.
Mak Ngah Milah telah pengsan ketika mengetahui
kematian suami dan anaknya yang sedang dirawat di dalam
bilik rawatan. Izzat Hafis mengalami kecederaan yang serius
dan sedang koma manakala adiknya Imran Hafis tidak
mengalami kecederaan yang parah. Khairul Hafis dan anakanak
Pak Ngah Salim yang lain sedang menguruskan tuntutan
jenazah untuk dibawa pulang.
Sara Raihana berdoa di dalam hati tidak berhenti-henti
dan sesekali matanya memandang ke pintu bilik kecemasan
itu. Berharap agar ada berita tentang suami dan adik iparnya.
Tiba-tiba bahunya disentuh seseorang. Dia berpaling dan
terpandang Cikgu Maimunah. Segera dia bangun dan memeluk
Cikgu Maimunah. Sebenarnya Sara Raihana telah menghantar
mesej kepada Cikgu Maimunah memberitahu keadaan Izzat
Hafis sewaktu berada di dalam perjalanan ke hospital.
“Kak Mai! Izzat masih kat dalam.” Sara Raihana berkata
dalam tangisan.
“Bersabarlah, Sara. Semoga Izzat selamat,” ujar Cikgu
Maimunah, cuba menenangkan Sara Raihana dan mengusapusap
lembut belakang Sara Raihana. Hatinya turut sedih dan
tanpa dipinta air matanya mengalir jua.
Pintu bilik kecemasan dibuka dan wajah sugul seorang
Pegawai Perubatan kelihatan. Semua mata tertumpu ke
arahnya.
“Maaf, boleh saya jumpa orang yang paling hampir dengan
Izzat Hafis bin Abdul Razak, sama ada isteri atau ibunya?”
Mendatar suara Pegawai Perubatan itu.
Mak Zainab dan Sara Raihana segera mendapatkan
Pegawai Perubatan itu manakala yang lain turut berada di
belakang mereka.
“Sabarlah mak cik, puan. Kami dah sedaya upaya
menyelamatkan nyawanya tapi ALLAH lebih sayangkannya.”
Izzat Hafis sudah menyahut panggilan ILAHI. Pergi
meninggalkan semua yang dicintai.
“Ya ALLAH, anakku!” teriak Mak Zainab dan serentak
dengan itu tubuh Mak Zainab melorot ke bawah walaupun
tubuhnya masih dipeluk Rosliana.
Sara Raihana terpaku tanpa kata dengan wajah yang amat
terkejut. Kemudian tubuh itu perlahan-lahan jatuh terkulai,
pengsan. Mak Cik Rohaya yang sememangnya berada di sisi
Sara Raihana segera menyambut tubuh anaknya agar tidak
terhempas ke lantai.
“Sara...Sara...” panggil Mak Cik Rohaya, cuba menyedarkan
Sara Raihana tetapi gagal.
Air matanya makin lebat menuruni pipi. Matanya dapat
melihat tubuh lesu Mak Zainab yang dipapah Rosliana untuk
duduk di kerusi. Kepiluan mencengkam hatinya apabila
terpandang wajah pucat anaknya yang berada di pangkuan.
Sara, tak sampai sehari Sara dah jadi janda. Macam mana
nasib Sara nanti? Hebat sungguh dugaan ALLAH buat Sara. Ibu
harap Sara akan tabah dan kuat untuk tempuh ujian ni, bisik
hati Mak Cik Rohaya pedih dan penuh simpati.