SARA Raihana yang tiba di rumah lewat petang itu terus
melabuhkan badan di hadapan televisyen. Norita hanya memerhati perlakuan Sara
Raihana tanpa kata. Dia tidak mahu konsentrasinya terganggu jika bersembang
dengan Sara Raihana. Hero Korea pujaannya, Yu Ji-tae sedang beraksi di skrin.
Setelah selesai menonton, Norita baru terperasan yang Sara Raihana sedang
lena sambil memeluk Putih, teddy bear yang bersaiz besar. Dia
menghampiri Sara Raihana dan duduk di sisinya.
“Sara, bangun. Dah nak masuk Maghrib ni,” kejut Norita tetapi Sara Raihana
terus memusingkan badan membelakangkan Norita.
“Amboi! Orang kejut elok-elok tak nak bangun,” kata Norita.
Kemudian akal nakalnya muncul untuk mengusik Sara Raihana. Dia menyelak
rambut Sara Raihana yang menutupi sebahagian muka lalu hujung jarinya
bermain-main di telinga Sara Raihana. Tangan Sara Raihana menepis jari Norita
dan meneruskan tidur. Norita memegang hujung rambut Sara Raihana dan dengan
hujung rambut itu dia melayang-layangkan ke pipi Sara Raihana. Sara Raihana
tertawa kecil kerana kegelian tetapi matanya masih tertutup. Norita mendekatkan
mulutnya ke telinga Sara Raihana.
“Sayang, bangun!” Norita bertempik di telinga Sara Raihana, membuatkan gadis
itu bingkas bangun sehingga mukanya terlanggar kepala Norita.
Kedua-dua mereka mengaduh kesakitan.
“Apalah kau ni, Ita. Tempik sampai naik pekak telinga aku.”
“Dah kau tak nak bangun. Aku dah gerak elok-elok tadi, kau buat dek aje.”
“Sakit tau muka aku,” adu Sara Raihana sambil meraba-raba muka.
Norita memerhati wajah Sara Raihana dengan rasa bersalah.
“Eh, lebamlah pipi kau. Aku betul-betul mintak maaf,” ucap Norita sambil
turut mengusap-usap pipi Sara Raihana yang lebam.
“Nanti aku ambil ais, kita tuam kat tempat lebam tu.”
Norita segera mengambil ketulan ais lalu dimasukkan ke dalam tuala kecil dan
dituam berkali-kali ke pipi Sara Raihana. Rasa sakit di pipinya berkurangan.
“Aku rasa dah okey sikit. Terima kasih, Ita,” ucap Sara Raihana.
“Sama-sama kasih.”
Jawapan yang selalu diberi Norita bila kawan-kawan perempuannya mengucapkan
terima kasih.
“Kau tahu tak yang Abang Khairul sekeluarga dah sampai kat rumah Mak Zainab
tengah hari tadi?” tanya Norita.
“Tak. Tak ada pulak mak beritahu,” jawab Sara Raihana.
“Dia cakap dia ada telefon kau, tapi tak dapat,” balas Norita.
“Tempat aku pergi tadi tak ada line. Tak boleh nak call.
Mungkin sebab tu tak dapat,” jawab Sara Raihana teringat kembali rombongan yang
diikutinya pagi tadi.
“Pagi tadi aku pergi shopping. Lepas tu aku singgah hantar barang
dapur ke rumah Mak Zainab. Masa aku sampai rumah dia, aku nampak Lina baru aje
keluar dari rumah. Tergesa-gesa aje dia pergi bila nampak aku. Bila aku tanya
Mak Zainab sebab Lina datang, dia jawab Lina datang melawat dia dan Imran.
Lepas Lina pergi, Abang Khairul sampai,” panjang huraian Norita.
“Lina? Apa dia nak? Takkan sekadar melawat aje?” soal Sara Raihana
bertubi-tubi.
Norita sekadar mengangkat bahu.
“Eh, dah pukul berapa ni?” tanya Sara Raihana sambil mengambil telefon untuk
melihat waktu. “Jom, mandi,” sambungnya bila dilihat jam sudah menunjukkan
masuk waktu Maghrib.
“Tak naklah aku mandi dengan kau. Aku bukan lesbian tau,” kata Norita
bergurau. Tak boleh tersilap cakap dengannya, pasti ada ayat yang
dipusingkannya.
Sara Raihana yang geram dengan jawapan Norita membaling bantal kecil
kepadanya. Norita hanya ketawa mengekek.
“Hisy, aku pun tak ingin. Maksud aku mandi asing-asing. Waktu Maghrib dah
masuk. Nanti lambat pulak nak ke rumah mak.”
“Okey...okey...janganlah marah. Nanti cepat tua.”
Norita berhenti ketawa. Sara Raihana melangkah ke bilik dengan senyuman.
Norita menutup televisyen dan masuk ke bilik.
MEREKA tiba di rumah Mak Zainab semasa Mak Zainab sedang
sibuk mengeluarkan makanan laut untuk dibakar Khairul Hafis. Malam itu mereka
adakan jamuan tertutup untuk ahli keluarga terdekat dan jiran sebelah
menyebelah. Jamuan itu adalah untuk menyambut kepulangan Khairul Hafis ke tanah
air setelah mengikuti pelayaran misi bantuan kemanusiaan ke Afghanistan.
Kak Su yang merupakan jiran di sebelah kanan rumah Mak Zainab hadir sekeluarga
pada malam itu dan sedang sibuk menolong Mak Zainab menyediakan jamuan.
Manakala jiran di sebelah kiri pula merupakan lelaki-lelaki bujang yang menyewa
di rumah itu.
“Sara, ramai jugak lelaki yang menyewa rumah sebelah tu, ya?” kata Norita
sambil memerhatikan tetamu-tetamu lelaki yang dimaksudkan.
“Manalah aku tahu. Tiap kali datang pun bukan nampak kesemuanya. Yang asyik
kita nampak Abang Mail dan Abang Hilal. Lain-lain tu aku tak pernah nampak,”
jawab Sara Raihana.
Mereka bergerak melepasi kumpulan lelaki sebelum masuk ke dalam rumah. Ada
mata yang mencuri pandang ke arah mereka berdua. Khairul Hafis yang sedang
membawa daging kambing yang telah diperap terhenti bila melihat Sara Raihana
dan Norita. Dia bertanyakan khabar mereka berdua dan kemudian menyambung
kembali kerja-kerja membakar pelbagai karangan laut dan daging kambing.
Setelah selesai menghidang, mereka semua berkumpul di luar untuk menjamu
selera. Sara Raihana duduk di meja taman bersama-sama Rosliana dan Norita.
Mereka bercerita pelbagai kisah dan ada ketikanya mereka ketawa gembira.
“Seronok ke ikut rombongan tadi?” tanya Rosliana kepada Sara Raihana yang
sedang mengupas kulit udang.
“Seronok jugak sampai calar-balar,” jawab Sara Raihana sekadar berjenaka
sambil memasukkan udang yang telah dikupas ke dalam mulut.
“Calar-balar? Kat mana? Kalau lebam tu Kak Ros nampaklah,” kata Rosliana
sambil memerhati tubuh Sara Raihana dari atas ke bawah.
Sara Raihana hampir tersedak, tetapi pantas tangannya mencapai gelas
minuman. Diminumnya air itu agar udang yang terlekat turun melalui kerongkong.
Ada kelegaan di situ. Norita yang memerhati hanya ketawa kecil.
“Sara tak apa-apa?” tanya Rosliana sambil mengurut-urut belakang Sara
Raihana.
“Tak apa-apa, tersedak sikit,” jawab Sara Raihana.
“Tadi kata calar-balar. Sara jatuh ke?” tanya Rosliana lagi.
“Sikit aje calar kat tapak tangan dan siku. Sara jatuh masa kat laluan ke
Tasik Meromitik.”
“Jatuh? Sikit apa sampai lebam pipi tu,” kata Rosliana sambil berkerut dahi.
“Jatuh tak teruk sebab tu calar aje. Yang lebam ni sebab Cik Ita cium,” kata
Sara Raihana sambil menjeling Norita.
“Apa pulak aku? Kau yang lagakan pipi kau ke kepala aku siapa suruh?” kata
Norita mempertahankan diri.
Dia menjelir separuh lidah kepada Sara Raihana. Rosliana hanya menggeleng-geleng
melihat telatah mereka berdua yang persis Amar dan Anis, iaitu anak-anaknya
sewaktu bergaduh. Rosliana bangun meninggalkan mereka berdua apabila Anis
memintanya menemani ke bilik air. Kesempatan itu diambil Abang Mail untuk duduk
bersembang dengan mereka. Dia membawa bersama daging kambing yang telah siap
dipanggang. Khusus untuk mereka berdua.
“Terima kasih, Abang Mail,” ucap Sara Raihana setelah daging itu diletakkan
di hadapannya.
Abang Mail sebenarnya telah beristeri tetapi isterinya tinggal di Melaka
bersama-sama anaknya. Dia bekerja sebagai pegawai bank dan setiap kali cuti
pasti dia pulang ke Melaka. Tetapi hari itu dia tidak pulang ke Melaka kerana
gilirannya pula bekerja lebih masa di bank.
“Eh Sara, kenapa pipi kau lebam? Ita tumbuk ke?” tanya Abang Mail setelah
dia duduk di kerusi yang Rosliana duduk sebentar tadi.
“Haah, Ita tumbuk,” jawab Norita bersahaja.
“Wow! Ganas jugak kau ni, Ita. Takut pulak Abang Mail nak rekomen kau kat
seseorang.”
“Nak rekomen untuk siapa?” tanya Sara Raihana, berminat.
“Sara nampak tak lelaki yang pakai t-shirt kuning belang hitam, kat
sana tu?”
Mereka semua memandang ke arah yang ditunjuk Abang Mail.
“Lelaki yang rambutnya belah kat tengah tu? Handsome jugak,” komen
Sara Raihana.
Norita yang mendengar hanya mengakui di dalam hati. Terasa malu bila Abang
Mail dan Sara Raihana cuba memadankannya dengan lelaki itu.
“Namanya Alif Ajmal, kerja pegawai bank, umur 26 tahun, sihat tubuh badan,
tinggi lima kaki tujuh inci, masih bujang trang tang-tang,” kata Abang Mail
berjenaka, membuatkan mereka ketawa.
“Biar Abang Mail panggil dia. Nanti boleh berkenalan,” cadang Abang Mail
sambil melambai-lambai ke arah Alif Ajmal.
“Jangan, Abang Mail. Malulah,” tegah Norita tetapi sudah terlambat kerana
Alif Ajmal telah menghampiri mereka dan kemudian duduk di sebelah Abang Mail.
Norita tertunduk. Sara Raihana tahu itulah peluangnya untuk mengusik Norita
yang selama ini lebih banyak mengusiknya. Abang Mail memperkenalkan Norita dan
Sara Raihana kepada Alif Ajmal.
“Alif, asal dari mana?” tanya Sara Raihana.
“Saya dari Kedah,” jawab Alif Ajmal.
“Suka makan yang pedas-pedas tak? Masak lemak cili api ke?” tanya Sara
Raihana menduga.
“Suka! Lagi pedas lagi bagus,” jawab Alif Ajmal.
“Padanlah tu Abang Mail. Dua-dua suka pedas,” sakat Sara Raihana menyebabkan
Norita menjeling ke arahnya.
“Betullah! Ita kan orang Negeri, tentu suka yang pedas. Elok, memang elok,”
sambut Abang Mail pula.
Alif Ajmal hanya tersenyum meleret tetapi Norita yang telah terkunci
lidahnya, memasamkan muka.
“Alif, kalau kahwin dengan orang Negeri Sembilan, kena ikut Adat Pepatih.”
Makin seronok Sara Raihana mengusik.
“Kena masuk suku,” kata Abang Mail sambil ketawa.
“Kalau dah suka, jangan kata suku, semua pun tak apa. Jiwa dan raga sanggup
dikorbankan,” ujar Alif Ajmal menambah usikan sehinggakan Norita diam tidak
berkata apa-apa. Mukanya masam dan dalam hatinya menggerutu kerana dipermainkan
mereka bertiga.
“Tak baik Abang Mail dan Alif kata macam tu. Tengok Ita dah merajuk.”
Sara Raihana segera memintas jenaka mereka itu bila dia merasakan Norita
tidak suka orang mempermainkan Adat Pepatihnya.
“Maafkan Abang Mail, Ita.”
“Mintak maaf, Ita. Saya tak berniat nak mempersenda Ita. Mungkin perkataan
tu dah jadi kebiasaan bila orang luar bertemu orang Negeri,” kata Alif Ajmal
pula.
“Ya Ita, aku pun mintak maaf. Dulu pun aku tak tahu macam Abang Mail dan
Alif pasal ‘masuk suku’ ni. Tapi bila kau dah cerita, aku boleh faham. Cuba kau
ceritakan kat Abang Mail dan Alif,” kata Sara Raihana pula.
Norita menceritakan serba sedikit tentang Adat Pepatih kepada mereka.
Perbuatan ‘masuk suku’ bermaksud bersaudara dan menjalin ikatan kekeluargaan
dengan seluruh kelompok atau semua anggota suku keluarga angkatnya. Orang luar
khususnya lelaki yang hendak berkahwin dengan orang Adat Perpatih, suku yang
dimasukinya itu harus tidak sama dengan suku bakal isteri. Contohnya, jika
bakal isterinya anggota suku Tanah Datar, maka dia harus menganggotai salah
satu daripada 11 suku lain. Tujuan ‘masuk suku’ ialah suku angkat individu itu
akan bertanggungjawab sepenuhnya jika berlaku sebarang masalah semasa mereka
menjadi menantu kepada suku isterinya.
“Oh, begitu rupanya,” jawab Abang Mail sambil mengangguk faham.
Rosliana yang ingin menyambung kembali makannya yang terhenti tadi, segera
membatalkan niatnya apabila ternampak Sara Raihana sedang ketawa gembira dengan
mereka yang lain. Dia memanggil Mak Zainab untuk melihat keadaan itu.
Mak Zainab tersenyum kerana Sara Raihana telah kembali ceria seperti dahulu
dan sudah boleh bergurau senda. Pemergian Izzat Hafis telah diredainya. Dia
juga berharap agar Sara Raihana menemui jodoh yang sesuai sebagai pengganti
Izzat Hafis. Perlahan-lahan Mak Zainab menarik tangan Rosliana dan mengajaknya
duduk di meja lain.