SARA Raihana berasa lemah di seluruh badan. Ada wayar air yang berselirat di tangan. Matanya yang separuh celik diluaskan agar dapat melihat dengan jelas. Dia baru sedar yang dirinya sedang terbaring dan tangannya disambung dengan wayar ke bekas berisi air. Di mana dia sekarang? Fikirannya cuba mencari jawapan. Seketika kemudian dia dapat melihat kelibat emak mentuanya bersama-sama Norita dan Cikgu Maimunah.
“Alhamdulillah, dah sedar pun.” Terdengar suara Mak Zainab.
“Sara, Sara dengar tak?” tanya Cikgu Maimunah.
“Ya, Kak Mai. Apa yang terjadi, Kak Mai? Sara ada kat mana ni?”
“Sara kat hospital. Tadi Sara pengsan akibat kekurangan air yang serius dalam badan,” terang Norita.
“Hospital? Kekurangan air yang serius?” soal Sara Raihana kehairanan.
“Itulah, orang suruh makan dan minum tak nak. Siapa yang susah? Aku jugak,” kata Norita sekadar mengusik.
“Ya, Sara. Lepas ni Sara kena jaga makan dan minum. Usah diikut perasaan sedih sampai menyeksa diri. Sara sedang menzalimi diri sendiri dengan tindakan begini. Redalah pemergian Izzat jika Sara sayangkannya. Sara kena kuatkan diri, banyakkan ibadah dan ingat selalu pada ALLAH. ALLAH uji kita atas kemampuan kita agar kita dapat tingkatkan keimanan kepada-NYA. Banyakkan bersabar, Sara.”
Kata-kata Mak Zainab yang lembut membuatkan Sara Raihana terfikir seketika. Mak Zainab lebih menderita daripadanya kerana Mak Zainab telah kehilangan suami dan anak, malah seorang lagi anak masih dirawat akibat kemalangan itu. Tapi tidak pernah dia melihat emak mentuanya itu berkeluh kesah atau bersikap sepertinya. Malah Mak Zainab sentiasa nampak tenang. Dia terasa malu pada Mak Zainab.
“Sara, kau tahu tak apa kata doktor?” tanya Norita setelah semua diam seketika.
“Manalah aku tahu.”
“Oh, aku lupa kau pengsan,” kata Norita sambil ketawa kecil.
“Doktor kata keadaan kekurangan air yang berterusan boleh mengundang bahaya yang tak dijangka seperti hipovolemik yang berlaku apabila jumlah darah yang dipam ke organ berkurangan. Ini akan mengakibatkan oksigen yang sampai ke organ dan tisu badan tidak mencukupi. Jika tak diatasi segera, hipovolemik boleh menyebabkan kematian dalam masa beberapa minit.”
“Maafkan Sara. Sara janji lepas ni Sara akan ikuti pemakanan yang betul.” Perlahan nada suara Sara Raihana.
“Syukurlah, setiap kejadian ada hikmahnya,” kata Cikgu Maimunah pula.
“Terima kasih semua sebab bersusah payah kerana Sara. Ita, terima kasih kerana banyak tolong Sara,” ucap Sara Raihana sambil memegang tangan Norita.
“Sama-sama kasih. Kau ni nampak aje kurus tapi berat betul bila aku nak angkat. Silap-silap aku pulak yang pengsan,” jawab Norita, bergurau.
Mereka semua ketawa kecil.
MAK Zainab telah menetapkan agar Sara Raihana makan di rumahnya pada waktu makan tengah hari dan malam, setelah Sara Raihana dibenarkan pulang ke rumah. Sara Raihana terpaksa menurut dan kerap kali membawa Norita bersama. Mak Zainab mengajak Sara Raihana tinggal dengannya tetapi Sara Raihana seringkali menolak dengan alasan menemani Norita yang tinggal keseorangan.
Hubungan mereka menjadi semakin mesra dan setiap hari Sara Raihana membawa Mak Zainab ke hospital melawat Imran Hafis. Imran Hafis telah dibenarkan pulang ke rumah setelah hampir sebulan tinggal di hospital. Mak Zainab amat gembira kerana Imran Hafis telah pulih walaupun kakinya masih bersimen. Anak Kak Su, jiran sebelahnya tidak lagi datang untuk menemaninya waktu malam setelah adanya Imran Hafis. Hari-hari yang mereka lalui banyak mengajar mereka erti kesabaran dan kasih sayang sesama mereka.
Sara Raihana telah mengajak Norita menemaninya untuk membawa Imran Hafis ke hospital bagi membuka balutan simen di kaki Imran Hafis. Mak Zainab turut serta bersama-sama mereka. Setelah selesai semua urusan berkaitan Imran Hafis, mereka bergerak ke tempat letak kereta di pekarangan hospital itu. Sara Raihana memimpin Imran Hafis yang masih bertongkat apabila berjalan. Sakit masih terasa di kakinya.
“Mak, tu Mak Ngah Milah kan?” Imran Hafis bersuara sambil menunjuk kepada dua orang perempuan yang sedang berjalan menuju ke arah mereka.
“Kak Milah, lama tak jumpa. Apa khabar?” tegur Mak Zainab sambil menghulur tangan ke arah Mak Ngah untuk bersalam.
“Hah, Kau Nab. Aku ingat siapa tadi.” Mak Ngah menyambut tangan Mak Zainab dengan endah tak endah sahaja.
“Kak Milah buat apa kat sini?” tanya Mak Zainab masih bersuara mesra.
“Aku ke sini nak ambil ubat. Macam-macam sakit menimpa aku. Ni semua menantu kau punya pasal!” Kasar percakapan Mak Ngah Milah, mengejutkan mereka semua.
“Astaghfirullah. Kenapa Kak Milah cakap macam tu?”
“Betullah apa aku cakap. Menantu kau ni pembawa sial. Baru beberapa jam kahwin dah menyebabkan empat nyawa termasuk anak dan laki aku terbunuh!” Kata-kata Mak Ngah Milah penuh emosi marah.
“Tak adanya sial menantu aku ni. Semua yang berlaku adalah takdir ALLAH. ALLAH yang tentukan jodoh pertemuan, ajal dan maut seseorang. Jangan salahkan Sara dalam soal ni,” jawab Mak Zainab, tegas.
“Itulah kau! Masa aku suruh Izzat kahwin dengan Lina kau tolak. Kalau Izzat kahwin dengan Lina mungkin dia tak mati lagi. Laki dan anak aku pun tentu hidup termasuk Abang Razak,” kata Mak Ngah Milah sambil menunjukkan anaknya, Marlina yang berada di sebelah.
Marlina memandang Sara Raihana dengan pandangan mengejek. Ada riak-riak sedih di wajah Sara Raihana.
“Mengucap, Kak Milah. Kalau dah ajal, meninggallah jugak walau dengan siapa pun Izzat kahwin,” ujar Mak Zainab cuba menenangkan Mak Ngah Milah yang terus-terusan menyalahkan Sara Raihana.
Sara Raihana dan Norita saling berpandangan tanpa kata.
“Mudahlah kau cakap. Aku yang terpaksa tanggung semua. Apa benda yang Abang Salim tinggal untuk aku? Laki kau mati, kau dapat duit pencen, dapat pampasan. Aku tak dapat apa-apa malah hilang segalanya!” marah Mak Ngah Milah tidak terkawal bagaikan dirasuk hantu.
Ramai pengunjung hospital yang memandang ke arah mereka.
“Sabar, Kak Milah. Kita kat tempat awam ni.” Suara Mak Zainab masih tenang.
“Apa sabar-sabar? Semua ni berlaku kerana sial menantu kau ni. Kenapa bukan dia aje yang mati?” Terjegil mata Mak Ngah Milah memarahi Sara Raihana.
Mak Zainab menggeleng-geleng melihat sikap Mak Ngah Milah. Sara Raihana hanya mendiamkan diri di belakang Mak Zainab. Hatinya pedih dituduh sebegitu. Sedaya upaya dia menahan air mata daripada mengalir.
Norita segera memberi isyarat kepada Sara Raihana agar masuk ke dalam kereta. Mereka memimpin Imran Hafis masuk dan mengajak Mak Zainab untuk segera beredar dari situ. Norita memandu kereta Wira keluar dari kawasan hospital tanpa mempedulikan Mak Ngah Milah yang masih memaki hamun mereka.
“Sara, jangan ambil hati tentang apa yang mak ngah kata,” ujar Mak Zainab memujuk Sara Raihana.
“Mungkin betul apa yang mak ngah kata. Sara pembawa sial. Sara yang menyebabkan mereka meninggal.”
Air mata Sara Raihana mengalir jua di pipi.
“Tak baik kata begitu, Sara. Tak ada manusia yang membawa sial. Mungkin dah ajal mereka meninggal pada hari yang sama. Kita tak mampu menahan walau sesaat pun jika ajal menjemput. Jangan salahkan diri sendiri atas apa yang berlaku. Mak tak nak dengar lagi Sara kata begitu. Biarlah Mak Ngah tuduh Sara, tapi mak tahu kebenarannya. Sara menantu mak yang baik.”
Sara Raihana tidak mampu berkata apa-apa. Perasaannya bercampur baur ketika itu. Tetapi apa yang dia tahu, dia amat bertuah kerana mendapat emak mentua yang sangat penyayang. Mereka mendiamkan diri hingga tiba di rumah Mak Zainab.
Sara Raihana memasuki rumah itu dengan langkah longlai. Berlainan dengan Norita. Dia terus ke dapur untuk mengambil air yang sememangnya ada di dalam peti ais. Rumah Mak Zainab dianggap macam rumah sendiri lebih-lebih lagi Mak Zainab pun tidak kisah dia berkelakuan begitu.
“Kak Ita, tolong ambilkan Im air!” jerit Imran Hafis dari ruang hadapan. Dia duduk di sofa sambil menonton televisyen.
“Okey. Tunggu sekejap.”
Norita keluar dengan membawa sedulang air lalu diberi kepada Imran Hafis, Sara Raihana dan Mak Zainab. Dia kemudian melabuhkan punggung di sisi Sara Raihana.
“Mak, kenapa mak ngah marah sangat kat Sara?” tanya Sara Raihana membuka kata.
“Entahlah, Sara. Tapi rasanya mak ngah bukan marahkan Sara, tapi marahkan mak,” jawab Mak Zainab.
“Kenapa nak marah mak cik? Mak cik bukan buat apa-apa pun,” sampuk Norita.
“Hati manusia kita bukan dapat teka. Rasanya dia marah sebab kisah-kisah lama tapi bila ditambah dengan kejadian kemalangan tu makin maraklah jadinya,” jelas Mak Zainab.
“Sara tak faham. Cuba mak cerita kenapa dia boleh jadi macam tu,” pinta Sara Raihana.
Mak Zainab pun memulakan cerita.
“Abah Izzat adalah anak ketiga daripada empat beradik. Mak Long Hawa anak sulung, kedua Pak Ngah Salim dan yang bongsu meninggal sewaktu masih kecil. Tok wan Izzat dah pun bahagi-bahagikan harta pusakanya sebelum meninggal. Abah dapat tanah tapak rumah ni manakala Pak Ngah Salim dapat rumah dan tanah yang tok wan tinggal. Long Hawa dapat sebahagian tanah dusun dan sebahagian lagi tok wan suruh pak ngah dan abah kongsi berdua. Selalunya pak ngah akan mengirimkan bahagian abah bila tiba masa mengutip hasil.”
Mak Zainab berhenti untuk meneguk air. Mungkin kering kerongkong bila bercakap panjang.
“Jadi apa yang membuatkan mak ngah marah kalau pak ngah pun dapat bahagiannya?” tanya Sara Raihana tidak sabar.
“Mak ngah kata tok wan tak adil dalam pembahagian harta sebab abah dapat tanah kawasan pinggir bandar yang lebih bernilai harganya tapi mereka dapat kawasan kampung dengan rumah pusaka yang dah rosak. Tapi rasanya dia paling marah sebab abah berkahwin dengan mak dan bukan dengannya. Bila dia tak dapat jodohkan Izzat dengan Lina, makin bertambah marahnya.”
“Oh, ni kes cemburulah, ya. Patutlah berapi marahnya, api cemburu,” sampuk Norita pula sambil ketawa kecil.
Sara Raihana menampar geram paha Norita kerana mengganggu Mak Zainab bercerita. Mak Zainab turut ketawa melihat gelagat mereka berdua.
“Sambung lagi mak, kacau aje Ita ni,” kata Sara Raihana.
“Tak apalah, setakat tu dulu cerita pasal mak ngah. Nanti bila ada masa mak cerita lagi. Asar dah masuk ni, jom kita solat dulu,” kata Mak Zainab menutup kisah lama sambil bangun untuk bersolat.
Walaupun ada sedikit rasa kecewa kerana Mak Zainab memberhentikan ceritanya tetapi Sara Raihana terpaksa akur. Dia pasti, lambat-laun dia akan tahu rahsia Mak Ngah Milah yang sebenar.
“Jom Ita, solat,” ajak Sara Raihana.
“Cuti,” jawab Norita sambil membaringkan diri di atas sofa.
Sara Raihana tersenyum kecil lalu melangkah masuk ke bilik.