Home Novel Keluarga I LOVE YOU CIKGU
Bab 18

SARA Raihana hanya memerhati Norita yang baru pulang ke rumah sewa. Wajahnya kelihatan gembira dan ceria. Dia membawa pulang popia basah yang menjadi kegemaran Sara Raihana.

“Sara, aku belikan kau popia basah,” ujar Norita sambil menghulurkan sebuah bungkusan kepada Sara Raihana.

“Terima kasih. Bestnya, sayang Ita,” ucap Sara Raihana dan tangannya terus membuka bungkusan itu.

Bau popia yang harum membuka seleranya. Popia basah memang popular di Taiping kerana keistimewaan intinya, bersaiz besar dan bersos cili yang dibuat sendiri. Norita masuk ke dapur dan mencapai dua biji gelas kosong lalu membawanya ke hadapan Sara Raihana yang sedang menikmati popia basah. Norita membuka jus oren yang dibelinya lalu menuangkan ke dalam gelas-gelas itu.

“Kau keluar dengan Alif ke?” tanya Sara Raihana setelah Norita duduk di sebelah.

“Ya, kami pergi makan Kuetiau Doli. Aku teringatkan kau. Itu yang beli popia basah ni,” jawab Norita sambil memasukkan popia ke mulut.

Kuetiau Doli adalah kuetiau kerang yang terkenal di Bandar Taiping dan diusahakan peniaga bumiputera bermula dari gerai biasa dan berkembang maju sehingga menjadi sebuah restoran.

“Kau betul-betul serius ke dengan Alif?” Norita mengangguk.

“Alif cadang nak masuk meminang lepas raya puasa nanti.”

“Baguslah macam tu. Tak elok tunggu lama-lama, nanti dikebas orang,” kata Sara Raihana sambil ketawa kecil.

“Tapi aku ada masalah. Ibu bapa aku tak tahu yang aku berkawan dengan Alif. Aku takut mereka tak dapat terima pilihan aku,” kata Norita agak perlahan.

“Aku rasa elok kau berterus terang aje dengan mereka.”

“Kau tak kenal ibu bapa aku. Bukan boleh dibawa berbincang.”

“Kau tak cuba pun lagi. Entah-entah mereka boleh terima Alif dengan baik.”

“Aku harap begitulah. Sebenarnya aku tak nak lukakan hati ibu bapa aku. Dulu masa kakak aku, Kak Ani nak kahwin dengan Abang Aman, ibu membantah sebab ibu ada pilihan lain. Kak Ani yang tak puas hati dengan ibu, terus kahwin lari dengan Abang Aman. Sampai sekarang Kak Ani tak pulang-pulang ke kampung. Ibu malu bukan kepalang,” cerita Norita tanpa dipinta.

“Berapa lama dah Kak Ani larikan diri?” tanya Sara Raihana mulai berminat dengan cerita Norita.

“Dah nak masuk dua tahun. Sebab tu aku takut hati dia terluka jika tahu aku pun berkawan dengan orang luar, bukan orang Negeri.”

“Abang Aman tu orang mana?”

“Kelantan.”

“Aku simpati dengan kau tapi apa-apa hal pun kau kena bincang baik-baik dengan Alif dan kemudian beritahu ibu bapa kau. Alif berani ke nak jumpa ibu bapa kau, Ita?”

“Masa dia kata nak masuk meminang tadi, aku dah beritahu hal ni. Dia kata sanggup pergi ke rumah aku kat kampung untuk berbincang.”

“Baguslah tu. Sekarang semuanya terletak atas kepandaian kau mencairkan hati ibu bapa kau. Kata orang kalau nak tarik rambut dalam tepung, tepung jangan berselerak, rambut jangan putus,” kata Sara Raihana sambil menuang air ke gelasnya.

Norita hanya mendiamkan diri. Dalam hati mengiakan kata-kata Sara Raihana.

“Macam mana cuti kau? Seronok?” tanya Norita, mengalihkan persoalan tentang dirinya.

“Seronok sebab dah lama aku tak balik. Kau tahu tak, Chan pergi ke rumah aku dengan adiknya,” kata Sara Raihana ceria.

“Chan ke sana?” soal Norita terkejut dengan perkhabaran itu.

“Ya, aku pun terkejut bila dia telefon kata nak ke rumah aku. Dia bawa kereta bapa dia.”

“Dia dah ada lesen ke?”

“Baru dapat lesen dan sebab tulah dia bawa adik dia berjalan-jalan,” terang Sara Raihana.

“Selalunya kalau budak lelaki dapat lesen tentu dia nak bawak awek dia jalan-jalan. Ini tak, bawak adik dia pulak.”

“Manalah aku tahu. Dah dia kata macam tu, aku beritahu aje,” kata Sara Raihana.

Dia juga memberitahu Norita yang mereka bersiar-siar di Batu Feringgi dan kemudian tidur di rumahnya. Malah diceritakan juga yang ibu bapanya telah menganggap mereka sebagai anak angkat.

“Aku hairanlah dengan Chan,” ujar Norita.

“Kenapa?”

“Kat sekolah aku nampak dia kerap cari kau. Sanggup pulak tu tunggu kau kat tempat letak kereta setiap pagi. Bila cuti, dia bersusah payah cari kau sampai ke Bukit Mertajam pulak. Jangan-jangan ada apa-apa tak?”

“Maksud kau?” Sara Raihana merenung Norita dengan hairan.

“Mungkin dia dah jatuh cinta kat kau, Sara?”

Soalan Norita membuatkan Sara Raihana terkejut. Berkerut dahinya buat seketika. Betulkah begitu? Kalau betul, kenapa tak gembira? Pelbagai persoalan menyerbu di kepalanya.

“Aku tak fikir begitu,” kata Sara Raihana cuba menafikan walaupun dia tahu telahan Norita ada benarnya.

“Kalau betul dia cintakan kau, kau nak buat macam mana?” tanya Norita terus menduga.

“Tak mungkinlah. Akukan lebih tua daripada dia. Dia dah macam adik aku sendiri. Lebih-lebih lagi dia saudara baru yang perlu kita bimbing. Jadi aku rasa tak salah kalau dia rapat dengan aku atas sebab tu. Kau jangan fikir yang bukan-bukanlah, Ita,” ujar Sara Raihana terus menafikan.

“Tapi aku tak rasa dia hanya anggap kau sebagai kakak angkat dan pembimbing. Aku yakin dia benar-benar syok kat kau. Kalau tak kenapa dia nak buat semua tu?”

“Aku rasa Chan sukakan aku sebagai seorang kakak. Dia pun dah anggap keluarga aku macam keluarga dia. Malah abah dan ibu aku setuju bila aku kata aku nak tolong Chan kerana ALLAH. Chan masih perlukan bimbingan kita untuk mantapkan iman dia.”

“Aku faham niat baik kau. Tapi boleh ke orang lain terima alasan kau?”

“Hati orang kita tak boleh nak puaskan semuanya, Ita. Apa yang penting, aku ikhlas nak tolong dia.” Mendatar suara Sara Raihana. Dia sedar risiko yang bakal dihadapinya nanti.

“Betul, tapi hati-hatilah. Aku takut orang akan mengata kau kerana tak memahami tujuan kau. Tapi aku lebih takut jika suatu hari, adik jadi abang pulak,” ujar Norita sambil tersenyum penuh bermakna.

“Ada-ada aje kau ni. Dahlah, aku nak pergi gosok baju. Esok takut lambat pulak nak ke sekolah,” kata Sara Raihana sambil bergerak masuk ke bilik. Dia cuba mengelak daripada terus membicarakan soal itu.

Norita hanya melihat langkah Sara Raihana. Hatinya dapat merasakan yang suatu hari perkara itu akan mendatangkan masalah kepada temannya itu. Dia terus duduk melihat rancangan televisyen. Tetapi fikirannya mulai menerawang memikirkan kesudahan hubungannya dengan Alif Ajmal.

Previous: Bab 17
Next: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.