INDAHNYA pemandangan di tempat itu. Udara yang
segar dan nyaman begitu mengasyikkan. Pelangi pada
waktu petang kelihatan di ufuk barat menambahkan
seri suasana di situ. Terasa damai di sanubari. Kelihatan
sekumpulan kanak-kanak sedang asyik bermain sambil
ketawa gembira. Mereka berlari-lari di celah pokok-pokok
yang lebat buahnya. Di satu sudut kelihatan beberapa orang
dewasa asyik memerhatikan gelagat mereka.
Izzat Hafis memandang sekeliling dengan senyuman.
Dia belum pernah melihat tempat setenang itu. Sangat
mengujakan. Itulah perasaannya ketika itu. Seketika kemudian
dia berkerut dahi. Terlintas di fikiran, di manakah dia berada?
Tempat itu terasa asing. Bagaimana dia boleh berada di situ
sedangkan tadi dia masih berada di bilik?
“Izzat!” Satu suara memanggil namanya.
Izzat Hafis berpaling ke arah suara itu dan dia melihat
seorang lelaki berjubah panjang serba putih. Janggut dan
keningnya kelihatan keputih-putihan juga. Wajah itu begitu
tenang dan mendamaikan. Bibirnya mengukir senyuman.
Izzat Hafis kenal lelaki itu.
“Mari ikut atuk ke sana.”
Lelaki itu menunjukkan ke arah sekumpulan lelaki yang
lain. Baru Izzat Hafis terperasan, kesemua mereka berpakaian
serba putih termasuk dirinya. Dia makin keliru. Perlukah dia
mengikut lelaki itu?
Tiba-tiba kedengaran azan sayup-sayup berkumandang.
Izzat Hafis cuba membuka mata. Matanya digosok berkalikali.
Segera dia bangun dan duduk di birai katil. Dipandang
sekeliling, baru dia terperasan yang dia berada di dalam
biliknya sendiri. Tapi ke manakah datuknya menghilang? Izzat
Hafis mencapai tuala di hujung katil dan serentak dengan itu
ada sesuatu yang terjatuh. Diangkatnya bingkai gambar yang
terjatuh itu.
Nasib baik tak pecah, bisik hati Izzat Hafis. Gambar
tunangnya itu ditenung lama. Tidak sampai sebulan lagi
mereka akan disatukan di dalam ikatan perkahwinan. Ada
kerinduan yang bertamu. Spontan dia mengucup gambar itu
dan meletakkan kembali gambar itu di atas meja. Segera dia
melangkah ke bilik air untuk membersihkan diri.
Setelah selesai menunaikan Solat Subuh, Izzat Hafis
bersiap-siap untuk ke tempat kerja. Sudah dua hari dia
bertugas di salah sebuah sekolah menengah di daerah Muar,
Johor. Jarak telah memisahkan dia dengan tunangannya, Sara
Raihana. Tapi dia bersyukur kepada ALLAH kerana tempat
bertugas Sara Raihana tidak jauh dari rumah ibu bapanya
di Assam Kumbang, Perak. Tangannya mencapai telefon lalu
mendail nombor telefon Sara Raihana.
“Assalamualaikum.” Riang terdengar suara Sara
Raihana.
“Waalaikumussalam. Sara apa khabar? Macam mana
sekolah, okey tak?”
“Alhamdulillah, baik. Sekolah ni pun okey. Kawan-kawan
kat sini baik-baik belaka dan banyak membantu.”
“Alhamdulillah, senang hati abang mendengarnya.”
“Sara dah dapat kawan serumah. Norita namanya, cikgu
baru yang sama-sama bertugas kat sini. Dia kongsi menyewa
dengan Sara.”
“Baguslah tu. Adalah kawan buat teman Sara nanti, taklah
risau hati abang.” Ada rasa sayu di hati Izzat Hafis.
“Maaf, abang. Sara tengah memandu ni. Insya-ALLAH
nanti Sara telefon balik. Err... Norita kirim salam. Dia ada kat
sebelah Sara.”
Terdengar ketawa kecil di hujung talian sebelum talian
dimatikan. Izzat Hafis hanya menghela nafas yang panjang.
Hajat hati untuk berbual lebih lama terbantut. Mungkin Sara
Raihana malu dengan Norita.
Sepanjang hari itu Sara Raihana tidak menelefon Izzat
Hafis. Ini menyebabkan Izzat Hafis resah menanti. Menjelang
malam, baru Sara Raihana menghubunginya.
“Maafkan Sara, bang. Hari ni Sara sibuk sangat. Itu yang
tak dapat telefon siang tadi.”
“Tak apa. Asalkan Sara sentiasa ingat dan doakan abang,
dah cukup bermakna hidup abang.”
“Insya-ALLAH, Sara akan sentiasa doakan.”
“Kalau suatu hari nanti abang tiada lagi di sisi Sara, tolong
tengok-tengokkan mak abang, ya.”
“Insya-ALLAH. Tapi kenapa abang kata macam tu?”
“Entahlah Sara, abang masih mimpikan arwah datuk yang
berpakaian serba putih. Dia nak abang ikut dia.”
“Abang rindukan dia agaknya. Sebaik-baiknya bila kita
ingatkan orang yang telah tiada, kita bacakan Surah al-Fatihah
dan Surah al-Ikhlas sebanyak tiga kali. Niatkan sedekah
pahala bacaan tu kepada arwah. Mudah-mudahan ALLAH
mencucuri rahmatnya. Janganlah risau,” ujar Sara Raihana
cuba menenangkan Izzat Hafis.
Tangannya mencapai buku di atas meja. Muka surat yang
ditandanya terlebih dahulu dibuka.
“Abang sendiri tak pasti, Sara,” jawab Izzat Hafis.
“Abang dengar ni. Hadis yang diriwayatkan Imam
Bukhari dan Muslim, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud,
IMANISA RIANA
‘Mimpi yang baik adalah daripada ALLAH,
sedangkan mimpi
yang menakutkan berasal
daripada syaitan. Barangsiapa
bermimpi yang tidak
menyenangkan, hendaklah dia meludah ke
sebelah kiri tiga kali dan
berlindung diri kepada ALLAH daripada
syaitan, sehingga mimpi itu
tidak membahayakannya.’Jadi,
jika
abang rasa mimpi tu daripada syaitan, cubalah buat apa yang
Rasulullah sabdakan tu,” ujar Sara Raihana membacakan
petikan hadis daripada buku Himpunan Hadis yang berada
di tangannya.
“Insya-ALLAH. Terima kasih, Sara. Bila abang bercakap
dengan Sara, rasa bersemangat dan kuat untuk menempuhi
hidup ini. Abang harap Sara boleh berikan semangat dan
dorongan untuk abang pada waktu susah mahupun senang.”
“Insya-ALLAH, Sara akan sentiasa sokong abang.”
Ada senyuman di wajah Izzat Hafis. Tidak sia-sia dia
memilih Sara Raihana sebagai teman hidup. Dia yakin Sara
Raihana mampu menjadi isteri yang solehah.
“Sara, abang mintak diri dulu. Nak ikut kawan pergi
makan. Mereka dah tunggu kat luar.”
“Baiklah. Nanti bila lapang Sara telefon lagi.”
“Okey. Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam. Semoga malam ni mimpi yang
indah,” kata Sara Raihana sambil ketawa manja.
“Insya-ALLAH,bye.”
Talian dimatikan. Izzat Hafis tersenyum lebar sambil
melangkah mendapatkan kawan-kawannya yang sedang
menanti di luar.