INTAN: KELOPAK KASIH YANG TERSIAT
INTAN : KELOPAK
KASIH YANG TERSIAT
Intan
tekun menaip. Artikel mengenai poligami perlu disiapkan segera untuk keluaran
bulan September. Tidak boleh tidak, hari ini mesti siap. Jika tidak, dia
terpaksa berdepan dengan kemarahan Encik Helmi, Ketua Pengarang majalah BICARA
KASIH. Akan banyaklah nanti soal jawab yang harus dilaluinya. Rungutan lelaki
setengah abad itu bukan saja akan menerjah gegendang telinganya, bahkan akan
berjangkit ke telinga orang lain juga. Ia seperti virus yang menular dan
berjangkit. Kasihan rakan taulan yang ada di sekelilingnya, kerana dia mereka
juga akan terkena getahnya nanti.
Bahan penulisan yang berkaitan sudah ada di tangannya.
Semua sudah lengkap. Selama beberapa hari dia mencari orang-orang yang sesuai
untuk ditemuramah. Artikel mengenai poligami bukan artikel yang mudah. Ia
membabitkan masalah hukum hakam agama.Jadi semuanya kena teliti. Tersilap
tulis, bermakna dia melanggar hukum Tuhan. Hukum tidak mengharamkan suami
beristeri lebih dari satu jika ada kemampuan dan ada alasan yang manasabah.
Hanya manusia yang bernama wanita sering menolak kemungkinan terlaksananya
hukum itu. Tapi mereka juga tidak menolak tanpa sebab. Mereka mempunyai alasan
yang boleh dipakai akal. Mereka ada kelogikan untuk tidak berkongsi kasih.
“Kita
akan cuba untuk bulan September. Jika ada sambutan pembaca, kita akan teruskan
dan jadikannya sebagai ruangan tetap. Rasanya awak yang paling sesuai untuk
menyiapkan artikel ini Intan.”
“Kenapa
saya? Bukankah masih ramai wartawan wanita lain yang lebih berpengalaman?”
“Semuanya
sudah ada assignment sendiri. Malah jadual mereka sudah padat sendat
untuk beberapa bulan ini. Hanya awak yang masih kosong. Dan saya rasa ia memang
sesuai sangat,” ujar Encik Helmi dengan kerlingan mata dan senyum sinis. Sakit
juga hati Intan dengan senyuman itu. Namun dia terpaksa menerimanya,
sebagaimana dia menerima tugas yang diberikan itu.
Mahu tak mahu dia terpaksa juga menerima tugas itu. Nak
kata berat tu memang tidaklah berat sangat kerana sebelum ini pun ada bermacam assignmentyang
lebih berat sudah dibuatnya. Cuma kali ini, isu yang diberi agak sensitif dan
melibatkan sentimen peribadinya sebagai wanita juga sebagai isteri.
“Kena sungguhlah skop tu dengan kau Intan.
Sekurang-kurangnya kau boleh lepaskan geram dan sakit hati kau tu nanti,” kata
Nora rakan setugasnya ketika Intan menyebut
assignment barunya itu.
“Lepaskan geram?
Apa pula?” Intan terpinga-pinga.
“Janganlah berlindung di sebalik daun sehelai Puan Intan
oi !.Bukan kami tak tahu siapa Intan Fariha sebenarnya!” Nora
ketawa mengekek. Seperti ada sesuatu yang menggeletek hatinya.
“Apa yang kau tahu?” Intan sengaja menduga.
“Kura-kura dalam perahu, pura-pura tidak tahu,” usik Nora
lagi dengan ketawa sinis.
Ring…Ring…telefon
bimbitnya berdering.Dia mengambil telefon itu. Dari nombor yang tertera dia
tahu siapa pemanggilnya. Intan bangun dan meninggalkan monitor sebentar.
Rasanya tidak selesa berbual di hadapan tugas yang belum selesai itu. Dia
menjawab panggilan sambil berjalan ke ruang rehat dan mencapai sebiji gelas
lalu menuangkan air.
“Sayang
dah makan?”
“Belum,”
“Kenapa
belum keluar makan lagi.Kan dah dekat pukul 2.00 petang ni. Nanti perut tu masuk
angin, kena gastrik pula nanti.”
“Kerja banyak. Rasa tak selera nak makan. Artikel tu
mesti siap hari ini. ”
“Kerja tu kerja juga. Tapi tak kan makan pun bertangguh.
Sayang tengah siapkan artikel apa kali ini?”
“Mengenai poligami.”
“Poligami?”
“Ya…mengenai poligami. Kenapa? Salahkah?”
Kedengaran suara ketawa yang parau di hujung talian.
Namun Intan faham. Dalam ketawa ada resah yang mendesah. Dalam ketawa ada
bimbang yang menjelang. Ada gelisah yang tak kunjung padam.
“Salah tu tidak. Tapi…teruklah kaum lelaki kena hentam
nanti.”
“Kenapa pula?”
“Jika penulisnya wanita. Biasanya dia akan memihak kepada
kaumnya. Tengok sajalah di mana-mana forum dan seminar mengenai poligami yang
disertai wanita, suasananya sama. Mereka jadikan majlis begitu untuk menghentam
lelaki. Malah ada yang mencipta formula untuk menentang poligami. Formula satu
isteri = satu suami misalnya, itu semua idea kaum wanita,”
Intan ketawa. Tiba-tiba dia rasa geli hati dengan
ketakutan di sebalik suara itu. Dia tahu apa yang dimaksudkan oleh sipemanggil.
Dia tahu keluh kesah yang ada di dada lelaki itu. Dia faham sangat dengan
sikapnya. Apa yang tersirat di sebalik yang tersurat dimakluminya
sangat-sangat. Malah yang berselirat di sebalik fikiran dan perasaannya juga cukup
difahami..
“Kenapa? Abang takut Intan hentam abang?”
“Takut tu tidak. Tapi…abang mahu sayang adil dalam
menentukan pandangan. Tidak semua lelaki yang berpoligami itu bersalah dan
perlu dihukum. Banyak sebab ianya berlaku. Dan sebab yang paling utama sekali
ialah takdir. Jika takdir sudah menentukan, mengelak macam mana pun ia tetap
akan terjadi. Tapi jika tidak tertulis di Loh Mahfuz, bercinta dan intim macam
mana pun tetap tidak akan kahwin,”
“Abang nak Intan tuliskan pendapat abang ini?”
“Tak payahlah, Intan tak perlu tulis. Nanti nama abang glamour
hingga seentero dunia. Payah pula abang nak balas surat-surat peminat,”
suara ketawa bergema lagi. Mereka sama-sama ketawa.
“Sebenarnya Intan dah siapkan semua bahannya. Dah interview
beberapa orang yang pakar dan banyak terlibat dalam soal ini. Hanya tinggal nak
taip saja,”
“Siapa
yang dah Intan interview?”
“Tuan
Haji Amin, Pengarah Hal Ehwal Keluarga Islam Selangor, Puan Hanom Kesturi
Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Malaysia, Dr.Mohdi Hamdan Pakar Motivasi
tersohor serta sesaorang yang sudah lama melalui kehidupan berpoligami,”
“Siapa?”
“Intan
Fariha isteri kepada Datuk Amar Kamarul,” jawab Intan selamba. Suara hilaian
berkumandang di hujung talian. Senang dan damai. Semua stress yang
dialaminya sejak pagi tadi terlerai sudah. Kebuntuan fikiran ikut terburai.
Ilham membuak secara tiba-tiba. Keanehan itu dikaguminya.
“Baiklah datuk. Malam ni datuk balik tak?” Tiba-tiba
Intan mengubah topik dan serentak itu menghentikan ketawa di hujung talian.
Panggilan ‘datuk’ biasa digunakan sebagai gurauan. Itulah sedikit sebanyak asam
garam yang memesrai hubungan mereka selama ini.
“Hmm…malam ni abang ada personal meeting dengan
Datuk Jamain di Grand Continental. Mungkin tak balik. Esok pagi kita bersarapan
di tempat biasa,”
“Meeting
nak tambah quotake?” Intan menduga.
“Merepeklah
Intan ni, banyak lagi kerja lain yang abang boleh buat…”
“Manalah
tahu. Qoutayang ada belum penuh lagi ni. Itu sunnah bang. Tak baik
mengabaikan sunah.”
“Abang tahu isteri abang ni orang baik.Oklah sayang, abang ada kerja ni.
Sayang habiskan menaip artikel tu. Nanti boss mengamuk pula! Bye sayang….” Si
pemanggil memutuskan talian.
“Bye…”
Suara Intan tersekat di kerongkong. Tiba-tiba dia rasa sedih dan keliru dengna
perasaannya sendiri.Ada kepiluan di matanya. Dia menutup flip telefonnya dan
berjalan semula ke mejanya.Ketika
itu dia berselisih dengan Nora.
“Intan…aku ada idea yang baik untuk kau,” kata Nora
dengan senyum.
“Apa
dia?”
“Rasanya
baik kau suruh Datuk Amar kau tu, buat satu office di sini supaya senang
kau orang jumpa setiap saat. Tak adalah nak rindu-rinduan macam ni…” Nora
ketawa. Intan mencubit lengan Nora dan meninggalkannya dengan ketawa. Betulkah
dia rindu ?
Intan kembali
menyambung kerjanya.
Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.
Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.