Home Novel Keluarga SENYUM SEINDAH MONALISA
SENYUM SEINDAH MONALISA
SITI ROZILAH
28/9/2013 13:16:20
19,197
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 3

3

Kini: “Cinta bukanlah seperti yang dipaparkan dalam kisah dongeng.”

MALAM Sabtu itu aku menonton tayangan filem Tempting Heart. Filem yang diterbitkan pada tahun 1999 itu berkisar tentang kisah cinta pertama yang berkembang dalam diri dua remaja, Xiao-rou dan Ho-Jun. Percintaan mereka ini mendapat tentangan hebat daripada keluarga kedua-dua belah pihak kerana mereka masih dianggap mentah untuk hidup bersama. Akhirnya, mereka terpaksa akur kepada sebuah hakikat bahawa cinta dalam dunia nyata bukanlah seperti kisah cinta yang pernah mereka baca dalam buku cerita dongeng.

Cute kan hero tu, ma. Siapa namanya?”

“Takeshi Kaneshiro,” aku menjawab. “Sa tak mengantuk ke? Pergilah tidur dulu, kan esok ada kelas ganti.” Kataku sambil memberikan alasan yang munasabah kepada anak gadisku supaya dia membiarkan aku sendirian menonton filem yang ternyata telah berjaya menarik perhatianku seterusnya menjentik idea ke mindaku yang sedang beku ini.

“Papa tak balik lagi ke, ma? Sekarang ni papa selalu balik lewat kan?”

Aku menoleh ke arah Nur Samira. Sepantas kilat fikiran anak gadisku itu melencong daripada Takeshi Kaneshiro yang sedang ditontonnya di kaca televisyen, yang tadinya dianggap cute, ke arah papanya yang mungkin masih berada di pejabat. Mungkin...!

Aku menalakan pandanganku ke arah jam yang melekap di dinding. Jarum jam menunjukkan tepat ke pukul 11.00 malam.

“Papa tengah sibuk sekarang ni. Syarikat papa nak lancarkan majalah baru. Tapi, esok papa cuti. Esok, lepas Sa dan Danny balik dari kelas ganti kita boleh pergi lunch kat luar. Macam mana?”

“Minggu lepas... hari Sabtu pun papa kerja. Dah petang baru balik.” Nur Samira pantas menyahut. Ketika kutoleh, wajah anak gadisku itu kelihatan mendung.

“Janganlah merajuk. Papa Sa sibuk kerja. Kalau papa tak kerja kuat, mungkin dapur kita ni tak berasap.” Sebagai seorang isteri, aku tampil untuk membela suamiku.

Usahaku itu menampakkan kejayaan apabila kulihat seulas senyuman tersungging di bibir Nur Samira. Seketika kemudian, dia mencium kedua-dua belah pipiku sebelum melangkah naik ke bilik tidurnya dan membiarkan aku menonton kesudahan filem Tempting Heart itu dengan tenang.

BENAR telahan Nur Samira. Hari Sabtu itu papanya terpaksa bekerja juga. Malah, Zamarul yang menghantar sendiri Nur Samira dan Muhammad Daniel ke sekolah sebelum terus ke tempat kerjanya. Setelah ditinggalkan bersendirian di rumah, aku mengambil keputusan untuk menyelongkar semula album-album lama yang sudah berkurun rasanya tidak kukuak sehingga bertaburan kesemuanya di atas lantai.

Di zaman remajaku dahulu, aku begitu menjaga album-album milikku. Bagiku setiap album itu amat berharga kerana ianya merakamkan kenangan yang kemudiannya menjadi sejarah peribadi hidupku. Gambar ketika aku masih kecil sehingga masuk ke tadika dan bersekolah rendah masih lagi berada dalam simpananku. Begitu juga dengan wajah-wajahku bersama teman-teman dan keluarga ketika meniti alam remaja. Begitulah seterusnya.

Caraku yang gemar merakamkan gambar-gambar kenangan melalui lensa kamera dan kemudian menyusunnya kemas-kemas di dalam album itu kini sudah dianggap ketinggalan zaman oleh anak-anakku. Sekarang sudah ada yang lebih canggih; kamera digital. Kebanyakan gambar-gambar yang dirakamkan kamera digital itu akan diburnkan ke dalam komputer lalu mengisi penuh ruang facebook mereka. Lalu seluruh dunia boleh menonton gambar-gambar tersebut.

Album yang menempatkan gambar-gambar di hari perkahwinanku dengan Zamarul yang berjumlah empat buah kesemuanya itu masih elok tersimpan. Anak-anakku juga sudah tidak berminat lagi hendak melihat gambar-gambar di hari bahagia papa dan mama mereka itu.

Zamarul juga sudah berkurun tidak menyelak album-album itu. Dia kini terlalu sibuk dengan kerjanya. Mungkin juga dia beranggapan apalah faedahnya menyelak semula gambar-gambar di hari perkahwinan kami itu. Memandang ke hadapan adalah lebih bermakna daripada cuba menyelongkar semula kenangan semalam yang mungkin sudah basi.

Aku pun dua kali lima dengan mereka. Kalau tidak tersentuh dengan filem Tempting Heart yang kutonton malam tadi, sudah tentu album-album lama ini tidak kukuak. Dan, sudah tentulah seekor labah-labah kecil yang bersarang di dalamnya tidak menemui ajalnya di tanganku seperti halnya hari ini.

Maafkan aku hai labah-labah kecil kerana telah menjadi seorang pembunuh!

AKU tidak menemukan apa yang sedang kucari. Entah di mana terselitnya gambar-gambar tersebut. Ternyata aku sudah lupa di mana kuletakkannya. Atau, memang sengaja kusembunyikan. Hakikatnya, dia memang tidak gemar bergambar. Dia sering mengelak apabila hendak diambil fotonya. Katanya, “...mak aku cakap kalau selalu sangat bergambar nanti seri muka hilang.”

“Poodahh!” Aku menyeranah. Dia hanya ketawa kecil kena seranah denganku.

“Lainlah masa aku bersanding dengan kau nanti. Masa tu aku tak kisah berapa gulung filem pun orang nak ambil gambar aku. Yang pentingnya, Leya, kau ada kat sebelah aku masa tu.”

Geli-geleman aku mendengar kata-kata yang baru sahaja meluncur dari bibirnya.

“Aku?” Kutuding jari telunjuk ke dadaku sendiri. Dia menjegilkan biji matanya. “Aku bersanding dengan kau?” soalku penuh sinis.

Dia mengangguk pula.

“Dalam mimpi bolehlah!” Aku juih bibir tanpa gincuku ke arahnya. Ketika itu aku cukup pasti apa yang dikatakannya sama sekali tidak akan terjadi. Dia bukan taste aku. Bukan lelaki idaman aku. Masakan mungkin aku tersungkur di kaki cintanya? Dan kalau tanpa cinta, mana mungkin kami disandingkan di pentas perkahwinan?

Dengan wajah kebudak-budakannya itu, dengan bajunya yang lusuh-lusuh itu, dan dengan perangainya yang ising-isingan itu, aku langsung tidak tertarik kepadanya.

“Leya, aku pasti suatu hari nanti kau akan jadi milik aku!” Yakin sungguh.

“Jangan asyik beranganlah Ilham Arief.” Balasku, juga yakin.

Aku menghempas keluh. Kalau aku sungguh tidak menyukainya kenapakah aku harus berada di bilik ini, menyelongkar semula album-album lama sekadar untuk mencari wajahnya? Dan, kenapa aku harus mengimbas semula semalam yang pernah kukongsi bersamanya? Apa kena dengan aku ni? Hanya kerana menonton sebuah filem malam tadi kepalaku tiba-tiba saja jadi ding-dong macam ni? Perlukah aku menyelongkar semula silamku hanya kerana aku ketandusan idea untuk menghasilkan sebuah manuskrip?

Oh... tidak! Tidak mungkin!!!

Aku tidak akan menulis kisah hidupku sendiri. Ianya seumpama membuka pekung di dada. Bagaimana kalau setelah terhasilnya sebuah novel kelak, Zamarul, Waheeda atau Ilham membacanya? Atau, sesiapa sahaja yang kenal rapat denganku dan dengannya terbaca tulisanku itu?

Ah, ubahlah sikit sana-sini. Kau bukannya nak tulis buku biografi, otakku keluar dengan sebuah cadangan.

Eeeeiii... tak mungkin! Ini semua kerja gila, bisik hatiku sambil segera menyusun semula album-album lama yang berselerakan di lantai ke tempat asalnya.

DALAM pada itu, aku terkilan juga kerana gambarnya tidak kutemui. Aku menutup daun pintu bilik kerjaku lalu melangkah ke dapur. Aku mahu memesongkan fikiranku daripada terus menerus memikirkannya. Ah, untuk apa terlalu memikir-mikirkan hal semalam?

Kepalaku sudah mula merancang menu yang akan dihidangkan untuk anak-anakku tengah hari ini, tomyam campur dan ayam goreng kunyit. Cukuplah untuk kami bertiga. Aku cukup pasti Zamarul tidak akan pulang untuk makan tengah hari bersama kami.

Sebaik sahaja urusanku di dapur selesai, loceng pintu rumahku berbunyi. Aku bergegas ke depan untuk melihat siapa yang datang. Ah, rupa-rupanya Kak Zaiton, jiran sebelah rumah.

“Kau buat apa tu, Leya?”

“Baru lepas masak. Kak Ton dah masak?” Soalan yang terlalu biasa.

Kak Zaiton yang lima tahun lebih tua daripadaku itu angguk kepala. “Dah siap masak barulah dapat kemari. Kau masak apa hari ni?”

“Tomyam campur dengan ayam goreng kunyit aje. Kak Ton?” Mungkinkah ini perbualan lumrah bagi para suri rumah sepertiku dengan jiran tetangga? Tidak ada perkara penting yang hendak ditanya dan diperbualkan selain daripada menu yang dihidangkan di meja makan keluarga untuk tengah hari itu. Ataupun, menyoal sama ada sihat atau tidak hari ini.

“Asam pedas ikan pari.”

“Hmm... sedap tu. Kalau kena lawannya, goreng ikan sepat masin atau telur asin lagi mengancam.”

Kak Zaiton mengangguk. “Kak Ton rebus telur asin.”

“Mesti Abang Mokhtar tiga kali tambah tengah hari ni.” Aku ketawa kecil. Perempuan di depanku itu turut ketawa. “Ni Leya nak minta tolong sikitlah, Kak Ton. Kalau Abang Mokhtar ambil Zana dari sekolah nanti, tumpangkan anak-anak Leya sekali, boleh?” pintaku. Rozana, anak bongsu Abang Mokhtar dan Kak Zaiton satu sekolah dengan anak-anakku.

“Ah, kau ni Leya... macam tak biasa pula. Zam kerja ke hari ni?” Tiba-tiba jiranku itu menyoal tentang suamiku.

Aku mengangguk. “Zam sibuk sikit sekarang ni. Biasanya hari Sabtu macam ni dia cuti, tapi Leya dengar cerita syarikatnya nak lancarkan dua buah majalah serentak hujung bulan ni. Orang media macam tulah, Kak Ton. Kerjanya tak menentu masa. Leya pun ada pengalaman bekerja beberapa tahun dalam bidang tu.”

“Mesti lumayan gaji Zam tu kan?”

“Cukuplah untuk kami sekeluarga, Kak Ton,” jawabku merendah diri.

“Kau tak teringin ke nak bekerja semula, Leya? Yelah... anak-anak kau pun dah besar, dah boleh berdikari. Kau tak rindu ke dengan kerja kau dulu? Yelah... sebagai wartawan kau tentu jumpa ramai orang, dapat banyak cerita dan boleh melawat ke merata tempat.”

Aku mengimbas semula kerjayaku dahulu. Memang benar kata Kak Zaiton, kerjaku sebagai wartawan membolehkan aku bertemu dengan berbagai-bagai orang daripada pelbagai lapisan masyarakat. Dada plannerku sentiasa penuh dengan jadual janjitemu. Aku sentiasa sibuk. Ketika itu setiap detik dan masa terasa amat berharga kerana kerjaku yang terikat dengan dateline.

Suasana dahulu sungguh berbeza daripada kini. Kini akulah tuan. Aku sendiri yang terpaksa merencana dan menjadualkan urusan seharianku. Pandai-pandai akulah untuk membahagikan masaku menguruskan rumah tangga dan mencari ruang waktu sebagai penulis. Kadang-kadang dek terlalu menumpukan perhatianku kepada urusan rumah tangga, kerja penulisanku seringkali terabai.

“Leya lebih selesa begini, Kak Ton. Biarlah Zam seorang yang keluar bekerja. Leya boleh tumpukan perhatian pada anak-anak.” Aku menjawab.

Kak Zaiton angguk. “Sekarang ni pun dah ramai orang yang kerja dari rumah aje. Hmm... okeylah, Leya, rasanya dah lama Kak Ton di sini. Kak Ton balik dululah, ya. Agaknya Abang Mokhtar kau dah bersiap nak keluar jemput budak-budak dari sekolah.”

Kak Zaiton bangkit. Aku turut bangkit dan menghantarnya hingga ke muka pintu.


Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.