2
Kini: “Perkahwinan adalah kubur sebuah percintaan.
Benarkah?”
MASA terus
bergerak. Jarum jam di ruang tamu telah menuding ke angka 8.30 malam.
Anak-anakku yang sudah pun selesai makan malam, kini sibuk menyudahkan kerja
rumah yang dibekalkan oleh guru-guru mereka. Aku memandang sekilas ke arah Nur
Samira yang sudah boleh diharapkan untuk mengajar adiknya. Sebagai seorang ibu,
aku wajar berasa bangga dengan Nur Samira. Dia sudah boleh memikul tanggung
jawab sebagai seorang kakak. Pencapaiannya di sekolah juga amat
memberansangkan.
“Sa, tolong
ajar Danny okey. Kalau ada apa-apa, mama di bilik kerja.” Aku memaklumkan
kepada Nur Samira sebelum melangkah laju ke bilik khas yang terletak di tingkat
bawah yang telah dijadikan sebagai bilik kerjaku.
Aku menolak daun
pintu bilik kerjaku dengan rasa bosan. Kupetik suis yang melekap di dinding dan
serta-merta bilik itu menjadi terang-benderang. Kuhampiri meja kerja yang
menempatkan laptop, beberapa helai kertas kajang dan sebuah buku nota kecil.
Aku lemparkan pandangan kosong ke arah kertas kajang dan buku nota yang masih
bebas daripada sebarang cakaran dan lakaran itu. Ia membawa makna si penulisnya
ini masih kosong idea; masih tidak tahu apakah yang hendak dituliskan dalam
naskhahnya kelak. Penulisnya juga masih belum menyediakan sebarang rangka juga
watak dan perwatakan untuk naskhahnya itu.
Memang
betul, aku masih belum memikirkan apakah cerita yang hendak kulakarkan dalam
naskhah terbaruku ini. Penat menopang dagu, pen parker yang tergeletak di atas
meja pula menjadi mangsaku. Pen berpenutup itu kuketuk-ketukkan ke atas meja
seolah-olah hendak mencipta iramaku yang tersendiri.
Aku mula
terlibat dalam bidang penulisan ini lebih kurang 10 tahun lalu. Itupun setelah
aku meletakkan jawatanku sebagai seorang wartawan. Sejak bergelar isteri dan
mengandungkan anak sulung, aku sudah tidak komited lagi dengan kerjayaku yang
tidak menentu waktu dan sentiasa terkejar-kejar ke sana-kemari untuk mencari
berita. Ditambah lagi dengan tahap kesihatanku ketika mengandung yang kurang
mengizinkan.
Suamiku
tidak pernah memaksaku berhenti kerja. Pun begitu, aku meletakkan jawatan
dengan kemahuanku sendiri. Di awal penglibatanku dalam dunia penulisan ini,
otakku tidaklah sebeku ini. Aku berjaya menyiapkan novel dewasa pertamaku dalam
masa enam bulan sahaja. Kemudian, aku berjaya pula menyudahkan dua buah novel
remaja dalam masa lapan bulan. Ini bermakna aku hanya mengambil masa empat
bulan untuk menyiapkan sebuah novel.
Aku akui
lima tahun terawal penglibatanku dalam bidang ini, aku agak produktif. Idea
datang tidak menentu masa. Kadangkala idea muncul ketika aku sedang menonton
televisyen di ruang tamu. Kadangkala ia muncul ketika aku sekadar berbual-bual
dengan jiran tetangga. Ketika itu aku begitu bersemangat menulis dan begitu
seronok tatkala melihat karya-karyaku berada di pasaran.
Pun begitu,
sejak tiga tahun kebelakangan ini, tiba-tiba sahaja aku diserang ini – sindrom
kontang idea. Aku terasa amat susah hendak menyiapkan naskhahku. Kadang-kadang
aku mengambil masa berjam-jam berada di depan laptop tetapi hanya mampu
menyiapkan satu atau dua muka surat sahaja. Kadangkala, berhari-hari lamanya
aku tidak menyentuh laptopku, seperti sekarang.
Mujurlah aku
masih mempunyai editor seperti Rasyidah yang sering membakar semangatku tatkala
aku hilang semangat. Juga, teman baik seperti Waheeda yang sentiasa menadah
telinga mendengar setiap aduanku. Juga peminat-peminat setiaku yang tidaklah
seramai mana itu, yang seringkali meniupkan semangat padaku di dalam facebook.
Telefon
bimbit yang terletak tidak jauh dariku tiba-tiba berbunyi. Nama Waheeda
terpapar di skrin. Aku segera memberi salam kepada Waheeda. Di hujung talian,
kudengar Waheeda menyambut salamku.
“Macam mana,
Leya? Ilham dah turun dari langit ke belum?” Waheeda mengusik dan kemudian
tergelak langsing ketika aku memberitahunya yang aku sedang duduk termenung
menunggu idea yang tidak kunjung tiba, di depan laptopku.
“Sampai hati
kau gelakkan aku. Kau tak kesiankan aku ke? Otak aku ni tengah blank... kosong. Serasa nak gantung pen
aje.” Aku mula mengadu.
“Ala...
relakslah, Leya. Takkan kau nak gantung pen dan jadi suri rumah sepenuh masa?
Sekurang-kurangnya sekarang ni ada juga duit yang masuk ke dalam akuan kau,
betul tak?”
“Hmm...
betul kata kau tu.” Aku setuju dengan kata-kata Waheeda. Jadual pengiraan dan
pembayaran royalti daripada penerbit kuterima setiap tiga bulan sekali. Ini
bermaksud Sinar Kejora Sendirian Berhad akan memasukkan royalti yang aku terima
untuk setiap novelku terus ke dalam akaun setiap tiga bulan.
Ini juga
memberi makna yang aku tidak perlu terlalu bergantung kepada wang belanja yang
dihulurkan oleh Zamarul setiap penghujung bulan. Aku juga tidak perlu
meminta-minta wang daripadanya setiap kali hendak membeli barang-barang yang
aku inginkan. Yelah, sebagai seorang perempuan kadangkala aku juga teringin
kepada perhiasan tertentu ataupun alat solek tertentu.
Aku cuba
sedaya upaya untuk meringankan beban kewangan suamiku. Malah, aku jarang
meminta-minta daripadanya kalau dapur kami kehabisan beras atau sebagainya. Sebenarnya,
aku masih bersyukur kerana walaupun pejabatku hanya terletak di dalam rumah,
aku mempunyai penghasilanku sendiri.
“Bukannya
sehari dua aku kenal kau, Leya. Otak kau memang selalu beku setiap kali nak
hasilkan novel baru, tapi bila dah mula menulis tak boleh berhenti kan? Hmm...
apa kata kalau kau ajak Zam temankan kau bercuti? Mana tahu kalau-kalau
sekembalinya kau dari percutian nanti, otak kau akan cair semula?” cadang
Waheeda.
“Pergi
bercuti? Tapi Zam tengah sibuk sekarang ni sebab syarikat dia nak lancarkan dua
buah majalah baru serentak.” Aku segera menjawab.
“Dah berapa
lama kau dah Zam tak pergi bercuti, hah?”
Aku terkedu
beberapa ketika sebelum menjawab, “hujung tahun lepas kami dah bercuti di
Melaka dengan anak-anak.”
Melaka
memang menjadi lokasi percutian utama kami kerana ditakdirkan kami berdua
berasal dari negeri Hang Tuah itu. Selain bercuti, kami juga dapat menjenguk
orang tua di kampung. Aku berasal dari Jasin sementara Zamarul dari Bukit
Katil, Melaka.
“So pergi dengan anak-anaklah ye? Bila
pulak kali terakhir kau dan Zam bercuti berdua-duaan aje... tanpa diganggu oleh
anak-anak?”
“Eh, ke situ
pulak perginya! Mana boleh tinggalkan anak-anak? Nanti dia orang bising.
Lagipun apa kena mengenanya writer’s
block aku ni dengan pergi bercuti berdua-duaan dengan Zam?” aku menyoal.
“Beberapa
minggu lepas aku ada terbaca sebuah buku motivasi perkahwinan. Pengarang buku
tu berkata, pasangan yang dah lama berkahwin kadangkala perlu semarakkan semula
perkahwinan mereka. Anak-anak memang tak boleh diabaikan. Tapi apa salahnya
kalau sekali-sekala pasangan itu mengulangi semula keromantisan bulan madu
mereka? Mungkin sekarang ni kau terperuk aje dengan rutin harian kau kat rumah
tu dan Zam pula asyik tenggelam dengan kerjanya. Akhirnya, hubungan suami
isteri menjadi semakin dingin, tak bersemangat lagi macam mula-mula kahwin
dulu. Kadangkala, kuasa cinta juga penting untuk seseorang tu lebih bersemangat
dalam kerjaya dan kehidupan sehariannya. Setuju tak, Leya?” getus Waheeda.
“Setuju!”
sahutku. Memang benar kata-kata yang baru saja meluncur keluar dari mulut
Waheeda itu, tetapi kata-katanya itu tidak semestinya dapat dipraktikkan dalam
kehidupan sebenar.
Di hujung
talian, Waheeda ketawa kecil.
“Aku dah
lama kenal dengan kau, Leya. Nur Aleya yang pernah aku kenal adalah seorang
yang kental semangat. Tak pernah lembik, tak pernah lemah dan tak mudah mengaku
kalah. Atau, kau mahu aku temukan kau semula dengan Ilham supaya kau
bersemangat macam dulu balik?”
“Ilham?”
terpancut soalan itu dari bibirku.
“Iye, Ilham.
Dan, Leya... Ilham yang aku maksudkan di sini ‘i’nya dieja dengan huruf besar,
bukannya dengan huruf kecil. Kau faham maksud aku, kan?” Selepas menuturkan
kata-kata yang membuatkan emosiku berkocak itu, Waheeda ketawa pula.
“Aku tau
sebagai seorang pengarang, kau sentiasa ternanti-nantikan kemunculan sesuatu
yang dinamakan ‘ilham’. Tapi bukan ilham tu yang aku maksudkan.” Sambungnya
sambil terus-terusan ketawa.
Ketawanya
yang memanjang itu ternyata membuatkan emosiku semakin goyah. Benar kata Waheeda,
sebagai seorang pengarang, aku memang tertunggu-tunggu kehadiran sesuatu yang
dinamakan ‘ilham’ ke dalam ruang fikirku. Ilham yang diturunkan oleh YANG MAHA
ESA itulah yang menggerakkan aku untuk terus berkarya. Ilham yang turunnya
tidak menentu waktu. Ilham yang kini sedang bermain sorok-sorok denganku.
Tapi, jauh
di sudut hatiku... kutahu yang aku juga sentiasa merindui kemunculan Ilham;
yang ‘i’nya dieja dengan huruf besar. Sebagai seorang isteri, maafkan aku, Zam!
Kalaulah kau mengetahui hakikat kenapa aku selalu menyebut ‘ilham’ itu sebagai
idea, apakah egomu sebagai lelaki merangkap suamiku akan tercalar?
Sememangnya,
kalau boleh aku tidak mahu mengingatinya lagi dengan menyebut perkataan keramat
itu.
AKU sendiri
tidak sedar bilakah masanya aku menamatkan perbualanku dengan Waheeda. Aku juga
tidak ingat apakah perkataan terakhir yang aku ataupun dia ucapkan sebelum kami
memutuskan hubungan seketika tadi. Kata-kata yang meluncur keluar dari mulut
Waheeda tadi, benar-benar mengganggu emosiku. Entah mengapa tiba-tiba sahaja
dadaku diserbu debaran yang menggerutup.
Nama itu
sudah lama tidak muncul dalam perbualan kami. Mungkin sejak aku diijabkabulkan
dengan Zamarul lagi. Baik aku mahupun Waheeda, kami seolah-olah telah melupakan
tentang jejaka yang memiliki nama itu, dan masih mampu meneruskan kehidupan
kami seperti biasa. Pun begitu, hakikatnya baik aku mahupun Waheeda... kami
sama-sama kenal rapat dengan pemilik nama itu.
Ilham
Arief...
“Ma, papa
dah balik!” Pintu bilik yang terkuak dan suara Muhammad Daniel yang agak kuat
itu memancung terus khayalanku.
“Iye, ke?
Terima kasih, Danny. Danny dah siapkan homework?”
“Dah.”
Muhammad Daniel menjawab.
Aku
meninggalkan meja kerjaku sambil berusaha mengenyahkan wajah yang tiba-tiba
sahaja mengganggu ketenanganku seketika tadi. Aku melangkah ke ruang tamu dan
melihat suamiku sudah pun duduk di kusyen sambil membelai-belai rambut panjang
Nur Samira. Zamarul menoleh ketika menyedari kemunculanku.
“Abang dah
makan kat luar tadi. Leya tak payahlah susah-susah.” Dia memberitahu sebelum
sempat aku bertanya.
Aku senyum
nipis. “Petang tadi Leya ada buat bubur kacang. Abang nak ke?”
“Bubur
kacang? Hmm... bolehlah.”
“Nanti Leya
panaskan kejap, ye.”
“Hmm...”
Aku menuju
ke dapur untuk memanaskan bubur kacang kegemaran suamiku. Walaupun aku cuba
menyengahkan wajah serta memori yang pernah kukongsi bersama Ilham, tetapi
kesemuanya semakin mengasak untuk memenuhi ruang fikirku.
“Ma, aunty Eda call!”
Aku
tersentak apabila mendengar suara Nur Samira di belakangku. Aku segera menoleh
dan melihat Nur Samira menghulurkan telefon bimbit ke arahku. Anak gadisku itu
merenungku dengan renungan peliknya. Tapi tanpa berkata apa-apa, dia terus
meninggalkan aku di dapur.
“Ye, Eda?”
Aku menggumam.
“Eh, kenapa
kau tamatkan perbualan kita macam tu aje? Kau marah ke?”
“Err... sorry! Aku tak sengaja.”
Waheeda
ketawa. “Kau ni, Leya... bila dengar aje nama tu, terus gelabah semacam. Kau
masih ada apa-apa ke dengan pemilik nama tu ke? Kau masih tak dapat lupakan
dia?”
Aku semakin
gusar. Aku tidak selesa membincangkan tentang hal yang aku anggap sensitif itu
di rumahku sendiri; lebih-lebih lagi ketika suamiku kini sedang berada di ruang
tamu menunggu aku menghidangkan semangkuk bubur kacang untuknya.
“Kau ni,
Eda, janganlah cakap yang bukan-bukan. Kenapa kau kata aku masih ada apa-apa
dengannya sedangkan kau pun tahu kan, aku dah ada suami. Err... Eda, aku minta
maaf tapi Zam ada kat luar tu. Dia tengah tunggu bubur kacang aku ni.” Sahutku
dengan nada berlucu.
Waheeda
ketawa. “Oh, suami dah balik ke rumah rupanya. Patutlah tiba-tiba aje jadi
macam tikus terjatuh dalam beras!”
Sakit hatiku
mendengar sinis sindirannya. “Iye, Cik Eda, oi! Eh, bila kau nak balik ke sini,
hah?”
“Esok aku
baliklah. Nanti kita jumpa, okey. Eh, Leya, kau jangan malas-malas tau. Cepat
cari idea untuk novel terbaru kau tu. Bila dah siap nanti, macam biasalah...
aku boleh tolong editkan sebelum kau hantar ke penerbit.” Waheeda menawarkan
jasa baiknya.
“Yelah, Cik
Eda. Bye.” Jawabku lalu menuju ke
ruang tamu dengan menatang dulang kecil berisi semangkuk bubur kacang dan
segelas air suam buat suamiku.
Aku pasti
dia mendengar langkahku yang sedang menghampirinya. Namun, dia langsung tidak
menoleh ke arahku. Malah, langsung tidak mempedulikan aku ketika kuletakkan
dulang di atas meja. Kalaulah dia tahu betapa aku merindui renungan matanya
yang pernah dilemparkan ke arahku suatu masa dahulu; seolah-olah akulah
perempuan tercantik yang pernah hadir dalam hidupnya... argh! Saat-saat itu
walaupun telah berlalu daripada kehidupanku, tapi dapat kurasakan kehadiranku
di sisinya ketika itu benar-benar dihargai.
Aku
tersenyum sendiri. Ada orang pernah berkata, perkahwinan adalah kubur sebuah
percintaan. Benarkah?