3
Kini: “Cinta bukanlah seperti yang dipaparkan dalam kisah
dongeng.”
MALAM Sabtu
itu aku menonton tayangan filem Tempting
Heart. Filem yang diterbitkan pada tahun 1999 itu berkisar tentang kisah
cinta pertama yang berkembang dalam diri dua remaja, Xiao-rou dan Ho-Jun.
Percintaan mereka ini mendapat tentangan hebat daripada keluarga kedua-dua
belah pihak kerana mereka masih dianggap mentah untuk hidup bersama. Akhirnya,
mereka terpaksa akur kepada sebuah hakikat bahawa cinta dalam dunia nyata
bukanlah seperti kisah cinta yang pernah mereka baca dalam buku cerita dongeng.
“Cute kan hero tu, ma. Siapa namanya?”
“Takeshi
Kaneshiro,” aku menjawab. “Sa tak mengantuk ke? Pergilah tidur dulu, kan esok
ada kelas ganti.” Kataku sambil memberikan alasan yang munasabah kepada anak
gadisku supaya dia membiarkan aku sendirian menonton filem yang ternyata telah
berjaya menarik perhatianku seterusnya menjentik idea ke mindaku yang sedang
beku ini.
“Papa tak
balik lagi ke, ma? Sekarang ni papa selalu balik lewat kan?”
Aku menoleh
ke arah Nur Samira. Sepantas kilat fikiran anak gadisku itu melencong daripada
Takeshi Kaneshiro yang sedang ditontonnya di kaca televisyen, yang tadinya
dianggap cute, ke arah papanya yang mungkin masih berada di pejabat.
Mungkin...!
Aku menalakan
pandanganku ke arah jam yang melekap di dinding. Jarum jam menunjukkan tepat ke
pukul 11.00 malam.
“Papa tengah
sibuk sekarang ni. Syarikat papa nak lancarkan majalah baru. Tapi, esok papa
cuti. Esok, lepas Sa dan Danny balik dari kelas ganti kita boleh pergi lunch kat luar. Macam mana?”
“Minggu
lepas... hari Sabtu pun papa kerja. Dah petang baru balik.” Nur Samira pantas
menyahut. Ketika kutoleh, wajah anak gadisku itu kelihatan mendung.
“Janganlah
merajuk. Papa Sa sibuk kerja. Kalau papa tak kerja kuat, mungkin dapur kita ni
tak berasap.” Sebagai seorang isteri, aku tampil untuk membela suamiku.
Usahaku itu
menampakkan kejayaan apabila kulihat seulas senyuman tersungging di bibir Nur
Samira. Seketika kemudian, dia mencium kedua-dua belah pipiku sebelum melangkah
naik ke bilik tidurnya dan membiarkan aku menonton kesudahan filem Tempting Heart itu dengan tenang.
BENAR
telahan Nur Samira. Hari Sabtu itu papanya terpaksa bekerja juga. Malah,
Zamarul yang menghantar sendiri Nur Samira dan Muhammad Daniel ke sekolah
sebelum terus ke tempat kerjanya. Setelah ditinggalkan bersendirian di rumah,
aku mengambil keputusan untuk menyelongkar semula album-album lama yang sudah
berkurun rasanya tidak kukuak sehingga bertaburan kesemuanya di atas lantai.
Di zaman remajaku
dahulu, aku begitu menjaga album-album milikku. Bagiku setiap album itu amat
berharga kerana ianya merakamkan kenangan yang kemudiannya menjadi sejarah
peribadi hidupku. Gambar ketika aku masih kecil sehingga masuk ke tadika dan
bersekolah rendah masih lagi berada dalam simpananku. Begitu juga dengan
wajah-wajahku bersama teman-teman dan keluarga ketika meniti alam remaja.
Begitulah seterusnya.
Caraku yang
gemar merakamkan gambar-gambar kenangan melalui lensa kamera dan kemudian
menyusunnya kemas-kemas di dalam album itu kini sudah dianggap ketinggalan
zaman oleh anak-anakku. Sekarang sudah ada yang lebih canggih; kamera digital.
Kebanyakan gambar-gambar yang dirakamkan kamera digital itu akan diburnkan ke dalam komputer lalu mengisi
penuh ruang facebook mereka. Lalu
seluruh dunia boleh menonton gambar-gambar tersebut.
Album yang
menempatkan gambar-gambar di hari perkahwinanku dengan Zamarul yang berjumlah
empat buah kesemuanya itu masih elok tersimpan. Anak-anakku juga sudah tidak
berminat lagi hendak melihat gambar-gambar di hari bahagia papa dan mama mereka
itu.
Zamarul juga
sudah berkurun tidak menyelak album-album itu. Dia kini terlalu sibuk dengan
kerjanya. Mungkin juga dia beranggapan apalah faedahnya menyelak semula
gambar-gambar di hari perkahwinan kami itu. Memandang ke hadapan adalah lebih
bermakna daripada cuba menyelongkar semula kenangan semalam yang mungkin sudah
basi.
Aku pun dua
kali lima dengan mereka. Kalau tidak tersentuh dengan filem Tempting Heart yang kutonton malam tadi,
sudah tentu album-album lama ini tidak kukuak. Dan, sudah tentulah seekor
labah-labah kecil yang bersarang di dalamnya tidak menemui ajalnya di tanganku
seperti halnya hari ini.
Maafkan aku hai
labah-labah kecil kerana telah menjadi seorang pembunuh!
AKU tidak
menemukan apa yang sedang kucari. Entah di mana terselitnya gambar-gambar
tersebut. Ternyata aku sudah lupa di mana kuletakkannya. Atau, memang sengaja
kusembunyikan. Hakikatnya, dia memang tidak gemar bergambar. Dia sering
mengelak apabila hendak diambil fotonya. Katanya, “...mak aku cakap kalau
selalu sangat bergambar nanti seri muka hilang.”
“Poodahh!” Aku
menyeranah. Dia hanya ketawa kecil kena seranah denganku.
“Lainlah
masa aku bersanding dengan kau nanti. Masa tu aku tak kisah berapa gulung filem
pun orang nak ambil gambar aku. Yang pentingnya, Leya, kau ada kat sebelah aku
masa tu.”
Geli-geleman
aku mendengar kata-kata yang baru sahaja meluncur dari bibirnya.
“Aku?”
Kutuding jari telunjuk ke dadaku sendiri. Dia menjegilkan biji matanya. “Aku bersanding
dengan kau?” soalku penuh sinis.
Dia
mengangguk pula.
“Dalam mimpi
bolehlah!” Aku juih bibir tanpa gincuku ke arahnya. Ketika itu aku cukup pasti
apa yang dikatakannya sama sekali tidak akan terjadi. Dia bukan taste aku. Bukan lelaki idaman aku. Masakan
mungkin aku tersungkur di kaki cintanya? Dan kalau tanpa cinta, mana mungkin
kami disandingkan di pentas perkahwinan?
Dengan wajah
kebudak-budakannya itu, dengan bajunya yang lusuh-lusuh itu, dan dengan
perangainya yang ising-isingan itu, aku langsung tidak tertarik kepadanya.
“Leya, aku
pasti suatu hari nanti kau akan jadi milik aku!” Yakin sungguh.
“Jangan
asyik beranganlah Ilham Arief.” Balasku, juga yakin.
Aku
menghempas keluh. Kalau aku sungguh tidak menyukainya kenapakah aku harus
berada di bilik ini, menyelongkar semula album-album lama sekadar untuk mencari
wajahnya? Dan, kenapa aku harus mengimbas semula semalam yang pernah kukongsi
bersamanya? Apa kena dengan aku ni? Hanya kerana menonton sebuah filem malam
tadi kepalaku tiba-tiba saja jadi ding-dong
macam ni? Perlukah aku menyelongkar semula silamku hanya kerana aku ketandusan
idea untuk menghasilkan sebuah manuskrip?
Oh... tidak!
Tidak mungkin!!!
Aku tidak
akan menulis kisah hidupku sendiri. Ianya seumpama membuka pekung di dada.
Bagaimana kalau setelah terhasilnya sebuah novel kelak, Zamarul, Waheeda atau
Ilham membacanya? Atau, sesiapa sahaja yang kenal rapat denganku dan dengannya
terbaca tulisanku itu?
Ah, ubahlah
sikit sana-sini. Kau bukannya nak tulis buku biografi, otakku keluar dengan
sebuah cadangan.
Eeeeiii...
tak mungkin! Ini semua kerja gila, bisik hatiku sambil segera menyusun semula
album-album lama yang berselerakan di lantai ke tempat asalnya.
DALAM pada
itu, aku terkilan juga kerana gambarnya tidak kutemui. Aku menutup daun pintu
bilik kerjaku lalu melangkah ke dapur. Aku mahu memesongkan fikiranku daripada
terus menerus memikirkannya. Ah, untuk apa terlalu memikir-mikirkan hal
semalam?
Kepalaku
sudah mula merancang menu yang akan dihidangkan untuk anak-anakku tengah hari ini,
tomyam campur dan ayam goreng kunyit. Cukuplah untuk kami bertiga. Aku cukup
pasti Zamarul tidak akan pulang untuk makan tengah hari bersama kami.
Sebaik
sahaja urusanku di dapur selesai, loceng pintu rumahku berbunyi. Aku bergegas
ke depan untuk melihat siapa yang datang. Ah, rupa-rupanya Kak Zaiton, jiran
sebelah rumah.
“Kau buat
apa tu, Leya?”
“Baru lepas
masak. Kak Ton dah masak?” Soalan yang terlalu biasa.
Kak Zaiton
yang lima tahun lebih tua daripadaku itu angguk kepala. “Dah siap masak barulah
dapat kemari. Kau masak apa hari ni?”
“Tomyam
campur dengan ayam goreng kunyit aje. Kak Ton?” Mungkinkah ini perbualan lumrah
bagi para suri rumah sepertiku dengan jiran tetangga? Tidak ada perkara penting
yang hendak ditanya dan diperbualkan selain daripada menu yang dihidangkan di
meja makan keluarga untuk tengah hari itu. Ataupun, menyoal sama ada sihat atau
tidak hari ini.
“Asam pedas
ikan pari.”
“Hmm...
sedap tu. Kalau kena lawannya, goreng ikan sepat masin atau telur asin lagi
mengancam.”
Kak Zaiton
mengangguk. “Kak Ton rebus telur asin.”
“Mesti Abang
Mokhtar tiga kali tambah tengah hari ni.” Aku ketawa kecil. Perempuan di
depanku itu turut ketawa. “Ni Leya nak minta tolong sikitlah, Kak Ton. Kalau
Abang Mokhtar ambil Zana dari sekolah nanti, tumpangkan anak-anak Leya sekali,
boleh?” pintaku. Rozana, anak bongsu Abang Mokhtar dan Kak Zaiton satu sekolah
dengan anak-anakku.
“Ah, kau ni
Leya... macam tak biasa pula. Zam kerja ke hari ni?” Tiba-tiba jiranku itu
menyoal tentang suamiku.
Aku
mengangguk. “Zam sibuk sikit sekarang ni. Biasanya hari Sabtu macam ni dia
cuti, tapi Leya dengar cerita syarikatnya nak lancarkan dua buah majalah
serentak hujung bulan ni. Orang media macam tulah, Kak Ton. Kerjanya tak
menentu masa. Leya pun ada pengalaman bekerja beberapa tahun dalam bidang tu.”
“Mesti
lumayan gaji Zam tu kan?”
“Cukuplah
untuk kami sekeluarga, Kak Ton,” jawabku merendah diri.
“Kau tak
teringin ke nak bekerja semula, Leya? Yelah... anak-anak kau pun dah besar, dah
boleh berdikari. Kau tak rindu ke dengan kerja kau dulu? Yelah... sebagai
wartawan kau tentu jumpa ramai orang, dapat banyak cerita dan boleh melawat ke
merata tempat.”
Aku
mengimbas semula kerjayaku dahulu. Memang benar kata Kak Zaiton, kerjaku
sebagai wartawan membolehkan aku bertemu dengan berbagai-bagai orang daripada
pelbagai lapisan masyarakat. Dada plannerku
sentiasa penuh dengan jadual janjitemu. Aku sentiasa sibuk. Ketika itu setiap
detik dan masa terasa amat berharga kerana kerjaku yang terikat dengan dateline.
Suasana
dahulu sungguh berbeza daripada kini. Kini akulah tuan. Aku sendiri yang
terpaksa merencana dan menjadualkan urusan seharianku. Pandai-pandai akulah
untuk membahagikan masaku menguruskan rumah tangga dan mencari ruang waktu
sebagai penulis. Kadang-kadang dek terlalu menumpukan perhatianku kepada urusan
rumah tangga, kerja penulisanku seringkali terabai.
“Leya lebih
selesa begini, Kak Ton. Biarlah Zam seorang yang keluar bekerja. Leya boleh
tumpukan perhatian pada anak-anak.” Aku menjawab.
Kak Zaiton
angguk. “Sekarang ni pun dah ramai orang yang kerja dari rumah aje. Hmm...
okeylah, Leya, rasanya dah lama Kak Ton di sini. Kak Ton balik dululah, ya.
Agaknya Abang Mokhtar kau dah bersiap nak keluar jemput budak-budak dari
sekolah.”
Kak Zaiton
bangkit. Aku turut bangkit dan menghantarnya hingga ke muka pintu.